Wednesday 28 December 2011

Bila ulama al-Azhar bertahlil untuk arwah Syaikh Emad...

Syaikh Emad Efat
Darul Ifta' Mesir (Majlis Fatwa Kebangsaan Mesir) nampaknya begitu terkesan dengan kematian Setiausaha badan itu, Syaikh Emad Efat.

Al-Marhum mati akibat terkena tembakan liar ketika berada di tengah-tengah para demonstran di hadapan Majlis Wuzara’(Majlis Menteri).

Sebagai lambang sanjungan ke atas al-Marhum, Darul Ifta' Mesir yang diketuai Mufti Mesir, Syaikh Ali Jum'ah telah mengadakan Majlis Ta’been untuk al-Marhum pada 20 Dis. 2011 yang lalu. Iaitu 4 hari selepas kematian beliau pada 16 Dis. 2011.

Ta’been bermaksud pujian (eulogy). Majlis Ta’been diadakan bagi memuji dan menyebut-nyebut kebaikan al-Marhum.

Majlis Ta’been tersebut menyaksikan kehadiran yang ramai. Hadirin terdiri daripada Mufti Mesir, Syaikh Ali Jum’at yang turut mewakili Syaikhul Azhar, ulama-ulama Darul Ifta', para pengikut dan murid al-Murhum Syaikh Emad.

Dalam majlis tersebut turut diadakan majlis bacaan al-Quran untuk disedekahkan kepada al-Marhum. Para hadirian mengkhatamkan al-Quran sebanyak 6 kali yang dibaca secara berjemaah.

Disebabkan begitu ramai yang mahu membaca al-Quran untuk disedekahkan kepada al-Marhum, ada ketikanya ditentukan kepada setiap hadirian 10 muka surat sahaja untuk dibaca.

Apa yang dilakukan oleh para ulama al-Azhar ini menyerupai apa yang diamalkan di Malaysia. Bezanya, apa yang dilakukan di Malaysia dianjurkan oleh keluarga si mati sebaik berlaku kematian.

Amalan sebegini dipertikaikan banyak pihak dengan bersandarkan kenyataan-kenyataan ulama Mazhab Syafie sendiri.

Penghargaan

Ketika berucap bagi menghamburkan pujian kepada al-Marhum Syaikh Emad, Mufti Mesir, al-Allamah Syaikh Ali Jum’ah hafizahullah, berucap sambil menangis teresak-esak lantaran kesedihan yang amat sangat di atas pemergian al-Marhum.

Sebagai tanda sanjungan terhadap al-Marhum, Syaikh Ali Jum’ah menamakan Ruwaq al-Atrak (Anjung Turki) di al-Azhar dan dewan terbesar di Darul Ifta' dengan nama al-Marhum.

Anjung Turki adalah tempat di mana al-Marhum Syaikh Emad menyampai kuliah mingguan beliau.

Mufti Mesir itu berkata, beliau juga akan menulis surat kepada Gabenor Kaherah supaya menukar nama jalan tempat Syaikh Emad dibunuh dan dinamakan dengan nama al-Marhum.

Jika nama jalan tersebut tidak dapat ditukar, beliau meminta dinamakan tempat tinggal al-Marhum dengan nama Emad Efat, jelas Syaikh Ali Jum'ah.

Syaikh Ali Jum’ah juga mengumumkan akan menyiarkan 130 jam rakaman kuliah yang disampaikan oleh al-Marhum Syaikh Emad kepada orang ramai.

Wakil Kementerian Wakaf Mesir yang turut hadir, turut menyatakan bahawa kementerian itu akan berusaha menamakan beberapa buah majid di Mesir dengan nama al-Marhum.

Penghargaan yang diberikan oleh para ulama Mesir yang diwakili Syaikh Ali Jum’ah kepada al-Marhum, memberi mesej yang bermakna. Iaitu sanjungan yang tinggi para ulama al-Azhar terhadap usaha al-Marhum memperjuangkan kebebasan dan kedaulatan rakyat Mesir.

Tuesday 27 December 2011

Tahun Baru 2012 : Bila diri sendiri 'dianaktiri' dalam keghairahan azam baru!

Tidak sedikit orang yang mahu membuka 'lembaran baru' dalam hidup...
Tetapi, ramai yang mahu memulakan hidup baru itu bila tibanya sempena tertentu.
Keadaan hidup stabil, perkahwinan, memasuki alam pekerjaan, adalah antara sempena yang dijadikan titik perubahan hidup.
Kesemuanya adalah sesuatu yang belum pasti. Ia mungkin berlaku, mungkin tidak.
Dengan tibanya tahun baru, ramai yang mahu menjadikannya titik tolak ke era hidup baru. Jika inilah keadaannya, maka ramai yang tersalah anggap.
Mereka menyangka, kekuatan untuk berubah itu akan tiba bersama sempena-sempena tadi.
Bila berkahwin, kekuatan untuk berubah akan bertunas dan seterusnya merimbun...
Tatkala keadaan hidup stabil, kemampuan untuk berhijrah akan terpasak dan kejap...
Bila mula bekerja atau tibanya tahun baru, kemahuan untuk menukar gaya hidup akan membuak-buak...
Kekuatan berubah dalam diri!
Semua ini adalah sangkaan. Ia adalah khayalan yang diutuskan oleh angan-angan.
Sebenarnya, perubahan hidup tidak terpancar dari semua sempena tadi. Ia sebaliknya terbit dan memancar dari dalam diri manusia, bukan dari luar diri mereka.
Jika diri manusia kuat, kental dan memiliki azam yang tinggi, mereka boleh berubah. Mereka boleh mencetuskan keajaiban  tanpa menanti kedatangan tahun baru, ataupun sempena-sempena tertentu.
Diri yang berkualiti juga tidak akan ditundukkan oleh suasana getir mahupun menekan. Sebaliknya, diri yang bermutu itu akan mengambil manfaat dan faedah dari suasana payah yang mengcengkam.
Ia tidak akan membuka ruang kepada keadaan untuk menawannya. Meskipun hidup dalam suasana yang keruh dan kelam, diri yang berkualiti terus hidup dalam keadaan jati diri dan keperibadiaannya kekal utuh dan tidak tercemar.
Ia umpama benih pepohon berbunga yang tertanam di dalam tanah yang hitam dan cemar.
Meskipun demikian, ‘jatidiri’nya tidak terusik. Ia kekal dalam keutuhan. Dengan ‘jatidiri’ yang tulen itu, ia menebuk tanah-tanah hitam dan pudar untuk menjenguk ke dunia luas, sambil menebarkan wangian dan warnanya yang gemilang!
Demikianlah diri yang berkualiti!
Ia tidak menyerah kalah kepada keadaan. Sebaliknya ia mencanai keadaan untuk melakarkan keajaiban!
Justeru, usahlah terus menganyam sangkaan dan angan-angan.
Sesungguhnya, masa yang anda sedang berada di dalamnya kini, diri anda yang dikenali orang dengan nama anda sekarang, dan suasana yang sedang anda alami saat ini, adalah satu-satunya tunjang yang akan menentukan masa depan anda.
Maka, tidak ada ruang untuk berlambat-lambat atau menangguhkan perubahan hidup!
Ketahuilah, menangguhkan proses perubahan hidup, hanya bermakna memanjangkan keadaan perit yang anda sedang hadapi, yang sepatutnya anda berusaha segera membebaskan diri dari taklukannya.
Ia juga bermakna kekekalan anda dalam keadaan kalah berhadapan dengan tuntutan hawa nafsu yang mengajak anda memanjangkan rehat dan bersenang lenang.
Alangkah indahnya jika manusia sentiasa memperbaiki diri dan mengubah keadaan dirinya setiap masa.
Memperbaiki diri dengan sentiasa meneliti kelemahan dan kekurangan diri sendiri untuk diperbaiki dari semasa ke semasa.
Diri sendiri dianak tiri!
Bila kita pulang ke rumah, tentunya rumah berselerak dan tidak teratur. Pastinya kita tidak sempat mengemaskan rumah di waktu pagi kerana berkejar ke tempat kerja.
Sebaik tiba di rumah, kita akan mengemaskan rumah...
Barang-barang disusun semula seperti keadaannya yang asal...
Sampah-sampah dibuang. Kekotoran dibersihkan...
Jika itulah yang kita lakukan ke atas rumah kita, maka apakah diri kita tidak berhak dilayan seperti itu?
Tidakkah diri kita lebih berhak di‘kemas’kan setiap hari seperti rumah kita juga?
Tidakkah ‘kotoran’ yang melekat pada diri kita, lebih perlu dibersihkan setiap ketika seperti kita membersihkan kotoran di rumah kita?
‘Sampah-sampah’ yang bertimbun dalam diri, tidakkah sangat mustahak untuk dibuang dari semasa ke semasa, seperti mana dari semasa ke semasa kita membuang sampah yang berselerak di rumah kita?
Adalah sangat tidak adil apabila rumah atau kereta kita dibersihkan setiap hari. Atau dibersihkan bila sahaja terdapat kotoran. Tetapi diri kita, hanya diperbaiki bila masuknya tahun baru!
Syair Arab bergurindam “Peliharalah kesejahteraan hati dari suatu penyakit, kerana sukar sekali memperbaikinya kalau sekali telah rosak”.
Bapak Hamka juga ada bermadah, “tiap-tiap orang takut cacat dirinya. Di sini, nyata bahwa manusia tidak ingin kerendahan. Semua suka kemuliaan. Tetapi, jarang orang yang tahu akan aibnya, dan tidak tahu akan aib diri, adalah aib yang sebesar-besarnya”(Tasauf Moden hlm.143).
Tahukah anda, bagaimana cara menimbulkan keinginan untuk berubah? Anda di cadangkan mempraktikkan saranan-saranan berikut :

i.          Lihat kejayaan yang telah dicapai oleh orang yang paling hampir dengan kita         seperti adik beradik, saudara-mara, jiran dan sahabat
ii.         Analisis kehinaan yang kita hadapi jika kita tidak berubah
iii.        Lihat kemajuan yang dicapai oleh orang yang lebih muda daripada kita
iv.        Wujudkan keinginan untuk melancong ke luar negara
v.         Kenangi kesilapan masa silam ketika muhasabah diri
vi.        Berusaha untuk mempunyai anak yang ramai
vii.       Berdoa kepada Tuhan agar hati kita didorongi untuk berubah
(Fadzilah Kamsah, Menerobos Sempadan Diri, hlm3).

Tuesday 20 December 2011

Hadapi karenah manusia dengan jiwa besar...

Manusia banyak karenahnya...

Karenah adalah 'tunas' kepada 'benih' kerendahan budi. Ia juga boleh 'berpucuk' dari 'dahan' akal separa masak.

Sesiapa yang hidup bermasyarakat, pasti akan berhadapan dengan karenah mereka yang rendah budi dan akal mentah.

Karenah tidak boleh didepani dengan lentingan. Ia hanya akan merumitkan keadaan. Ia juga tidak mendidik mereka yang rendah budi dan berakal mentah.

Apatah lagi sikap biadap atau kebudak-budakan. Ia bukan jawapan kepada karenah yang bertandang.

Karenah 'disambut' dengan akhlak mulia, bukan dengan akhlak yang sama dengan pencetus karenah, yang rendah budi dan mentah akal.

Salaf & karenah manusia

Lembaran sirah para salafussoleh sarat dengan panduan menghadapi karenah manusia.

Penelusuran denai-denai sirah mereka, menemukan kita dengan formula mereka melayani karenah-karenah yang sememangnya 'meletihkan'.

Seorang lelaki berkata kepada Syaidina Abu Bakar radhiyallahu 'anhu  :

والله لأسبنك سبًّا يدخل معك قبرك

"Demi Allah, aku akan mencelamu dengan celaan yang akan masuk bersamamu ke dalam kuburmu!"

As-Siddiq r.a tidak melenting.

Kata-kata sekeras itu tidak menggelorakan 'lautan' jiwa dan 'ombak' emosinya.

Beliau r.a hanya menjawab dengan tenang :

بل يدخل معك لا معي

"Tidak begitu. Celaan [mu ke atasku itu] masuk bersamamu [ke dalam kuburmu], bukan denganku".

Pada suatu malam, Umar Abdul Aziz radhiyallahu 'anhu bersolat dalam Masjid Umayyah. Suasana agak gelap disebabkan lampu masjid padam.

Tanpa sengaja, kaki beliau terlanggar kaki seorang lelaki yang sedang tidur.

"Kau ni keldai ke!?", jerkah si lelaki.

Hati Umar Abdul Aziz tidak disambar gelora marah. Darahnya tidak menggelegak oleh nyalaan makian yang kesat.

Walaupun seorang khalifah, beliau hanya menjawab dengan tawaduk :

لا..أنا عمر بن عبد العزيز ولست حماراً

"Tidak...Saya Umar Ibn Abdul Aziz. Saya bukan keldai".

Seorang lelaki memaki hamun asy-Sya'bi. Namun, al-Sya'bi hanya berkata kepada orang yang memakinya :

 إن كنت صادقًا ، فغفر الله لي ، وإن كنت كاذبًا فغفر الله لك

"Andai kamu benar (dalam maki hamun kamu terhadapku), mudah-mudahan Allah mengampunkanku. Andai kamu berbohong, mudah-mudahan Allah mengampunkanmu".

Tiada dendam. Tiada gelora perasaan...

Daripada sikap yang ditampilkan oleh para salafussoleh ini, boleh disaring formula mereka melayani karenah buruk manusia. Iaitu, melayani karenah manusia dengan akhlak mereka yang mulia, bukan dengan akhlak buruk pencetus karenah.

Dalam olahan kata kunci, formula ini boleh disebut sebagai 'layanilah karenah manusia dengan akhlak anda, bukan dengan akhlak mereka'.

Formula fikiran positif

Formula lain bagi menghadapi karenah manusia, dikemukakan oleh Abdullah Ibn Muti'.
Suatu hari, isteri beliau berkata :

ما رأيت ألأم من أصحابك، إذا أيسرت لزموك، وإن أعسرت تركوك

"Aku tidak pernah melihat [orang] yang lebih teruk daripada sahabat-sahabatmu...Apabila kamu senang, mereka mendampingimu, apabila kamu susah, mereka meninggalkanmu".

Memang menyakitkan.

Didampingi ketika senang, ditinggalkan sendirian di kala kesusahan. Inilah sebahagian daripada karenah manusia bernama sahabat dan rakan.

Abdullah walau bagaimana pun, tidak meratapi nasibnya dilayani sebegitu oleh sahabat dan taulan.

Beliau sebaliknya memujuk hatinya dengan berkata :

هذا من كرمهم، يغشوننا في حال القوة منا عليهم، ويفارقوننا في حال العجز منا عنهم

"[Sikap mereka] ini adalah [sebahagian] daripada [sifat] baik mereka [terhadapku]. Mereka mengerumuni kita dalam keadaan kita mampu [melayani] mereka, dan meninggalkan kita ketika kita lemah [dan tidak mampu] melayani mereka".

Kata-kata ini memperihalkan satu lagi formula mendepani karenah manusia. Iaitu melihat karenah itu dari sisi positif.

Memang benar, sikap yang ditunjukkan para sahabat Abdullah itu suatu yang negatif. Namun, ada sisi positifnya. Iaitu kehadiran mereka ketika beliau senang, memungkinkan beliau melayani mereka.

Sementara kehilangan mereka ketika beliau kesusahan, satu rahmat ke atas beliau kerana mereka menghilangkan diri di saat yang tepat. Iaitu di saat beliau susah dan tidak mampu melayani mereka.

Agar terus teguh dan tenang menghadapi karenah manusia, diri perlu dididik melihat sesuatu dari sisi positif.

Usahlah hanya asyik melihat duri yang melingkungi sekuntum mawar indah, tetapi lihatlah juga titisan-titisan embun yang bertenggek di atasnya sebagai mahkota berkilauan.

Bak kata syair :

ترى الشوك في الورود وتعمى   أن ترى فوقها الندى إكليلا

"Dikau melihat duri-duri pada [jambangan] mawar, sedang dikau rabun untuk melihat [titisan-titisan] embun di atasnya sebagai mahkota"

Agar kita terus dilihat berjiwa besar...
Agar kita dinilai seorang yang berwibawa...
Agar kita tidak  seperti kebudak-budakan...
Agar kita tidak setaraf budak hingusan...

Layanilah karenah manusia dengan akhlak kita yang mulia, bukan dengan akhlak orang yang rendah jiwa dan akal mentah...dan terokailah sisi positif setiap kerenyahan tabiat manusia...

Thursday 15 December 2011

Ikhwan nafi mahu 'mengislamkan' Mesir!

Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin

Kenyataan terbaru Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin (IM), Dr Muhammad Badi' sangat menarik.

Aljazeera melaporkan, beliau berkata, IM tidak bercadang untuk 'mengislamkan' Mesir. Menurut beliau, pendirian ini diambil kerana Mesir memang sebuah Negara Islam.

Justeru, proses 'pengislaman', atau menjadikan Mesir sebagai sebuah Negara Islam, tidak diperlukan. Kerana ia sudah sedia Islam dan berstatus Negara Islam.

Pendirian ini -secara tidak langsung- memperlihatkan sikap IM terhadap status negara Mesir. Iaitu, ia sebuah negara Islam.

Nampaknya, pada pandangan IM, ketiadaan perlaksanaan hudud serta ajaran-ajaran Islam yang lain, tidak menghilangkan status 'Negara Islam' sesebuah negara milik umat Islam.

Sebagaimana yang dimaklumi, seperti negara-negara umat Islam yang lain, Mesir juga tidak melaksanakan hudud.

Kepekaan IM

IM nampaknya peka terhadap persepsi negatif masyarakat umum terhadap konsep Negara Islam. Iaitu ia sebuah negara autokratik yang memerintah di atas nama tuhan. Sama seperti negara-negara Eropah di kurun pertengahan, yang diperintah oleh institusi gereja.

Negara Islam juga, seperti yang bersarang dalam kepala banyak pihak, adalah negara ala Taliban, Iran atau Arab Saudi, yang dilihat akrab dengan pendekatan keras dan mengongkong.

Oleh sebab ini, sejak awal-awal lagi IM mengelak daripada membuat pengisytiharan penubuhan Negara Islam di Mesir.

IM menyedari-disebabkan faktor persepsi negetif ini-laungan keinginan menegakkan Negara Islam, akan mendatangkan beban ke atas pertubuhan itu.

Laungan ini menuntut IM menjelaskan hakikat sebenar konsep Negara Islam. Ia juga menagih daripada IM agar menerangkan perbezaan Negara Islam dengan negara autokratik.

Dengan laungan ini, IM juga perlu bekerja keras menerangkan bahawa Negara Islam yang mahu ditubuhkannya, tidak sama dengan negara ala Taliban, Iran atau Arab Saudi. Malah, IM mungkin juga akan ‘dipaksa’ menerbitkan dokumen Negara Islam!

Dalam keadaan ketiadaan model yang jelas tentang Negara Islam yang boleh diterima oleh masyarakat semasa, tugasan-tugasan di atas bukan mudah. Disamping ia memerlukan masa, yang sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih bermakna.

Namun, dengan pengisytiharan Mesir sebagai Negara Islam, kesemua beban ini dapat dielakkan.

Agenda Islam

Pengisytiharan ini sebenarnya tidak akan menghalang IM dari melaksanakan agenda Islam di Mesir jika ia memerintah negara itu. Kerana Negara Islam dengan makna menyeluruh, secara umumnya tidak bertentangan dengan mana-mana negara sivil, kecuali dalam soal kanun jenayah.

Ketelusan, keadilan, mengutamakan rakyat, integriti, kebajikan sosial, kesemuanya tuntutan Islam yang besar. Dan inilah tuntutan masyarakat sedunia.

Dengan pendirian ini, IM memperlihatkan ketangkasannya membaca realiti semasa.

Kepekaan IM terhadap realiti telah menyelamatkannya terjebak dalam kesilapan yang dilakukan oleh sesetengah pergerakan Islam. Iaitu, sejak awal-awal lagi bermati-matian melaungkan keazaman menegakkan Negara Islam, tanpa mengambil kira realiti semasa. 

Akibat kegagalan membaca realiti, akhirnya, cita-cita penubuhan Negara Islam itu terpaksa ‘disembunyikan’, dan ditutup dengan nama dan agenda-agenda lain yang bersifat sejagat.

Ini adalah sebahagian daripada feqh siyasi yang ditampilkan oleh IM.

InsyaAllah, pada hari-hari mendatang, pergerakan Islam induk itu akan terus mempamerkan aksi politiknya yang boleh menjadi panduan kepada pergerakan-pergerakan Islam di serata dunia.

Wednesday 7 December 2011

Hukum rumah sewa dijadikan homestay

Seorang sahabat saya bertanya tentang satu masalah berkaitan ijarah (akad sewaan). Iaitu, seorang  menyewa sebuah rumah kediaman, kemudian menjadikannya sebagai homestay.

Apakah diboleh tindakan seperti ini?
Dalam erti kata lain, bolehkah seseorang menyewakan sesuatu yang disewanya (seperti rumah), kepada orang lain?
Jika pemilik rumah membenarkannya berbuat demikian, tidak timbul sebarang kemusykilan. Kemusykilan timbul apabila rumah yang disewa itu, dijadikan homestay, tanpa keizinan pemilik rumah.
Sebagaimana biasa, persoalan ini akan ditinjau melalui jendela Mazhab Syafie. Pandangan mazhab-mazhab lain, hanya akan disebut jika ada keperluan.
Alhamdulillah, persoalan ini telah dijawab oleh Imam Nawawi radhiyALLAHu ‘anhu dan para ulama Mazhab syafie yang lain.
Semoga Allah menurunkan rahmat yang mencurah-curah ke atas mereka. Ameen.
Dalam karyanya, Minhaj at-Tolibeen, Imam Nawawi radhiyALLAHu ‘anhu berkata :
وللمكتري استيفاء المنفعة بنفسه وبغيره
Terjemahan : Dan bagi penyewa [hak untuk] mengambil manfaat [daripada benda yang disewa] dengan dirinya sendiri, dan dengan [perantaraan] orang lain.
Maksud mengambil manfaat barang sewaan ‘dengan [perantaraan] orang lain’, ialah memberikan barang sewaan itu kepada orang lain, untuk digunakan atau dipakai.
Kaedah mengambil manfaat
Matan Minhaj di atas, memperihalkan tentang cara penyewa boleh mengambil manfaat daripada barang yang disewanya.
Cara pertama, penyewa itu sendiri yang mengambil manfaat daripada barang sewaan.
Maksudnya, jika benda yang disewa itu sebuah rumah, penyewa itu sendiri yang mendiami rumah tersebut. Jika barang sewaan itu kenderaan, penyewa itu sendiri yang menggunakannya. Andai barang sewaan itu baju, penyewa itu sendiri yang memakainya.
Cara kedua, penyewa mengambil manfaat daripada barang sewaan dengan perantaraan orang lain.
Maksudnya, jika barang yang disewanya ialah sebuah rumah, penyewa memberikannya kepada orang lain untuk didiami. Jika yang disewanya kenderaan, penyewa memberikannya kepada orang lain untuk ditunggangi. Andai barang yang disewanya pakaian, penyewa memberikannya kepada orang lain untuk dipakai.
Kedua-dua cara mengambil manfaat daripada barang sewaan di atas, adalah harus seperti yang dinyatakan Imam Nawawi r.a.
Oleh demikian, seseorang yang menyewa sebuah rumah kediaman sebagai contoh, boleh memberikannya kepada orang lain untuk didiami secara percuma. Dia juga boleh sewakan rumah kediaman tersebut kepada orang lain.
Ini dinyatakan oleh Syaikh Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj ketika menghuraikan matan Minhaj di atas.
Beliau mengatakan :
كما يجوز أن يؤجر ما استأجره من غيره
Terjemahan : Begitu juga harus [bagi penyewa] menyewakannya (barang yang disewa) kepada orang lain.
Perkara yang sama dinyatakan oleh Iman Syirazi dalam al-Muhazzab, iaitu :
وللمستأجر أن يؤجر العين المستأجرة إذا قبضها لان الإجارة كالبيع وبيع المبيع يجوز بعد القبض فكذلك إجارة المستأجر، ويجوز من المؤجر وغيره كما يجوز بيع المبيع من البائع وغيره
Terjemahan : Penyewa boleh menyewakan benda yang disewa [nya kepada orang lain] apabila dia mengambilnya (benda yang disewa), kerana sewaan [sama] seperti jual beli.
Menjual 'barang belian' harus [dilakukan oleh pembeli] selepas pengambilalihan (qabadh) [barang jualan]. Maka, demikian juga penyewaan [barang sewaan yang dilakukan oleh] penyewa.
Harus [penyewa menyewakannya] kepada pemberi sewa atau [kepada] orang lain, sebagaimana harus menjual 'barang belian' kepada penjual atau [kepada] orang lain.
Dalil
Ringkasnya, penyewa berhak memberikan barang sewaan untuk digunakan oleh orang lain, secara percuma. Penyewa juga berhak menyewakannya kepada orang lain.
Sebabnya, 'manfaat barang sewaan' (rumah, kenderaan, baju dll) adalah milik penyewa. Justeru, penyewa berhak memberikan 'manfaat barang sewaan' yang dimilikinya itu, kepada orang lain, samada secara percuma atau berbayar.
Kedudukan ‘manfaat barang sewaan’ sama seperti kedudukan ‘barang jualan’ (mabi’) dalam akad jual beli. Barang jualan adalah milik pembeli. Justeru, pembeli berhak memberikannya kepada orang lain, atau menjualnya.
Demikian juga halnya ‘manfaat barang sewaan’ dalam akad ijarah.
Oleh demikian, penyewa berhak menyewakan rumah (sebagai contoh) yang disewanya, kepada orang lain, tanpa timbul soal keizinan pemilik.
Oleh kerana 'manfaat barang sewaan' adalah milik penyewa, maka pemilik (pemberi sewa) tidak berhak menyekat tindak tanduk penyewa terhadap miliknya itu (manfaat barang sewaan).
Oleh sebab itu, jika pemilik (pemberi sewa) mensyaratkan agar 'manfaat barang sewaan' hanya boleh diambil oleh penyewa, dalam erti kata lain, barang sewaan hanya boleh digunakan oleh penyewa, maka akad ijarah tersebut tidak sah, dan terbatal menurut salah satu pendapat dalam Mazhab Syafie (Rujuk: al-Majmuk).
Sama seperti penjual yang mensyaratkan kepada pembeli, bahawa barang yang dijualnya tidak boleh dijual oleh pembeli.
Ini dijelaskan oleh Syaikh Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj. Beliau berkata :
فلو شرط استيفاءها عليه بنفسه لم يصح كما لو باعه عينا وشرط أن لا يبيعها
Terjemahan : Jika [pemilik] mensyaratkan kepadanya (penyewa bahawa) pengambilan manfaat [daripada] nya (barang sewaan) [hanya boleh diambil] dengan dirinya [sahaja], tidak sah [syarat itu], [sama] seperti dia (pemilik) menjual kepadanya (penyewa) [sesuatu] benda dan mensyaratkan [kepadanya] agar tidak menjualnya.
Jawapan
Kesimpulan daripada kenyataan dan huraian di atas, seseorang yang menyewa rumah kediaman, boleh menjadikan rumah kediaman tersebut sebagai homestay, meskipun tanpa keizinan pemilik.  
Ini kerana, ‘mengubah rumah kediaman menjadi homestay’, adalah sama dengan tindakan menyewakannya kepada orang lain.
Oleh itu, jika pemilik mensyaratkan rumah yang disewa oleh penyewa, tidak boleh dijadikan homestay, maka akad ijarah tersebut terbatal.
Wallahu a’lam.

Tuesday 6 December 2011

Pilihan raya Mesir : Ke arah mana langkah Ikhwan Muslimin?


Setelah mendapat sokongan tertinggi (40%) dalam pilihan raya Mesir, setakat hari ini (6 Dis 2011), masih belum jelas bentuk 'pakatan politik' yang akan dimenterai oleh pertubuhan Ikhwan Muslimin, yang diwakili oleh Hizb Hurriyyah Wal 'Adalah (FJP).

Ada kemungkinan FJP akan bergabung dengan Hizb an-Nur, parti beraliran salafi yang menduduki tempat kedua dengan 20% undi. Kebarangkalian FJP bergabung dengan parti-parti liberal yang lain, juga tidak dapat ditolak.

Agensi berita Jerman memetik daripada Ketua Hizb an-Nur, Imad Abd Ghafur sebagai berkata, bahawa beliau tidak menolak kemungkinan jalinan kerjasama antara partinya dan Ikhwan Muslimin serta cabang politiknya, Hizb Hurriyah Wal Adalah (FJP), bagi membentuk Kerajaan atau Parlimen Perikatan.

Namun, beliau mensyaratkan perikatan itu mesti wujud dalam bentuk Perikatan Kebangsaan yang menyeluruh, bukannya perikatan yang melibatkan parti-parti beraliran Islam semata-mata.

Beliau menegaskan, kewujudan perikatan antara aliran Islam semata-mata, akan menambahkan lagi perpecahan rakyat Mesir dan bertentangan dengan kemaslahatan ummah.

FJP gabung dengan parti liberal?

Walau bagaimana pun, ketua FJP, Muhammad Mursy mengambil sikap mendiamkan diri berhubung kerjasama atau perikatan politik yang bakal dibentuk.

Beliau dilaporkan berkata, perbincangan tentang perikatan politik dalam parlimen akan datang, atau pembentukan Kerajaan Perikatan, masih belum tiba masanya. (sumber :aljazeera.net)

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad al-Baradei, salah seorang calon presiden meramalkan, dalam usaha membentuk majaroti di parlimen, IM akan memilih untuk membentuk perikatan dengan parti-parti liberal, bukannya aliran salafi.

Asas kepada jangkaan beliau itu ialah potensi parti-parti liberal yang memperolehi 13.4%, untuk menjadi pengimbang kepada unsur-unsur ekstrimis.
(sumber : aljazeera.net)


Di atas asas IM sebuah pergerakan Islam yang berpegang kepada pemikiran Islam yang sederhana, bukan sesuatu yang mustahil pergerakan itu akan menolak kerjasama dengan aliran salafi, yang dilihat mewakili jalur keras dan literalis dalam pemahaman agama.

Cakap-cakap tentang demokrasi samada halal atau haram, dan sejauh mana larangan wanita memandu kereta boleh dilaksanakan di Mesir, yang mula kedengaran di kalangan aliran salafi-seperti yang didakwa oleh Baradei-menguatkan lagi ramalan beliau itu.

Sunday 4 December 2011

Pilihanraya Mesir : Aliran Islam terajui parlimen

Aljazeera.net melaporkan, Hizb al-Hurriyyah Wa al-'Adalah (Free & Justice Party), parti yang mewakili Ikhwan Muslimin, memperolehi sekitar 40% undi dalam pusingan pertama pilihan raya Mesir.
Jumlah undi yang diperolehi itu adalah berdasarkan keputusan penuh yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya negara itu.
Dengan jumlah undi tersebut, FJP menduduki tempat pertama dari segi jumlah sokongan. Mengiringi parti itu ialah parti aliran salafi, iaitu  Hizb an-Nur yang memperolehi 20% undi, dan diikuti dengan al-Kutlah al-Misriyyah yang mendapat 15% undi.
Menduduki tempat ke empat ialah Hizb al-Wasat dengan 6% undi, yang juga merupakan sebuah parti beraliran Islam.
Ini bermakna, secara keseluruhannya, aliran Islam Mesir yang diwakili oleh FJP, Hizb an-Nur dan Hizb al-Wasat, memperolehi sebanyak 66% undi dalam pilihan raya pertama pasca Revolusi Mesir 25 Januari 2011.
Keputusan penuh ini mengesahkan ramalan Hasan Nafi'ah, Professor Sains Politik di Universiti Kaherah, bahawa parlimen Mesir akan diterajui oleh aliran Islam.
Peratusan keluar mengundi
Dari segi peratusan keluar mengundi, pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Mesir, Abdul Mu'iz Ibrahim mengesahkan, peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya parlimen pertama sejak kejatuhan Husni Mubarak itu ialah sebanyak 62%.
Beliau menyifatkan jumlah tersebut sebagai tertinggi dalam sejarah Mesir. Ini bermakna, daripada 13.6 juta rakyat Mesir yang layak mengundi, seramai 8.4 juta yang telah keluar mengundi.
Seperkara yang menarik dalam pilihan raya ini ialah jumlah undi rosak atau ditolak yang boleh dikatakan tinggi, iaitu sebanyak 517,967. Manakala jumlah anggota badan kehakiman yang menyelia pilihan raya ini ialah seramai 10,143 orang.(sumber : aljazeera.net)
Mesej
Berhadapan dengan penguasaan aliran Islam Mesir ini, apa yang paling penting ialah menganalisis faktor-faktor kejayaan mereka untuk dijadikan teladan.
Tidak cukup hanya sekadar mengucapkan tahniah kepada mereka di atas kejayaan itu tetapi tidak mengambil iktibar daripadanya...

Thursday 1 December 2011

Menarik tentang pilihanraya Mesir

Tinjauan terhadap perjalanan pilihanraya Mesir pasca Revolusi 25 Januari 2011, menemukan beberapa perkara menarik.
Tarikan utama pilihanraya negara republik itu, ialah penguasaan aliran Islam yang diwakili Ikhwan Muslimin, parti-parti aliran Salafi dan Hizb al-Wasat.
Menurut Dr. Hasan Nafi’ah, professor Sains Politik Universiti Kaherah, aliran Islam dijangka memenangi sebanyak 60% kerusi di Parlimen Mesir.
Ini bermakna, menurut beliau, parlimen Mesir akan datang adalah parlimen yang berbentuk islamik, iaitu parlimen yang diterajui oleh aliran Islam. Dalam erti kata lain, Mesir akan diperintah oleh aliran Islam.
Menurut beliau lagi, keputusan pilihanraya pusingan pertama ini, dijangka tidak banyak berbeza dengan keputusan pilihanraya pusingan kedua dan ketiga, yang bakal diadakan pada Jun nanti.
Tarikan kedua ialah penglibatan aliran Salafi dalam pilihnaraya. Perkembangan ini dilihat sebagai satu ‘pemecahan’ tradisi dan prinsip aliran Salafi.
Aliran Salafi diketahui umum mengambil sikap menjauhi persoalan politik. Aliran ini juga melihat pembentukan parti-parti politik dalam negara Islam, sebagai ‘penganjuran’ kepada perpecahan ummah.
Keputusan tidak rasmi pilihanraya ini juga menarik, kerana parti yang diasaskan oleh para pemuda yang mencetuskan Revolusi 25 Januari, setakat ini dijangka hanya memperolehi paling banyak 5% undi.
Terdapat beberapa analisis yang dikemukakan bagi menjelaskan keadaan ini.
Tarikan keempat ialah semangat luar biasa rakyat Mesir keluar mengundi. Disebabkan terlalu ramai yang keluar mengundi, keputusan pilihanraya yang sepatutnya diumumkan pada Khamis (4 Dis.2011), terpaksa ditunda ke hari Jumaat (4 Dis. 2011).
Ini disebabkan proses pengiraan undi masih belum selesai pada waktu yang ditetapkan.
Bilik Gerakan Pilihanraya juga menerima banyak aduan berkenaan banyak peti undi yang penuh, dan tidak mampu menampung kertas undi pengundi-pengundi yang masih belum mengundi.
Seperti pilihanraya Tunisia, pilihanraya Mesir sangat menarik dan sangat ditunggu-tunggu.
Ini kerana ia akan memberi peluang kepada pemerhati untuk melihat bagaimana Ikhwan Muslimin, ibu kepada segala pergerakan Islam di zaman moden, ‘berpencak’ di gelanggang politik dalam sebuah negara demokrasi.
Penerjunan ibu gerakan Islam ini ke kancah politik, akan membekalkan kepada umat Islam sedunia model baru politik Islam yang boleh dijadikan pedoman dan panduan.