Tuesday 31 May 2011

Dengan apa anda 'membeli' syurga?

Cerita Syaidina Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu tentang Syaidina Usman radhiyallahu ‘anhu, benar-benar mengajak kita berfikir sejenak.

Abu Hurairah r.a berkata ketika memperihalkan tentang Syaidina Usman r.a :

اشترى عثمان الجنة من النبي صلى الله عليه وسلم مرتين..

Terjemahan :  "[Syaidina] Usman r.a telah ‘membeli’ syurga dari Nabi s.a.w sebanyak dua kali…"

Pada titik ini, jika kita amati kata-kata Abu Hurairah r.a ini, pasti tercetus soalan, ‘dengan apakah Syaidina Usman 'membeli' syurga?’.

Ya, syurga boleh ‘dibeli’ dengan banyak benda…

Ia boleh ‘dibeli’ dengan dua rakaat yang ditunaikan dengan khusyuk pada malam hari…

Ia boleh ‘dibeli’ dengan kata-kata yang benar bagi menyanggah orang yang zalim atau membela orang yang dizalimi…

Syurga juga boleh ‘dibeli’ dengan berpuasa pada jalan Allah pada hari yang panas…

Ya benar wahai teman, alangkah banyaknya kaedah ‘membeli’ syurga…

Tetapi, di antara banyak-banyak benda ini, dengan apakah Syaidina Usman r.a ‘membeli’ syurga?

Jawapannya ada pada Abu Hurairah r.a. Beliau menyambung :

حين حفر بئر رُوْمة وحين جهز جيش العسرة

Terjemahan : "[iaitu] ketika [beliau] menggali perigi Rumah dan ketika menaja tentera-tentera ‘usrah (getir)".

Hadis ini di rekodkan oleh al-Hakim.

Telaga Rumah adalah telaga lama yang telah wujud sejak zaman jahiliyyah. Ia kemudiannya dibeli oleh Syaidina Usman r.a dan diwakafkan.

Telaga ini masih wujud hingga sekarang dan terletak di sebelah barat Masjid Qiblatain. Sekarang ia terkenal dengan nama Bi’r Usman atau Telaga Usman.

Yang dimaksudkan dengan tentera ‘usrah pula ialah tentera-tentera yang terlibat dalam perang Tabuk.

Dalam kedua-dua urusan ‘pembelian’ syurga ini, serta urusan-urusan ‘pembelian’ syurga yang lain, Syaidina Usman menggunakan kaedah yang jarang dilakukan oleh orang lain… iaitu dengan ‘jihad harta’.

Syaidina Usman salah seorang yang dijamin masuk syurga…seorang sahabat yang dimalui oleh para malaikat…

Kalau Syaidina Usman r.a membeli syurga dengan ‘jihad harta’ dan cara-cara lain yang banyak, maka bagaimana dengan dirimu wahai teman…dengan apakah anda membeli syurga?

Monday 30 May 2011

Zuhud : Pra syarat tajdid & mujaddid!*


Maulana An-Nadawi (wafat 1999)

Dewasa ini, agak ramai yang bercakap tentang tajdid. Tapi, tidak semua yang mewar-warkan tajdid, mampu melakukan tajdid!
Kebanyakan mereka yang melaungkan tajdid itu memiliki idea, daya intelektual dan keberanian, namun mengapa mereka masih gagal mencetuskan tajdid yang mampu mengubah keadaan dan menggugat zaman?
Persoalan ini telah dibongkar oleh Maulana Abu Hasan al-Nadawi yang menelusuri denai-denai sejarah tajdid sepanjang sejarah Islam.
Beliau memulakan bicaranya dengan sorotan ke atas keperibadian tokoh tajdid terkenal Islam, Imam Ahmad bin Hambal radiallah 'anhu.
Beliau menitipkan...
“Ayah kepada Imam Ahmad, Hanbal,  pernah bercerita tentang anaknya itu. “Jarang sekali Ahmad meminjam sesuatu dari rumah kami dan rumah anaknya”, kata Hanbal.
Imam Ahmad & harta bersumberkan pemerintah
 Apabila harta yang bersumberkan dari harta  Sultan mula memasuki rumah kami, Ahmad tidak lagi meminjam dari kami”, sambung Hanbal.
Sebenarnya, Imam Ahmad tidak mengatakan harta-harta yang bersumberkan sultan (pemerintah) itu haram. Cuma, beliau berpendapat, ia diambil secara tidak halal dan hak-hak orang-orang Islam masih 'bergantungan' dengan harta-harta itu.
Justeru itu, beliau mengelak dari mengambilnya.
Pernah suatu ketika, Imam Ahmad berpesan kepada anak-anaknya, “janganlah kamu mengambilnya (harta-harta yang bersumberkan sultan) sedangkan perbatasan terbiar dan tidak diisi (dengan tentera yang berkawal) serta fai (harta awam) pula tidak dibahagikan kepada mereka yang berhak”.
Di sini, kita berhenti sejenak untuk bertanya, mengapakah begitu berhalus sekali Imam Ahmad dalam soal ini? Mengapakah begitu 'keterlaluan' pendiriannya?.
Izinkanlah aku berkata, andainya tanpa ketegasan seperti ini, kiranya tiada keberhalusan dalam zuhud dan berpaling dari harta-harta sultan (pemerintah)...
Jikalau tiada penjagaan yang sungguh-sungguh terhadap manhaj kehidupan yang dipegang kejap oleh Imam Ahmad ini...
Jikalau tanpa semua ini, nescaya beliau tidak akan berupaya 'menderhakai' negaranya yang kuat dan membebaskan diri dari cengkamannya...
Nescaya, beliau tidak berkemampuan menjelmakan peranannya yang hebat dalam sejarah gerakan islāh (pemurnian), tajdid (pembaharuan) dan mempertahankan agama.
Beliau juga tidak akan mampu memberikan kesan sebegini besar ke atas minda manusia dan jiwa mereka...
Peranan zuhud dalam gerakan tajdid
Beliau tidak akan memiliki kekuatan untuk berdiri sebagai bukit yang tegap dan kejap dalam arus yang menghanyutkan perwira dan menggoncangkan bukit bukau!
Sesungguhnya, kita telah menyaksikan bahawa kezuhudan dan tajdid sentiasa bergandingan dalam sejarah Islam.
Justeru, kita tidak pernah mengenali mana-mana tokoh yang berjaya mengubah arus, merubah perjalanan sejarah, meniupkan ruh dan semangat baru dalam masyarakat Islam, atau membuka era baru dalam sejarah Islam...
Serta meninggalkan perbendaharan ilmu, pemikiran dan keagamaan yang kekal, yang berterusan selama berkurun-kurun lamanya memberi kesan ke atas minda dan pemikiran manusia dan 'menguasai' bidang keilmuan dan moral...
Melainkan tokoh tersebut mempunyai sentimen kezuhudan, penundukan nafsu syahwat dan penguasaan ke atas sifat cintakan kebendaan dan penguasa-penguasanya.
Barangkali, rahsia kepada hakikat sejarah ini ialah kerana zuhud memberikan kepada manusia kekuatan melawan, bergantung kepada potensi diri dan akidah, memandang remeh kepada 'wira-wira' kebendaan, 'pemabuk-pemabuk' nafsu syahwat dan 'tawanan-tawanan' nafsu perut.
Lantaran itu, kamu melihat ramai cendiakawan dan cerdik pandai dari kalangan pelbagai bangsa, mereka adalah orang-orang yang zuhud dalam kehidupan, golongan yang 'memberontak' ke atas nafsu syahwat, berada jauh dari raja-raja, pemerintah-pemerintah dan orang-orang kaya di zaman mereka.
Ini kerana, kezuhudan akan membangkitkan dalam jiwa kekuatan-kekuatan yang terpendam, menyalakan bakat dan kebolehan serta menyalakan ruh dan semangat.
Sedangkan keselesaan dan 'kemanjaan' akan 'membodohkan' perasaan, menidurkan jiwa dan mematikan hati…”
Kepada yang mahu mencetuskan tajdid dan merubah sejarah, inilah jalannya…
*Tajuk asal artikel ini ialah 'kezuhudan di dunia dan hubungannya dengan islāh dan tajdid’. Artikel ini adalah terjemahan daripada buku 'Rijāl al-Fikr Wa al-Da’wah’ karangan Maulāna al-Nadawi, juzuk 1, hlm. 104-105

[Santai Ilmi] 3 soalan rumit dijawab hanya dengan sekepal tanah!

Suatu ketika, ada seorang alim tinggal menyendiri di kebun miliknya. Perihalnya yang mengasingkan diri dari orang ramai itu diketahui oleh tiga lelaki nakal.

Mereka bersepakat pergi menemui si alim itu untuk berdebat. Tujuan mereka berdebat hanyalah untuk mempermainkan-mainkannya.

Sebaik sahaja sampai di kebun tersebut, salah seorang dari mereka terus bertanya si alim : "Kamu berkata bahawa Allah itu wujud. Jika demikian, aku minta kamu memperlihatkan Allah kepadaku. Aku mahu melihat Allah".

Jawab si alim : "Baiklah".

Kemudian, seorang lagi tampil bertanya : "Kamu mengatakan, setiap yang derhaka akan diazab di akhirat kelak dengan api neraka.

Jika begitu, bagaimana jin yang derhaka boleh di azab dengan api, sedangkan ia sendiri dijadikan daripada api?".

Setelah itu, giliran lelaki yang ketiga pula mengemukakan soalan. Dia bertanya si alim : "Kamu mengatakan, semua perkara berlaku mengikut qada’ dan qadar yang ditentukan Allah.

Jika benar begitu, maka manusia tidak akan dihukum di atas segala perbuatannya samada baik atau buruk (sebab semuanya telah ditentukan oleh Allah)?".

Setelah mendengar ketiga-tiga soalan tadi, tanpa berkira panjang, si alim terus menggenggam sekepal tanah, lalu melemparkannya ke muka ketiga-tiga lelaki tadi seraya berkata : "Nah, inilah jawapanku kepada soalan-soalan kamu tadi!".

Ketiga-ketiga lelaki tadi berang.Tanpa berlengah lagi, mereka terus membawa si alim tadi ke mahkamah.

Hakim bertanya kepada si alim : "Benarkah kamu telah melemparkan tanah ke muka mereka?". Si alim menjawab : "Benar". Hakim bertanya : "Mengapa kamu berbuat demikian?".

Si alim menjawab : "Kerana salah seorang daripada lelaki ini meminta aku memperlihatkan kepadanya Allah, kerana katanya Allah itu wujud. Maka katanya, setiap yang wujud mestilah boleh dilihat.

Maka, saya minta tuan hakim memerintahkannya menunjukkan kepada saya, rupa kesakitan yang disebabkan tanah yang saya lemparkan ke mukanya, nescaya saya akan tunjukkan apa yang dia kehendaki".

Hakim bertanya kepada si lelaki : "Bolehkah engkau memperlihatkan kepadanya rupa rasa sakit itu?".

Si lelaki menjawab : "Tidak". Maka si alim terus berhujjah : "Jika demikian, engkau hendaklah sedar, bahawa tidak semua yang wujud itu boleh dilihat".

Si alim meneruskan ceritanya kepada tuan hakim. Beliau berkata : "Adapun si lelaki yang kedua, dia mempersoalkan bagaimana jin boleh diazab dengan api pada hari kiamat kelak, kerana katanya tidak mungkin sesuatu yang berasal dari api, diazab dengan api.

Maka, saya  minta tuan hakim katakan kepadanya : "jika benarlah apa yang didakwanya, mengapa dia merasa sakit bila dilempari dengan tanah, sedangkan dia manusia dan manusia pula diciptakan dari tanah?".

Si lelaki terdiam.

Seterusnya, si alim menceritakan perihal lelaki yang ketiga. Beliau berkata :"Adapun lelaki yang ketiga, dia bertanya kepadaku tentang qada’ dan qadar.

Dia berkata kepadaku, manusia terpaksa melakukan segala perbuatannya kerana telah ditentukan oleh Allah.

Jika demikianlah kedudukannya, maka aku sebenarnya terpaksa melemparinya dengan tanah kerana semua itu telah ditentukan Allah. Kalau begitu, mengapa dia mendakwaku di mahkamah?".

Ketiga-tiga lelaki tertunduk malu. Menyesal kerana tersalah sangka. Si alim disangka biasa. Rupa-rupanya, hatinya jaga, akalnya bergeliga!

Sunday 29 May 2011

Penghijauan Bumi : Idea Islam tersembunyi di sebalik tirai minda tradisi

"Maklumat di depan kita berlambak-lambak. Tetapi kita gagal menggunakannya untuk berfikir", demikian lebih kurang bunyinya rungutan Prof. Diraja Engku Aziz.

Lambakan maklumat sebenarnya bukan bermula pada zaman internet ini. Tapi, dalam konteks umat Islam, ia telah lama berlaku. Iaitu sejak turunnya al-Quran dan dibukukan hadis-hadis Nabi s.a.w.

Sayangnya, umat Islam pada zaman kemalapan, gagal 'memerah' pusaka Nabi Muhammad s.a.w yang banyak itu untuk mengeluarkan idea dan mencetus pemikiran baru.


Mari kita lihat satu hadis Nabi s.a.w.

Sabda Nabi s.a.w, "sesiapa yang menebang pohon bidara, Allah akan humban kepalanya dalam neraka".

Hadis ini diriwayatkan Abu Daud dalam Sunannya dan Baihaqi juga dalam Sunannya. Hadis ini disebut dalam Sahih al-Jami’ al-Soghir (Koleksi Hadis Sahih al-Jami’ al-Soghir).

Abu Daud ada menjelaskan maksud 'pohon bidara' dalam hadis di atas. Beliau berkata, "maksudnya, sesiapa yang menebang pohon bidara [yang tumbuh] di padang pasir-tanpa sebarang tujuan dan secara 'zalim'- [yang boleh dijadikan tempat] berteduh di bawahnya oleh orang musafir dan binatang".

Pohon bidara sejenis tumbuhan yang tumbuh di padang pasir. Ia tahan hidup di tempat kering dan panas.

Dalam konteks masyarakat Arab zaman silam, ia tempat berteduh daripada kepanasan matahari ketika mereka merentasi padang pasir. Samada bagi tujuan bermusafir ataupun mencari rumput dan kawasan meragut untuk binatang mereka. Selain tempat berteduh, buahnya juga boleh dimakan.

Hadis ini sebenarnya sumber maklumat yang boleh dicanai daripadanya idea bernas dan segar. Ia bukan setakat sumber hukum syarak. Iaitu larangan memusnah apa yang menjadikan kegunaan orang ramai.

Malangnya, minda kita secara tradisinya melihat hadis-hadis Nabi s.a.w hanya sebagai sumber hukum. Lantas, bila berhadapan dengan hadis-hadis Nabi s.a.w, kita akan segera berfikir bagi mencari apa mesej hukum yang ada.

Bila hukum sudah dapat ditemui dan dikeluarkan, kita akan berhenti berfikir tentang hadis-hadis itu.

Pemikiran yang melihat hadis-hadis Nabi hanya sebagai sumber hukum syarak, menyebabkan idea dan pemikiran yang terkandung di dalamnya terus terpendam dan tersembunyi.

Kalau kita merenung hadis ini hingga ke 'dasar'nya...kalau kita melihatnya dari pelbagai dimensi...kalau kita menelusurinya hingga ke 'akar'nya, kita akan dapati hadis ini sebenarnya telah mendahului Barat dalam soal pemuliharaan alam sekitar.

Sejak dahulu lagi, sejak 'zaman unta' lagi, Nabi Muhammad s.a.w melarang penebangan hutan secara semberono.

Di sana sini, aktivis-aktivis Barat bercempera memperjuangkan pemuliharaan hutan. Apa yang mereka baru 'kalut'kan itu di zaman kini, sebenarnya telah lama tertera dalam khazanah pemikiran Islam!

Persoalannya, jika idea 'pemuliharaan alam sekitar' telah lama digagaskan oleh Nabi s.a.w melalui hadis ini, mengapa umat Islam gagal mencungkilnya?

Mengapa bila orang-orang Barat sibuk bercakap tentang pemuliharaan alam sekitar, mereka menerima idea ini sebagai satu idea baru? Melihatnya sebagai idea cetusan tamadun Barat?

Tentunya banyak sebab. Tetapi, sebab yang dirasakan penting ialah persepsi umat Islam masa kini terhadap hadis-hadis Nabi dan nas-nas al-Quran. Mereka hanya melihatnya sebagai sumber hukum syarak. Mereka tidak memandangnya sebagai sumber peradaban, ilmu dan tamadun.

Bagi tujuan merubah persepsi ini, Syeikh Qaradhawi mengarang sebuah buku berjudul Al-Sunnah Masdaran Li al-Ma’rifah Wa al-Hadharah (Sunnah Sebagai Sumber Ilmu dan Tamadun).

Dalam buku ini beliau menyebut beberapa contoh ilmu dan peradaban yang disebut Nabi s.a.w sejak zaman silam lagi, yang hanya baru disedari tamadun Barat zaman moden ini.

Sunnah sebagai sumber ilmu dan tamadun, menuntut umat Islam meluaskan ufuk minda mereka tatkala berhadapan dengan hadis-hadis Nabi s.a.w.

Minda tradisi yang melihat hadis-hadis Nabi melalui 'celah-celah' dinding, perlu dirubah. Ia menuntut umat Islam membuka seluas-luasnya jendela minda mereka dan melihat hadis-hadis Nabi s.aw melaluinya.

Sunnah sebagai sumber ilmu dan tamadun juga menuntut kita bebas daripada cengkaman zaman silam. Bebas daripada pemikiran zaman lampau. Bebas daripada 'budaya berfikir pada hari ini dengan otak zaman dahulu'. Atau 'berfikir menggunakan otak orang lain yang hidup pada zaman yang telah berlalu’.

Kalau ulama zaman silam memahami hadis seperti ini dalam konteks ilmu dan zaman mereka, adalah sangat tidak wajar kita pada zaman kini, zaman perkembangan ilmu dan ledakan maklumat, hanya berpada dengan pemikiran dan ilmu mereka.

Mari kita lihat satu lagi bahan fikir pusaka Nabi Muhammad s.a.w.

Baginda s.a.w bersabda, "tidak ada mana-mana muslim yang menanam satu tanaman, melainkan apa yang dimakan daripada [apa yang ditanam]nya itu, [ditulis] baginya pahala] sedekah. Apa yang dicuri daripada [apa yang ditanam]nya, [ditulis] baginya [pahala] sedekah"(riwayat Muslim).

Hadis di atas menunjukkan fadhilat bercucuk tanam atau pertanian. Hinggakan hasil tanaman yang dimakan binatang atau dicuri orang, tidak hilang begitu saja. Sebaliknya, si penanam diberikan pahala bersedekah oleh Allah.


Hanya itulah sahaja pemikiran yang boleh dirumus daripada hadis ini jika kita melihatnya hanya sebagai sumber hukum.

Tetapi, kalau kita luaskan ufuk minda…kalau kita benar-benar berfikir selari dengan peredaran zaman…kita akan mendapati, hadis ini juga membawa satu gagasan yang baru sahaja dilaungkan tamadun Barat pada zaman moden ini. Iaitulah gagasan Penghijauan Bumi.

Inilah yang difahami oleh Syeikh al-Qaradhawi seperti yang dinyatakan dalam bukunya, Al-Sunnah Masdaran Li al-Ma’rifah Wa al-Hadharah (2005, Kaherah : Dar al-Syuruq, hlm.144).

Mari kita lihat satu lagi hadis. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa seorang lelaki terserempak dengan Abu Darda’ r.a yang sedang menanam pokok di Damsyiq, Syria.

Lalu lelaki itu berkata, "Tuan buat [kerja menanam pokok] ini sedangkan tuan seorang sahabat Rasulullah?”.

Abu Darda’ menjawab, "Janganlah tuan gopoh [membuat penilaian ke] atas ku. [Kerana] aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesiapa menanam sesuatu tanaman, tidaklah makan daripada [apa yang ditanam] nya oleh manusia dan mana-mana makhluk Allah, melainkan [ditulis] baginya [pahala] sedekah".(Disebut oleh al-Munziri dalam Targhib Wa al-Tarhib dan berkata, "isnadnya hasan").

Ketika menghuraikan hadis ini, Qaradhawi berkata, Abu Darda’ telah menjelaskan bahawa "beliau telah mempelajari di madrasah nubuwwah (kenabian) [tentang sikap] mengambil berat terhadap [amalan] bercucuk tanam dan berusaha mengubah tanah yang kontang menjadi 'syurga' yang menghijau”. (Al-Sunnah Masdaran Li al-Ma’rifah Wa al-Hadharah, hlm.144)

Selaku ulama semasa yang mengembangkan ufuk minda, Qaradhawi memahami hadis ini dengan lebih jauh.

Hadis-hadis Nabi s.a.w kaya dengan khazanah ilmu dan idea. Jangan di'mandulkan'nya dengan minda tradisi!!

Syaikh Mustafa Siba'ie : Yang satu jangan jadikan dua, yang dua jangan gunakan satu!

Allah menciptakan bagi setiap insan sepasang mata…namun malangnya, kebanyakan manusia tidak melihat melainkan dengan sebiji mata!

Dia menciptakan bagi setiap insan satu lidah dan dua telinga…namun, kebanyakan manusia bercakap dengan 'dua' lidah, dan mendengar dengan 'satu' telinga!

Dia menciptakan bagi setiap insan dua tangan; satu tangan untuk ia gunakan bagi membantu dirinya; dan satu lagi tangan untuk ia membantu orang lain...

Namun malang sekali, kebanyakan manusia tidak menggunakan melainkan satu tangan!

Dia menciptakan bagi setiap insan dua kaki; satu kaki untuknya mengejar dunia; dan satu lagi kaki untuk mengejar akhirat…

Namun malang, kebanyakan manusia tidak menggunakan melainkan sebelah kaki!

Dia menciptakan bagi setiap manusia satu hati yang menanggung bebanan hidupnya yang pendek…

Namun malang, manusia sengaja mendatangkan bebanan ke atas diri mereka, yang tidak mampu ditanggung oleh beberapa hati!

Dia menjadikan bagi setiap insan satu usia, lantas manusia mensia-siakan usia, seakan-akan mereka memiliki seratus usia!

Dia telah menentukan ke atas setiap insan satu kematian, tetapi manusia membiarkan-disebabkan kejahilan-diri mereka 'mati' setiap hari!

*****
Indahnya kata-kata...alangkah mendalamnya pengamatan penuturnya...Ya, penuturnya adalah Syaikh al-Mujahid al-Faqih, Dr. Mustaffa Siba'ie rahimahullah dalam karyanya, Hakaza 'Allamatni al-Hayah.
 
Semua orang tahu manusia memiliki sepasang mata, dua kaki dan tangan, dua telinga...
 
Semua orang tahu manusia dianugerahi satu lidah, satu hati, satu usia dan satu kematian...
 
Namun, tidak ramai yang mampu mencungkil makna dan pengamatan di sebaliknya...
 
Semoga Allah merahmatimu wahai Syaikh al-Mujahid al-Faqih...