Friday 31 May 2013

Sembelih tanpa 'ar-rahman ar-rahim' & 'lautan' Feqh Islami

"Bila kita menyembelih haiwan, kita hanya baca 'bismillahirrahman' (tanpa 'ar-rahim'), bukannya 'bismillahirrahmanirrahim'.Sebabnya, 'ar-rahim' itu bermaksud 'Yang Maha Penyayang'.

Jadi, tidak sesuai disebut 'bismillahirrahmanirrahim' ketika menyembelih. Sebab perbuatan menyembelih itu, satu kesakitan bagi haiwan. Tidak sesuai menyebut sifat penyayang Allah, ketika melakukan sesuatu yang menyakitkan haiwan", kata sepupu saya.

Katanya lagi, hal ini dituturkan oleh imam masjid di kampung saya, yang pernah belajar di salah sebuah pondok suatu ketika dahulu. Sepupu saya itu memberitahu perkara ini kira-kira 13 tahun lepas.

"Tak betul tu. Nabi sallallahu 'alaihi wasallam sendiri sebut, 'setiap perkara yang penting, yang tidak dimulai dengan 'bismillahirrahmanirrahim', maka ia kurang berkat'. 

Maknanya, semua perkara yang penting, disunatkan dimulai dengan 'bismillahirrahmanirrahim'.

Jadi, mengapa pula hanya baca 'bismillahirrahman' (tanpa 'ar-rahim') ketika menyembelih!?", kata saya dengan nada tegas.

Maklumlah, ketika itu saya baru balik bercuti ke Malaysia setelah melalui beberapa semester pengajian di Universiti Mu'tah, Jordan.

Bantuan Tafsir al-Quran

"Satu lagi, 'ar-rahman' dan 'ar-rahim' itu, kedua-duanya bermakna 'penyayang'. Cuma bezanya, menurut ulama tafsir, 'ar-rahman' itu sifat penyayang Allah yang merangkumi semua makhluk, termasuk orang-orang kafir. 

Manakala, 'ar-rahim' pula, adalah sifat penyayang Allah yang hanya khusus ditumpahkan kepada orang-orang yang beriman", saya mengukuhkan hujjah berpandukan pengajian tafsir di Universiti Mu'tah.

Semasa di Jordan, saya sempat memberitahu kata-kata imam kampung saya itu kepada Ustaz Zulkifli al-Bakri (sekarang Dr. Zulkifli), yang ketika itu datang menziarahi Mu'tah. Sekitar tahun 1999. 

Waktu itu, beliau sedang menyambung pelajaran di peringkat Masters di salah sebuah universiti di Syria.

"Tak betul tu. Itu hanya buah fikiran dia sendiri", kata Ustaz Zul memberi komentar terhadap kata-kata imam kampung saya itu.

Hari ini (30 Mei 2013), saya terbaca salah sebuah kitab Feqh Syafie yang masyhur. Iaitu Hasyiah al-Bujairimi 'Ala al-Khateeb. Ia sebuah kitab yang memperincikan satu lagi kitab Feqh Syafie yang masyhur, iaitu Mughni al-Muhtaj, karang Syaikh Khateeb al-Syarbeeni.

Dalam Hasyiah al-Bujairimi itu-ketika memperkatakan tentang adab-adab menyembelih haiwan-dicatatkan seperti berikut :


( وَأَنْ يَقُولَ عِنْدَ ذَبْحِهَا ) أَيْ وَإِرْسَالِ الْجَارِحَةِ .قَوْلُهُ : ( بِسْمِ اللَّهِ ) وَالْأَكْمَلُ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ وَقِيلَ لَا يَقُولُ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ لِأَنَّ الذَّبْحَ فِيهِ تَعْذِيبٌ وَالرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ لَا يُنَاسِبَانِهِ... وَقَالَ الْمَالِكِيَّةُ : لَا يَزِيدُ الذَّابِحُ "الرَّحْمَنَ الرَّحِيمَ" لِأَنَّ فِي الذَّبْحِ تَعْذِيبًا وَقَطْعًا وَ"الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ" اسْمَانِ رَقِيقَانِ وَلَا قَطْعَ مَعَ الرِّقَّةِ ، وَلَا عَذَابَ مَعَ الرَّحْمَةِ .

Terjemahan : "Hendaklah [penyembelih] menyebut ketika menyembelihnya (haiwan), dan [juga] ketika melepaskan anjing buruan, 'bismillah'. Dan yang lebih sempurna [ialah disebut] 'bismillahirrahmanirrahim'. 

[Ada] dikatakan [sesetengah ulama], [penyembelih] tidak [boleh] menyebut 'bismillahirrahmanirrahim' [ketika menyembelih haiwan] kerana [perbuatan] menyembelih itu, [merupakan] satu azab [ke atas haiwan], dan [oleh itu menyebut] 'bismillahirrahmanirrahim' tidak sesuai denganya (perbuatan menyembelih)...

[Ulama-ulama] Mazhab Maliki berkata, seseorang penyembelih, tidak [boleh] menambah 'arrahmanurrahim'  [ketika menyembelih haiwan, sebaliknya hanya berpada dengan bacaan 'bismillah'] kerana [perbuatan] menyembelih [merupakan] satu azab dan pemotongan [ke atas haiwan]. 

Sedangkan 'ar-rahman' dan 'ar-rahim' [adalah] dua nama yang lembut [dari segi makna dan pengertiannya]. Justeru, [logiknya] tiada pemotongan [leher haiwan] bersama [kewujudan] kelembutan, dan tiada azab bersama [kewujudan] kerahmatan".

'Lautan' Feqh Islami

Walau bagaimana pun, menurut Syaikh al-Bujairimi, pendapat yang paling sahih dalam Mazhab Syafie, ialah membaca 'bismillahirrahmanirrahim' ketika menyembelih haiwan, bukannya 'bismillah'.

Catatan Syaikh al-Bujairimi ini menjelaskan bahawa ulama-ulama Mazhab Maliki dan sesetengah ulama Mazhab Syafie, berpendapat bacaan semasa menyembelih haiwan, hanyalah 'bismillah', bukannya 'bismillahirrahmanirrahim'.

Mereka berdalilkan dengan firman Allah (Hud : 41) :
وَقالَ اركَبوا فيها بِسمِ اللَّـهِ مَجراها وَمُرساها إِنَّ رَبّي لَغَفورٌ رَحيمٌ ﴿٤١

Maksudnya : Dan Nuh berkata, "naiklah kamu ke dalamnya dengan 'nama Allah' ketika belayar dan berlabuh. Sesungguhnya tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.

Dalam ayat ini, Nabi Nuh sallallahu 'alaihi wasallam meminta pengikut-pengikutnya menaiki kapal sambil membaca 'bismillah' (dengan nama Allah) sahaja, bukannya 'bismillahirrahmanirrahim'.

Sebab mengapa hanya dibaca 'bismillah', ialah kerana 'kejayaan pengikut-pengikut Baginda yang beriman menaiki kapal', bermakna kehancuran ke atas mereka yang tidak sempat menaikinya. 

Justeru, tidak sesuai disebut sifat penyayang (ar-rahman dan ar-rahim) ketika melakukan sesuatu (menaiki kapal) yang mengakibatkan kehancuran orang lain (tenggelam dalam banjir besar).

Berhadapan dengan 'penemuan feqh' yang tidak dirancang ini, semacam satu degupan kecil meletus dalam hati saya, lantas seakan menerbitkan satu suara halus yang membisikkan, "sesungguhnya 'lautan' fekah Islam ini amat luas. Justeru, bercermatlah...!".

Oh ya, yang dituturkan imam masjid kampung saya itu ialah 'tidak disebutkan 'ar-rahim' ketika menyembelih haiwan (hanya sebut 'bismillahirrahman'). Sedangkan, yang dinyatakan sesetengah ulama, ialah tidak disebut 'ar-rahman' dan 'ar-rahim' ketika menyembelih (hanya disebut 'bismillah').

Mungkin tuan imam itu tersilap, atau sepupu saya yang terkhilaf ketika menukilkan kata-kata beliau.

Wallahu a'lam.

Wednesday 29 May 2013

Kebersihan tandas masjid : Masalah mutu sistem dan mutu pengguna

Masalah kebersihan tandas di banyak surau atau masjid, bukan hanya berpunca daripada masalah sikap pengguna.

Itulah kesimpulan awal saya setelah mendapati banyak sistem pengepaman tandas di banyak surau atau masjid, tidak berfungsi.

Bila mengepam tandas, air tidak keluar walaupun tangki dipenuhi air. Atau, bila dipam, air pula langsung tidak keluar kerana tiada setitik air pun dalam tangki!

Inilah yang sering terjadi.

Inilah juga antara titik mula kepada masalah kebersihan di tandas surau dan masjid kita!

Jika diperhatikan, jika sistem pengepaman tandas berfungsi dengan baik, tandas sesebuah surau atau masjid itu, biasanya tidak mengalami masalah kebersihan. 

Tetapi, mana-mana surau atau masjid yang mengalami masalah kerosakan sistem pengepaman tandas, tandasnya pasti bermasalah dan menjijikkan!

Standard hotel

Sebagai satu langkah penting bagi mengatasi masalah kebersihan tandas di surau dan masjid, pihak berkuasa agama perlu mewajibkan kontraktor memasang sistem pengepaman tandas yang berkualiti dan tidak mudah rosak.

Sepatutnya, sistem pengepaman tandas di surau dan masjid, mestilah mencapai standard sistem pengepaman tandas di pejabat-pejabat kerajaan atau hotel. Selain berkualiti, ia juga tidak mudah rosak.

Amat menyedihkan, kebanyakan tandas di surau dan masjid, hanya menggunakan tangki air plastik. 

'Karenah' pertama tangki plastik ini, ialah ia mudah melengkung. Bila melengkung, ia sudah tidak sepadan dengan penutupnya yang lurus. 

Bila ini berlaku, biasanya penutup tangki jatuh ke bawah, dan menakung air. Selepas itu, tali yang berfungsi sebagai penarik untuk mengepam air pula yang putus. 

Kesudahannya, tandas menjadi sangat menjijikkan!   

Monday 27 May 2013

Hukum meniarap

Meniarap atau tidur dalam keadaan meniarap, ditegah oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Baginda juga menyifatkan meniarap sebagai 'cara ahli neraka berbaring'.

Berkenaan tegahan meniarap, Abu Hurairah r.a meriwayatkan :
مرَّ النبيُ صلى الله عليه وسلم برجلٍ مضطجعٍ على بطنِه فغمزه برِجْله وقال :"إن هذه ضِجْعة لا يحبُّها اللهُ عز وجل

Terjemahan : "Nabi sallallahu 'alaihi wasallam melewati seorang lelaki yang sedang berbaring di atas perutnya (meniarap), lantas menguisnya (lelaki) dengan kaki Baginda seraya bersabda, "sesungguhnya ini (meniarap) adalah cara berbaring yang tidak disukai Allah Azza Wajalla".

Hadis ini direkodkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya dari Abu Zar r.a (no.5040), dan Imam Ahmad dalam Musnadnya dari Abu Hurairah (no.7981).

Hadis ini dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam karya beliau, Sahih al-Targhib Wa al-Tarhib.

Hadis di atas menegah perbuatan meniarap secara umum, tanpa membezakan samada meniarap dalam masjid, atau di tempat-tempat lain.

Cara ahli neraka berbaring

Berkenaan penyifatan meniarap sebagai 'cara ahli neraka berbaring' pula, Abu Zar r.a meriwayatkan :
مرَّ بي النبيُ صلى الله عليه وسلم وأنا مضطجعٌ على بطني فرَكَضَني برِجْله وقال:"يا جُنَيْدِب، إنما هذه ضِجْعَة أهلِ النار
Terjemahan : "Nabi sallallahu 'alaihi wasallam pernah melewatiku yang sedang berbaring di atas perutku (meniarap), lantas menjolokku dengan kaki Baginda seraya bersabda, "wahai Junaydib (nama panggilan Abu Zar r.a), sesungguhnya ini (meniarap) adalah cara berbaring ahli neraka".

Hadis ini direkodkan oleh Imam Ibn Majah dalam Sunannya (no.3724).
Al-Albani menilainya sahih dalam karya beliau, Sahih Wa Dhaif Sunan Ibn Majah.

Terdapat juga hadis yang menyifatkan perbuatan tidur meniarap, sebagai 'tidur ala neraka jahannam'. 

Diriwayatkan daripada Abu Umamah r.a :
مرَّ النبيُ صلى الله عليه وسلم على رجلٍ نائمٍ في المسجد منبَطِحٌ على وجهه فضربه برجله وقال : قم واقعد فإنها نومة جهنمية.
Terjemahan : Nabi salallahu alayhi wasallam pernah melewati seorang lelaki yang sedang tidur dalam masjid dalam keadaan meniarap, lantas menguisnya (lelaki) dengan kaki Baginda seraya berkata, "bangun dan duduklah, sesungguhnya ia (meniarap) adalah 'tidur ala neraka jahannam'!"

Hadis ini direkodkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya (no.3725) dan Imam Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad

Walau bagaimana pun, hadis ini dinilai dhaif oleh al-Albani dalam karya beliau, Sahih Wa Dhaif Sunan Ibn Majah.

Makruh meniarap

Walaupun meniarap disifatkan sebagai cara berbaring yang tidak disukai Allah dan cara ahli neraka berbaring, namun menurut Imam Tirmizi, meniarap hukumnya makruh. 

Ini dinyatakan melalui satu tajuk bagi salah satu bab yang terdapat dalam sunan beliau.

Tajuk bab tersebut ialah باب ما جاء في كراهية الإضطجاع على البطن (Bab pada menyatakan kemakruhan berbaring di atas perut-meniarap)

Hadis-hadis yang dinyatakan, beserta kenyataan Imam Tirmizi di atas menunjukkan bahawa yang ditegah dan dimakruhkan, ialah meniarap itu sendiri. 

Ini kerana, yang diperkatakan oleh hadis riwayat Abu Hurairah r.a dan Abu Zar r.a di atas-beserta kenyataan Imam Tirmizi-ialah tegahan meniarap, atau dalam bahasa Arabnya, الإضطجاع على البطن  

Oleh itu, samada meniarap dalam keadaan jaga, atau tidur dalam keadaan meniarap, kedua-duanya adalah makruh.

Justeru, 'fatwa' sesetengah ustaz yang membayangkan bahawa yang dimakruhkan hanyalah 'tidur meniarap' (manakala meniarap sahaja-iaitu dalam keadaan jaga-tidak makruh), adalah tidak benar.

Tidak makruh

Hukum makruh meniarap yang dinyatakan ini, adalah khusus bagi orang yang tiada keuzuran. Ada pun meniarap disebabkan keuzuran atau kesakitan, ia tidak dimakruhkan.

Al-Allamah al-Marhum Syaikh Uthaimeen rhm dalam karya beliau, Syarh Riyadhus Soliheen menyatakan :
لا ينبغي للإنسان أن ينام على بطنه...لكن إذا كان في الإنسان وجع في بطنه وأراد أن ينام على هذه الكيفية لأنه أريح له فإن هذا لا بأس به لأن هذه حاجة
Terjemahan : Tidak sepatutnya seseorang itu tidur di atas perutnya (meniarap)...tetapi jika  seseorang itu sakit perut dan mahu tidur dengan cara ini (meniarap) kerana itu lebih selesa baginya, maka tidak mengapa kerana ini (meniarap) adalah satu keperluan.
Wallahu a'lam.

Wednesday 22 May 2013

Kenaikan gaji YB dari sudut pandang Siyasah Syar'iyyah

Ketua Menteri Sarawak
Ada tindakan Syaidina Umar r.a yang boleh dijadikan asas dalam menilai isu kenaikan gaji ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) di sesetengah negeri.

Imam Ibnu Qudamah (bermazhab Hambali) menukilkan dalam karyanya, al-Mughni satu surat Syaidina Umar r.a kepada Syaidina Muaz Ibn Jabal r.a dan Syaidina Abi Ubaydah r.a. Kedua-duanya dihantar bertugas ke Syam.

Surat tersebut berbunyi (Al-Mughni, jld.9, hlm.37) :

أَنِ انْظُرُا رِجَالا مِنْ صَالِحِي مَنْ قِبَلِكُمْ فَاسْتَعْمِلُوهُمْ عَلَى الْقَضَاءِ وَأَوْسِعُوا عَلَيْهِمْ وَارْزُقُوهُمْ وَاكْفُوْهُمْ مِنْ مَالِ اللَّهِ

Terjemahan : Hendaklah [kamu berdua] mencari [mana-mana] lelaki dari [kalangan] orang-orang yang baik, maka lantiklah mereka menjadi hakim dan mewahkan mereka, berikan mereka gaji dan cukupkanlah [keperluan] mereka dengan harta [milik] Allah (yakni harta Baitul Mal).

Dalam surat ini, Syaidina Umar r.a mengarahkan supaya para hakim dibayar gaji dalam kadar yang mewah, bukan hanya sekadar mencukupi atau sepadan dengan tugas-tugas kehakiman.

Ini bermakna, langkah 'menaikkan gaji penjawat awam' ke tahap mewah, pernah dilakukan dalam sejarah pentadbiran Islam.

Sehubungan itu, fakta ini perlu diambil kira ketika mengupas isu kenaikan berkali ganda gaji ahli-ahli DUN di negeri terbabit.

Walau bagaimana pun, bagi memberi penilaian yang tepat ke atas isu ini, persoalan maslahah dan mafsadah kenaikan gaji ini perlu diteliti.

Jika kenaikan gaji berlipat kali ganda ini boleh menyumbang kepada peningkatan produktiviti wakil-wakil rakyat, dan dalam masa sama, dapat mengurangkan gejala rasuah, langkah ini adalah sesuatu yang boleh dipertimbangkan.

Wallahu a'lam.

Tuesday 21 May 2013

Perpaduan Melayu : Laungan bersambut tindakan...

Wacana Perpaduan Melayu sudah agak lama 'berputar' di pentas politik Tanah Melayu ini. Ia kembali  berkumandang selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini. Ini ekoran kebimbangan akan keruntuhan 'menara' kuasa politik Melayu di negara ini. 

Nampaknya, ada anjakan-biar pun kecil, tetapi sangat bermakna-dalam wacana ini.

Di peringkat awal, wacana perpaduan Melayu ini zahir dalam bentuk seruan-seruan kepada perpaduan Melayu di tanah bertuah ini.

Kini, 'seruan' telah beranjak dan 'membesar' menjadi 'tindakan'.

Mukhriz dan Nasruddin

Ia seperti ambil berat yang dipamerkan Menteri Besar (MB) baru Kedah, Datuk Mukhriz terhadap bekas MB, Datuk Seri Azizan yang terpaksa dipotong kedua-dua belah kakinya. Selain melawat DS Azizan, Datuk Mukhriz-melalui Kerajaan Negeri-bermurah hati membiayai kos rawatan beliau.

Sebelum itu, Ahli Parlimen baru Temerloh, Ustaz Nasruddin (PAS) mempelawa lawan  beliau dalam PRU 13 baru-baru ini, Datuk Saifuddin (UMNO) menyertai Panel Perunding Temerloh Daerah Berkebajikan.

Terbaru, Kerajaan Pusat telah meluluskan RM69 juta kepada Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS, bagi tujuan pengurusan hal ehwal Islam di negeri Serambi Mekah itu. 

Ini disusuli dengan pemilihan Kelantan buat pertama kali sejak 23 tahun, sebagai tuan rumah Majlis Musabaqah Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Jun ini.

Kesemua langkah ini sangat bermakna kerana ia sangat berkesan dalam merapatkan hubungan antara UMNO dan PAS, mengendurkan ketegangan yang ada, seterusnya membenihkan keakraban dan membunuh prasangka.

Jika ini berlaku, maka suasana yang sangat kondusif bagi membincangkan soal perpaduan Melayu, akan terbentuk.

3 peringkat

Usaha merapatkan hubungan antara UMNO dan PAS ini, boleh disifatkan sebagai peringkat kedua Wacana Perpaduan Melayu yang sedang berlangsung.

Peringkat ketiga dan terakhir, ialah memulakan usaha menyatupadukan Melayu itu sendiri. Pada peringkat ini, akan  berbangkit persoalan tentang mekanisme perpaduan, syarat-syarat dan segala perkara yang berkaitan.

Ringkasnya, wacana Perpaduan Melayu melalui-dan seharusnya melalui-3 peringkat berikut :

Pertama : Seruan kepada perpaduan Melayu;
Kedua    : Usaha merapatkan hubungan antara UMNO dan PAS; dan
Ketiga    : Memulakan usaha penyatuan Melayu

Dalam konteks perpaduan Melayu, kita sekarang sedang berada di peringkat kedua, iaitu merapatkan hubungan antara dua kelompok besar orang Melayu, iaitu UMNO dan PAS.

Sesetengah pemimpin kedua-dua parti Melayu ini, telah pun menggerakkan usaha-usaha merapatkan hubungan ini. Ia sepatutnya disemarakkan lagi oleh pemimpin-pemimpin yang lain.

Masyarakat awam juga perlu memainkan peranan yang sama. 

Mereka boleh anjurkan program atau permainan sukan yang melibatkan UMNO dan PAS, atau apa sahaja yang boleh menyumbang kepada keakraban kedua-dua parti ini.

Mengimpikan perpaduan Melayu tanpa berusaha merapatkan jurang yang ada dan ketegangan yang wujud di kalangan orang Melayu, hanya akan menyebabkan perpaduan Melayu mungkin terus kekal sebagai mimpi!

Wallahu a'lam