Seorang
sahabat saya, bertanya tentang sebuah syarikat yang mahu melakukan ibadat
qurban sempena Aidil Adha.
Bagi tujuan
ini, satu budjet khusus dikeluarkan syarikat tersebut.
Kesan daripada
itu, qurban akan dilaksanakan atas nama syarikat. Bukannya atas nama individu.
Dari segi
hukum, adakah amalan ini dibolehkan?
Kaedah mantiq
Bagi menjawab
persoalan ini, perlu ditentukan terlebih dahulu hakikat atau sifat sebenar
amalan ‘qurban atas nama syarikat’ ini.
Ulama mantiq
ada berkata الحكم
على الشيء فرع عن تصوره.
Maksudnya,
penentuan hukum sesuatu perkara, adalah satu cabang daripada tasawwur
tentangnya.
Ini bermakna,
tasawwur atau gambaran yang jelas tentang sesuatu perkara, adalah asas.
Manakala ‘proses penentuan hukum’ sesuatu perkara tadi, adalah cabang kepada
asas yang dinyatakan.
Dalam erti
kata lain, proses penentuan hukum bagi sesuatu perkara, tidak dapat dilakukan,
selagi gambaran yang jelas tentangnya tidak diperolehi.
Realitinya,
‘qurban atas nama syarikat’, sebenarnya adalah amalan berkongsi membeli haiwan
untuk diqurbankan.
Hukum feqh
menjelaskan, berkongsi membeli haiwan dibolehkan jika ia adalah lembu, kerbau
atau unta. Perkongsian ini harus, jika ia hanya melibatkan beberapa individu
yang tidak melebihi 7 orang.
Adapun
kambing, perkongsian ini tidak dibenarkan. Kambing hanya boleh diqurbankan oleh
seorang individu.
Dalilnya ialah
hadis yang direkodkan oleh Imam Muslim
(no.hadis : 1318) yang berbunyi :
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي
الله عنهما قَالَ : نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ ، وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ
Terjemahan :
Daripada Jabir bin Abdillah r.a, beliau berkata, “kami menyembelih bersama
Rasulullah s.a.w pada tahun [berlakunya perjanjian] Hudaybiyyah seekor untuk
tujuh [orang] dan seekor lembu [juga] untuk tujuh [orang].
Rumusan
Oleh demikian,
dapat dirumuskan seperti berikut :
1. Jika
syarikat terbabit dimiliki oleh seorang, atau beberapa individu yang tidak
melebihi 7 orang, maka harus melakukan korban di atas nama syarikat, dengan
menggunakan duit syarikat.
2. Jika
syarikat tersebut dimiliki oleh beberapa individu melebihi 7 orang, maka tidak
boleh dilakukan qurban dengan menggunakan duit syarikat. Ini kerana,
perkongsian dalam melakukan korban, tidak boleh melebihi 7 orang.
Rumusan ini
dikuatkan lagi oleh fatwa pakar rujuk laman web islamqa.com.
Fatwa tersebut
dikeluarkan bagi menjawab soalan tentang keharusan membeli haiwan untuk
diqurbankan, dengan menggunakan wang dari tabung keluarga.
Iaitu tabung
yang diwujudkan hasil sumbangan beberapa orang ahli keluarga.
Dalam fatwanya,
pakar rujuk laman tersebut menyatakan ketidakharusan membeli haiwan qurban
menggunakan wang tabung keluarga, jika haiwan yang dibeli itu, adalah kambing.
Walau
bagaimana pun, jika tabung itu wujud hasil sumbangan 7 orang atau kurang, maka
boleh digunakan wang tabung tersebut bagi membeli lembu, kerbau atau unta untuk
diqurbankan.
Teks fatwa
tersebut seperti berikut :
السوال : نحن إخوة نعيش في بيت واحد
ولدينا ما يسمى بصندوق العائلة، حيث نشترك في مصاريف البيت. فإذا جاء وقت الأضحية فهل
نشتري الأضحية من صندوق العائلة أم يشتري كل واحد منا أضحية...؟ الإجابــة : فإن كان
المقصود بقولك: فهل نشتري الأضحية من صندوق العائلة. أنكم تشترونها من الصندوق وتشتركون
فيها. فالجواب أنه لا يصح الاشتراك في الأضحية إذا كانت من الغنم...ولكم أن تشتركوا
في الأضحية من الإبل أو البقر...فإذا كنتم سبعة فأقل فلكم أن تشتروا بمال صندوق العائلة
أضحية من الإبل أو البقر وتجزئ عنكم.
Terjemahan :
Soalan : Kami
adik beradik tinggal dalam satu rumah dan kami memiliki apa yang dinamakan
‘tabung keluarga’, dimana kami berkongsi dalam perbelanjaan [keperluan] rumah...
Apabila tiba
waktu qurban, maka [bolehkah] kami membeli haiwan qurban [dengan wang] dari
tabung keluarga, atau setiap daripada kami [perlu] membeli haiwan qurban
[masing-masing]?...
Jawapan :Jika
dimaksudkan dengan kata-kata anda ‘adakah kami [boleh] membeli haiwan qurban
[dengan wang] dari tabung keluarga’ bahawa kamu [semua] membelinya (haiwan
qurban) [dengan wang] dari tabung [keluarga tersebut], dan kamu berkongsi
haiwan qurban tersebut, maka jawab [nya] bahawa tidak sah berkongsi haiwan
qurban jika ia adalah kambing…
[Tetapi] kamu
boleh berkongsi haiwan qurban [yang terdiri] daripada unta atau lembu…
Maka, jika
[jumlah] kamu semua [adalah] tujuh [orang] atau kurang, maka kamu boleh membeli
dengan wang tabung keluarga, haiwan qurban samada unta atau lembu, dan ia
(lembu atau unta) memadai [bagi mewujudkan qurban] bagi kamu.
Munaqasyah
Ringkasnya,
qurban yang dilakukan dengan menggunakan duit syarikat, dan dilaksanakan atas
nama syarikat, dibolehkan dengan syarat yang dinyatakan di atas (no.1&2)
Zahirnya,
‘melakukan qurban di atas nama syarikat’, bukanlah satu masalah. Ia juga bukan
faktor yang menjadikan qurban, tidak sah.
Ini kerana,
‘qurban yang dilakukan di atas nama syarikat’, dilaksanakan bukan dengan niat
‘berqurban untuk bangunan, atau pejabat operasi syarikat’ tersebut, seperti
yang difahami sesetengah pihak.
Sebaliknya,
qurban dilakukan untuk manusia yang bernaung, atau mengendalikan syarikat itu.
Tambahan pula,
tiada sesiapa yang melakukan korban atas nama syarikat, dengan qasad ‘berqurban
untuk bangunan atau tempat syarikat itu beroperasi’. Yang diqasadkan ialah
melakukan qurban untuk manusia yang bernaung atau menggerakkan syarikat
tersebut.
Justeru, yang
perlu diambil kira ialah qasad di sebalik ‘qurban di atas nama syarikat’ itu.
Ini sejajar dengan kaedah feqh yang menyatakan :
الأمور بمقاصدها
Terjemahan :
Semua perkara dikira berdasarkan maqasidnya (tujuan dan qasad) .
Jelasnya,
dalam kes ‘qurban atas nama syarikat’, soal ‘melakukan qurban untuk organisasi
bukan manusia’, tidak berbangkit dan tidak wujud.
Melakukan
sesuatu bagi objek yang bukan manusia, hanya tergambar dalam upacara pemujaan.
Seperti menyembelih haiwan untuk berhala, busut, tempat-tempat yang dipercayai
berpenunggu dan sebagainya.
Oleh itu,
mana-mana syarikat boleh melakukan qurban di atas nama syarikat.
Tidak perlulah
haiwan qurban yang dibeli dengan budjet syarikat, dihadiahkan kepada salah
seorang kakitangannya, agar qurban dilakukan di atas nama kakitangan berkenaan.
Ini kerana,
‘berqurban di atas nama syarikat’, tidak mewujudkan apa yang dinamakan ‘qurban
untuk organisasi bukan manusia’, yang dianggap sebagai faktor yang menyebabkan
qurban tersebut, tidak sah.
Sesuatu yang
tidak wujud, tidak perlu dielakkan.
Tambahan pula,
tindakan menghadiahkan haiwan qurban kepada seseorang individu untuk diqurbankan
di atas namanya, menimbulkan persoalan.
Iaitu, apakah
ia benar-benar satu ‘hadiah’? Atau ia pada zahirnya sahaja berbentuk hadiah,
tetapi hakikatnya adalah wakalah, iaitu mewakilkan seseorang melakukan sesuatu.
Ini kerana,
individu berkenaan tidak memiliki apa-apa hak ke atas haiwan qurban yang
‘dihadiahkan’ kepadanya itu. Ini kerana, mahu tidak mahu, dia terpaksa
menyembelih haiwan tersebut dengan niat qurban.
Jika haiwan
tersebut benar-benar satu hadiah, tentu dia boleh untuk tidak menyembelihnya,
samada menjual atau memeliharanya.
Dalam konteks
akad, yang diambil kira ialah qasad dan niat, bukannya lafaz yang digunakan.
Hal ini dinyatakan oleh kaedah feqh, iaitu :
العبرة في العقود للمقاصد والمعاني لا للألفاظ والمباني
Terjemahan :
Yang diambil kira dalam akad ialah maksud dan pengertian, bukannya lafaz dan
binaan (kerangka luaran akad)
Bagi menjawab
persoalan ini, hukum hibah atau hadiah bersyarat, perlu dirujuk.
Qurban sama
dengan sedekah
Melakukan
qurban di atas nama syarikat sebenarnya sama dengan bersedekah atas nama
syarikat, atau bersedekah kepada syarikat tertentu.
Sedekah di
atas nama syarikat adalah sedekah yang dilakukan oleh manusia.
Demikian juga
sedekah yang diberikan kepada syarikat tertentu.Ia juga sedekah kepada manusia
yang mengendalikan syarikat itu atau semua orang yang bernaung di bawahya. Ia
bukan sedekah kepada bangunan atau pejabat tempat syarikat itu beroperasi.
Persoalan
berkaitan
Berhubung
persoalan ini, berbangkit satu lagi persoalan. Iaitu hukum melakukan qurban
menggunakan duit tabung masjid.
Walau
bagaimana pun, disebabkan belum menemui jawapan yang pasti, saya tawaqquf dulu
dalam soal ini.
Sikap tawaqquf
ini diambil kerana mengambil kira pandangan fuqaha’ mazhab Syafie yang
mengharuskan ketua negara melakukan qurban dengan menggunakan wang Baitul Mal.
Iaitu qurban yang dilakukan untuk seluruh rakyat.
Saya tidak
pasti, samada pengerusi atau ahli jawatankuasa masjid, boleh dikiaskan dengan
ketua negara.
Dari satu
segi, terdapat persamaan antara kedua-duanya. Iaitu dari segi ‘penguasaan
terhadap wang di bawah jagaan masing-masing’.
Jika ketua
negara berkuasa ke atas Baitul Mal, pengerusi atau ahli jawatankuasa masjid
pula, berkuasa ke atas tabung masjid.
Jika ketua
negara boleh melakukan qurban menggunakan wang Baitul Mal, adakah pengerusi
atau ahli jawatankuasa masjid juga, boleh melakukan qurban menggunakan duit
tabung masjid?
Persoalannya
ini saya tawaqquf dahulu, dengan harapan para ilmuan melontarkan idea dan
pandangan masing-masing.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment