Friday 20 July 2012

Amaran keras kepada yang gagal di bulan Ramadhan!


Sedarkah kita semua akan satu nikmat yang sangat besar dikurniakan Allah kepada kita?

Bulan Ramadhan datang berkunjung, sedang kita masih lagi bernyawa…

Itulah nikmat yang sangat besar…

Kesempatan bertemu bulan Ramadhan buat kesekian kali, menganugerahkan kita peluang besar untuk mendahului orang lain ke syurga.

Dengarkanlah perkhabaran seorang sahabat Nabi s.a.w, Talhah bin Ubaidillah r.a.

عن طلحةَ بنِ عبيد الله : أن رجلَيْن من بَلِي - و هو حي من قضاعة - قتل أحدُهما في سبيل الله، وأُخِّر الآخرُ بعده سنةً ثم مات، قال طلحة رضي الله عنه: فرأيْتُ في المنام الجنةَ فُتحتْ، فرأيْتُ الآخِرَ من الرجلَيْن دخل الجنةَ قبل الأول، فتعجبْتُ. فلما أصبحْتُ ذكرْتُ ذلك، فبلغتْ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم، فقال لي رسولُ الله صلى الله عليه وسلم :"أليس قد صام بعده رمضان و صلى بعده ستة آلاف ركعة، وكذا وكذا ركعة لصلاة السنة؟" .

Terjemahan : Dari Talhah bin Ubaidillah r.a [beliau menceritakan bahawa] dua orang lelaki [berasal] dari Baliy-sebuah penempatan dari [suku] Qudha’ah-telah dibunuh salah seorang daripada mereka pada jalan Allah.

Sementara seorang lagi ditangguhkan [ajalnya oleh Allah] selama setahun selepasnya, kemudian beliau pun mati. Talhah r.a berkata, “aku melihat dalam tidur akan syurga yang dibuka [pintunya].

Aku melihat [lelaki] yang terakhir [mati] dari kedua-dua lelaki tadi, masuk syurga [terlebih dahulu] sebelum lelaki yang pertama [yang terlebih dahulu mati].

Lantas aku merasa hairan [kerana orang yang mati biasa, memasuki syurga terlebih dahulu berbanding orang yang mati syahid]. Tatkala waktu pagi, aku menyebut perkara itu dan ia [kemudiannya] sampai kepada Rasulullah s.a.w.

Lantas Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku, “bukankah dia [lelaki yang mati kemudian] telah berpuasa Ramadhan selepasnya (lelaki yang mati terlebih dahulu) dan bersolat selepasnya [sebanyak] 6,000 rakaat  dan  sekian banyak rakaat solat sunat?”.

Menurut Albani dalam Silsilah al-Sahihah, jil. 6, ms.176, hadis ini hadis sahih.

Peluang

Sesungguhnya, kehadiran Ramadhan adalah peluang yang tidak kepalang besarnya…

Peluang untuk diampunkan segala dosamu…

Peluang untuk dibebaskan tengkukmu dari api neraka…

Lantaran, pada setiap malam Ramadhan, ada yang akan dibebaskan daripada api neraka.

Justeru, layaklah orang yang sempat menemui Ramadhan, tetapi tidak diampunkan dosa-dosanya-lantaran alpa dan lalai-didoakan kecelakaan untuknya oleh malaikat Jibril, dan diaminkan oleh Nabi Muhammad s.a.w!

Ya Allah…doa yang sangat ‘dahsyat’…                

Doa yang dilafazkan oleh bukan sahaja seorang malaikat, tetapi malaikat yang paling hampir dengan Allah.

Lebih menggerunkan, diaminkan oleh makhluk yang paling mulia di sisi Allah, Muhammmad s.a.w!

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم صعِد المنبرَ فقال : "آمين آمين آمين"،
قيل : "يا رسولَ الله، إنك صعدْتَ المنبرَ فقلتَ : "آمين آمين آمين". فقال : "إن جبريل عليه السلام أتاني فقال : "من أدرك شهرَ رمضان فلم يُغفَرْ له فدخل النار فأبعده الله،
قل : آمين" فقلتُ : "آمين"

Terjemahan : Dari Abu Hurairah r.a [beliau bercerita] bahawa Rasulullah s.a.w menaiki mimbar, lantas berkata, “amin, amin, amin”.

Dikatakan [kepada Baginda] , “wahai Rasulullah, Tuan telah menaiki mimbar lantas Tuan berkata, “amin, amin, amin”.

Lantas Baginda [menjelaskan dengan] berkata, “sesungguhnya Jibril a.s datang menemuiku lalu berkata, “sesiapa yang menemui bulan Ramadhan, tetapi tidak diampunkan baginya [dosa-dosanya], maka masuk neraka dan Allah menjauhkannya. Katakanlah “amin” [wahai Muhammad]. Maka aku pun berkata, “amin”.

Menurut Albani (Sahih al-Targhib Wa al-Tarhib, jil.2, ms.138), hadis ini bertaraf ‘hasan sahih’, dan direkodkan oleh Ibnu Khuzaymah dan Ibnu Hibban dalam Sahihnya.

Kalau tidak di Ramadhan, bilakah lagi?

Kalau kita masih tidak diampunkan di bulan Ramadhan, maka bilakah lagi?

Andai kita masih belum mampu ‘memasuki’ syurga di bulan Ramadhan, sedang pintunya terbuka luas di bulan ini, maka bilakah lagi?

Jika leher kita masih belum dibebaskan daripada neraka di bulan Ramadhan, sedang setiap hari di bulan ini adalah peluang untuk bebas daripada api neraka, maka bilakah lagi?

Justeru, jangan sekali-kali dirosakkan puasa dan ibadat dengan maksiat.

Sebaliknya,hormatilah bulan ini selayaknya dan ketahuilah nilai hari-hari Ramadhan yang terbatas ini...

Kerana barangkali ditulis bagi anda kebebasan daripada api neraka di bulan yang mulia ini, maka berjayalah anda dengan kejayaan yang besar…

Barangkali juga Ramadhan ini menjadi peluang terakhir anda…

Berapa ramai orang yang dahulunya bersama kita di Ramadhan yang lepas, tetapi tidak lagi bersama kita di Ramadhan kali ini.

Rebutlah Ramadhan, janganlah mengsia-siakannya...

Wednesday 18 July 2012

Hukum ucap salam dengan 'salam', ganti 'assalamualaikum'


Seorang sahabat saya bertanya tentang hukum berkaitan ucapan salam. Iaitu, bolehkah digunakan lafaz 'salam' (سلام), bukannya 'assalamualaikum', ketika memberi salam.

Katanya, ada sesetengah ustaz mengambil sikap agak 'keras' berhubung soal ini. Menurutnya, ustaz tersebut berkata, beliau tidak akan menjawab salam orang yang memberi salam dengan lafaz 'salam'.

Seperti biasa, persoalan ini akan ditinjau melalui jendela Mazhab Syafie. Pandangan mazhab-mazhab lain, hanya akan disebut jika ada keperluan.

Dalam kitab al-Majmu', Imam Nawawi radhiyallahu 'anhu ada menyebut lafaz yang minima bagi ucapan salam. Beliau mencatatkan (al-Majmu', jil.4, ms.596) :

وأما أقل السلام ابتداء كأن يقول "السلام عليكم" أو "عليك" ان كان وحده أو "سلام عليكم" أو "عليك". ولو قال "عليكم السلام" فوجهان (أحدهما) أنه ليس بتسليم، وبه قطع المتولي (والثانى) وهو الصحيح أنه تسليم يجب فيه الجواب، وبه قطع الواحدى وإمام الحرمين وغيرهما، ولكن يكره الابتداء به، صرح بكراهته الغزالي في الاحياء. ودليله الحديث الصحيح عن أبى جرئ بضم الجيم تصغير جرو رضي الله عنه قال : "قلت : عليك السلام يا رسول الله. قال : لا تقل "عليك السلام" فان "عليك السلام" تحية الموتى. رواه أبو داود والترمذي وغيرهما بالاسانيد الصحيحة، قال الترمذي : حديث حسن صحيح.

Terjemahan : Adapun [lafaz] paling pendek bagi memulakan [ucapan] salam [adalah dengan seseorang] berkata "assalamu 'alaikum" (السلام عليكم) atau "[assalamu] 'alaika" (السلام عليك) jika [orang yang diucapkan salam kepadanya] seorang [individu tunggal]. Atau pun [dengan berkata] "salamun 'alaikum" (سلام عليكم) atau "[salamun] 'alaika" (سلام عليك) [jika orang yang ditujukan kepadanya salam adalah individu tunggal].

Jika [orang yang memulakan salam] berkata [ketika memberi salam] "'alaikumussalam" (عليكم السلام), maka [ada] dua pendapat, salah satunya, [lafaz ini] sesungguhnya tidak [dikira sebagai ucapan] salam. [Pendapat] ini diputuskan oleh al-Mutawalli.

[Pendapat] kedua, dan ia adalah [pendapat] yang sahih, [lafaz ini] sesungguhnya [dikira sebagai ucapan] salam [dan] wajib dijawab. [Pendapat] ini diputuskan oleh al-Wahidy, Imam al-Haramain dan lain-lain. Tetapi, makruh memulakan [salam] dengannya. [Imam] al-Ghazali menyatakan dengan jelas 'kemakruhan'nya dalam Ihya' [Ulumiddin].

Dalilnya [ialah] hadis sahih [yang diriwayatkan] daripada Abu Juri' [bahawa beliau] berkata : Aku berkata "'alaikassalam wahai Rasulullah. [Nabi saw] bersabda : Janganlah kamu berkata "'alaikassalam" [kerana] sesungguhnya [ucapan] "'alaikassalam" adalah [ucapan] penghormatan [kepada] orang-orang mati.

[Hadis ini] diriwayatkan oleh Abu Dawud, Tirmizi dan lain-lain dengan sanad-sanad yang sahih. Tirmizi mengatakan, "[hadis ini] hadis hasan sahih".

Lafaz salam minima

Kenyataan Imam Nawawi di atas merumuskan, lafaz ucapan salam yang paling minima ialah :

1. السلام عليكم/عليك atau dibuang ال daripada perkataan السلام menjadi سلام عليكم/عليك.
2. عليكم السلامWalau bagaimana pun, menggunakan lafaz ini bagi memulakan salam, menurut pendapat yang sahih, adalah makruh. Namun, wajib dijawab salam orang yang memberi salam dengan menggunakan lafaz ini.

Ringkasnya, dalam Mazhab Syafie, lafaz ucapan salam yang paling minima, dan wajib dijawab, hanyalah 3, iaitu :

1. السلام عليكم/عليك
2. سلام عليكم/عليك
3. عليكم السلام/عليك السلام

Justeru, ucapan salam dengan perkataan سلام (salam) atau السلام (as-salam) sahaja, tidak dikira sebagai ucapan salam. Ini kerana, ungkapan 'salam' atau 'as-salam' tidak mengcukupi kadar minima lafaz ucapan salam yang dinyatakan. Oleh itu, tidak wajib menjawab salam yang hanya menggunakan lafaz 'salam' sahaja.

Demikian pandangan Mazhab Syafie berhubung perkara ini.

Antara ulama yang menyatakan dengan jelas bahawa ungkapan 'salam' atau 'as-salam' tidak dikira sebagai ucapan salam, ialah Syaikh al-'Adawi, seorang ulama bermazhab Maliki.

Dalam karyanya, Hasyiah al-'Adawi 'Ala Syarh al-Kifayah al-Talib al-Rabbani, beliau mencatatkan (jil.8, ms.196) :
ويجوز الابتداء بلفظ الرد والرد بلفظ الابتداء ولا يجزئ السلام فقط بدءا وردا

Terjemahan : "Harus memulakan [salam] dengan lafaz menjawab [salam], dan [harus] menjawab [salam] dengan lafaz memulakan [salam], dan tidak memadai [lafaz] 'salam' sahaja bagi memulakan salam dan menjawab [nya]".

Dalil

Imam Nawawi tidak pula menyatakan secara jelas dalil kepada kenyataan beliau berhubung lafaz salam yang minima itu. Namun, daripada catatan beliau dalam Syarh Sahih Muslim (jil.14, ms.140), dapat disaring bahawa dalilnya ialah 'berpada dengan sunnah dalam soal ibadat'.

Justeru ucapan salam merupakan ibadat, maka lafaz yang digunakan bagi mengucapkan salam, mestilah menurut pengamalan Nabi saw dan perakuan Baginda s.a.w. Lafaz salam yang paling minima yang diperakui oleh Nabi s.a.w ialah 3 lafaz yang dinyatakan.


Berhubung lafaz 'assalamu 'alaikum' (السلام عليكم), dalil ia harus digunakan ialah :

عن عمران بن حصين رضي الله عنهما قال : جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال : السلام عليكم، فرد عليه ثم جلس، فقال النبي صلى الله عليه وسلم : عشر

Terjemahan : Daripada Imran Ibn Husain r.a [beliau] berkata : "Seorang lelaki datang [menemui] Nabi saw lantas berkata "assalamu 'alaikum". Lalu Nabi s.a.w menjawab [salamnya]. Kemudian si lelaki duduk. Lalu Nabi s.a.w bersabda, [baginya] sepuluh [kebaikan]".

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmizi. Imam Tirmizi menilainya sebagai hadis hasan.

Manakala lafaz سلام عليكم (salamun ‘alaikum) ia harus digunakan ketika memberi salam kerana tanwin pada huruf 'mim', berfungsi sebagai ganti kepada أل yang dibuang.

Dalil kepada keharusan penggunaan lafaz السلام عليك (assalamu ‘alaika) jika orang yang diberi salam adalah seorang individu tunggal, ialah ucapan salam kepada Nabi s.a.w yang diucapkan setiap muslim ketika membaca tasyahhud iaitu السلام عليك أيها النبي.

Manakala keharusan penggunaan lafaz عليكم السلام (‘alaikumussalam) tetapi makruh, dalilnya ialah hadis Ibn Juri' yang dinyatakan Imam Nawawi.

Pendapat Ibn Bazz

Walau bagaimanapun, ada ulama masa kini yang mengharuskan penggunaan lafaz 'salam' ketika memberi salam, iaitu Syaikh Ibn Bazz, bekas Mufti Arab Saudi.

Beliau berkata dalam Fatawa Nur 'Ala al-Darb :

ويكون السلام بلفظ التعريف: السلام عليكم، أو السلام عليك، ويجوز أن يكون بلفظ سلام عليك، وإن اقتصر على قوله: السلام، فلا بأس، فإن إبراهيم عليه الصلاة والسلام لما رد السلام على الملائكة حين قالوا: سلاما، قال: سلام أي عليكم سلام، وكذلك الابتداء يقول المسلم: سلام يعني سلام عليكم، أو السلام، يعني السلام عليكم، ولا بأس في هذا.

Terjemahan : [Ucapan] salam [dibolehkan] dengan lafaz khusus [iaitu] 'assalamualaikum' (السلام عليكم) atau 'assalamu 'alaika' (السلام عليك). Harus juga [memberi salam] dengan lafaz 'salamun 'alaika' (سلام عليك).

Jika [orang yang memberi salam] berpada dengan berkata 'assalam' (السلام), maka tidak mengapa kerana [Nabi] Ibrahim s.a.w ketika menjawab salam para malaikat yang mengucapkan [kepadanya] 'salama' (سلاما), [Baginda s.a.w] menjawab [dengan berkata], 'salam' (سلام), maksudnya ''alaikum salam' (عليكم سلام).

Demikian juga [ketika] memulakan [salam], seseorang muslim [boleh] berkata, 'salam' (سلام) yang maksudnya 'salamun alaikum' (سلام عليكم), atau [boleh juga berkata] 'assalam' (السلام) yang bermaksud 'assalamualaikum' (السلام عليكم). [Lafaz-lafaz ini] tidak ada masalah dalam soal ini".

Ini bermakna, menurut pandangan al-Allamah Syaikh Ibn Bazz, lafaz 'assalam' (السلام) atau 'salam' (سلام) boleh digunakan bagi memberi dan menjawab salam.

Kesimpulan

Namun, jika dilihat kepada kedudukan ucapan salam, iaitu satu perlakuan ibadat, dan prinsip dalam ibadat ialah ‘mengikut apa yang datang dari Nabi s.a.w’, boleh dirumuskan bahawa ucapan salam yang paling minima seperti yang dinyatakan, merupakan syariat Nabi Muhammad s.a.w berhubung soal ucapan salam ini.

Wallahu a’lam.

Wednesday 11 July 2012

Bila Ikhwan dan Salafiyyah 'menyusahkan' Morsi...


Mohammad Morsi

Dalam satu tulisan, penulis terkenal Mesir, Fahmy Huwaidy mencatatkan 3 masalah utama mendepani Presiden baru Mesir, Dr. Mohammad Morsi. 

Menariknya, salah satu daripada 3 masalah itu, dicetuskan golongan islamis sendiri!

Dua lagi masalah berbaki ialah masalah yang dicetuskan ahli-ahli politik, dan masalah sedia ada dalam masyarakat Mesir.

Logiknya, golongan islamis tidak akan menjadi masalah kepada Morsi. Ini kerana, Presiden baru Mesir itu juga seorang islamis. Namun, logik ini nampaknya tidak menjelma di pentas realiti negara yang dijulang rakyatnya sebagai Ummu al-Dunya itu.

Islamis menjadi masalah kepada Morsi yang juga seorang islamis!

Ini yang cuba disampaikan oleh Huwaidy, yang juga seorang islamis dalam blog beliau. Sesetengah orang menyifatkannya sebagai al-mufakkir al-islami, atau pemikir Islam.

Ikhwan dan Salafi

Pada hemat beliau, sebahagian daripada masalah ini puncanya ialah pergerakan Ikhwanul Muslimin (IM) sendiri, pergerakan yang melahirkan sahsiah Mohammad Morsi.

Sebahagian lagi masalah, terbit daripada aliran Salafiyyah, salah satu aktor politik yang dominan di pentas siasah negala perlembahan Nil itu.

IM menjadi masalah kepada Morsi disebabkan prinsip 'pengasingan antara parti politik dan sektor dakwah', masih belum kemas tersemat di kalangan kepimpinan IM.

Keadaan ini menyebabkan kepimpinan IM, yang disifatkan sebagai sektor yang berkecimpung dalam bidang dakwah dan tarbiyah, campur tangan dalam soal politik semasa Mesir, yang merupakan bidang tugas parti politik kelolaannya, iaitu Hizb al-Hurriyyah Wa al-'Adalah (FJP).

Dalam konteks gerakan Islam yang mempraktikkan konsep pengasingan aktiviti politik dari kegiatan dakwah dan tarbiyah seperti IM, dapat dibayangkan saiz masalah yang timbul, apabila sektor dakwah dan tarbiyah campur tangan dalam soal politik.

Bebanan masalah yang bakal ditanggung Morsi makin menekan, apabila aliran Salafiyyah tidak ketingggalan dalam 'menyumbang' masalah kepada Presiden baru Mesir itu.

Menurut Huwaidy, aliran Salafiyyah di Mesir mempunyai pandangan yang pelbagai. Namun, kebanyakan mereka bersepakat dalam soal perlaksanaan Syariat Islam. Tapi, menurut beliau, kefahaman mereka tentang konsep 'perlaksanaan Syariat', adalah kefahaman yang sempit.

Kefahaman yang sempit tentang perlaksanaan Syariat ini tidak mampu 'ditelan' dan ditanggung oleh masyarakat Mesir pada masa kini. Demikian penegasan Huwaidy. Sumber : fahmyhoweidy.blogspot.com

Kefahaman sempit Islam

Beliau tidak pula menghuraikan lebih lanjut kefahaman sempit tentang perlaksanaan Syariat itu.

Namun, dalam tulisannya yang lain, boleh difahami bahawa 'kefahaman yang sempit' tentang perlaksanaan Syariat itu, ialah 'mengurung' Syariat Islam dalam skop penampilan luaran dan tatacara agama tertentu. Disamping kefahaman yang sangat ringkas tentang peranan agama, serta kealpaan tentang realiti dan awlawiyyat semasa. Sumber : fahmyhoweidy.blogspot.com 

Kefahaman yang sempit tentang perlaksanaan Islam ini, akan menjadi masalah kepada Morsi. Morsi selaku seorang presiden, tentunya memahami keperluan rakyatnya yang sejak sekian lama hidup dalam kemiskinan, terkongkong dan terkebelakang dalam banyak segi.

Di saat soal keperluan asas-yang hakikatnya adalah tuntutan dan maqasid Islam yang besar-belum selesai, desakan perlaksanaan Syariat dengan maknanya yang sempit, tentunya sukar diterima kebanyakan rakyat Mesir.

Morsi akan tersepit antara kewajipan memenuhi keperluan dharuriy rakyat dan desakan perlaksanaan Islam secara cetek oleh sesetengah aliran Salafiyyah. Keadaan ini akan mencetuskan masalah buat Morsi.

Saiz masalah yang dicetuskan oleh golongan islamis ini kian membesar, apabila satu lagi gerakan Islam iaitu Hizb al-Tahrir, turut 'menyuntik' masalah.

Menurut Huwaidy, bilangan anggota pergerakan yang menolak sistem demokrasi ini, memang kecil. Namun, laungan lantang mereka tentang kewajipan mengembalikan Sistem Khilafah, dalam suasana tidak menentu di Mesir waktu ini, berpotensi besar dalam mencetuskan kegemparan dan kegelisahan dalam masyarakat Mesir.

Bukan sekadar itu sahaja. Laungan Hizb al-Tahrir ini juga memberi modal percuma kepada pihak-pihak berkepentingan, untuk menakut-nakutkan rakyat Mesir dengan kepimpinan islamis yang diterajui Morsi. Sumber : fahmyhoweidy.blogspot.com 

Kemenangan Morsi dalam Pilihanraya Presiden baru-baru ini dengan majoriti tipis-yang ditafsirkan sebagai petunjuk kepada ketakutan sebilangan besar rakyat Mesir terhadap penguasaan islamis ke atas politik Mesir-mengesahkan potensi laungan pergerakan radikal itu, dalam membenihkan rasa takut rakyat Mesir terhadap kepimpinan Morsi.

Pengajaran untuk Malaysia

Sebagai persediaan awal, gerakan dan NGO Islam Malaysia, perlu berusaha dari sekarang bagi mencapai kata sepakat dalam memahami erti perlaksanaan Syariat Islam, dan kaedah perlaksanaan hudud dalam realiti semasa Malaysia. Juga dalam menentukan awlawiyyat rakyat Malaysia masa kini dan akan datang.

Adakah perlaksanaan Syariat Islam itu bermakna perlaksanaan hudud-yang merupakan satu juzuk yang kecil dalam Syariat Islam-atau perlaksanaan kesemua ajaran Islam, yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia.

Adakah perlaksanaan hudud berada pada anak tangga pertama dalam agenda perlaksanaan Islam, atau ia merupakan fasa terakhir dalam agenda tersebut memandangkan ayat-ayat yang mewajibkan perlaksanaannya, merupakan antara ayat-ayat terakhir diturunkan?

Kesemua persoalan ini dan seumpamanya, perlu dirungkai, agar apabila golongan islamis berpeluang menerajui negara, persoalan ini tidak akan menjadi masalah dan beban kepada kepimpinan waktu itu, tidak sebagaimana yang berlaku di Mesir pada masa ini.

Saturday 7 July 2012

Sistem kuota IPTA dari jendela Maqasid Syariah


Seorang sahabat FB saya bertanya tentang sistem kuota kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Berdasarkan sistem ini, sejumlah besar tempat di IPTA diperuntukkan kepada pelajar Bumiputera. Selebihnya, diperuntukkan kepada bukan Bumiputera. Ertinya, pembahagian tempat di IPTA kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera, dilakukan secara tidak seimbang.

Soalnya, apakah sistem ini bertepatan dengan ajaran Islam. Itulah soalan utama berhubung sistem kuota yang dikemukakan rakan FB saya itu.

Sebab sistem kuota diperkenal

Bagi menjawab persoalan ini, perlu disebut sebab sistem kuota ini diperkenalkan. Antaranya, disebabkan perbezaan sosio ekonomi antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Ketika diperkenalkan sistem ini lebih kurang 23 tahun dahulu, Bumiputera secara umumnya tinggal di luar bandar, dan oleh itu, tidak mendapat kemudahan pembelajaran seperti yang dinikmati bukan Bumiputera, yang kebanyakannya tinggal di bandar.

Kekurangan Bumiputera ini ditampung dengan memperuntukkan kepada mereka, tempat yang lebih di IPTA. Dengan sistem ini, Kerajaan berharap keseimbangan antara kaum boleh dihasilkan.

Keseimbangan antara kaum ini sangat penting, terutama dari aspek keamanan dalam negara. Peristiwa berdarah 13 Mei, adalah bukti kukuh tentang pentingnya keseimbangan antara kaum ini.

Ringkasnya, kerajaan memperkenalkan sistem kuota ini demi mencapai satu maslahah, iaitu keseimbangan antara kaum, yang sangat penting bagi negara seperti Malaysia.

Andai ditinjau dari sudut syarak, maslahah yang hendak dicapai ini, merupakan maslahah yang muktabar, atau diiktiraf dan diambil kira.

Justeru, maslahah ini mesti dihasilkan. Bagi tujuan ini, kerajaan berpendapat, salah satu caranya ialah melalui pengenalan sistem kuota ini.

Maslahah lebih besar vs mafsadah lebih kecil

Memang benar, ada keburukan pada sistem kuota ini, seperti menyebabkan kesusahan kepada segelintir bukan Bumiputera. Namun, kaedah syarak dan perkiraan akal menuntut agar ditanggung kesusahan yang lebih kecil, demi mencapai matlamat yang lebih besar (keseimbangan antara kaum).

Contohnya, sekatan jalan raya bagi tujuan keselamatan. Ia menyusahkan orang ramai. Tetapi, ia tetap dilakukan bagi mencapai maslahah yang lebih besar, iaitu keselamatan awam.

Jika ditinjau tindakan para sahabat dan fatwa para ulama, kita mendapati, mereka mengharuskan sesuatu perkara, apabila mendapati di dalamnya ada maslahah yang lebih besar berbanding mafsadah. (Zuhayli, Wahbab (1986), Usul al-Fiqh al-Islami, Beirut : Darul Fikr, jil.2, ms.763).

Antara contohnya ialah tindakan Syaidina Umar r.a yang menjatuhkan hukuman bunuh ke atas semua orang yang terlibat dan bekerjasama dalam membunuh seorang individu.

Menghukum bunuh individu-individu yang hanya bekerjasama dalam pembunuhan, tetapi tidak membunuh secara langsung, adalah satu 'keburukan' atau mafsadah. Namun, 'keburukan' ini tetap dilakukan demi mencapai maslahah yang lebih besar, iaitu menjaga ketenteraman awam.

Ini kerana, jika tidak dihukum bunuh semua orang yang terlibat dalam pembunuhan berkumpulan, kelak pembunuhan secara berkumpulan akan membudaya.

Contoh lain ialah fatwa Imam Ghazali dalam karyanya al-Mustasfa, yang mengharuskan tindakan membunuh benteng manusia yang beragama Islam, yang dijadikan benteng oleh tentera-tentera kafir (Rujuk Zuhayli (1986), jil.2, ms.765), keharusan membunuh binatang tunggangan tentera-tentera kafir, dan merosakkan tanaman-tanaman mereka, andainya tindakan itu boleh memenangkan tentera-tentera Islam.

Ulama-ulama Hanafi pula memfatwakan, harus bagi tentera Islam membakar harta ghanimah dan barang-barang mereka, dan menyembelih haiwan yang dikuasai, kemudian membakar dagingnya, agar ia tidak dapat dimanfaatkan oleh tentera kafir. Lihat al-Wajiz Fi Usul Fiqh karangan Abdul Karim Zaydan, ms.243.

Kesemua contoh ini menunjukkan keharusan melakukan sesuatu, sekiranya ia dapat menghasilkan maslahah yang dominan atau lebih besar.

Ringkasnya, perlaksanaan sistem kuota ini sejajar dengan fatwa-fatwa yang dinyatakan.

Hiwar dengan bukan Bumiputera

Bagi menjawab dakwaan bukan Bumiputera bahawa sistem kouta ini tidak adil bagi mereka, sebab sistem ini diperkenalkan perlu dijelaskan kepada mereka.

Semua pemikiran akal yang waras, menerima konsep 'berlainan layanan disebabkan perbezaan keupayaan'. Dalam konteks keluarga umpamanya, anak yang kurang kemampuan, akan diberi bantuan yang lebih, berbanding anak yang mempunyai pekerjaan sendiri atau aset-aset tertentu.

Kesimpulannya, sistem ini boleh diguna pakai bagi mewujudkan keseimbangan antara kaum yang begitu penting dalam negara Malaysia.

Dalam sebuah negara yang terdapat beberapa kaum yang tidak setaraf dari segi sosio ekonomi, adalah tidak adil peluang sama rata diberikan.

Ia sama seperti pertandingan lumba lari mengelilingi padang. Kedudukan pelumba lari tidak sama.

Jika semua pelumba lari diletakkan pada kedudukan yang sama, sudah tentu individu yang berada paling hampir dengan padang, akan memenangi perlumbaan.

Ini tentunya tidak adil bagi pelumba lari yang berada paling jauh dari padang.

Sebagai satu rumusan, jika diamati, bukan Bumiputera sebenarnya menerima, atau boleh menerima sistem kuota ini, kerana mereka sendiri menyedari ketidakseimbangan sosio ekonomi antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Tetapi, bagi mereka, zaman sekarang ketidakseimbangan itu sudah tidak ada, sekaligus bermakna keperluan kepada sistem ini juga sudah berakhir.

Inilah sebenarnya isu sistem kuota ini.

Wallahu a'lam.