Wednesday 26 September 2012

Awasi 'kelemasan dalam politik'


Ada satu yang agak menarik dalam ucapan Dr. Isam al-Basyir, Setia Usaha Agong sebuah NGO Islam berkaitan dakwah dan kerja-kerja kemanusiaan.

Ucapan disampaikan dalam muktamar Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang  berlangsung pada Khamis, 28 Julai 2011.

Muktamar itu diadakan di Kaherah dengan kerjasama al-Azhar.

Yang menarik dalam ucapan itu, ialah seruan yang ditujukan kepada semua aliran Islam. Iaitu 'tidak keterlaluan dalam menjalankan aktiviti politik, dan tidak meminggirkan kegiatan kemasyarakatan'.

Dalam ucapannya, Dr. Isam menegaskan akan keperluan aliran-aliran Islam ini, tidak bercakap tentang politik secara berlebihan.

Aliran-aliran Islam ini juga,tegas beliau, tidak boleh mengabaikan kerja-kerja kemasyarakatan dan pembinaan pemikiran.

Pada beliau, penumpuan yang berlebihan terhadap kegiatan politik oleh pergerakan Islam, dan pengabaiannya terhadap kerja-kerja kemasyarakatan, merupakan 'penggagalan sebenar terhadap usaha dakwah kepada perlaksanaan Islam'.
(Sumber : onislam)

'Tenggelam' dalam politik

Soal penekanan berlebihan pergerakan Islam terhadap politik, sebenarnya telah lama disentuh, sebagai contoh oleh Qaradhawi.

Dalam bukunya, al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Amal Wa al-Mahazir, beliau melahirkan kebimbangan terhadap fenomena 'istighraq fi al-siyasah' yang wujud dalam sesetengah pergerakan Islam.

Fenomena ini bermaksud 'tenggelam' atau 'lemas' dalam kegiatan politik. Istilah ini bermaksud penekanan yang berlebihan terhadap politik.

Gesaan dan ingatan agar menjauhi fenomena ini, diberikan oleh tokoh-tokoh gerakan Islam dan para ulama, disebabkan aspek politik hanyalah salah satu aspek dalam kegiatan mana-mana pergerakan Islam.

Kegiatan politik bukan segala-galanya dalam mana-mana pergerakan Islam.

Disamping aspek politik, kegiatan kemasyarakatan dan tarbiah kerohanian, merupakan aspek yang perlu diberi penekanan oleh setiap pergerakan Islam.

Kegiatan kemasyarakatan menjadi semakin penting dalam masyarakat yang berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup, seperti masyarakat kita kini.

Sikap berterusan memberi penekanan terhadap kegiatan politik, di saat masyarakat berhadapan dengan kerumitan hidup, hanya akan membuatkan mereka 'bosan' dan ‘meluat’!

Tuesday 25 September 2012

Memaknakan hidup dengan 'percaya'...


Menurut satu cerita, terdapat seorang nelayan berperangai pelik.

Nelayan ini seorang yang bernasib baik, kerana mata kailnya selalu disambar ikan. Ini menyebabkan rakan-rakan nelayan yang lain, cemburu.

Suatu hari, rakan-rakan nelayan ini sangat marah.

Mereka sangat marah, kerana nelayan tadi melepaskan semula ikan-ikan besar yang tersangkut di mata kailnya.

Sebaliknya, hanya ikan-ikan kecil sahaja yang diambil!

Sudahlah mereka telah lama mencemburuinya kerana mata kailnya selalu saja disambar ikan. Bila melihatnya melepaskan ikan-ikan besar yang berjaya dipancingnya, tentulah mereka sangat marah dan geram.

Hei, apa hal kau ni ha...!!!?
Kau gila ke!!?
Mengapa kau lepaskan ikan-ikan yang besar!!?”, jerkah mereka kepada si nelayan.

Sebab aku hanya mempunyai kuali yang kecil”, jawabnya selamba.

Percaya pada diri

Kita mungkin tidak percaya ada orang sebodoh nelayan ini. Tapi, malangnya, kita melakukan setiap hari, apa yang dilakukan si nelayan bodoh ini.

Apa tidaknya, kita sering membuang idea-idea mega, cita-cita yang tinggi dan cetusan-cetusan fikiran yang bernilai.

Kerana apa?

Kerana semata-mata menganggap ia lebih besar daripada akal dan kemampuan kita. Sama seperti si nelayan yang membuang ikan-ikan yang besar, semata-mata kerana ia lebih besar daripada kuali yang ada di rumahnya.

Pakar motivasi mengingatkan kita dengan berkata, "anda adalah sebagaimana yang anda percaya".

Justeru, berfikirlah lebih jauh.

Impikan sesuatu yang lebih besar.

Jangkakan sesuatu yang melebihi jangkauan.

Dan berdoalah kepada Allah agar Dia memberikan lebih banyak kepada anda.

Salah satu hakikat yang ditemui ilmu psikologi masa kini ialah manusia mempunyai kemampuan untuk hidup sebagaimana yang dia kehendaki.

Ya, kita mempunyai kemampuan untuk hidup sebagaimana yang kita kehendaki...

Langkah pertama ke arah itu ialah memasang impian.

Impian yang besar akan menggariskan kepada kita tujuan dan matlamat.

Mengenalpasti tujuan dan matlamat adalah langkah kedua.

Matlamat inilah yang akan 'menghantui' kita pagi dan petang, mendesak supaya ia dicapai.

Namun, di sana ada satu sahaja halangan yang menghalang kita daripada menggapai impian dan menggodol kejayaan.

Mahukah anda tahu apakah halangan itu?

Halangan itu ialah ‘hukuman’ yang kita jatuhkan ke atas diri kita, bahawa diri kita lemah, gagal dan tidak berkeupayaan!!

Memang benar, sikap optimis semata-mata tidak mencukupi.

Tapi yang pasti, sikap pesimis adalah ‘penjenayah’ sebenar yang ‘membunuh’ manusia!

Monday 24 September 2012

Politik Islam gaya Rashid al-Ghanoushi vs gaya tradisi

Syaikh Ghanoushi

Baru-baru ini, meletus satu debat yang hangat di Tunisia.Ia meledak ekoran penolakan Hizb an-Nahdhah (HN) terhadap satu desakan aliran Salafiyyah negara itu.

Aliran tersebut mendesak agar Fasal Pertama Perlembagaan Tunisia, dipinda.

Fasal itu menyebut, “Tunisia adalah sebuah negara merdeka dan bebas, bahasanya ialah Arab dan agamanya ialah Islam”.

Pindaan ke atas Fasal Pertama ini mahu diusahakan, bagi memasukkan perkara yang menyebut ‘Syariat Islam adalah sumber perundangan negara’.

Walau bagaimana pun, desakan ini ditolak HN, parti yang menerajui Kerajaan Tunisia ketika ini. Kesudahannya, Fasal Pertama ini kekal seperti sedia ada, tanpa sebarang pindaan.

Secara tersuratnya, sikap HN ini boleh dicatatkan sebagai penolakan sebuah parti Islam yang muktabar, terhadap usaha memertabatkan Syariat Islam. Iaitu dengan cara mengangkat kedudukannya dalam perlembagaan negara ke tahap tertinggi, iaitu selaku sumber perundangan negara!

Justifikasi

Bagi yang terdidik dengan politik Islam yang ‘renggang’ dengan Feqh al-Maslahah, Feqh al-Awlawiyyat, Feqh Iltifat Ila al-Ma’al, Feqh al-Muwazanah dan seumpamanya, penolakan HN ini boleh dengan mudah dilabelkan sebagai tanda kelemahan iman,tidak yakin dengan janji-janji Allah kepada pejuang-pejuang agamaNya, taqiyyah politik dan seumpamanya.

HN disifatkan sebegitu, lantaran ia dilihat mengikut citarasa dan hawa nafsu masyarakat, mengutamakan kuasa politik, takut kehilangan kuasa atau kerusi, tunduk kepada tekanan manusia atau suasana dan sebagainya, sehingga ‘tergamak’ menolak usaha memertabatkan kedudukan Syariat Islam dalam perlembagaan!

Bagi menjustifikasi penolakan HN itu, presidennya, Syaikh Rashid al-Ghanoushi, mengimbau kembali zaman pemerintahan Bourqiba di Tunisia. 

Jelas beliau, sejak dahulu lagi, Perlembagaan Tunisia meletakkan prinsip ‘pengasingan kuasa’ sebagai dasar dan amalan Negara Tunisia.

Namun, realitinya, ketika menjadi presiden, Bourqiba juga mengetuai Majlis Kehakiman Tertinggi Negara!

Perlanggaran terang-terangan terhadap perlembagaan negara, jelas Ghanoushi, turut berlaku di Mesir dan Yaman.Perlembagaan kedua-dua negara ini menyatakan dengan jelas kedudukan Islam sebagai sumber perundangan negara.

Lebih ‘hebat’ lagi ialah Yaman, dimana perlembagaannya menyatakan bahawa Syariat Islam adalah satu-satunya sumber perundangan negara!

Namun, soal Ghanoushi, adakah dengan sebab kedudukan ‘istimewa’ Islam ini dalam perlembagaan Mesir dan Yaman, rakyat kedua-dua buah negara tersebut, bebas daripada perhambaan pemimpin-pemimpin kuku besi?

Jawapannya, sudah tentu tidak.

Pewartaan tidak memadai

Daripada contoh-contoh ini, Ghanoushi menyaring satu rumusan, iaitu kewujudan sesuatu peruntukan, atau fasal dalam perlembagaan semata-mata, tidak memadai dan tidak memberikan makna yang besar.Ini kerana, nadi yang ‘menghidupkan’ sesebuah perlembagaan itu ialah manusia yang melaksanakannya.

Beliau memperkukuhkan lagi kesahihan rumusan ini dengan menyoroti ‘nasib’dustur (perlembagaan) yang paling hebat di dunia, iaitu al-Quran.

Kehebatannya yang agung semata-mata, masih tidak mampu menjelmakan sepenuhnya segala ‘fasal’, ‘peruntukan’ dan ‘artikel’ yang terkandung di dalamnya, di alam realiti.

Kitab suci ini kekal sebagai sekadar dustur semata-mata, tanpa dikuatkuasakan sepenuhnya lantaran manusia tidak mahu berbuat demikian.

Dengan berpijak di atas kesedaran ini, HN mengambil sikap menolak desakan yang dikemukakan aliran Salafiyyah itu.

Bagi HN, dalam konteks suasana semasa, tiada faedahnya melayan desakan tersebut. Ini kerana, selain ‘pewartaan Syariat Islam sebagai sumber perundangan negara dalam perlembagaan’,tidak menjamin Syariat Islam akan terlaksana di alam realiti, ia juga akan memecahkan masyarakat Tunisia kepada dua kelompok. Iaitu kelompok yang menyokong pewartaan tersebut, dan kelompok yang menentang.

Tambahan pula, menurut Ghanoushi, undang-undang yang diguna pakai di Tunisia, diceduk daripada Feqh Islam.Ia seperti undang-undang berkaitan akad (kontrak), undang-undang tanah, undang-undang keluarga. Kesemuanya diceduk daripada Feqh Islam, kecuali beberapa aspek tertentu.

Dalam pemikiran Ghonushi, semua fakta ini ‘berganding bahu’ antara satu sama lain dalam membentuk satu kesimpulan, iaitu‘pewartaan Syariat Islam sebagai sumber perundangan negara dalam perlembagaan’, bukan suatu keutamaan atau agenda besar.

Pemikiran tokoh pemikir besar Islam ini jelas tidak seiring dengan pemikiran yang mengangkat ‘memperundangkan hudud (bukannya Syariat Islam)’, sebagai‘perjuangan yang besar’! 

Justeru, HN memutuskan untuk mengekalkan Fasal Pertama perlembagaan seperti sedia ada,kerana pengekalan itu akan mengekalkan kesatuan rakyat Tunisia.

Hal ini demikian kerana, menurut Ghanoushi, seluruh rakyat Tunisia bersepakat menerima peruntukan sedia ada Fasal Pertama tersebut, yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.

Dari sini Ghanoushi mengatakan, “oleh itu, kami tidak mahu memecahkan masyarakat Tunisia menjadi dua kelompok, ‘kelompok Syariat’ dan ‘kelompok Islam’, sedangkan Islam menyatukan semua [rakyat Tunisia]”.

Kata-kata Ghanoushi ini diolah oleh wartawan onsilam.net dan dicatatkan sebagai “Syaikh Rashid Ghanoushi : ‘Syariat’ memecahkan rakyat Tunisia, Islam menyatukan mereka”.(Rujuk : islamonline.net)

Yang dimaksudkan dengan ‘kelompok Syariat’ ialah pihak yang mahu mewartakannya dalam perlembagaan sebagai sumber perundangan negara.

Manakala ‘kelompok Islam’pula, ialah kumpulan yang mahu mengekalkan peruntukan sedia ada Fasal Pertama perlembagaan, iaitu Islam sebagai agama rasmi Negara Tunisia, tanpa sebarang penambahan.

Feqhul Waqi’ & Feqhul Muwazanah

Penjelasan Ghanoushi ini mengirim mesej yang jelas, bahawa penolakan HN terhadap usaha ‘memertabatkan kedudukan Syariat Islam dalam perlembagaan’, adalah didasarkan kepada Feqhul Waqi’ dan Feqhul Muwazanah.

Ia bukannya didorong oleh kebimbangan hawa nafsu akan kehilangan kuasa politik, tunduk kepada hawa nafsu manusia yang menolak pemertabatan Syariat Islam, lemah iman,tidak percaya kepada janji-janji Allah kepada pejuang-pejuang agamaNya, taqiyyah politik dan seumpamanya.

Waqi’(realiti) yang ‘tercegat’ di depan mata membentangkan dengan jelas, bahawa ‘pewartaan Syariat Islam selaku sumber perundangan negara dalam perlembagaan’, tidak memadai dalam menjelmakan undang-undang dalam bentuk perlaksanaan di alam realiti.

Feqhul muwazanah pula memberi ‘arahan’, agar ditimbang aspek maslahah dan mafsadah yang bakal terhasil daripada pewartaan itu, sebelum pewartaan dilakukan.

Pewartaan itu akan menghasilkan maslahah, iaitu dari segi membuka jalan kepada perlaksanaan Syariat Islam. Namun, dalam masa sama, ia juga akan mengundang mafsadah, iaitu keterungkaian kesatuan rakyat Tunisia.

Bagi HN, mafsadah yang bakal ‘membiak’ dan ‘menular’ daripada pewartaan ini, lebih besar berbanding maslahah yang bakal ‘berputik’.

Justeru, bagi mengelakkan mafsadah yang lebih besar, iaitu perpecahan di kalangan rakyat Tunisia, HN memutuskan untuk menolak cadangan ‘pewartaan Syariat Islam sebagai sumber perundangan Tunisia dalam perlembagaan’.

Besar kemungkinan, HN antara lain, berpandukan ayat dalam surah Taha dalam membuat keputusan ini.
Ayat tersebut memperihalkan kemarahan Nabi Musa a.s terhadap Nabi Harun a.s. 

Ia ekoran sikap Nabi Harun a.s yang tidak menegah Bani Israel menyembah patung lembu ciptaan Samiri sepeninggalan Nabi Musa a.s.

Nabi Harun menjawab, beliau bertindak demikian bagi mengelakkan berlaku perpecahan di kalangan Bani Israel. Berpandukan ayat-ayat surah Taha ini, alasan ini diterima oleh Nabi Musa a.s.

Kisah ini dirakamkan dalam firman Allah yang berbunyi :(Taha :92-94) :

قَالَ يَـٰهَـٰرُونُ مَا مَنَعَكَ إِذْ رَأَيْتَهُمْ ضَلُّوٓا۟ ﴿92﴾ أَلَّا تَتَّبِعَنِ ۖ أَفَعَصَيْتَ أَمْرِى ﴿93﴾ قَالَ يَبْنَؤُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِى وَلَا بِرَأْسِىٓ ۖ إِنِّى خَشِيتُ أَن تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِىٓ إِسْرَ‌ٰٓءِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِى ﴿94﴾

Maksudnya : Sekembalinya, Nabi Musa berkata: “wahai Harun, apakah yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka telah sesat. Apakah engkau tidak mengikut aku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?”.

Nabi Harun menjawab:“wahai anak ibuku! Janganlah engkau merenggut janggutku, dan janganlah menarik rambut kepalaku.

Sesungguhnya, aku takut bahawa engkau akan berkata:“Engkau telah memecah belahkan Bani Israil, dan engkau tidak mengambil berat pesananku”.

Sunnah & Feqhul Muwazanah

Sorotan ke atas sunnah Rasulullah s.a.w memperlihatkan,Baginda juga bertindak berasaskan Feqhul Muwazanah.

Antara contohnya, sikap Baginda s.a.w terhadap orang-orang munafik.

Dalam sahih Muslim dinyatakan, Baginda s.a.w tidak bertindak membunuh mereka, demi mengelak mafsadah yang lebih besar, iaitu salah faham masyarakat terhadap Baginda, iaitu Baginda membunuh sahabatnya sendiri!

Jabir Ibn Abdullah r.a meriwayatkan :

أتى رجل رسول الله صلى الله عليه وسلم بالجعرانة منصرفه من حنين وفي ثوب بلال فضة ورسول الله صلى الله عليه وسلم يقبض منها يعطي الناس فقال : "يا محمد اعدل!". قال : "ويلك! ومن يعدل إذا لم أكن أعدل، لقد خبتُ وخسرتُ إن لم أكن أعدل!". فقال عمر بن الخطاب رضي الله عنه : "دعني يا رسول الله! فأقتل هذا المنافق!". فقال : "معاذ الله أن يتحدث الناس أني أقتل أصحابي..."

Terjemahan : Seorang lelaki datang [menemui] Rasulllah s.a.w di Ja’ranah sekembalinya [Baginda saw] dari Hunain dan [pada waktu itu] terdapat [kepingan-kepingan] perak dalam baju Bilal r.a, sambil Rasulullah s.a.w menggenggam [sebahagian] daripadanya [dan] diagih kepada orang ramai.

Lantas [lelaki itu] berkata, “wahai Muhammad, [berlaku] adillah!”. Baginda berkata, “malang sungguh engkau! Siapakah [lagi yang mampu berlaku] adil, kalau aku [sendiri] tidak [berlaku] adil? Sesungguhnya, kecewa dan rugilah aku andai aku tidak [berlaku] adil.

Maka [Syaidina] Umar al-Khattab r.a berkata, “biarkan aku membunuh orang munafik ini, wahai Rasulullah!”.

Lantas Baginda bersabda, “aku berlindung dengan Allah [daripada] orang ramai mengatakan bahawa aku membunuh sahabat-sahabatku[sendiri]”.

Titik tolak

Bertitik tolak daripada Feqhul Muwazanah yang bertaut dengan Feqhul Waqi’ inilah, pada 22 Januari 2011, iaitu 8 hari selepas kejatuhan Ben Ali yang digulingkan pada 14 Januari 2011, Ghanoushi memberikan satu kenyataan kepada sebuah akhbar Jerman, Der Spiegel, bahawa partinya itu tidak berusaha untuk melaksanakan Syariat Islam di Tunisia, jika berpeluang memerintah negara itu.

Apa yang menjadi objektif partinya, jelas beliau, ialah membebaskan Tunisia daripada sistem satu parti, dalam apa jua bentuk sekalipun.

Kepimpinan parti Islam Tunisia itu juga mengumumkan akan berusaha membentuk sebuah masyarakat sekular pelbagai parti, yang menghormati hak-hak manusia! (Rujuk : warisan-semasa)

Tulisan ini tidak bermaksud menyokong segala pendirian dan keputusan politik yang diambil HN. Atau mengajak mana-mana pihak menurut sepenuhnya tindak tanduk parti Islam itu.

Apa yang cuba diangkat oleh artikel ini, adalah tentang keperluan kepada pelbagai jenis feqh dalam melaksanakan Islam, antaranya Feqhul Waqi’ dan juga Feqhul Muwazanah.

Inilah yang dinamakan Feqh al-Tatbeeq al-Syariah al-Islamiyyah!

Wednesday 19 September 2012

Pengguguran, keguguran & kewajipan mandi wajib


Seorang rakan sekerja, mengajukan satu persoalan berkaitan mandi wajib.

Katanya, beliau ditanya seorang ‘bohsia’ yang menggugurkan kandungan. Akibat tindakan itu, keluar ketulan-ketulan darah dari tubuhnya.

Soal wanita itu, wajibkah dia mandi wajib?

Seperti biasa, persoalan ini akan ditinjau melalui jendela Mazhab Syafie radhiyALLAHu ‘anhu. Pandangan mazhab-mazhab lain, hanya akan disebut jika ada keperluan.

Alhamdulillah, jawapan kepada persoalan ini dinyatakan dengan jelas oleh Syaikh Shihabuddeen al-Qalyubi  rhm.

Beliau menyatakan (Al-Qalyubi, Shihabuddeen Ahmad Ibn Ahmad (2003), Hasyiyata Qalyubi Wa Umayrah, et.all, cet.2, Beirut : Darul Kutub al-‘Ilmiyyah, jil.1, ms. 93)  :

يثبت للعلقة من أحكام الولادة وجوبُ الغسل وفطر الصائمة بها ، وتسمية الدم عقبها نفاسا، ويثبت للمضغة ذلك

Terjemahan : Hukum-hukum [berkaitan] wiladah yang sabit bagi alaqah [yang keluar dari tubuh wanita ialah] kewajipan mandi, berbukanya [wanita] yang berpuasa, penamaan darah [yang keluar] sejurusnya (iaitu alaqah) sebagai nifas. Dan sabit [juga] bagi mudghah [yang keluar dari tubuh wanita, hukum hakam] sedemikian.

Wiladah, alaqah dan mudghah masing-masing bermaksud kelahiran anak, ketulan darah dan ketulan daging.

Penyamaan

Kenyataan di atas jelas menyamakan wanita yang keguguran dengan wanita yang melahirkan anak. Iaitu dari segi hukum hakam.

Ia seperti kewajipan mandi, terbatal puasa dan darah yang keluar sejurus keguguran, juga dinamakan darah nifas.

Dalam erti kata lain, wanita yang keguguran, wajib mandi. Puasanya juga terbatal. Manakala darah yang keluar sejurus keguguran, adalah darah nifas.

(NOTA : Akan dinyatakan selepas ini, wanita yang keguguran atau melahirkan anak, tetapi tidak diiringi darah nifas, puasanya tidak terbatal)

Justeru, ditegah ke atasnya melakukan apa yang ditegah ke atas wanita yang keluar darah nifas sejurus melahirkan anak.

Tegahan-tegahan tersebut boleh dirujuk dalam kitab-kitab feqh.

Yang dimaksudkan dengan ‘wanita yang keguguran’ di sini, ialah wanita yang keluar daripada tubuhnya ketulan-ketulan darah atau daging akibat keguguran.

Kesimpulannya, wanita yang keguguran atau menggugurkan kandungan, sehingga keluar dari tubuhnya ketulan darah atau daging, diiringi dengan darah nifas, wajib ke atasnya mandi wajib. Iaitu wajib mandi setelah darah nifas berhenti mengalir.

Tanpa nifas

Persoalan berbangkit, bagaimana jika keguguran tidak diiringi dengan darah nifas? Adakah ia juga mewajibkan mandi?

Jawapan kepada persoalan ini, boleh disaring daripada perbincangan para fuqaha’ tentang kelahiran bayi tanpa diiringi darah nifas.

Menurut Syaikh Syihabuddeen yang digelar Umayrah, ada yang berkata, kelahiran bayi tanpa darah nifas, banyak berlaku di kalangan wanita Kurdish (Al-Qalyubi (2003), op.cit., ms.92)

Dalam Mazhab Syafie, menurut pendapat yang paling sahih, kelahiran tanpa darah nifas, juga faktor yang mewajibkan mandi.

Imam Nawawi radhiyALLAHu ‘anhu berkata dalam kitabnya, al-Minhaj :

مُوْجِبه موتٌ وحيض ونفاس وكذا ولادةٌ بلا بَلَل في الأصح

Terjemahan : Penyebabnya (mandi wajib) ialah kematian, [keluarnya darah] haid dan nifas. Demikian juga wiladah tanpa kebasahan (darah) menurut [pendapat] yang paling sahih.

Sebab mengapa ‘kelahiran tanpa darah nifas’ juga mewajibkan mandi, dinyatakan oleh Imam Jalaluddeen al-Mahalli, pensyarah kitab al-Minhaj.

‘Illah hukum

Sebabnya ialah, bayi yang dilahirkan sebenarnya merupakan air mani yang mengeras atau membeku (Al-Qalyubi (2003), op.cit., ms.92).

Sebagaimana yang dimaklumi, keluar mani, adalah salah satu perkara yang mewajibkan mandi. Tidak kiralah samada mani itu cair atau beku (samada dalam bentuk anak, alaqah atau mudghah).

Oleh kerana alaqah atau mudghah hakikatnya adalah air mani yang membeku, maka seseorang wanita itu wajib mandi bila terkeluar dari tubuhnya alaqah atau mudghah.

Justeru, dapat disaring daripada kenyataan Imam Nawawi di atas, pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie ialah, wanita yang keguguran atau menggugurkan kandungan, sehingga keluar ketulan darah atau ketulan daging, wajib juga ke atasnya mandi wajib, walaupun keguguran itu tidak diiringi darah nifas.

Kesimpulan hukum

Jelasnya, kewajipan mandi di sini adalah disebabkan keluar mani yang membeku (dalam bentuk anak, ketulan darah atau daging), bukan disebabkan darah nifas.

Tegasnya, wanita yang menggugurkan kandungan atau keguguran, wajib ke atasnya mandi wajib dalam semua keadaan. Iaitu samada keluar darah nifas atau tidak sejurus keguguran atau pengguguran tersebut.

Demikian juga wanita yang bersalin, wajib ke atasnya mandi wajib tanpa mengira samada kelahiran itu diiringi darah nifas, atau pun tidak.

Bagi keguguran atau kelahiran yang disertai darah nifas, mandi wajib hanya sah dilakukan setelah darah nifas berhenti mengalir.

Manakala bagi keguguran atau kelahiran tanpa darah nifas, mandi wajib boleh dilakukan sejurus keguguran atau kelahiran.

Persoalan cabang : Oleh kerana alaqah dan mudghah hakikatnya air mani yang membeku (walaupun telah berubah menjadi ketulan darah atau ketulan daging), maka alaqah dan mudghah yang keluar dari tubuh wanita, tidak membatalkan wudhu’.

Ini kerana, keluar mani, bukan salah satu perkara yang membatalkan wudhu’. (Sila rujuk perkara-perkara yang membatalkan wudhu’).

Pendapat ini dipilih oleh Syaikh Ramly (Al-Qalyubi (2003), op.cit., ms.92)

Demikian juga puasa.

Berdasarkan pendapat paling kuat (Lihat Al-Qalyubi (2003), op.cit., ms.93), puasa wanita tidak terbatal disebabkan terkeluar alaqah atau mudghah.

Ini kerana, ‘keluar alaqah atau mudghah’, sama dengan terkeluar mani disebabkan bermimpi (ihtilam).Apa yang berbeza, hanyalah sifat mani yang terkeluar. Iaitu cair dalam kes ihtilam, dan beku dalam kes keguguran.

Sebagaimana ihtilam tidak membatalkan puasa (kerana yang membatalkan puasa ialah istimna’, iaitu mengeluarkan mani dengan sengaja), maka demikian juga ‘keluar alaqah atau mudghah’.

Ia juga tidak membatalkan puasa.

Oleh kerana alaqah dan mudghah dilihat sebagai mani yang membeku, dapat difahami bahawa sengaja mengeluarkannya (dengan cara menggugurkannya), adalah membatalkan puasa.

Ini kerana, sengaja mengeluarkan mani (samada cair atau beku) atau istimna’, adalah membatalkan puasa.

Hukum cabang

Berkaitan alaqah atau mudghah yang keluar dari tubuh wanita, berbangkit persoalan tentang sifatnya, samada ia najis atau suci.

Dalam Mazhab Syafie, menurut pendapat yang paling sahih, alaqah dan mudghah, adalah suci, bukannya najis.

Imam Nawai mencatatkan dalam al-Minhaj :

وليستِ العلقةُ والمضغة ورطوبة الفرج بنجس في الأصح

Terjemahan : Alaqah, mudghah dan kelembapan faraj bukanlah [sesuatu] yang najis menurut [pendapat] yang paling sahih.

Alaqah dan mudghah dihukumkan suci kerana ia berasal daripada air mani. Manakala air mani manusia adalah suci, bukan najis (Lihat Al-Qalyubi (2003), op.cit., ms.105)

Begitu juga mani setiap haiwan yang suci (seperti lembu atau harimau), adalah suci, bukan najis.

Ini bermakna, alaqah dan mudghah yang keluar daripada haiwan yang suci (seperti harimau dan haiwan selain anjing dan babi), adalah suci, bukan najis.

Wallahu a’lam.

Friday 14 September 2012

Usah bersedih, apa yang Allah sembunyikan lebih besar!


Seorang lelaki keluar bermusafir bersama seorang anaknya ke sebuah bandar. Jauhnya, dua hari perjalanan. Mereka membawa seekor keldai  bagi membawa barangan mereka.

Menjadi kebiasaan lelaki ini, mengucapkan “apa yang Allah sembunyikan daripada kita, adalah lebih besar”.

Dalam perjalanan, sebelah kaki keldai mereka, patah.

Lantas, seperti biasa, lelaki ini melantunkan kata-kata “apa yang Allah sembunyikan daripada kita, adalah lebih besar”.

Justeru, si lelaki dan anaknya, masing-masing terpaksa memikul barangan mereka, dan meneruskan perjalanan.

Selepas beberapa ketika berjalan, sebelah kaki lelaki tersebut pula yang patah.

Dia sudah tidak mampu memikul apa-apa lagi.

Dia kini terpaksa berjalan sambil mengheret kakinya yang  patah, sambil berkata, “apa yang Allah sembunyikan daripada kita, adalah lebih besar”.

Lantas, si anak tiada pilihan. 

Dia terpaksa memikul barangan yang dipikul oleh ayahnya, beserta memapah ayahnya sekali, lalu bertolak meneruskan perjalanan.

Di tengah jalan, seekor ular mematuk si anak, menyebabkannya terjatuh kesakitan.

Si lelaki tetap juga dengan kebiasaannya, terus berkata, “apa yang Allah sembunyikan daripada kita, adalah lebih besar”.

Dalam keadaan ini, si anak sudah hilang sabar.

Dia terus melenting, sambil menengking, “adakah sesuatu yang lebih besar daripada apa yang menimpa kita sekarang!?”.

Keldai yang membawa barangan mereka, kakinya patah. Selepas itu, kaki ayahnya pula yang patah, menyebabkan si anak terpaksa memikul barangan dan memapah ayahnya sekali. 

Sekarang, dia pula yang dipatuk ular, sehingga terjatuh dan menahan kesakitan bisa ular.

Adakah sesuatu yang lebih besar dan menyeksakan daripada semua ini?

Setelah si anak sembuh, mereka berdua meneruskan perjalanan, dan akhirnya sampai di bandar yang dituju.

Setibanya di bandar tersebut, mereka berdua sangat terkejut.

Mereka mendapati, bandar itu musnah sama sekali disebabkan gempa bumi yang melanda. Gempa itu membunuh semua penghuninya.

Lantas, si lelaki memandang ke arah anaknya seraya berkata, “lihatlah wahai anak ku, andai kita tidak ditimpa musibah dalam perjalanan kita tadi, sudah tentu kita akan tiba di bandar ini semasa gempa sedang berlaku. Dan, sudah tentu akan menimpa kita, apa yang lebih besar daripada apa yang menimpa kita semasa perjalanan tadi. Sudah tentu kita sudah musnah!”.

Usahlah bersedih...

Cukuplah sifatNya yang Maha Pengasih, Maha Mengetahui sebagai penyejuk jiwa dan pengulit resah tatkala ditimpa musibah.

وَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ شَرٌّۭ لَّكُمْ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ 

Maksudnya : Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya.