Setelah sekian
lama menyelidik, para cerdik pandai mendapati, kejayaan dan kebahagiaan
seseorang, tidak hanya bergantung kepada kecerdikan akal semata-mata.
Manusia perlukan
satu lagi jenis kecerdikan.
Dan kecerdikan
inilah yang tiada, atau kurang penekanan dalam sistem pendidikan kita. Samada
pendidikan formal atau tidak.
Para pengkaji barat
menamakan kecerdikan ini ‘kecerdikan emosi’ atau emotional intelligence. Sehingga
kini, ia masih satu ilmu baru bagi orang-orang barat sendiri, dan memerlukan
kajian lanjut.
Sejak 24 tahun
lalu, 1000 institusi berkaitan telah menjalankan beberapa kajian ke atas
berpuluh-puluh ribu responden.
Kesemua kajian
tersebut mencapai keputusan yang sama. Iaitu, kejayaan seseorang bergantung
kepada beberapa kemahiran yang langsung tiada kaitan dengan sijil-sijil pengajian
dan pengajian akademik!
Sekarang,
kecerdikan emosi sudah menjadi satu juzuk yang penting dalam falsafah mana-mana
institusi atau organisasi. Ini kerana, kecerdikan emosi mendidik individu bekerja
bersama-sama bagi mencapai tujuan bersama.
Sikap proaktif,
efisyen, berdaya saing, optimis dalam sektor pekerjaan adalah sifat yang terbit
daripada kecerdikan emosi, bukannya daripada kecerdikan akal semata-mata.
Kursus motivasi
berkaitan budaya kerja sebenarnya usaha menggilap atau menyuburkan kecerdikan
emosi, bukannya kecerdikan akal.
Semua ini
mengesahkan bahawa kejayaan dalam erti kata yang luas, bukan hanya bergantung
kepada kecerdikan akal. Kecerdikan emosi juga sangat mustahak.
Apa itu kecerdikan
emosi?
Kecerdikan emosi
ialah ‘kemampuan manusia berinteraksi secara positif dengan dirinya sendiri
dan juga orang lain, yang akan menghasilkan kebahagiaan yang maksima bagi diri
sendiri dan orang lain’.
Kecerdikan emosi
mengandungi beberapa sifat yang bersifat emosi, antaranya :
i.
Kemampuan memahami perasaan diri sendiri dan perasaan orang
lain;
ii.
Kemampuan mencetuskan rasa sayang orang lain terhadap
diri sendiri, dan mampu berinteraksi dengan mereka;
iii.
Kemampuan meluahkan perasaan dan emosi, dan kemampuan
memahaminya;
iv.
Kemampuan menjalinkan hubungan dengan orang lain(boleh
menyesuaikan diri);
v.
Kemampuan mengawal dan ‘mengendarai’ emosi;
vi.
Kejayaan dalam bidang akademik dan kerjaya;
vii.
Kemampuan membuat keputusan sendiri;
viii.
Istiqamah (konsisten) dan berterusan dalam sesuatu
pekerjaan;
ix.
Berusaha menyelesaikan permasalahan yang berlaku dalam
masyarakat; dan
x.
Menghormati diri sendiri dan orang lain.
Pupuk kecerdikan
emosi
Kecerdikan emosi
sepatutnya disemai pada usia kanak-kanak lagi. Tempoh selepas lahir sehingga
usia lima tahun, dianggap tempoh paling sesuai bagi tujuan ini.
Anda boleh
menggunakan teknik-teknik di bawah bagi memupuk kecerdikan emosi dalam diri
anak-anak tersayang :
i.
Melatih anak-anak bergantung kepada diri mereka sendiri
dalam membuat keputusan yang berkaitan dengan diri mereka. Ini supaya mereka
mampu membuat keputusan dalam kehidupan mereka di masa depan.
Contohnya, biarkan mereka memilih sendiri pakaian, warna
bilik tidur, jenis permainan dan buku-buku kegemaran mereka.
Semasa mereka membuat pilihan, anda sebagai ibu bapa
hendaklah berperanan sebagai pembimbing dan memberi khidmat nasihat, supaya
mereka dapat membuat pilihan yang tepat dan terbaik.
ii.
Mengajar mereka menghormati orang yang lebih tua. Sifat ‘menghormat
orang lain’ akan subur dalam diri mereka dan akan memberi saham kepada kejayaan
mereka pada masa depan.
Menggalakkan mereka mencium tangan orang dewasa semasa
berjabat tangan, merendahkan suara di hadapan orang tua, antara kaedah yang
boleh dipraktikkan
iii.
Mengajar mereka kemahiran mendengar buah fikiran dan
ucapan orang lain dengan penuh simpati.
Maksud ‘mendengar dengan penuh simpati’ ialah memberikan respon kepada percakapan
orang lain dan berbual dengannya jika mereka berkelayakan berbuat demikian. Ini
akan menyuburkan kemahiran berbicara dalam diri mereka.
iv.
Melatih mereka belajar dari kesilapan mereka dan juga
kesilapan orang lain. Setiap dari kita mesti berbuat salah dan terlanjur. Akan
tetapi, kita mesti mengambil peluang daripada kesilapan untuk belajar apa yang
betul dan mesti bangkit kembali.
v.
Menyuburkan di dalam diri mereka sikap tafa’ul
(optimis), kerana individu yang mutafa’il (optimis) ialah orang yang
mampu mengatasi masalah dan kesukaran
pada masa depan
vi.
Mengajar mereka memohon maaf apabila melakukan kesilapan.
Anda hendaklah menjadi contoh kepada mereka. Memohon maaf tidak akan
mengurangkan kedudukan seseorang. Sebaliknya ia akan membiasakannya bersifat
tolak ansur
vii.
Latih mereka memikul tanggungjawab yang sesuai dengan
usia mereka, seperti menugaskan anak perempuan mengemas rumah, atau pun membeli
barang keperluan bagi anak lelaki
viii.
Membentuk anak-anak supaya menjadi seorang yang
bermasyarakat. Ini dilakukan dengan cara menjalinkan hubungan kemasyarakatan
dengan jiran tetangga supaya anak-anak hidup harmoni dengan orang di sekeliling
ix.
Melatih mereka bersimpati dan mengambil berat tentang
orang lain. Ini boleh dilakukan dengan turut serta meraikan kejayaan
kawan-kawan dan bersimpati di atas kesusahan mereka, seperti menziarahi kawan
yang sakit, memberi hadiah kepada rakan sekolah dan sebagainya.
Emosi bukan lalang
Adalah sangat
malang andainya emosi kanak-kanak tidak terdidik dan dibiarkan berkembang
sendiri seperti lalang.
Dengan kefahaman
tentang kecerdikan emosi ini, dapatlah anda mentafsirkan fenomena yang sering
dilihat, iaitu seseorang yang cemerlang dalam akademik di peringkat sekolah
mahu pun universiti, tidak dapat meneruskan tradisi kecemerlangan dalam
kehidupan dan tidak menonjol di medan kehidupan.
Sebaliknya,
kedapatan ramai orang yang pencapaian akademiknya sekadar ‘cukup makan’, tetapi
berjaya dalam hidupnya dan berupaya menjadi pemimpin terkenal!
No comments:
Post a Comment