Monday 1 October 2012

Bajet 2013 : Pemberian tunai undang kenaikan harga barang!

Tulisan ini dilakar bagi maksud berkongsi satu prinsip asas dalam ekonomi. Ia bertujuan memberi pendedahan tentang 'sifir' dan 'hukum karma' yang mengawal perjalanan ekonomi manusia.

Pertambahan kuantiti aliran tunai di kalangan warga sesebuah masyarakat, tidak akan membantu menurunkan harga barangan di pasaran, seterusnya meringankan beban kewangan mereka.

Pertambahan kuasa beli para pengguna ekoran pertambahan aliran tunai dalam pegangan mereka, hanya akan menyumbang kepada kederasan 'gelora' kenaikan harga barang. 

Ini berlaku lantaran kuasa beli yang meningkat, akan meninggikan permintaan terhadap barangan di pasaran. Permintaan yang meningkat akan menyebabkan harga barangan melambung.

Oleh sebab itu, prinsip asas ekonomi menegaskan, satu-satunya cara bagi mengekang kenaikan harga barangan, ialah meningkatkan kadar pengeluaran. 

Peningkatan pengeluaran akan menyebabkan lambakan barangan di pasaran. Keadaan ini akan dapat menampung keperluan masyarakat. Bila keperluan rakyat kepada barangan dapat dipenuhi, maka permintaan yang tinggi terhadap sesuatu barangan, tidak akan berlaku. 

Natijahnya, kenaikan harga barang tidak akan terjadi.

Justeru, pihak yang terlibat dengan penerimaan wang tunai secara one-off dan bonus dalam Bajet 2013, hendaklah sedar dengan hakikat ini, dan bersedia menghadapi 'gelora' kenaikan harga barangan.

Dalam masa sama, pihak berkuasa perlu bersiap siaga bagi menghadapi dan mengawal 'gelora' ini.

Sehubungan itu, pihak kerajaan disaran agar memberi perhatian utama kepada usaha meningkat pengeluaran barangan bagi mengekang kenaikan harga barang, seterusnya meringankan bebanan kewangan rakyat.

No comments:

Post a Comment