Saturday 29 December 2012

Amanat Haji Hadi : Fahami isu, usah gopoh menuduh!

Mufti Wilayah Persekutuan
Sesetengah pihak dilihat membuat tanggapan yang tersasar tentang isu sebenar yang melingkari 'Amanat Haji Hadi' yang diucapkan pada tahun 1981 itu.

Isunya bukanlah perihal seorang pemimpin bernama Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkafirkan orang-orang UMNO, atau organisasi UMNO itu sendiri.

Dakwaan beliau dalam amanatnya itu bahawa UMNO mengekalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliah, serta mati syahid sesiapa yang mati dalam perjuangan menentang UMNO, tidak boleh dijadikan dalil Presiden PAS itu telah mengkafirkan orang-orang UMNO.

Demikian juga fatwa beliau yang memutuskan menjadi kafir sesiapa yang mengamal, atau berkata 'politik suku, agama suku'. Ia juga tidak boleh mensabitkan beliau dengan tuduhan mengkafirkan UMNO atau orang-orang UMNO.

Presiden PAS itu hanya boleh didakwa sedemikian, jika beliau mengakui memang benar amanat itu, bermaksud mengkafirkan pengikut-pengikut parti Melayu terbesar itu.


Nafi takfir

Tambahan pula, kenyataan-kenyataan beliau sebelum ini, jelas menafikan beliau-pada bila-bila masa-telah mengkafirkan UMNO atau pengikut-pengikutnya. 

Dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia tidak lama dulu, beliau menafikan telah mengkafirkan orang-orang UMNO, sambil mencabar agar dikemukakan senarai nama orang-orang yang telah beliau kafirkan.

Dalam satu kaset ceramah beliau-kalau tidak silap penulis sempena kempen Pilihan Raya Kecil Bukit Payong pada tahun 1990-an-beliau mengatakan tidak semua orang UMNO kafir. Sebaliknya, yang dihukumkan kafir hanyalah orang-orang yang menghina hukum Allah daripada kalangan mereka, atau sesiapa saja yang berbuat demikian.

Ringkasnya, tiada ruang untuk 'memuatkan' dakwaan bahawa Presiden PAS itu-melalui amanatnya itu-telah mengkafirkan orang-orang UMNO, atau organisasi UMNO.

Sejauh yang boleh didakwa ialah Presiden PAS itu berdiam diri dan membiarkan pengikut-pengikut PAS mengkafirkan orang-orang UMNO-jika ada-kerana didorong oleh kefahaman mereka tentang amanatnya itu.

Atau beliau hanya berpeluk tubuh melihat pengikut-pengikut PAS mengasaskan bid’ah-bid’ah buruk seperti solat dua imam, memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum keluarga berfahaman UMNO, memulaukan orang-orang UMNO, nikah dua kali, tidak memakan daging sembelihan orang-orang UMNO dan bid’ah-bid’ah lain yang didakwa sebagai kesan daripada amanat tersebut.

Dalil amanat tidak kafirkan UMNO

Pendirian ini adalah bersandarkan kepada 
kaedah yang diutarakan jumhur ulama, iaitu لازم المذهب ليس بمذهب (Lazimul Mazhab Laysa Bi Mazhab)

Kaedah ini bermaksud, ‘rentetan pengertian(dalam Bahasa Arab disebut ‘lazim’) daripada sesuatu pandangan (juga disebut sebagai mazhab), bukan merupakan mazhab’. 

Sesuatu mazhab atau pandangan itu, biasanya mencetuskan satu ‘rentetan pengertian’ lain secara automatik.

Sebagai contoh, dakwaan bahawa ‘Syaidina Abu Bakar r.a tidak wujud’. Dakwaan ini mencetuskan satu ‘rentetan pengertian’, iaitu beliau r.a bukan seorang sahabat Nabi s.a.w.

Adalah mustahil seorang yang tidak wujud, boleh menjadi sahabat kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Meskipun begitu, para ulama memfatwakan, orang yang mendakwa sedemikian, tidak menjadi kafir walau pun dakwaan ini secara automatik mencetuskan ‘rentetan pengertian’ yang dinyatakan, iaitu Syaidina Abu Bakar bukan seorang sahabat Nabi s.a.w.(Rujuk Hasyiata al-Qalyubi Wa 'Umairah di permulaan Kitab al-Riddah). 

Kedudukan Syaidina Abu Bakar r.a sebagai seorang sahabat Nabi s.a.w, adalah perkara qat'ie kerana Allah berfirman yang bermaksud, "ketika dia berkata kepada sahabatnya, "janganlah engkau berdukacita" (al-Taubah : 40)

Para sahabat berijmak, yang dimaksudkan dengan "sahabatnya" dalam ayat ini, ialah Syaidina Abu Bakar r.a (Rujuk Hasyiah al-Dasuqi 'Ala al-Syarh al-Kabir, jld.18, hlm.294). 

Namun begitu, orang yang mendakwa 'Syaidina Abu Bakar tidak wujud', tidak dihukumkan kafir-meskipun dakwaan ini melahirkan satu 'rentetan pengertian' atau 'lazim', iaitu 'Syaidina Abu Bakar r.a bukan seorang  sahabat Nabi s.a.w'-kerana Lazimul Mazhab Laysa Bi Mazhab.

Atau ‘rentetan pengertian' daripada sesuatu pendapat atau mazhab, tidak dikira sebagai pendapat atau mazhab’.

Dalam erti kata lain, 'Syaidina Abu Bakar bukan seorang sahabat Nabi s.a.w', tidak dianggap sebagai pandangan atau mazhab orang yang mendakwa 'Syaidina Abu Bakar r.a tidak wujud'.

Walau bagaimana pun, ‘rentetan pengertian’ daripada sesuatu pendapat atau mazhab, akan dikira sebagai pendapat atau mazhab, apabila seseorang itu mengucapkannya, atau menerima 'rentetan pengertian' itu. (Rujuk al-Qawa'id al-Muthla Fi Sifatillah Wa Asma'ih al-Husna, karangan Syaikh 'Uthaimin, hlm.16)

Oleh itu, hendaklah ditanya orang yang mendakwa 'Syaidina Abu Bakar tidak wujud', samada dia menerima ‘rentetan pengertian’ daripada dakwaannya ini, atau tidak. Iaitu Syaidina Abu Bakar r.a bukan seorang sahabat Nabi s.a.w. 

Jika dia menerima, barulah boleh dikatakan bahawa dia telah mendakwa 'Syaidina Abu Bakar bukan sahabat Nabi s.aw'. Jika dia tidak menerimanya, maka tidak boleh dikatakan bahawa dia telah berkata 'Syaidina Abu Bakar bukan seorang sahabat Nabi s.a.w'.

Dalam konteks isu ‘Amanat Haji Hadi’ ini-berdasarkan kaedah Lazimul Mazhab Laysa Bi Mazhab ini-adalah satu tindakan yang salah, menuduh beliau telah mengkafirkan orang-orang UMNO, semata-mata kerana beliau telah mengeluarkan satu amanat yang menggambarkan atau difahami demikian.

Mati syahid

Berkenaan mati syahid, hadis Nabi s.a.w jelas memperlihatkan bahawa seseorang itu boleh dianggap mati syahid, meskipun dibunuh oleh pembunuh beragama Islam.

Nabi s.a.w bersabda :

من قُتل دون ماله فهو شهيد ومن قُتل دون دمه فهو شهيد ومن قُتل دون دينه فهو شهيد ومن قُتل دون أهله فهو شهيد
Terjemahan : Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya, maka dia [mati] syahid, sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan darahnya (nyawanya), maka dia [mati] syahid. Sesiapa yang mati mempertahankan agamanya, maka dia [mati] syahid. Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan keluarganya, maka dia [mati] syahid".

Hadis ini direkodkan oleh Abu Daud, Nasa'ie, Ibnu Majah dan Tirmizi. Imam Tirmizi menilainya hasan sahih, manaka Syaikh Albani menilainya sahih (Sahih al-Targhib Wa al-Tarhib, hadis no.1411)

Ringkasnya, ‘mati syahid’ adalah kematian yang berlaku ekoran perjuangan mempertahankan harta, nyawa, agama atau kaum keluarga, bukannya kematian yang disebabkan oleh pembunuh yang kafir.

Justeru, dakwaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa mati syahid sesiapa yang mati dalam perjuangan menentang UMNO, tidak boleh dijadikan tapak yang kukuh untuk melancarkan dakwaan bahawa beliau telah mengkafirkan UMNO.

Apa yang diperkatakan di sini ialah ketiadaan ruang untuk mendakwa Presiden PAS itu telah mengkafirkan UMNO melalui amanatnya itu. 

Ada pun soal samada amanatnya itu bertepatan atau bercanggah dengan ajaran Islam, ia bukan mauduk perbincangan tulisan ini.

Isu sebenar

Isu sebenar yang 'bertenggek' di atas ‘Amanat Haji Hadi’ ini ialah dakwaan ia mencetuskan bid’ah-bid’ah keji yang berlaku dalam masyarakat seperti solat dua imam, memutuskan hubungan silaturrahim kerana faktor perbezaan fahaman politik, memulau saudara seagama yang berlainan parti politik, menganggap tidak sah akad nikah atau sembelihan yang dilakukan oleh individu berlainan parti dan bid’ah-bid’ah lain.

Inilah isu sebenar 'Amanat Haji Hadi' ini.

Kegagalan mengenal pasti isu sebenar 'Amanat Haji Hadi' ini, menyebabkan kebanyakan reaksi yang ditunjukkan, atau komen yang dikemukakan kedua-dua belah pihak (PAS dan UMNO), tidak menyentuh isu hakiki, yang akhirnya menyebabkan isu ‘Amanat Haji Hadi’ ini makin bersimpang siur.

Lebih 'berbahaya' lagi, ia menyebabkan Presiden PAS itu dilihat membuat strategi yang silap apabila 'mencabar' agar diberikan peluang kepada beliau untuk menjelaskan isu Amanat Haji Hadi ini di kaca TV.

Wallahu a'lam. 

Tuesday 18 December 2012

Semarak warisan-semasa.blogspot.com...

Alhamdulillah, sehari dua ini, saya telah 'pulih'.

Semangat dan kekuatan untuk mengemaskini blog ini, seakan-akan perlahan-perlahan memancar dari lubuk hati dan bagaikan sedang menggenangi persada jiwa.

Memang banyak perkara yang bersarang diminda yang kesemuanya bagaikan mendesak-desak meminta dilepaskan ke alam maya. 

Sementelahan pula, sudah menjadi amalan saya setiap kali meletus isu-isu berkaitan agama terutamanya, bahan-bahan berkaitan akan dikumpul cepat-cepat. 

Ringkas kata, setakat ini-alhamdulillah-soal bahan tulisan tidak menjadi masalah. 

Masalah utama ialah kemampuan, semangat dan kekuatan untuk menulis yang sering diragut keadaan dan suasana.

Tentunya saya sangat-sangat berterima kasih kepada sidang pembaca yang tidak jemu-jemu menjengah atau singgah di teratak warisan-semasa.blogspot walaupun sebulan lebih tidak dikemaskini.

Kesyukuran dan segala puji saya panjatkan kepada Allah justeru biar pun lama 'terbiar', namun jumlah kunjungan harian tidak susut.

Akibat 'sepak terajang' keadaan dan suasana, saya mula memikirkan cara memastikan blog ini terus dikemaskini biarpun dalam keadaan 'lembik' dan 'longlai' akibat 'dibelasah' oleh 'karenah' kehidupan.

Akhirnya saya mendapat idea hasil pemerhatian saya terhadap teknik yang diguna pakai sesetengah bloogers dalam mengendalikan blog-blog mereka. 

Saya juga mula sedar kesilapan saya yang hanya menulis apabila idea tentang sesuatu perkara, lengkap dan sempurna.

InsyaAllah, teratak ini akan kembali dan semakin bersemarak...

Allahu musta'an.