[Pengertian qazaf]
SOALAN 1 : Apakah
pengertian qazaf?
JAWAPAN :
Para ulama berbeza
pendapat dalam mendefinisikan qazaf seperti berikut :
i.
Menurut Mazhab
Syafie, Maliki, Hambali dan pegangan dua
murid kanan Imam Abu Hanifah, iaitu Imam Abu Yusuf dan
Imam Muhammad, qazaf ialah ‘menuduh seseorang melakukan zina atau liwat’.
ii.
Pada pandangan
Imam Abu Hanifah, qazaf ialah ‘menuduh seseorang melakukan zina sahaja’ . Justeru, menurut beliau,
perbuatan menuduh seseorang melakukan liwat, tidak boleh dikenakan hukuman
qazaf. Hukumannya ialah ta’zir (تعزير).
[Aduan mangsa rogol
atau liwat yang disokong empat saksi]
SOALAN 2 : Adakah
seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat, boleh dikenakan hukuman qazaf?
JAWAPAN :
Seseorang yang
mengadu dirogol atau diliwat, TIDAK BOLEH dikenakan hukuman qazaf apabila dia dapat
membawa empat orang saksi.
Dalam keadaan ini,
hukuman hudud akan dijatuhkan ke atas perogol atau peliwat, bukannya pengadu.
[Keadaan aduan mangsa
rogol atau liwat yang TIDAK disokong empat saksi]
SOALAN 3 : Apabila
mangsa rogol atau liwat membuat aduan rogol atau liwat, tetapi TIDAK DAPAT
membawa empat orang saksi, adakah akan dikenakan hukuman qazaf?
JAWAPAN :
Apabila mangsa rogol
atau liwat membuat aduan, tetapi TIDAK DAPAT membawa empat orang saksi,
hendaklah dilihat :
i.
Jika dia tidak
dapat membawa sebarang buktiyang berwibawa yang
menunjukkan dia dirogol atau diliwat, dia akan dikenakan hukuman qazaf kerana
telah menuduh orang lain berzina atau meliwat tanpa sebarang bukti.
Firman Allah,“Dan orang yang
melemparkan tuduhan zina kepada perempuan yang baik-baik, kemudian mereka tidak
membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan
janganlah kamu menerima penyaksian mereka selamanya; dan mereka adalah orang
yang fasik”.
ii.
Jika dia dapat
membawa bukti yang menunjukkan berlakunya kejadian rogol atau liwat, dia
dibebaskan dan tidak dikenakan hukuman qazafmeskipun gagal
mengemukakan empat saksi.
Kesimpulan : Keterangan di atas
bermakna, mangsa rogol atau liwat tidak tertakluk kepada ‘kemestian membawa
empat saksi’-seperti yang ditegaskan oleh ayat 4 surah an-Nur- ketika membuat
aduan rogol atau liwat secara paksa.
Mangsa sebaliknya boleh membuat
laporan bahawa seseorang telah merogol atau meliwatnya secara paksa dengan
membawa bukti-bukti lain yang berwibawa, yang mengesahkan laporan dan
dakwaannya.
Dalam keadaan ini, mangsa rogol atau liwat secara
paksa tidak dikenakan hukuman qazaf, meskipun telah mendakwa seseorang
melakukan jenayah rogol atau liwat ke atasnya tanpa mengemukakan empat saksi.
[Proses ke atas aduan
mangsa rogol atau liwat]
SOALAN 4 : Adakah ini
bermakna seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat oleh seseorang yang lain,
tanpa membawa empat orang saksi, TIDAK terus dikenakan hukuman qazaf?
JAWAPAN :
Ya. Seseorang yang
mengadu dirogol atau diliwat oleh seseorang yang lain, TIDAK terus dikenakan
hukuman qazaf walau pun gagal membawa empat orang saksi.
Berdasarkan keterangan
ulama, boleh disimpulkan, setiap aduan rogol atau liwat perlu melalui proses
berikut :
i.
Pihak berkuasa
perlu mengumpul bukti-bukti yang berwibawa yang menunjukkan mangsa
betul-betul dirogol atau diliwat;
ii.
Apabila
terdapat bukti yang menunjukkan pengadu memang dirogol atau diiwat, pengadu
akan dibebaskan tanpa dikenakan sebarang hukuman;
iii.
Jika pengadu
tidak mampu mengemukakan sebarang bukti, atau pihak berkuasa tidak menemui
apa-apa bukti yang menunjukkan pengadu betul-betul dirogol atau diliwat,
pengadu boleh dikenakan hukuman qazaf. Ini kerana pengadu tersebut telah
menuduh seseorang melakukan zina atau liwat tanpa sebarang bukti.Dalil
kenyataan-kenyataan di atas ialah keterangan Imam Abd al-Bar. Beliau menyatakan:
أجمع العلماء على أن على المستكرِه
المغتصِب الحدَ إن شهدت البينة عليه بما يوجب الحد أو أقر بذلك. فإن لم يكن، فعليه
العقوبة ولا عقوبة عليها إذا صح أنه استكرهها وغلبها على نفسها، وذلك يعلم بصراخها
واستغاثتها وصياحها وأن كانت بكرا فيما يظهر من دمها ونحوها مما يفصح به امرها... ولا
نعلم خلافا بين العلماء أن المستكرَهة لا حدَ عليها اذا صح استكراهها بما ذكرنا وشبهه .
Terjemahan : Para ulama telah berijmakbahawa perogol [dikenakan]keatasnya [hukuman] hudud
jika terdapat bukti yang mensabitkan [hukuman] hudud [ke atasnya]atau dia mengakuinya. Jika tidak ada [bukti
yang boleh mensabitkan hukuman hudud], maka [dikenakan] ke atasnya (tertuduh)
hukumandan tiada sebarang hukuman
ke atasnya (iaitu mangsa rogol yang mengadu dirogol) apabila terbukti bahawa
dia (tertuduh) memaksa dan mendesaknya (pengadu) [melakukan zina tanpa
kerelaannya]. [Wujudnya paksaan melakukan zina] itu diketahui dengan [adanya
kedengaran] tempikan [mangsa], [suaranya] meminta pertolongan dan jeritannya,
serta [diketahui wujudnya paksaan melakukan zina apabila dikenal pasti] dia
seorang gadis, yang boleh diketahui melalui darahnya dan seumpamanya yang boleh menerangkan
keadaannya [bahawa dia dipaksa]…Kami tidak mengetahui
[wujudnya] sebarang khilafdi kalangan ulama bahawa
[wanita] yang dipaksa [melakukan zina] tiada [sebarang hukuman] hudud[dikenakan] ke atasnya
apabila terbukti [wujudnya] paksaan [keatas] nya dengan [bukti-bukti seperti
yang] kami sebutkan dan [yang] seumpamanya”.
[Bukti-bukti yang
boleh digunakan dalam kes rogol atau liwat]
SOALAN 5 : Apakah
bukti yang boleh digunakan bagi menunjukkan berlakunya jenayah rogol atau
liwat?.
JAWAPAN :
Seperti yang
disebutkan oleh sesetengah ulama zaman silam, bukti tersebut seperti :
i.
Mangsa datang
melapor kes rogol atau liwat sambil berpaut pada tertuduh dalam keadaan
kemaluannya berdarah jika dia seorang gadis;
ii.
Mangsa
didengari berteriak meminta tolong; atau
iii.
Tertuduh
dilihat membawa masuk mangsa ke dalam rumahnya (tertuduh) secara paksa.
Pada zaman sekarang,
kajian saintifik boleh digunakan sebagai bukti kes rogol atau liwat seperti
laporan perubatan, ujian DNA, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan
sebagainya.
[Dalil mangsa rogol
atau liwat yang membawa bukti selain empat saksi dibebaskan daripada hukuman
qazaf]
SOALAN 6 : Apakah
dalil yang menunjukkan bahawa mangsa rogol atau liwat, tidak dikenakan hukuman
qazaf bila menuduh seseorang merogol atau meliwatnya tanpa mengemukakan empat
saksi, tetapi dengan membawa bukti seperti yang telah dinyatakan?.
JAWAPAN :
Dalilnya ialah hadis
Nabi s.a.w, kiasdan
keterangan ulama.
Dalil Pertama : Hadis
Nabi s.a.w
Pernah berlaku pada
zaman Nabi s.a.w, seorang wanita yang dirogol seorang lelaki secara bersendirian,
mendakwa lelaki berkenaan merogolnya tanpa mengemukakan empat saksi.
Setelah suspek
ditangkap, wanita tersebut mengesahkan bahawa suspek tersebut adalah
perogolnya.
Namun, apabila Nabi
s.a.w memerintahkan supaya lelaki tersebut direjam, seorang lelaki yang lain
bangun membuat pengakuan bahawa beliaulah yang sebenarnya merogol wanita berkenaan.
Hukuman akhirnya
dijatuhkan ke atas lelaki yang mengaku merogol, sementara suspek serta wanita
yang menjadi mangsa rogol dibebaskan.
Dalam peristiwa ini,
Nabi s.a.w tidak menjatuhkan hukuman qazaf ke atas wanita tadi, meskipun beliau
telah mendakwa seseorang merogolnya tanpa mengemukakan empat saksi.
Hadis yang
diriwayatkan oleh Wa’il al-Kindi daripada ayahnya itu seperti berikut :
أن امرأة خرجت على عهد رسول الله -صلى الله عليه وسلم- تريد الصلاة
فتلقاها رجل فتجللها فقضى حاجته منها فصاحت فانطلق ومر عليها رجل فقالت إن ذاك الرجل
فعل بى كذا وكذا. ومرت بعصابة من المهاجرين فقالت إن ذاك الرجل فعل بى كذا وكذا. فانطلقوا
فأخذوا الرجل الذى ظنت أنه وقع عليها وأتوها فقالت نعم هو هذا. فأتوا به رسول الله
-صلى الله عليه وسلم- فلما أمر به ليرجم قام صاحبها الذى وقع عليها فقال يا رسول الله
أنا صاحبها. فقال لها « اذهبى فقد غفر الله لك ». وقال للرجل قولا حسنا وقال للرجل
الذى وقع عليها « ارجموه ». وقال « لقد تاب توبة لو تابها أهل المدينة لقبل منهم »
Terjemahan :
Sesungguhnya [terdapat] seorang wanita telah keluar [dari rumahnya] pada zaman
Nabi s.a.w [kerana] mahu [mengerjakan] solat [di masjid]. Lalu seorang lelaki menemuinya
[di tengah jalan] lalu menindih dan merogolnya serta melempiaskan hajat [nafsu]
nya.
Lantas wanita tersebut bertempik lalu perogolnya melarikan diri. [Selepas
itu] seorang lelaki menemui wanita tersebut, lalu beliau berkata, “sesungguhnya
lelaki itu telah melakukan ke atas ku [perkara] demikian [yakni merogolnya]”.
Kemudian wanita itu bertemu pula sekumpulan orang-orang Muhajirin lantas berkata,
“sesungguhnya lelaki itu telah melakukan ke atasku [perkara] demikian [yakni
merogolnya]. Lalu mereka terus beredar dan menangkap lelaki yang disangka oleh
wanita itu bahawa dia yang telah memperkosanya, lantas mereka membawanya kepada
wanita itu seraya dia berkata,“ya dialah orangnya [yang telah merogolku]”.
Mereka terus membawa lelaki tadi
kepada Rasulullah s.a.w. Tatkala Baginda s.a.w memerintahkan supaya lelaki itu
direjam, bangun seorang lelaki yang
[sebenarnya] telah merogol wanita itu sambil berkata ,“wahai Rasulullah, akulah
orangnya [yang merogol wanita itu].
Lantas Baginda s.a.w bersabda kepada wanita
itu,“pergilah, sesungguhnya Allah telah mengampunkanmu”. Baginda [seterusnya]
berkata kepada lelaki [yang didakwa
oleh wanita itu sebagai orang yang merogolnya] dengan kata-kata yang baik.
Seterusnya Baginda s.a.w bersabda kepada lelaki yang [mengaku] merogolnya “rejamlah
dia” sambil bersabda, “sesungguhnya dia telah bertaubat [kepada Allah] dengan
taubat yang jika seluruh penduduk Madinah bertaubat seperti itu, nescaya
diterima [Allah] daripada mereka [taubat itu]”.
Hadis ini
diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata“[hadis] ini
hasan gharib sahih” (Sunan Tirmizi, jil.6, hlm.35)
Menurut al-Albani,
hadis ini adalah hadis sahih dalam kategori Hassan kecuali sabda Baginda s.a.w
yang berbunyi “rejamlah dia”.
Menurut al-Albani,
berdasarkan pendapat yang kuat, lelaki yang mengaku merogol itu tidak direjam
(Lihat al-Jami’ al-Sahih Sunan al-Tirmizi, jil.4, hlm.56).
Ringkasnya, hadis ini
adalah hadis yang sahih.
Dalil Kedua : Kias
Kes rogol sama dengan
kes li’an iaitu seorang suami menuduh isterinya
berzina. Dalam kes li’an, si suami boleh menuduh isterinya berzina, tanpa dikenakan hukuman qazaf meskipun tuduhan
dilakukan tanpa disokong empat orang saksi.
Dalam keadaan ini, si
suami dibebaskan daripada hukuman qazaf kerana beliau terpaksa melakukan li’an
bagi menjaga nasab keturunannya.
Dalam kes rogol,
mangsa rogol juga terpaksa menceritakan kejadian rogol bagi mengelakkannya
disebat atau direjam disebabkan kehamilan luar nikah.
Oleh kerana seseorang
yang menuduh isterinya berzina, tanpa membawa empat saksi tidak dikenakan hukuman
qazaf, kerana terpaksa berbuat demikian bagi menjaga nasab keturunannya, maka
demikian juga mangsa rogol yang mendakwa seseorang merogolnya tanpa
mengemukakan empat saksi, juga tidak dikenakan hukuman qazaf, kerana terpaksa
berbuat demikian bagi mengelakkannya disabitkan dengan kesalahan zina
disebabkan kehamilan luar nikah.
Dalil Ketiga :
Keterangan ulama
Antara ulama yang
menyatakan dengan jelas bahawa mangsa rogol yang mengadu dirogol dengan membawa
bukti lain selain empat saksi, tidak dikenakan hukuman qazaf, ialah Imam al-Baji.
فإن لم يشهدا لها بالإكراه ولا باحتمالها مكرَهة والمغيب عليها ولكن
جاءت متعلقة به وهي تدمى إن كانت بكرا أو لا تدمى إن كانت ثيبا وقد فضحت نفسها، ففي
كتاب ابن المواز عن عبد الملك وغيره "لا تحد هي لما رمته به
Terjemahan : “Jika
kedua-duaorang
[saksi] tidak melihatnya (iaitu wanita yang mendakwa dirogol) dipaksa
[melakukan persetubuhan] dan [tidak juga menyatakan] kemungkinan dia dipaksa
[melakukan persetubuhan], tetapi dia datang
[kepada pihak berkuasa] sambil berpaut padanya (iaitu pada tertuduh) dalam
keadaannya berdarahjika dia [seorang] gadis,
atau [datang sambil berpaut pada tertuduh dalam keadaan] tidak berdarah jika
dia seorang janda…maka dalam kitab Ibn al-Mawāz [yang memetik] daripada Abdul
Malik dan [ulama-ulama] selainnya, [dinyatakan bahawa] “dia tidak dikenakan
[hukuman] hududdisebabkan
tuduhannya ke atasnya (iaitu tertuduh)”.
Kesimpulan :
Hadis Nabi s.a.w,
qias dan kenyataan ulama yang dinyatakan di atas, jelas menunjukkan bahawa
dalam kes rogol, mangsa mempunyai hak didengari aduannya, walaupun tidak
membawa empat orang saksi.
Dalam kes rogol yang
kebiasaannya berlaku secara tersembunyi, aduan mangsa diambil kira dan mangsa
dibebaskan daripada hukuman qazaf, jika terbukti bahawa kejadian rogol
benar-benar berlaku melalui pembuktian yang telah dinyatakan.
Anggapan banyak pihak
bahawa seseorang yang mendakwa dirogol atau diliwat secara paksa oleh individu
yang lain, tanpa mengemukakan empat saksi, terus dianggap telah melakukan
kesalahan qazaf, adalah anggapan yang silap seperti yang dapat dilihat melalui
hadis Nabi s.a.w, kias dan keterangan ulama yang dinyatakan.
[Hukuman ke atas
tertuduh dalam kes rogol atau liwat yang disokong bukti]
SOALAN 7: Jika mangsa
rogol atau liwat tidak mampu mendatangkan empat orang saksi, tetapi dapat
membawa bukti-bukti seperti yang dinyatakan, bagaimana dengan
tertuduh?
JAWAPAN :
Jika mangsa dapat
mengemukakan bukti-bukti yang menunjukkan dia dirogol atau diliwat, tertuduh
dikenakan hukuman seperti berikut :
i.
Membayar wang
dalam jumlah yang sama dengan mas kahwin semasa kepada mangsa. Hukuman ini dikenakan
dengan dua syarat, iaitu terdapat saksi yang melihat tanda-tanda berlakunya
jenayah rogol atau liwat; dan mangsa bersumpah
bahawa dia telah dirogol.
ii.
Hakim boleh
mengenakan hukuman ta’zir–iaitu hukuman yang diserahkan kepada budi bicara
hakim-ke atas tertuduh seperti hukuman denda, penjara, sebat, buang daerah dan
sebagainya.
Hukuman ta’zir wajib dikenakan ke atas setiap
individu yang melakukan maksiat yang tidak ditentukan hukumannya oleh syarak.
[PERBICARAAN KES
QAZAF MENURUT PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DAN UNDANG-UNDANG SYARIAH MALAYSIA]
[Mahkamah yang berhak
dari segi undang-undang mengadili kes qazaf]
SOALAN 8 : Berdasarkan
Perlembagaan Persekutuan, mahkamah manakah yang mempunyai kuasa membicarakan
kes rogol atau liwat?
JAWAPAN :
Menurut Jadual
Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, kes yang tidak melibatkan Undang-undang
Keluarga Islam, dan kes tersebut berada di bawah kawasan Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, mahkamah yang berhak membicarakannya ialah
mahkamah sivil atau jenayah, bukannya Mahkamah Syariah.
[Aduan mangsa rogol atau liwat yang tidak
disokong empat saksi menurut Undang-Undang Syariah di Malaysia]
SOALAN 9: Mengikut
Undang-Undang Syariah di Malaysia, adakah mangsa yang mengadu dirogol atau
diliwat, akan dikenakan hukuman qazaf apabila gagal membawa empat orang saksi?
JAWAPAN :
Akta Kesalahan
Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan
qazaf HANYA dikenakan ke atas seseorang yang TIDAK TERLIBAT dalam perbuatan
zina atau liwat, yang menuduh seseorang yang lain melakukan zina atau liwat.
Ini bermakna, akta
ini tidak merangkumi mangsa atau orang yang melakukan zina atau liwat itu
sendiri, yang mendakwa perogol merogolnya, atau menyatakan pasangannya
melakukan zina dengannya.
*Ini adalah artikel lama yang diterbitkan kembali untuk perkongsian yang lebih luas