Monday 31 August 2015

Keruntuhan Negara Pada 'Ketidakpedulian'

Zaman Sultan Sulaiman al-Qanuniy (1495-1566M)-menurut kebanyakan ahli sejarah-merupakan zaman keemasan Empayar Othmaniyyah.

Pada zaman Baginda, jajahan takluk empayar itu semakin meluas. Banyak negeri dan bandar dibuka. Kemakmuran dan kemewahan merata ke segenap penjuru empayar.

Namun, Sultan Sulaiman-melalui sorotan Baginda ke atas sejarah peradaban manusia-mengetahui bahawa setiap negara yang kuat, tidak dapat tidak, pasti akan menjadi lemah.

Akan menular ke dalam strukturnya faktor-faktor kelemahan dan keruntuhan. Ini kerana, setiap peradaban mempunyai ajal masing-masing.

Adakah perkara sama akan menimpa Empayar Othmaniyyah?

Adakah di sana cara untuk lari daripada keruntuhan?

Persoalan ini menghantui fikiran Sultan Sulaiman selama beberapa hari.

Setelah lama berfikir dan bingung dengan persoalan ini, Baginda memutuskan untuk mengajukan persoalan ini kepada seorang ulama yang masyhur ketika itu, iaitu Yahya Afandi.

Yahya Afandi juga merupakan saudara susuan Baginda.

Tuan adalah seorang yang mengetahui banyak rahsia. Justeru, kami berharap dari tuan, agar sudi memberitahu kepada kami, bilakah sesebuah negara itu akan runtuh. Dan apakah kesudahan Empayar Othmaniyyah ini?”.

Demikian isi surat yang dihantar Sultan Sulaiman kepada Yahya Afandi.

‘Peka’ tugas rakyat jelata

Yahya Afandi segera menjawab soalan Sultan Sulaiman itu. Namun, jawapannya sangat ringkas dan memeningkan Baginda Sultan.

Apa kaitan perkara ini denganku, wahai Tuanku al-Sultan? Apa kaitannya denganku?”.

Demikian jawapan Yahya Afandi.

Sultan Sulaiman sangat hairan dan pening dengan jawapan Yahya Afandi itu. Apakah dalam jawapan itu mengandungi makna tersirat yang Baginda tidak fahami?

Baginda tiada jalan lain melainkan pergi menemui sendiri Yahya Afandi di tempat tinggalnya.

Setibanya di sana, Baginda mengajukan soalan yang sama seperti dalam surat yang dikirimkan, sambil menegur Yahya Afandi yang dilihatnya tidak serius menjawab soalan Baginda.

Beta berharap dari Tuan, wahai saudaraku, supaya menjawab soalan Beta dan menganggap persoalan ini serius.

Beta juga berharap agar Tuan memberitahu apakah maksud Tuan dengan jawapan yang Tuan berikan itu”, titah Sultan Sulaiman kepada Yahya Afandi.

Wahai Tuanku, tatkala kezaliman dan kerosakan berleluasa dalam sesebuah negara, dan setiap orang yang melihat kezaliman dan kerosakan ini berkata, “apa kaitannya perkara ini denganku” kerana sibuk dengan hal diri masing-masing sahaja...

Apabila ‘pengembala’ membaham ‘kambing’ yang dijaganya, sedang orang yang mengetahui dan mendengar hal ini mendiamkan diri...

Apabila teriakan fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan, mula meninggi ke langit dan tiada siapa yang mendengarnya selain pokok-pokok dan tanah...

Ketika itu, terserlahlah tanda-tanda kejatuhan sesebuah negara, terhakislah rasa kesetiaan rakyat terhadapnya…

Demikianlah kemalapan menjadi ketentuan yang tertulis ke atas sesebuah negara yang tiada jalan melarikan diri daripadanya”.

Penyakit & penawar

Begitulah jawapan Yahya Afandi kepada persoalan Sultan Sulaiman.

Kezaliman pemerintah dan ketidakpedulian rakyat terhadap ketidakadilan!

Itulah ‘barah’ dua serangkai yang menjadi penyebab keruntuhan sesebuah negara.

Sesebuah negara boleh terus bertahan jika pemimpinnya zalim, tetapi rakyatnya peka dan sentiasa jaga. Atau rakyatnya lena, tetapi penguasanya adil dan prihatin.

Tetapi, sesebuah negara akan tumbang tatkala kezaliman pemerintah digandingi dengan ketidakpedulian rakyat!

Tanggungjawab pemerintah dalam memelihara keutuhan sesebuah negara ialah dengan membela rakyat, bersikap adil dan saksama.

Manakala tanggungjawab rakyat ialah peka terhadap sebarang ketidakadilan dan sensitif terhadap apa jua kepincangan!

Untuk terus gah dan utuh, negara memerlukan pemerintah yang adil.

Yang penyayang.

Yang amanah.

Yang sedar bahawa dirinya adalah ‘pekerja’ kepada rakyat dan pemegang amanah mereka.

Untuk terus gah dan utuh, negara juga perlukan rakyat yang sensitif, peka dan sentiasa jaga terhadap apa jua perkembangan dalam negara.

Ya, pemerintah yang adil dan rakyat yang peka!

Itulah talian hayat sesebuah negara!


Justeru, disamping berusaha menjadi atau melahirkan pemimpin yang adil, jangan dilupa, usahakan juga agenda membentuk rakyat yang peka!

Wednesday 26 August 2015

Ulama 'mabuk'

Syaikh Muhammad al-Ghazali rhm, menceritakan...

"Aku berkata kepada seorang lelaki yang selalu meneguk arak, "tidakkah kamu mahu bertaubat kepada Allah?".

Lantas, dia memandangku dengan hiba, dan matanya menangis, serta berkata, "berdoalah kepada Allah untukku...".

Aku mengamati keadaan lelaki itu, dan hatiku merasa belas...

Sesungguhnya, tangisannya itu adalah satu perasaan betapa cuainya dia dalam mentaati Allah, juga satu kesedihan atas ketidakpatuhannya, dan keinginannya 'berbaik' dengan Allah...

Sesungguhnya, dia memang seorang mukmin, tetapi dia diuji [dengan dosa]...

Dia mengimpikan 'kesembuhan', dan meminta bantuanku untuk mendekatkan kesembuhan itu kepadanya.

Aku berkata kepada diriku, "boleh jadi, keadaanku sama dengan keadaan lelaki ini, atau lebih buruk lagi!".

Betul, aku tidak pernah mengecapi arak. Persekitaran yang aku diami, tidak mengenalinya. 

Tetapi, barangkali aku telah mengambil 'arak' kelalaian, yang menjadikanku banyak alpakan tuhanku, dan melupakan hak-hakNya.

Sesungguhnya, lelaki pemabuk itu menangis lantaran kecuaiannya...

Sedangkan aku dan orang-orang sepertiku (ulama), tidak menangis atas kecuaian yang dilakukan. 

Boleh jadi, kita tertipu dengan diri kita sendiri...

Aku beralih semula kepada lelaki yang meminta aku berdoa agar dia dapat meninggalkan arak itu.

Aku berkata kepadanya, "marilah kita sama-sama berdoa untuk diri kita :


ربنا ظلمنا أنفسنا وإن لم تغفر لنا وترحمنا لنكونن من الخاسرين

(Wahai tuhan kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampun dan merahmati kami, nescaya menjadilah kami dari golongan orang-orang yang rugi).
***
Hari ini, kita mencemuh sepenuh hati wanita-wanita yang mendedahkan aurat. Tapi, kita alpa akan keaiban diri sendiri yang sering terdedah kepada 'pandangan' Allah...

Kita mengutuk sekerasnya muda mudi yang bertingkah tidak sopan. Tapi, kita tidak begitu kisahkan 'kebiadapan' batin kita terhadap Allah...

Kita menghentam selantangnya penguasa kerana tidak melaksanakan hukum hakam syariat. Namun, kita sengaja melupakan yang kita juga sering membelakangkan syariat dalam kehidupan...

"Wahai kaumku, duhai bangsaku...
marilah kalian dan aku, bersama-sama memperbaiki dan mempersuci diri..."

Itulah bahasa yang terinspirasi daripada cerita Allamah Syaikh Muhammad al-Ghazali ini, yang sepatutnya menjadi tuturan setiap da'ie...

Dakwah bertolak dari jiwa da'ie yang sedar akan hakikat dirinya sendiri, bukannya dari jiwa yang merasakan dirinya suci...

Allahumma...

Tuesday 25 August 2015

Bolehkah bapa angkat mengakikahkan anak angkat?

Gambar hiasan.
Seorang rakan bertanya tentang akikah. Soalannya, bolehkah seseorang mengakikahkan anak angkatnya?

Dalam mazhab Syafie radhiyAllahu 'anhu, orang yang dituntut melakukan akikah, ialah 'induk yang wajib memberi nafkah kepada si anak'.

Dalam erti kata lain, orang yang dituntut melakukan akikah, ialah seorang induk, dan dalam masa sama berkewajipan memberi nafkah kepada si anak. 

'Induk yang wajib memberi nafkah kepada si anak', ialah bapa kandung.

Bapa kandung wajib memberi nafkah kepada anak kandungnya, selama mana anak itu di bawah jagaan dan tanggungjawabnya.

Oleh demikian, bapa angkat tidak dituntut (tidak sunat) mengakikahkan anak angkatnya.

Ini kerana, bapa angkat bukan induk kepada anak angkatnya itu.

Bapa kandung si anak angkat tadi, juga tidak dituntut melakukan akikah untuk anaknya itu (yang telah menjadi anak angkat kepada orang lain).

Ini kerana, beliau (bapa kandung anak angkat), sudah tidak berkewajipan memberi nafkah kepada anaknya itu (kerana telah menjadi anak angkat kepada orang lain).

Ringkasnya, akikah untuk anak angkat, tidak sunat dilakukan. Samada oleh bapa angkat, atau ayah kandungnya sendiri.  

Dalil

Sandaran kepada hukum di atas, ialah kenyataan Syaikh al-Bakri dalam karyanya, إعانة الطالبين :
المخاطب بالعقيقة هو الاصل الذي تلزمه نفقة فرعه

Terjemahan : [orang] yang dititahkan [melakukan] akikah, ialah 'induk yang wajib memberi nafkah kepada cabangnya (anak)'.

Oleh kerana bapa angkat bukanlah induk kepada anak angkatnya, maka dia tidak dituntut melakukan akikah untuk anak angkatnya itu.

Begitu juga dengan bapa kandung anak angkat tadi. 

Oleh kerana dia tidak lagi berkewajipan memberi nafkah kepada anaknya (yang sudah menjadi anak angkat orang lain), maka dia juga tidak dituntut melakukan akikah.

Ini dalil pertama.

Dalil kedua ialah qias.

Ulama mazhab Syafie ada menyebut perihal si anak yang berstatus hamba.

Katakan, seorang lelaki yang merdeka, berkahwin dengan seorang hamba. Bila hamba yang dikahwininya itu melahirkan anak, maka anak itu berstatus hamba berdasarkan status ibunya itu.

Dalam kes ini, Syaikh al-Bulqini rhm memfatwakan, si ayah yang merdeka tadi (induk), tidak dituntut untuk mengakikahkan anak kandungnya yang berstatus hamba itu. 

Ini kerana, dia tidak berkewajipan memberi nafkah kepada anak kandungnya itu. Tanggungjawab memberi nafkah tertanggung di atas tuan ibunya (yang secara automatik adalah tuannya juga).

Tuan ibunya juga tidak dituntut melakukan akikah untuknya (si anak). Ini kerana, dia (tuan) bukan induk bagi si anak.

Kenyataan Syaikh al-Bulqini-seperti yang tercatat dalam kitab أسنى المطالب-seperti berikut :


فَلَوْ كَانَ رَقِيقًا وَضَعَتْهُ جَارِيَةُ الْإِنْسَانِ أَوْ زَوْجَتُهُ الرَّقِيقَةُ لَمْ تَتَعَلَّقْ سُنِّيَّةُ الْعَقِيقَةِ بِوَالِدِهِ؛ لِأَنَّهُ لَا تَلْزَمُهُ نَفَقَتُهُ، وَلَا بِمَالِكِهِ؛ لِأَنَّهُ لَا يُنْسَبُ إلَيْهِ

Terjemahan : Jika dia (si anak) seorang hamba, yang dilahirkan oleh hamba wanita milik seseorang, atau [dilahirkan oleh] isterinya yang [berstatus] hamba, tidak 'tersangkut' kesunatan [melakukan] akikah pada ayahnya [yang merdeka]. 

[Ini] kerana tidak wajib ke atasnya (si ayah yang merdeka) memberi nafkah kepadanya (anak yang berstatus hamba). 

[Juga] tidak ['tersangkut' kesunatan melakukan akikah] pada tuannya (si anak), kerana dia (si anak) tidak dinasabkan kepadanya (tuan)"

Anak angkat (yang berada di bawah tanggungjawab ayah angkat), sama dengan anak yang berstatus hamba. 

Iaitu, sama dari segi orang yang memeliharanya, adalah bukan induknya (bapa angkat bukan induk anak angkat).

Dan, induknya pula (bapa kandung), tidak berkewajipan memberi nafkah kepadanya (kerana dia telah menjadi anak angkat kepada orang lain).

Oleh itu, tidak sunat dilakukan sebarang akikah untuk anak angkat sebagai mana anak yang berstatus hamba.

Wallahu a'lam.