Tuesday 20 May 2014

Dimensi 'kelam' hudud Kelantan

Jauh di sudut hati, saya yakin kepimpinan PAS-terutamanya Tuan Guru Nik Abdul Aziz-ikhlas mahu melaksanakan hudud, khususnya di Kelantan.

Keyakinan ini membuatkan saya percaya, tuduhan yang berbunyi 'PAS menjadikan hudud sebagai agenda dan gimik politik', hanyalah propaganda dan perang saraf musuh-musuh politik PAS semata-mata.

Malah, saya juga percaya, pihak yang menuduh sedemikian, hati kecil mereka sendiri sebenarnya mempercayai PAS ikhlas melaksanakan hudud. 

Namun, demi meraih keuntungan politik, tuduhan sebegitu tetap mereka lemparkan.

Justeru demikian kepercayaan saya, sebaik membaca kenyataan seorang blooger terkenal PAS berkenaan perlaksanaan hudud di Kelantan, hati saya tersentak.

Kelantan tidak serius

Siapa tidak kenal Mohd Sayuti Omar dan blog Merah Tintanya itu, serta obsesinya terhadap PAS.

Dengan tajuk 'Hudud agenda politik, gimik PAS', portal berita Sinar Harian (21 Mei 2014) melaporkan pandangan Sayuti Omar berhubung perlaksanaan hudud di Kelantan, yang dilontarkan beliau dalam Wacana Perdana Hudud bertajuk 'Ke manakah Kelantan?' di Kuala Lumpur pada 20 Mei 2014.

Ada dua(2) idea utama terkandung dalam ucapan Sayuti Omar dalam wacana tersebut.

Pertama, beliau mengesyaki PAS Kelantan 'menjaja' perlaksanaan hudud, semata-mata mahu menutup kepincangan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Portal berita Sinar Harian melaporkan, "tambah Mohd Sayuti, beliau mengesyaki PAS Kelantan cuba mengalihkan isu kepincangan pentadbiran lalu, dengan menjaja perlaksanaan hudud, dengan harapan dapat melindungi kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri".

Beliau dipetik sebagai berkata, "dulu Kelantan sibuk hendak bangunkan stadium, lebuh raya, kampung baru dan sebagainya, tetapi bila naik kepimpinan baharu, mereka tiada idea jelas, malah gagal menjurai isu rakyat".

Kedua, mendakwa PAS tidak serius melaksanakan hudud.

Beliau dipetik sebagai berkata, "sekarang pula hudud ditangguhkan, ini menggambarkan PAS tidak serius laksanakan hudud".

Pandangan Sayuti Omar ini tidak semestinya benar. Dan, artikel ini tidak bertujuan mengajak para pembaca menerima bulat-bulat pandangan ini.

Anjakan paradigma

Maksud tulisan ini, antara lain mengajak kepimpinan PAS terutamanya, untuk peka terhadap senario semasa perlaksanaan hudud di Kelantan.

Bila seorang blooger tegar PAS sendiri mendakwa perlaksanaan hudud hanyalah agenda dan gimik politik PAS, serta PAS tidak serius melaksanakan hudud, ia bermakna isu 'perlaksanaan hudud'-biarpun dalam tahap yang mungkin minima-telah tersudut ke dalam satu dimensi baru.

Malangnya, dimensi baru itu ialah dimensi yang kelam dan menyesakkan!

Juga bermakna, tanggapan dan persepsi 'keras' Sayuti Omar ini berpotensi besar untuk dikongsi oleh sejumlah besar musuh-musuh politik PAS, atau pengundi atas pagar.

Senario terbaru ini juga menuntut PAS tidak lagi-secara borong-menanggapi dakwaan 'PAS tidak serius melaksanakan hudud' dan 'menjadikannya sebagai gimik politik'-yang diutarakan pihak lawan-sebagai semata-mata dakyah yang mahu menggagalkan perlaksanaan hudud, atau mahu menumbangkan PAS.

Dengan perkembangan terbaru ini, ada kemungkinan 'tuduhan' seperti ini adalah satu persepsi yang diyakini dan dipercayai, bukannya satu tuduhan yang sengaja direka-reka.

Satu persoalan tiba-tiba menjengah, 'apakah peristiwa atau pemerhatian yang mendorong blooger yang akrab dengan PAS Kelantan ini, membuat kenyataan sebegini keras terhadap PAS?'.

Tapi, apa yang penting ialah hakikat bahawa kepimpinan PAS perlukan anjakan paradigma, khususnya dalam soal perlaksanaan hudud di Kelantan! 

Wallahu a'lam. 

Thursday 15 May 2014

'Perangai' rakyat Malaysia 'membingungkan' Arab : Menghargai keistimewaan 'tersembunyi'

Saya menulis artikel ini di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia…

Ya, ia sangat cepat berkembang dari segi projek-projek pembinaan infrastruktur-dari segi kemahiran, kecepatan siap dan penjimatan kos.

Malaysia juga cemerlang dari segi ekonomi, pertamanya disebabkan pelaburannya dalam modal insan, penjanaan kemampuan-kemampuan semulajadinya, dan industri pelancongan dalam pelbagai bentuk samada persekitaran, pengajian dan perubatan, yang menarik banyak modal. 

Kesemua ini adalah contoh-contoh yang 'menyilau', yang menggamit rasa takjub.

Tetapi, apa yang bersarang dalam minda saya ketika lawatan saya ke Malaysia, dan kekal dalam ingatan selepas meninggalkannya (Malaysia), ialah kedisiplinan masyarakat, dan tingkah lakunya yang bertamadun yang saya saksikan, dan rasai sendiri. 

Masyarakat Malaysia sampai ke tahap ini dalam masa kurang daripada empat puluh tahun.

Mereka sebelum itu adalah masyarakat pedalaman yang kurang pendidikan, dan sedang mencari-cari langkah pertama ke arah hidup yang bersistematik.

Hari ini, masyarakat Malaysia majoritinya berkarakter tenang, beriltizam-secara spontan-dengan tingkah laku kemanusiaan, peraturan dan undang-undang dalam kehidupan seharian. 

Mereka sebagai contoh, melayani para pemastautin dan pelawat dengan nilai-nilai kemanusiaan, dan senyuman yang tidak lekang dari wajah. 

Mereka juga menjaga harta-harta awam dan mengamalkan undang-undang lalu lintas, dan menjaga hak-hak orang-orang kurang upaya. 

Secara ringkasnya, masyarakat Malaysia mempraktikkan tingkah laku yang betul dan berperaturan dalam interaksi mereka.

Malaysia 'contoh hidup'

Di sini berbangkit persoalan, 'bagaimana masyarakat ini sampai ke tahap 'kedisiplinan' ini?'.

Adakah disebabkan pengajaran dan pendidikan? 

Atau, adakah ini disebabkan penguatkuasaan undang-undang yang tegas ke atas semua tanpa pegecualian? 

Saya tidak tahu. 

Tetapi, apa yang saya harapkan, ialah belajar dari eksperimen Malaysia, menceduknya dan cuba melaksanakannya-dalam bentuknya yang manusiawi-dalam masyarakat kita.

Di sana, ada satu lagi aspek yang sentiasa mencuri perhatian saya di Malaysia, iaitu 'kemampuan yang ajaib' untuk hidup bersama dan bertoleransi antara anggota masyarakat. 

Kepelbagaian asal keturunan-Melayu, Cina dan India-tidak memecah belahkan masyarakat ini. Perbezaan dan kepelbagaian agama juga-Islam, Buddha, Hindu dan Kristian-tidak mampu 'mengoyak'nya. 

Oleh demikian, saya menganggap rakyat Malaysia adalah 'contoh hidup' dan berjaya dalam soal ini. 

Tidakkah mereka yang mengangkat slogan-slogan mazhab, kabilah, kedaerahan dan slogan-slogan perkauman yang lain, mahu meneladani masyarakat Malaysia? 

Masih berbaki satu soalan yang tidak berenggang dengan saya, 'bilakah masyarakat kita akan sampai ke peringkat di mana keiltizaman dengan undang-undang, menjadi satu tabiat dan adat kebiasaan?'. 

NOTA : Artikel ini adalah terjemahan kepada artikel berbahasa Arab bertajuk لا عصبية في ماليزيا (Tiada perkauman di Malaysia). Ia disiarkan dalam laman asy-Syuruq, laman yang dibangunkan oleh pemastautin Arab di Malaysia.

Wednesday 7 May 2014

Halalkah memakan telur kura-kura, buaya, ular, helang?

Ada yang bertanya tentang telur kura-kura. Adakah ia halal dimakan?

Seperti biasa, jawapan diberikan berpandukan Mazhab Imam Syafie radhiyAllahu 'anhu.

Dalam Mazhab Syafie, telur semua jenis haiwan, halal dimakan. 

Samada haiwan itu halal dimakan dagingnya (seperti ayam), atau tidak halal dimakan dagingnya (seperti buaya dan penyu), telurnya halal dimakan.

Walau bagaimana pun, telur yang memudaratkan manusia-seperti telur ular- diharamkan daripada dimakan.

Kitab Hasyiah Qalyubi Wa 'Umairah menyebut :

سَائِرُ الْبُيُوضِ طَاهِرَةٌ وَلَوْ مِنْ غَيْرِ مَأْكُولٍ وَإِنْ اسْتَحَالَتْ دَمًا بِحَيْثُ لَوْ حُضِنَتْ لَفَرَّخَتْ ، وَلَكِنْ يَحْرُمُ أَكْلُ مَا يَضُرُّ كَبَيْضِ الْحَيَّاتِ
Terjemahan : Semua [jenis] telur [adalah] suci walaupun [ia] daripada [haiwan yang] tidak dimakan [dagingnya], walaupun telah berubah [menjadi] darah dimana jika dieramkan, nescaya ia [akan] menetas. Tetapi haram memakan apa yang memudaratkan seperti telur ular.

Kenyataan ini merumuskan :

1. Telur semua jenis haiwan-samada haiwan itu halal dimakan dagingnya (seperti ayam) atau tidak (seperti buaya dan penyu)-adalah suci. Justeru, ia (telur) halal dimakan.

2. Telur semua jenis haiwan dianggap suci, meskipun telah bertukar menjadi darah, yang mana akan menetas jika dieramkan. 

Oleh kerana ia dihukumkan suci, telur yang telah bertukar menjadi darah ini, masih halal dimakan.

3. Meskipun telur semua jenis haiwan dihukumkan suci-dan oleh itu ia halal dimakan-namun, telur yang memudaratkan manusia, diharamkan daripada dimakan. Ia seperti telur ular.

'Illah (sebab) telur semua jenis haiwan halal dimakan-kecuali telur yang memudaratkan manusia-ialah kerana ia suci, dan tidak dipandang jijik oleh manusia. 

Ini dinyatakan Imam Nawawi radhiyAllahu 'anhu dalam kitabnya, al-Majmuk.

Pengecualian

Sorotan ke atas kitab-kitab turath Mazhab Syafie mendapati, para ulama mazhab ini hanya mengecualikan telur ular dan telur serangga sahaja daripada senarai telur yang halal dimakan. 

Dalam al-Asybah Wa al-Naza'ir dinyatakan :

ليس لنا بيض يحرم أكله واستثنى بعضهم بيض الحيات و الحشرات و لا شك فيه

Terjemahan : Tiada telur yang haram bagi kita memakannya. Sesetengah [daripada] mereka (ulama Mazhab Syafie) mengecualikan telur ular dan serangga [daripada ketidakharaman memakan]. Tiada syak padanya (pengecualian ini).

Adapun selain telur ular dan telur serangga, ia halal dimakan. 

Kitab Hasyiah al-Jamal 'Ala al-Manhaj menyatakan:

بيض الحداء وبيض الصقر حل فكل بيض الغراب وكل من بيض بومة والسلحفاة كذا التمساح
 
Terjemahan : Telur hida' (sejenis helang), telur helang [adalah] halal [dimakan]. Semua telur [burung] gagak dan semua telur burung hantu dan [telur] kura-kura, begitu juga [telur] buaya [juga halal dimakan].

Apa yang jelas, fatwa ulama-ulama silam Mazhab Syafie ini berasaskan pengetahuan mereka bahawa telur haiwan-haiwan ini tidak memudaratkan manusia.

Oleh itu, jika teknologi zaman kini dapat mengenal pasti bahawa salah satu, atau semua telur haiwan-haiwan ini memudaratkan manusia, boleh diputuskan bahawa ia haram dimakan, walaupun difatwakan sebaliknya oleh ulama-ulama silam ini.
 
Berhubung hukum memakan telur kura-kura, jika ia tidak memudaratkan, maka ia halal dimakan.

Wallahu a'lam

Tuesday 6 May 2014

Filem Melayu 'gersang' sentuhan agamawan, atau apa?

Gambar hiasan
Filem Cina tempatan, The Journey mencatatkan kutipan lebih RM17 juta…

Walaupun tidak ada CGI (satu istilah yang pengarah Melayu kerap menyebutnya), The Journey menghamparkan satu wacana budaya, dan sosial yang sangat tinggi. (CGI : Imej janaan komputer).

The Journey sebuah filem Cina, diarahkan oleh orang Cina, dan dilakonkan juga oleh Cina, tapi ia lebih Islamik berbanding filem arahan orang Melayu dan Islam.

…filem ini tentang pelestarian budaya Cina walau di mana mereka (orang Cina) berada.

Wajah filem Melayu
 
…dunia filem Melayu hanya banyak kecoh, kepoh dan riuh rendah, termasuk berpesta-pestaan, dan penuh dengan skandal, sambil memperagakan pakaian mahal.

Filem Melayu tidak membawa idealisme, yang banyak ialah gambar-gambar mati yang bergerak.

Filem Melayu yang pelakon wanitanya suka kangkang koyak, londeh melondeh, tak boleh jual macam The Journey. Kenapa? 

Lepas ini, pengarah-pengarah berkenaan kenalah fikir sikit, adakah resipi yang merosakkan agama, bangsa dan negara itu masih boleh buat untung?
 
Ini menunjukkan, penonton sudah memilih karya yang menjadi penawar, bukannya racun.

Memang orang Cina banyak menonton filem The Journey, dan mereka tidak menonton filem Melayu.

The Journey…sebuah paparan peradaban manusia.

Yang peliknya, orang Melayu Islam pula suka dengan filem menceritakan dunia gengster, penagih dadah dan orang menjual orang.

Bagi orang Melayu, filem gengster boleh membina insan untuk memacu negara pada masa depan. Maka, mereka pun menontonlah filem-filem yang sebenarnya telah dibakulsampahkan oleh Barat.

Ini juga membolehkan kita membuat kesimpulan, bahawa filem hantu dan kisah tahyul, banyak ditonton oleh orang Melayu Islam. 

Sepatutnya perkara ini tidak berlaku. Malah orang Melayu Islam sepatutnya bercitra tinggi dan memilih filem yang baik.

Orang Cina pula menonton filem yang mengangkat peradaban bangsa mereka. Mereka menonton kisah kemanusiaan yang sejagat, merentasi geografi, budaya dan sosial.

Mereka tahu menghargai filem yang baik untuk membina jiwa dan rasa kemanusiaan.

Filem Cina lebih islamik?

Filem The Journey mengenai seorang wanita Cina tempatan membawa pulang seorang lelaki Perancis ke rumah keluarganya di Cameron Highland. 

Mereka akan berkahwin, dan peringkat awal lelaki Perancis itu tidak boleh menerima budaya Cina keluarga kekasihnya.

Si wanita itu sanggup memutuskan hubungan dan membatalkan perkahwinan sekiranya lelaki itu tidak boleh menerima budaya Cina.

Satu lagi yang menarik dalam budaya Cina, pasangan yang belum berkahwin tidak boleh tidur sebilik. 

Ironinya, banyak filem Melayu menonjolkan seks bebas, termasuklah keluarga Melayu yang kononnya elit, tidak hirau tentang seks bebas ini.

The Journey lebih Islamik berbanding filem Melayu yang dihasilkan oleh orang Melayu Islam.

Sepatutnya, bila orang Islam membuat filem, filem mereka tak menjadi perkakas menyebarluaskan budaya songsang dari Barat. Tapi ini tidak berlaku kerana banyak orang Melayu yang buat filem menjadi lebih sekular daripada Barat.

…untuk menghasilkan sebuah filem yang baik, pembuatnya mesti seorang manusia dan pemikir. Kalau pembuatnya umpama robot yang tidak berperasaan, filem yang dihasilkan hanya layak dilontar telur kemuruk. 

Tak berguna langsung.

NOTA : Artikel ini adalah tulisan Siti Jarum dalam Mingguan Malaysia bertarikh 4 Mei 2014, bertajuk 'Filem Cina The Journey lebih islamik'. Artikel disunting penulis.