Saturday 29 December 2012

Amanat Haji Hadi : Fahami isu, usah gopoh menuduh!

Mufti Wilayah Persekutuan
Sesetengah pihak dilihat membuat tanggapan yang tersasar tentang isu sebenar yang melingkari 'Amanat Haji Hadi' yang diucapkan pada tahun 1981 itu.

Isunya bukanlah perihal seorang pemimpin bernama Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkafirkan orang-orang UMNO, atau organisasi UMNO itu sendiri.

Dakwaan beliau dalam amanatnya itu bahawa UMNO mengekalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliah, serta mati syahid sesiapa yang mati dalam perjuangan menentang UMNO, tidak boleh dijadikan dalil Presiden PAS itu telah mengkafirkan orang-orang UMNO.

Demikian juga fatwa beliau yang memutuskan menjadi kafir sesiapa yang mengamal, atau berkata 'politik suku, agama suku'. Ia juga tidak boleh mensabitkan beliau dengan tuduhan mengkafirkan UMNO atau orang-orang UMNO.

Presiden PAS itu hanya boleh didakwa sedemikian, jika beliau mengakui memang benar amanat itu, bermaksud mengkafirkan pengikut-pengikut parti Melayu terbesar itu.


Nafi takfir

Tambahan pula, kenyataan-kenyataan beliau sebelum ini, jelas menafikan beliau-pada bila-bila masa-telah mengkafirkan UMNO atau pengikut-pengikutnya. 

Dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia tidak lama dulu, beliau menafikan telah mengkafirkan orang-orang UMNO, sambil mencabar agar dikemukakan senarai nama orang-orang yang telah beliau kafirkan.

Dalam satu kaset ceramah beliau-kalau tidak silap penulis sempena kempen Pilihan Raya Kecil Bukit Payong pada tahun 1990-an-beliau mengatakan tidak semua orang UMNO kafir. Sebaliknya, yang dihukumkan kafir hanyalah orang-orang yang menghina hukum Allah daripada kalangan mereka, atau sesiapa saja yang berbuat demikian.

Ringkasnya, tiada ruang untuk 'memuatkan' dakwaan bahawa Presiden PAS itu-melalui amanatnya itu-telah mengkafirkan orang-orang UMNO, atau organisasi UMNO.

Sejauh yang boleh didakwa ialah Presiden PAS itu berdiam diri dan membiarkan pengikut-pengikut PAS mengkafirkan orang-orang UMNO-jika ada-kerana didorong oleh kefahaman mereka tentang amanatnya itu.

Atau beliau hanya berpeluk tubuh melihat pengikut-pengikut PAS mengasaskan bid’ah-bid’ah buruk seperti solat dua imam, memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum keluarga berfahaman UMNO, memulaukan orang-orang UMNO, nikah dua kali, tidak memakan daging sembelihan orang-orang UMNO dan bid’ah-bid’ah lain yang didakwa sebagai kesan daripada amanat tersebut.

Dalil amanat tidak kafirkan UMNO

Pendirian ini adalah bersandarkan kepada 
kaedah yang diutarakan jumhur ulama, iaitu لازم المذهب ليس بمذهب (Lazimul Mazhab Laysa Bi Mazhab)

Kaedah ini bermaksud, ‘rentetan pengertian(dalam Bahasa Arab disebut ‘lazim’) daripada sesuatu pandangan (juga disebut sebagai mazhab), bukan merupakan mazhab’. 

Sesuatu mazhab atau pandangan itu, biasanya mencetuskan satu ‘rentetan pengertian’ lain secara automatik.

Sebagai contoh, dakwaan bahawa ‘Syaidina Abu Bakar r.a tidak wujud’. Dakwaan ini mencetuskan satu ‘rentetan pengertian’, iaitu beliau r.a bukan seorang sahabat Nabi s.a.w.

Adalah mustahil seorang yang tidak wujud, boleh menjadi sahabat kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Meskipun begitu, para ulama memfatwakan, orang yang mendakwa sedemikian, tidak menjadi kafir walau pun dakwaan ini secara automatik mencetuskan ‘rentetan pengertian’ yang dinyatakan, iaitu Syaidina Abu Bakar bukan seorang sahabat Nabi s.a.w.(Rujuk Hasyiata al-Qalyubi Wa 'Umairah di permulaan Kitab al-Riddah). 

Kedudukan Syaidina Abu Bakar r.a sebagai seorang sahabat Nabi s.a.w, adalah perkara qat'ie kerana Allah berfirman yang bermaksud, "ketika dia berkata kepada sahabatnya, "janganlah engkau berdukacita" (al-Taubah : 40)

Para sahabat berijmak, yang dimaksudkan dengan "sahabatnya" dalam ayat ini, ialah Syaidina Abu Bakar r.a (Rujuk Hasyiah al-Dasuqi 'Ala al-Syarh al-Kabir, jld.18, hlm.294). 

Namun begitu, orang yang mendakwa 'Syaidina Abu Bakar tidak wujud', tidak dihukumkan kafir-meskipun dakwaan ini melahirkan satu 'rentetan pengertian' atau 'lazim', iaitu 'Syaidina Abu Bakar r.a bukan seorang  sahabat Nabi s.a.w'-kerana Lazimul Mazhab Laysa Bi Mazhab.

Atau ‘rentetan pengertian' daripada sesuatu pendapat atau mazhab, tidak dikira sebagai pendapat atau mazhab’.

Dalam erti kata lain, 'Syaidina Abu Bakar bukan seorang sahabat Nabi s.a.w', tidak dianggap sebagai pandangan atau mazhab orang yang mendakwa 'Syaidina Abu Bakar r.a tidak wujud'.

Walau bagaimana pun, ‘rentetan pengertian’ daripada sesuatu pendapat atau mazhab, akan dikira sebagai pendapat atau mazhab, apabila seseorang itu mengucapkannya, atau menerima 'rentetan pengertian' itu. (Rujuk al-Qawa'id al-Muthla Fi Sifatillah Wa Asma'ih al-Husna, karangan Syaikh 'Uthaimin, hlm.16)

Oleh itu, hendaklah ditanya orang yang mendakwa 'Syaidina Abu Bakar tidak wujud', samada dia menerima ‘rentetan pengertian’ daripada dakwaannya ini, atau tidak. Iaitu Syaidina Abu Bakar r.a bukan seorang sahabat Nabi s.a.w. 

Jika dia menerima, barulah boleh dikatakan bahawa dia telah mendakwa 'Syaidina Abu Bakar bukan sahabat Nabi s.aw'. Jika dia tidak menerimanya, maka tidak boleh dikatakan bahawa dia telah berkata 'Syaidina Abu Bakar bukan seorang sahabat Nabi s.a.w'.

Dalam konteks isu ‘Amanat Haji Hadi’ ini-berdasarkan kaedah Lazimul Mazhab Laysa Bi Mazhab ini-adalah satu tindakan yang salah, menuduh beliau telah mengkafirkan orang-orang UMNO, semata-mata kerana beliau telah mengeluarkan satu amanat yang menggambarkan atau difahami demikian.

Mati syahid

Berkenaan mati syahid, hadis Nabi s.a.w jelas memperlihatkan bahawa seseorang itu boleh dianggap mati syahid, meskipun dibunuh oleh pembunuh beragama Islam.

Nabi s.a.w bersabda :

من قُتل دون ماله فهو شهيد ومن قُتل دون دمه فهو شهيد ومن قُتل دون دينه فهو شهيد ومن قُتل دون أهله فهو شهيد
Terjemahan : Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya, maka dia [mati] syahid, sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan darahnya (nyawanya), maka dia [mati] syahid. Sesiapa yang mati mempertahankan agamanya, maka dia [mati] syahid. Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan keluarganya, maka dia [mati] syahid".

Hadis ini direkodkan oleh Abu Daud, Nasa'ie, Ibnu Majah dan Tirmizi. Imam Tirmizi menilainya hasan sahih, manaka Syaikh Albani menilainya sahih (Sahih al-Targhib Wa al-Tarhib, hadis no.1411)

Ringkasnya, ‘mati syahid’ adalah kematian yang berlaku ekoran perjuangan mempertahankan harta, nyawa, agama atau kaum keluarga, bukannya kematian yang disebabkan oleh pembunuh yang kafir.

Justeru, dakwaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa mati syahid sesiapa yang mati dalam perjuangan menentang UMNO, tidak boleh dijadikan tapak yang kukuh untuk melancarkan dakwaan bahawa beliau telah mengkafirkan UMNO.

Apa yang diperkatakan di sini ialah ketiadaan ruang untuk mendakwa Presiden PAS itu telah mengkafirkan UMNO melalui amanatnya itu. 

Ada pun soal samada amanatnya itu bertepatan atau bercanggah dengan ajaran Islam, ia bukan mauduk perbincangan tulisan ini.

Isu sebenar

Isu sebenar yang 'bertenggek' di atas ‘Amanat Haji Hadi’ ini ialah dakwaan ia mencetuskan bid’ah-bid’ah keji yang berlaku dalam masyarakat seperti solat dua imam, memutuskan hubungan silaturrahim kerana faktor perbezaan fahaman politik, memulau saudara seagama yang berlainan parti politik, menganggap tidak sah akad nikah atau sembelihan yang dilakukan oleh individu berlainan parti dan bid’ah-bid’ah lain.

Inilah isu sebenar 'Amanat Haji Hadi' ini.

Kegagalan mengenal pasti isu sebenar 'Amanat Haji Hadi' ini, menyebabkan kebanyakan reaksi yang ditunjukkan, atau komen yang dikemukakan kedua-dua belah pihak (PAS dan UMNO), tidak menyentuh isu hakiki, yang akhirnya menyebabkan isu ‘Amanat Haji Hadi’ ini makin bersimpang siur.

Lebih 'berbahaya' lagi, ia menyebabkan Presiden PAS itu dilihat membuat strategi yang silap apabila 'mencabar' agar diberikan peluang kepada beliau untuk menjelaskan isu Amanat Haji Hadi ini di kaca TV.

Wallahu a'lam. 

Tuesday 18 December 2012

Semarak warisan-semasa.blogspot.com...

Alhamdulillah, sehari dua ini, saya telah 'pulih'.

Semangat dan kekuatan untuk mengemaskini blog ini, seakan-akan perlahan-perlahan memancar dari lubuk hati dan bagaikan sedang menggenangi persada jiwa.

Memang banyak perkara yang bersarang diminda yang kesemuanya bagaikan mendesak-desak meminta dilepaskan ke alam maya. 

Sementelahan pula, sudah menjadi amalan saya setiap kali meletus isu-isu berkaitan agama terutamanya, bahan-bahan berkaitan akan dikumpul cepat-cepat. 

Ringkas kata, setakat ini-alhamdulillah-soal bahan tulisan tidak menjadi masalah. 

Masalah utama ialah kemampuan, semangat dan kekuatan untuk menulis yang sering diragut keadaan dan suasana.

Tentunya saya sangat-sangat berterima kasih kepada sidang pembaca yang tidak jemu-jemu menjengah atau singgah di teratak warisan-semasa.blogspot walaupun sebulan lebih tidak dikemaskini.

Kesyukuran dan segala puji saya panjatkan kepada Allah justeru biar pun lama 'terbiar', namun jumlah kunjungan harian tidak susut.

Akibat 'sepak terajang' keadaan dan suasana, saya mula memikirkan cara memastikan blog ini terus dikemaskini biarpun dalam keadaan 'lembik' dan 'longlai' akibat 'dibelasah' oleh 'karenah' kehidupan.

Akhirnya saya mendapat idea hasil pemerhatian saya terhadap teknik yang diguna pakai sesetengah bloogers dalam mengendalikan blog-blog mereka. 

Saya juga mula sedar kesilapan saya yang hanya menulis apabila idea tentang sesuatu perkara, lengkap dan sempurna.

InsyaAllah, teratak ini akan kembali dan semakin bersemarak...

Allahu musta'an. 

Friday 16 November 2012

Mursi iktiraf Israel : Jawapan kepada Amin Iskandar

Pahlawan baru Islam, Mohammad Mursi
Tulisan Amin Iskandar dalam Malaysian Insider yang memperihalkan tentang pengutusan duta baru Mesir ke Tel Aviv pada 17 Oktober 2012 yang lalu, satu tulisan yang baik bagi mana-mana pihak yang tidak sebulu dengan Ikhwan Muslimin (IM) dan gerakan Islam amnya.

'Pendedahan' beliau dalam tulisan berjudul 'Dr. Mohamed Mursi iktiraf Israel, gerakan Islam hilang maruah' itu, adalah benar dan sedia dimaklumi seluruh rakyat Mesir dan masyarakat antarabangsa. Cuma, ia gagal memberikan gambaran yang tepat tentang isu pengutusan duta itu.

Dunia sedia maklum, semenjak pementeraian Perjanjian Damai Mesir-Israel pada tahun 1979, hubungan diplomatik terjalin antara kedua-dua negara tersebut,dan diteruskansehingga hari ini oleh Dr. Mohammad Mursi, presiden baru Mesir yang dilantik melalui pilihanraya yang demokratik.

Bermula tahun 1979 sehingga kini, seramai 6 duta Mesir telah dihantar ke Tel Aviv.

Sikap Salafi & Jamaah Islamiyyah

Rakyat Mesir dari pelbagai aliran pemikiran dan kefahaman agama, sedia maklum realiti sebenar hubungan diplomatik Mesir-Israel yang bermula semenjak 1979 itu, serta arif tentang situasi semasa negara Mesir, yang sebenarnya begitu tenat.

Mereka sedar dan faham, kedua-dua faktor ini telah memaksa Mesir ketika ini, meneruskan hubungan diplomatik dengan Israel yang telah 'dipaksakan' ke atas Mesir tanpa kerelaan rakyatnya oleh regim Anwar Sadat dan Mubarak, sejak lebih 35 tahun yang lalu.

Oleh sebab itu, sebaik sahaja berjaya menggulingkan Mubarak dan membentuk kerajaan pilihan rakyat, hubungan diplomatik Mesir-Israel tidak termasuk dalam senarai isu tumpuan rakyat Mesir. 

Sehinggakan aliran salafi dan Jamaah Islamiyyah sendiri-yang berfahaman radikal dan melakukan penentangan bersenjata ke atas regim Mubarak-tidak membangkitkan soal hubungan diplomatik Mesir dengan negara haram Yahudi itu pasca Revolusi 25 Januari.

Malahan, al-Azhar sendiri, yang kini bebas daripada pengaruh kerajaan, juga tidak menimbulkan soal hubungan diplomatik dengan Israel ini.

Hanya mereka yang berada di luar Mesir dan tidak memahami realiti sebenar hubungan Mesir-Israel dan situasi dalaman Mesir yang tenat sahaja, yang menjadikanya isu.

Realiti hubungan Mesir-Israel

Adalah sangat mustahak, mana-mana penulis yang mahu mengupas isu hubungan diplomatik Mesir-Israel ini, memahami terlebih dahulu realiti sebenar hubungan tersebut. 

Seperti yang diutarakan Fahmy Huwaidy, pemikir terkenal Mesir, hubungan Mesir dan Israel adalah satu hubungan yang sangat sensitif dan rumit. Hal ini disebabkan hubungan tersebut bukanlah hubungan dua hala antara dua negara, tetapi ia adalah hubungan tiga hala, bahkan 4 hala! 

Realitinya, ia adalah hubungan diplomatik yang turut melibatkan kuasa besar dunia, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah. Ini mengakibatkan, ketika berurusan dengan Israel, kepimpinan Mesir sangat arif bahawa dalam masa yang sama, mereka sebenarnya turut berurusan dengan pihak ketiga, iaitu AS dan pihak keempat, iaitu Kesatuan Eropah.

Realiti hubungan yang rumit ini menyedarkan kepimpinan Mesir bahawa baik buruk hubungan Mesir dengan Israel, akan memberi kesan ke atas hubungan negara itu dengan AS dan negara-negara Eropah yang bernaung di bawah Kesatuan Eropah.

Bagi seorang presiden yang baru beberapa bulan menerajui negara, dan mewarisi sebuah negara yang ranap dan lumpuh bahana tindak tanduk diktator Husni Mubarak, pilihan terbaik  adalah meneruskan apa yang sedia ada buat sementara waktu, bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihan dan pengukuhan dalaman negara Mesir. 

Jika beginilah realiti sebenar hubungan diplomatik Mesir-Israel, yang sebenarnya dipaksakan ke atas Mesir dan rakyatnya oleh regim Sadat dan Mubarak tanpa kerelaan mereka, maka adalah sangat tidak kena bila penerusan hubungan diplomatik oleh Mursi ini, dikupas secara terpisah dari realiti pahit yang dihadapi Mursi dan rakyatnya ini.

Akibat gaya kupasan yang tempang ini, maka Amin Iskandar tampil mengemukakan kesimpulan yang tidak 'berperikemanusiaan' bila menyifatkan tindakan Mursi mengirim duta baru ke Tel Aviv dalam kondisi sebegini rumit, sebagai pengiktirafan presiden yang berlatar belakangkan IM itu terhadap entiti haram Yahudi!

Ketajaman nilai 'ketidakperikemanusiaan' kesimpulan beliau itu bertambah apabila disedari bahawa Mursi yang berada dalam kondisi yang rumit dalam soal hubungan Mesir-Israel itu, sebenarnya baru beberapa bulan memerintah, dan baru sahaja melepasi 100 hari pertama pemerintahan!

Memang tidak 'berperikemanusiaan' bila seseorang pemimpin yang baru beberapa bulan menerajui negara, didesak menyelesaikan masalah yang mengakar ke suatu tempoh masa selama lebih 35 tahun ke belakang.

Ketenatan Mesir 

Dari segi situasi dalaman Mesir, rakyat negara itu sedia maklum bahawa sejak lebih 35 tahun yang lalu, iaitu semenjak zaman pemerintahan regim Anwar Sadat lagi, AS dan Israel telah menggerakkan usaha pengukuhan pengaruh mereka di Mesir melalui 'tali barut'  mereka, iaitu Anwar Sadat dan Husni Mubarak.  

Untuk mendapat gambaran tentang ruang yang diberikan kedua-dua 'tali barut' ini kepada AS dan Israel 'menjajah' dan mempengaruhi Mesir, cukup dengan melihat sanjungan Yahudi ke atas mereka berdua.

Jika Husni Mubarak disifatkan oleh salah seorang bekas Perdana Menteri Israel sebagai 'perbendaharaan strategik' bagi negara haram Israel, Anwar Sadat pula disanjung dengan menamakan salah satu medan di bandar Haifa, Israel dengan nama beliau. Terdapat juga cadangan untuk menamakan satu lagi medan di bandar yang sama, dengan nama Husni Mubarak.

'Jenayah' kedua-dua 'tali barut' ini akhirnya menjerumuskan negara Mesir ke dalam jurang ketaatan dan kesetiaan tidak berbelah bagi negara itu kepada AS dan sekutunya, Israel. 

Disebabkan usaha pemasakan pengaruh AS di Mesir sudah lama berjalan, iaitu semenjak lebih 35 tahun yang lampau, Fahmy Huwaidy merumuskan bahawa usaha Mesir membebaskan diri daripada cengkaman pengaruh AS dan Israel, bukan perkara mudah.

Menyedari kesukaran Mesir meloloskan diri daripada pengaruh mereka, AS dan Israel tidak menunjukkan reaksi bimbang yang ketara terhadap Revolusi 25 Januari yang telah menggulingkan 'tali barut' mereka, dan mencatatkan peralihan kuasa kepada seorang pemimpin yang datang dari IM. 

Ini kerana AS dan sekutunya itu berkeyakinan bahawa revolusi itu hanya menggulingkan Mubarak dan regimnya, tetapi ia tidak akan mengubah dasar luar Mesir, terutamanya terhadap AS dan Israel.

Pemahaman rakyat Mesir terhadap situasi dalaman yang kritikal yang sedang dihadapi negara mereka, menyebabkan isu hubungan diplomatik Mesir-Israel yang dipaksakan ke atas mereka oleh Anwar Sadat dan Mubarak ini, tidak dibangkitkan mana-mana pihak, samada aliran salafi, Jamaah Islamiyyah atau al-Azhar sendiri. 

Sekali lagi ditegaskan, adalah sangat tidak kena bila isu pengutusan duta baru Mesir oleh Presiden Mursi ke Tel Aviv, dilambung secara terpisah daripada situasi dalaman Mesir yang begitu kronik.

Kesimpulannya, kesilapan besar Amin Iskandar dalam tulisan beliau ialah pengetengahan isu pengutusan duta Mesir ke Tel Aviv ini, dilakukan secara terpisah daripada realiti dan latar belakang yang melatarinya.

Salah tanggapan

Akibat kesilapan ini beliau telah membuat perbandingan yang tidak tepat dan 'nakal' apabila membandingkan sikap Hugo Chavez, Fidel Castro dan al-Marhum Tunku Abdul Rahman dengan sikap Mursi dalam soal hubungan dengan Israel.

Mursi yang mewarisi sebuah negara autokratik yang sejak 35 tahun lalu mengiktiraf Israel dan menjalinkan hubungan diplomatik dengan entiti haram itu, mana boleh dibandingkan dengan ketiga-tiga tokoh ini, yang menerajui negara demokrasi yang memang sejak awal tiada apa-apa hubungan dengan Israel.

Sepatutnya Amin Iskandar membandingkan sikap ketiga-tiga tokoh ini dengan individu yang mula-mula mewujudkan hubungan dengan Israel, iaitu Anwar Sadat, bukannya Mursi yang dipaksan dan dibebankan ke atasnya 'dosa' Anwar Sadat itu!

Dapat diandaikan bahawa Chavez atau Fidel Castro sendiri tidak bersetuju dengan perbandingan ini kerana mereka tentu arif tentang situasi sebenar Mursi dalam hal ini.

Tentunya jika Mursi mewarisi negara Mesir dalam keadaan ia bebas daripada sebarang hubungan dengan Israel, pasti beliau juga akan menunjukkan sikap yang sama terhadap Israel, seperti yang ditunjukan Hugo Chavez, Fidel Castro, Tunku Abdul Rahman dan tokoh-tokoh lain.

Sorotan adil

Jika isu pengutusan duta Mesir ke Israel ini disoroti secara bergandingan dengan realiti dan latar belakang sejarahnya, sudah pasti isu ini akan ditanggapi sebagai dilema seorang presiden berhadapan dengan 'dosa' yang dilakukan orang lain dan dipaksakan ke atasnya, bukannya secara-cara tergesa-gesa ditanggapi sebagai pengiktirafan seorang presiden islamis terhadap Israel!

Mursi juga tidak akan ditanggapi secara gopoh sebagai seorang presiden yang tunduk kepada hegemoni AS, tetapi dilihat sebagai seorang presiden yang berada dalam situasi rumit akibat perbuatan regim-regim kuku besi terdahulu, dan seterusnya memaksanya bertindak berasaskan awlawiyyat dan pertimbangan aspek maslahah dan mafsadah.

Sewajarnya, semua pihak memberi masa kepada Mursi untuk memperlihatkan kebolehan sebenar beliau, bukannya terus membuka pekung di dada sendiri dengan tergesa-gesa menghentam beliau tanpa mengira usia pemerintahannya yang baru beberapa bulan.

Lihat sahaja Erdogan yang kini tampil dengan penuh berani berhadapan dengan Israel, anak emas AS. Beliau sampai ke tahap sekarang setelah 9 tahun partinya menerajui Turki dan berjaya mewujudkan kestabilan dalam negara dan perpaduan rakyat.

Perkara yang sama akan ditunjukkan Mursi, InsyaAllah bila tiba masanya!

Setelah meninjau isu membabitkan Mursi ini secara bergandingan dengan realiti dan latar belakangnya, saya fikir soalan 'apa lagi yang boleh kita banggakan dengan gerakan Islam?', boleh kita 'tenyeh' dan jentik ke tepi begitu saja.

Tapi, kalau mahu juga dijawab, cukuplah dengan kita berkata, dalam kondisi yang rumit dan situasi yang penuh dengan cabaran getir, ditambah pula usia pemerintahan yang baru menjangkau beberapa bulan, namun Mursi membuktikan beliau berani mencipta sejarah apabila memanggil balik duta Mesir ke Israel sebagai bantahan ke atas pencerobohan Israel ke atas Gaza.

Inilah kali pertama dalam sejarah Mesir, dutanya ke Israel dipanggil balik sebagai tanda bantahan ke atas keganasan Yahudi ke atas umat Islam di Gaza!

Inilah yang boleh kami banggakan!

Wallahu a'lam

Tuesday 13 November 2012

Kebebasan beragama sama rata : Menginsafi Nurul Izzah


Bagi menilai kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izzah, yang difahami sebagai menggesa kebebasan beragama perlu turut melibatkan umat Islam, tulisan ini akan 'masuk' melalui 'pintu' satu kaedah mantiq.

Kaedah tersebut berbunyi, الحُكْم على الشَّيْء فرْعٌ عن تَصَوُّرِه 

Ia bermaksud, proses penentuan hukum setiap perkara, adalah satu cabang daripada tasawwur (gambaran) tentangnya. 

Ertinya, tasawwur yang tepat tentang sesuatu perkara, adalah asas. Tanpanya, proses penentuan hukum bagi perkara tadi, tidak dapat dilakukan.

Sebab itu, ahli fekah yang tidak tahu hakikat air daun ketum, sebagai contoh, tidak akan dapat menentukan dengan tepat, hukum air tersebut.

Kaedah ini sangat penting dalam memastikan hukum, sikap atau pendirian terhadap sesuatu, adalah tepat.

Adalah mustahak, kaedah ini dijadikan 'pintu' masuk utama oleh setiap agamawan terutamanya, sebelum 'masuk' memperkatakan tentang sesuatu perkara.

Laporan Malaysiakini

Seperti dilaporkan Malaysiakini, Nurul Izzah dipetik sebagai berkata, "when you ask me, there is no compulsion in religion...how can anyone say sorry, this (religious freedom) only applies to non-Malays, it has to apply equally". 

(Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...mana boleh kita berkata 'maaf, ini (kebebasan beragama) hanya untuk bukan Melayu sahaja', ia seharusnya dilaksanakan sama rata).

Mafhum ucapan beliau ini, jelas. 

"Ia (kebebasan beragama) seharusnya dilaksanakan sama rata", adalah gesaan agar 'kebebasan beragama', bukan hanya terbatas kepada bukan Islam sahaja. Malahan, perlu merangkumi orang Islam juga. 

Dalam ungkapan lain, orang Islam perlu juga diberi hak memilih agama.

Demikian mafhum kenyataan Nurul Izzah tadi. 

Walau bagaimana pun, dua hari selepas itu, Malaysiakini memetik beliau sebagai berkata, "saya sama sekali tidak menggalakkan atau menerima murtad...Saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang muslim tertakluk dengan Syariat Islam".

Mafhum kenyataan susulan beliau ini juga sangat jelas. 

Iaitu, beliau berpegang bahawa 'orang Islam tidak memiliki hak kebebasan beragama'. Dengan sebab itu, mereka tidak boleh bertukar agama, atau murtad.

Tasawwur isu

Pada titik ini, sangat jelas, isu membabitkan Nurul Izzah ini, adalah isu 'dua kenyataan yang kontradik antara satu sama lain'.

Kenyataan awal beliau menyatakan, orang Islam perlu juga diberi kebebasan beragama. Manakala kenyataan kedua pula, menyatakan sebaliknya.

Justeru, kenyataan susulan beliau itu (orang Islam tidak memiliki kebebasan beragama), bukanlah satu penjelasan kepada kenyataan awal (orang Islam perlu diberi kebebasan beragama). Tetapi, kenyataan susulan itu adalah menyanggah kenyataan awal.

Oleh demikian, anggapan sesetengah pihak bahawa-dengan kenyataan susulan itu-Nurul Izzah telah membuat penjelasan tentang kenyataan awalnya, adalah tidak tepat. 

Yang sebenarnya, kenyataan susulan beliau itu adalah menyanggah kenyataan awal, bukan menjelaskan atau memperincikannya.

Pada tahap ini, tasawwur tentang hakikat sebenar isu ini telah diperolehi. Iaitu, ia adalah isu 'dua kenyataan yang saling bertentangan'.

Dengan tasawwur ini, mudahlah urusan penentuan hukum, atau sikap yang perlu diambil berhubung isu YB Nurul Izzah ini.

Keputusan hukum

Dari segi hukum, boleh dinyatakan bahawa yang diambil kira, ialah kenyataan susulan beliau, bukan kenyataan awal. 

Hal ini kerana, bila wujud dua kenyataan yang saling bertentangan, dan tidak dapat diharmonikan (taufeeq), maka kenyataan yang paling akhir itu, dikira menasakhkan (memansuhkan) kenyataan awal.

Dalam konteks isu YB Nurul Izzah ini, yang diambil kira ialah kenyataan susulan beliau, iaitu orang Islam tidak memiliki hak untuk memilih, atau bertukar agama. Manakala kenyataan awal beliau, dikira termansuh atau terbatal dengan kenyataan susulan ini.

Ini adalah berkaitan hukum yang berlandaskan apa yang tersurat. Adapun apa yang tersirat di lubuk hati, itu adalah urusan seseorang dengan Allah.

Namun dari segi politik, Nurul Izzah tiada pilihan lain.

Banyak pihak melihat kenyataan susulan beliau itu, sebagai semata-mata dalih untuk menyelamatkan diri setelah tersepit. 

Kenyataan susulan itu juga, tidak akan melenyapkan kesangsian sesetengah pihak terhadap pegangan sebenar beliau berhubung kebebasan beragama.

Beliau juga perlu mengambil kira kedudukannya selaku salah seorang pemimpin Melayu Islam. Kemungkinan kenyataannya-disebabkan statusnya itu-disalahguna bagi tujuan menggugat Islam dan umatnya di Malaysia, sangat besar.

Mengambil kira semua ini, YB Nurul Izzah tiada jalan lain, selain menarik balik kenyataan awal beliau, yang menggesa kebebasan beragama turut dilaksanakan secara sama rata, dengan turut melibatkan orang-orang Islam.

Isu berbangkit

Isu YB Nurul Izzah ini, sebenarnya tidak terhenti setakat ini sahaja. Ia sebaliknya membawa kepada penemuan satu lagi isu lain, iaitu ketiadaan 'silibus' khusus dalam kegiatan kempen politik di kalangan bukan Islam.

Keadaan ini memungkinkan seseorang ahli politik, melangkaui batas-batas ajaran Islam, dengan cara mentafsirkannya dengan tafsiran yang menarik perhatian bukan Islam, disebabkan begitu terdorong untuk mendapat sokongan mereka. 

Justeru, adalah satu keperluan, dirangka satu 'silibus' khusus yang menepati ajaran Islam yang berkesan dan menarik, bagi menjadi bahan kempen ahli-ahli politik ketika berhadapan dengan komuniti bukan Islam.

Sangat elok jika 'silibus' tersebut berpaksikan kepada toleransi Islam yang tiada tolak banding terhadap bukan Islam, dan layanan istimewa Islam terhadap bukan Islam, yang jauh berbeza dengan ideologi-ideologi ciptaan manusia.

Wallahu a'lam

Saturday 10 November 2012

Wacana politik Islam PAS : Penilaian & keperluan tajdid!

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Pengalaman mengikuti 'wacana politik Islam' Parti Islam SeMalaysia (PAS), melalui medium ceramah, usrah, tamrin dan media massa, menyimpulkan bahawa 'wacana politik Islam' parti itu, bertunjangkan tiga teras asas, iaitu perjuangan Islam yang syumul, ketidakjituan keislaman UMNO, dan kepincangan parti Melayu terbesar itu.

Sejauh mana pun 'wacana politik Islam' PAS berlegar, dan setinggi mana pun ia menerawang, ia tidak terungkai daripada ikatan ketiga-tiga teras asas ini. 

Ketiga-tiga teras ini adalah 'lapangan' tempat 'wacana politik Islam' PAS 'mendarat', walau sejauh mana pun ia 'terbang' dan 'menerawang'.

Kejayaan wacana PAS

Realiti semasa terkini di Malaysia telah mencatatkan penerimaan masyarakat umum terhadap apa yang dinamakan 'perjuangan Islam', dan 'politik Islam' yang dibawa PAS, terutamanya sejak akhir atau pertengahan 70'an.

Terjemahan kepada penerimaan ini, ialah kepercayaan yang diberikan rakyat Kelantan dan Kedah kepada PAS pada Pilihanraya Umum ke-12, untuk menerajui kedua-dua negeri itu, disamping mandat yang diberikan rakyat kepada parti itu di beberapa kerusi DUN dan Parlimen di seluruh negara.

Suara-suara yang menjadi manifestasi kepada penolakan terhadap 'perjuangan Islam' dan 'politik Islam' yang diketengahkan PAS, seperti 'agama tidak boleh dicampur adukkan dengan politik', 'ulama tidak layak memerintah negara' , kritikan terhadap hukum hudud dan sebagainya, kini tidak lagi kedengaran.

Kenyataan terbaru Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa UMNO tidak menolak perlaksanaan hudud, cuma berpandangan keadaan semasa belum mengizinkan perlaksanaannya, dan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang mengaku menerima perlaksanaan hudud 'sebenar', iaitu yang merangkumi semua rakyat, termasuk bukan Islam, tetapi menolak 'hudud PAS', yang hanya terbatas kepada orang Islam, adalah sebahagian daripada terjemahan kepada penerimaaan masyarakat umum terhadap 'perjuangan Islam' dan 'politik Islam' yang digagaskan PAS.

Wacana 70'an di tahun 2012!

Penerimaan ini adalah hasil 'wacana politik Islam'-yang salah satu tunjangnya ialah 'perjuangan Islam yang syumul'-yang dimainkan PAS secara rancak sejak akhir atau pertengahn 70'an.

Setelah 'wacana politik Islam' PAS yang bertunjangkan tiga teras itu, berlangsung lebih 30 tahun, tanpa sebarang anjakan, penambahbaikan yang ketara, atau pelebaran skop sehingga ke tahun 2012, berbangkit persoalan tentang sejauh manakah 'wacana 70'an' ini, mampu menatijahkan hasil lain selain daripada 'penerimaan masyarakat Islam terhadap politik Islam', yang dikecapi PAS kini?

Justeru kerana PAS kini mengidamkan Putrajaya dan kepingin menjadi pengganti UMNO, maka, persoalan yang lebih tepat ialah mampukah 'wacana 70'an' ini, membentuk gelombangan sokongan rakyat kepada PAS, seterusnya mengangkatnya bersemayam di singgahsana kuasa di Putrajaya?

Dalam ungkapan lain, dengan berterusan hanya berpada dengan wacana yang berkisar sekitar pernyataan akan kesyumulan Islam, menafikan kejituan keislaman UMNO dan membongkar kepincangan parti itu, apakah ini akan mampu 'merasuk' rakyat untuk mengangkat PAS sebagai peneraju negara menggantikan UMNO?

Penilaian

Skrin realiti semasa memaparkan dengan jelas sumbangan besar UMNO kepada pembangunan Islam dan umatnya, yang tidak boleh dinafikan PAS. Hakikat ini ditandai dengan pengiktirafan banyak pihak di dunia Islam terhadap kedudukan Malaysia sebagai Negara Islam Contoh.

Justeru, PAS tidak boleh merasa selesa dengan hamburan timbunan peluru yang menafikan kejituan keislaman UMNO, di atas anggapan ia akan menajamkan pandangan mata rakyat, lantas membuatkan mereka nampak dengan jelas, lalu mempercayai bahawa keislaman UMNO memang sangat tidak jitu, seperti yang didendangkan PAS, lantas bertindak menolaknya dalam pilihanraya!

Realitinya, kepimpinan Malaysia di bawah teraju UMNO, begitu aktif membangunkan Islam dan ummah, tetapi realiti ini kabur pada pandangan PAS terutamanya, antaranya disebabkan sikap Kerajaan berhubung isu-isu tertentu, yang dilihat sebagai menggalakkan maksiat, atau paling kurang, memberi ruang kepada pembiakannya.

Rakyat sebenarnya arif tentang kepincangan yang berlaku dalam UMNO. Namun, mereka tidak akan terburu-buru menolak parti itu dalam pilihanraya, semata-mata kerana kepincangan yang ada. 

Mereka akan membuat pertimbangan dari pelbagai segi sebelum memutuskan untuk menaik atau menjatuhkan sesebuah parti.

Manakala pernyataan akan kesyumulan Islam, yang menjadi salah satu teras penting 'wacana politik Islam' PAS, hanya memberi mesej bahawa Islam adalah agama yang lengkap, dan mengcakupi kesemua aspek kehidupan mereka, tetapi tidak terkandung di dalamnya mesej yang bertenaga tentang kemampuan Islam menangani kesemua masalah manusia dalam keseluruhan aspek kehidupan. 

Sedangkan, mesej inilah (kemampuan Islam menyelesai kesemua masalah manusia) yang diperlukan bagi membuatkan rakyat yakin untuk memilih parti yang berteraskan Islam, atau politik Islam sebagai peneraju negara.

Wacana baru ganti wacana 70'an

Kesemua fakta ini menjurus kepada satu titik kesimpulan, iaitu 'wacana politik Islam 70'an' PAS, sudah terlalu lemah dan kehilangan daya untuk mencipta anjakan besar dan bermakna dalam pendirian politik rakyat Malaysia, terutamanya dalam masa terdekat ini.

Sejauh yang boleh dicapai oleh 'wacana politik Islam 70'an' itu, hanyalah meraih pengiktirafan dan penerimaan masyarakat terhadap 'perjuangan Islam' dan 'politik Islam', tidak lebih daripada itu.

Adalah amat malang bagi sebuah parti yang bercita-cita besar, apabila 'wacana 70'an' yang telah kehilangan 'ump' ini, terus diarusperdanakan tanpa sebarang penambahbaikan serius dan suntikan idea-idea baru yang segar dan bertenaga. 

Sebagai satu usaha merintis percambahan minda yang kritis, tulisan ini mencadangkan agar wacana politik Islam akan datang, menjadikan 'kemampuan Islam menyelesaikan masalah manusia dalam pelbagai aspek kehidupan', sebagai fokus utama.

Wacana baru ini akan mengupas dengan detail dan kemas bagaimana Islam menyelesaikan secara tuntas masalah sosial, ekonomi, politik, kebudayaan, pendidikan dan sebagainya.

Tugas ulama PAS

Sesungguhnya, masyarakat yang telah mengiktiraf dan menerima politik Islam-hasil 'wacana 70'an' PAS-sangat memerlukan wacana yang memperincikan bagaimana politik Islam yang berteraskan Syariat Islam, mampu memberikan penyelesaian terbaik kepada semua permasalahan manusia.

Nampaknya, Ikhwanul Muslimin lebih terkehadapan apabila sejak awal-awal lagi menjulang slogan الإسلام هو الحل (Islam adalah penyelesaian), di saat orang lain berpada dengan pernyataan akan kesyumulan Islam, dan tenggelam dalam menafikan kejituan keislaman orang lain, serta sibuk mendendangkan kepincangan pihak lawan.

Mengambil kira keterlibatan PAS dalam kerjasama politik atau Tahaluf Siyasi dengan parti bukan Islam, serta keazaman PAS meraih sokongan bukan Islam, adalah satu keperluan mendesak agar 'keadilan Islam terhadap bukan Islam', dan 'layanan istimewa Islam terhadap bukan Islam berbanding ideologi ciptaan manusia', dijadikan satu lagi fokus utama dalam 'wacana politik Islam' akan datang.

Sekali lagi, para ulama dalam PAS perlu memerah otak dan mengembeling minda bagi merangka wacana baru yang mampu menggapai matlamat dan cita-cita besar parti itu!

Zaman mengutip fakta-fakta yang tersedia dalam kitab-kitab agama, dan menghafal dalil-dalil untuk diulang semula di hadapan khalayak dalam siri-siri ceramah, sesungguhnya telah berakhir.

Kini, adalah zaman mencetus idea baru dan pemikiran kontemporari, zaman merangka kertas kerja dan pelan bertindak!

Wednesday 31 October 2012

Jemaah haji Malaysia kayu ukur kebangkitan rakyat Mesir!

Seorang rakyat Mesir mencoretkan rasa sayu yang memagut hatinya tatkala melihat bendera  Mesir yang dijulang di tanah suci ketika musim haji baru-baru ini, hanya diiringi oleh dua orang rakyat Mesir. 

Biar pun para jemaah haji Mesir keluar serentak dari penginapan untuk melakukan ibadat haji, namun mereka akhirnya berpecah dan tenggelam dalam lautan manusia, seterusnya menenggelamkan identiti negara Mesir mereka. 

Sedangkan, menurut penulis bernama Khalid Ibrahim ini, jemaah negara Malaysia dan Turki bergerak secara berpasukan dan padu.

Haji Mesir ramai sesat

Lebih menyedihkan penulis ialah cerita seorang rakyat Arab Saudi yang bertugas selama 20 tahun sebagai penjejak jemaah haji yang tersesat. 

Si penjejak ini menceritakan, kebanyakan jemaah haji yang sesat ialah jemaah haji dari Mesir! 

Menariknya, si penjejak ini menyatakan, dalam tempoh 20 tahun beliau bertugas sebagai penjejak jemaah haji, beliau tidak pernah temui walaupun seorang jemaah haji Malaysia yang tersesat!

Ketika memperihalkan tentang jemaah haji Malaysia-yang disifatkan berdisiplin dan jauh berbeza dengan jemaah haji Mesir-penulis mencatatkan bahawa para jemaah haji Malaysia
bergerak dalam kumpulan yang dikawal rapi. 

Manakala setiap kumpulan jemaah haji Malaysia dipimpin oleh seorang mutawwif yang turut sama menunaikan haji, dan mereka bergerak sambil mengalunkan doa-doa yang ma'thur. 

Kesemua jemaah haji yang bergerak dalam kumpulan ini, memakai pakaian seragam samada lelaki dan wanita, dan lebih menarik perhatian penulis ialah setiap kumpulan ditandai dengan tanda tertentu seperti bendera, bunga ros di kepala atau pun kopiah.

Semasa mengerjakan tawaf pula, jemaah haji lelaki Malaysia akan melingkungi jemaah haji wanita, menyebabkan jemaah haji dari negara lain tidak dapat menyusup masuk ke dalam kumpulan  atau memecahkan kumpulan yang dibentuk.

Satu lagi yang mencuri perhatian penulis Mesir ini ialah pada setiap leher jemaah haji Malaysia, tergantung satu kad yang tercatat padanya semua maklumat termasuk nombor telefon dan nama hotel penginapan. 

Apabila mahu pulang ke tempat penginapan pula, penulis mencatatkan jemaah haji Malaysia akan beratur panjang secara tersusun bermula daripada al-haram sehingga ke pintu bas, tanpa ada seorang pun yang cuba memotong barisan walaupun sepenat mana dan setua mana pun usia seseorang jemaah haji Malaysia itu!

Kayu ukur

Menutup bicaranya dalam satu kolum dalam laman web rasmi Ikhwanul Muslimin Mesir itu, penulis mencatatkan sesuatu yang membanggakan semua rakyat Malaysia apabila meletakkan jemaah haji Malaysia sebagai 'kayu ukur' kepada kemajuan dan kebangkitan rakyat Mesir!

Pada beliau, keberhasilan jemaah haji Mesir mempraktikkan disiplin jemaah haji Malaysia dan Turki, adalah tanda bahawa rakyat Mesir telah kembali semula kepada ketamadunan dan kemajuan, dan mula membina kebangkitan Mesir Moden.

Penulis ini mencatatkan, "pada hari para jemaah haji pergi ke Tanah Haram mendapati tingkah laku jemaah haji Mesir menyerupai tingkah laku jemaah haji Malaysia dan Turki, pada waktu itu semua orang akan tahu, bahawa rakyat Mesir telah kembali semula kepada ketamadunan dan kemajuan, serta mula membina kebangkitan Mesir moden".

Namun, bagi penulis, untuk melihat jemaah haji Mesir berdisiplin seperti jemaah haji Malaysia, langkah pertama ialah tidak membenarkan mana-mana rakyat Mesir mendapat visa bagi menunaikan haji, melainkan setelah mengikuti kursus haji secara teori dan praktikal seperti yang dilakukan Kerajaan Malaysia, yang meliputi cara memakai ihram, tawaf mengelilingi replika kaabah, dan lain-lain rukun serta kewajipan dalam ibadat haji.
  
Walau bagaimana pun, penulis tidak lupa untuk menyatakan sebab di sebalik kejahilan jemaah haji Mesir tentang ibadat haji, punca ramai yang tersesat serta ketiadaan disiplin di kalangan mereka.

Menurut beliau, semua ini adalah kesan cengkaman pemerintahan kuku besi yang 'mencekik' rakyat Mesir selama 60 tahun, sebelum mereka menikmati kebebasan selepas Revolusi Rakyat Mesir pada 25 Januari 2011.

Syabas jemaah haji Malaysia dan semua pihak yang terbabit melatih mereka menjadi jemaah haji yang berdisiplin. Syabas juga buat semua rakyat Malaysia!

Tuesday 23 October 2012

1.2 juta hilang kerja kerana hudud : Jangan sampai tersalah reaksi

Chua Soi Lek
Tulisan ini cuba meneropong dakwaan satu sms ‘misteri’ bahawa 1.2 juta rakyat Malaysia hilang pekerjaan bila hudud dilaksanakan, yang didedahkan Datuk Seri Chua Soi Lek, daripada perspektif berbeza.

Jika ditinjau isu sms ‘misteri’ ini dari aspek ‘kelogikan dakwaan’ yang dibuat, persepsi atau sikap terhadap isu ini, mungkin berbeza atau lebih rasional.

Bila dakwaan ini ditimbang dengan neraca logik akal, dapatan yang diperolehi menunjukkan bahawa dakwaan tersebut, ada benarnya.

Bila pusat perjudian di Genting Highland, kedai-kedai perjudian, internet cafe, rumah urut, kelab-kelab malam dan sektor pelancongan yang ‘dicemari’ maksiat ditutup-seperti yang dibangkit Soi Lek-memanglah ia akan mengakibatkan sejumlah besar pekerja dalam sektor-sektor ini, akan hilang pekerjaan.

Semua orang faham dan akur akan hakikat ini, termasuklah pihak-pihak yang berapi-api menyerang Soi Lek yang mendedahkan dakwaan sms ‘misteri’ yang diterimanya itu.

Inilah ‘sisi kebenaran’ dakwaan sms ‘misteri’ itu.

Oleh itu, dakwaan ini-penutupan sektor-sektor ekonomi mengakibatkan pekerja-pekerjanya hilang pekerjaan-bukan satu masalah dan tidak boleh dijadikan masalah.

Jadi, dimanakah masalahnya dakwaan sms ‘misteri’ itu, sehingga ia mencetuskan kekecohan?

‘Duri masalah’

Masalahnya mungkin pada dakwaan bahawa perlaksanaan Islam sepenuhnya dalam negara-seperti yang dicita-citakan PAS-akan mengakibatkan penutupan sektor-sektor yang dinyatakan.

Walau bagaimana pun, secara dasarnya, tiada masalah dengan dakwaan ini kerana secara prinsipnya, perlaksanaan Islam secara menyeluruh, memang menuntut agar semua sektor atau industri yang bertentangan dengan Islam, dihentikan operasinya.

Hakikat ini difahami semua umat Islam dan kebanyakan bukan Islam, termasuklah pengirim sms ‘misteri’ itu dan Soi Lek sendiri.

PAS sendiri telah pun menterjemahkan hakikat ini secara praktikal di Kelantan apabila bertindak menutup pusat-pusat perjudian, kelab-kelab malam dan lain-lain sektor yang tidak bertepatan dengan Islam.

Jika begitu, apakah sebenarnya ‘duri masalah’ dalam isu sms ‘misteri’ ini?

Jika diikuti bicara Soi Lek berkenaan sms ‘misteri’ ini dengan ‘kepala dingin’, ia memahamkan bahawa beliau sebenarnya mahu memberitahu, bahawa jika berkuasa, PAS akan menutup sektor-sektor ini bagi memenuhi tuntutan perlaksanaan Islam yang menjadi agenda parti itu.

Justeru, beliau mahu mengingatkan masyarakat Cina bahawa tindakan ini, akan mengakibatkan 1.2 juta pekerja yang terlibat dalam sektor-sektor tersebut, hilang pekerjaan.

Ringkasnya, apa yang tersurat, beliau mahu menyerang PAS.

Namun, Soi Lek atau pengirim sms ‘misteri’ ini tersilap dalam mengungkap maksud yang hendak disampaikan. Lalu diungkapkan bahawa ‘1.2 juta hilang pekerjaan bila dilaksanakan hudud’.

Akibat kesilapan ungkapan ini, beliau yang zahirnya kelihatan mahu menyerang PAS, dilihat telah menyerang hudud.Ungkapan yang sepatutnya gunakan bagi menerangkan maksud sebenar beliau ialah ‘1.2 juta hilang pekerjaan jika PAS memerintah negara’.

Walau bagaimana pun, bukan sesuatu yang pelik bila kesilapan sebegini dilakukan oleh seorang bukan Islam, yang tentunya tidak arif tentang selok belok ajaran Islam.

Dirasuk?

Dari sini, timbul persoalan, wajarkah dengan sebab kesilapan dalam ungkapan ini, secara tergesa-gesa Soi Lek disifatkan sebagai meracau, takut kepada hantu atau dirasuk oleh ‘syaitan yang dikenali’?

Juga, wajarkah reaksi berapi-api yang cenderung untuk beranggapan mengundi MCA sebagai haram, menuntut beliau memohon maaf, menggesa para ulama, mufti-mufti dan ngo-ngo Islam bangkit membuat teguran dan bantahan, serentak dengan itu melabel ulama-ulama rasmi yang berdiam diri sebagai pengecut, mengutamakan jawatan dan sebagainya?

Ini kesilapan di pihak Soi Lek atau pengirim sms ‘misteri’ itu yang telah mencetuskan kekecohan.

Kesilapan juga dilihat berlaku di pihak yang segera bingkas membantah bicara Soi Lek berkenaan sms ‘misteri’ itu.

Mereka barangkali tidak mengikuti bicara tersebut dengan cermat dan tenang, serta mungkin hanya fokus kepada tajuknya sahaja, iaitu ‘1.2 juta hilang pekerjaan bila hudud dilaksanakan’, tanpa mengamati butiran dan pendetailan bicara Presiden MCA itu.

Adalah jelas, bicara beliau itu sebenarnya ialah berkenaan penutupan sektor-sektor yang dilihat bertentangan dengan Islam, yang didakwa bakal dilakukan PAS jika ia berjaya menerajui negara, dan kesan tindakan tersebut.

Bicara beliau itu-jika dilihat isi kandungannya-sebenarnya bukan berkenaan perlaksanaan hudud, walaupun tajuknya menyatakan demikian.

‘Kesilapan’ kedua-dua belah pihak inilah yang dilihat menjadi ‘duri’ yang terselit dalam ‘daging’ isu sms ‘misteri’ ini dan menjadi punca kekecohan yang meletus.

Isu sebenar

Rumusan ini menyimpulkan bahawa isu sebenar yang dilambung oleh Soi Lek melalui pendedahan beliau tentang sms ‘misteri’ itu, ialah dakwaan bahawa PAS akan menutup sektor-sektor ekonomi yang dinyatakan, jika ia berpeluang menerajui negara.

Inilah isu sebenar!

Ini bermakna, isu sms ‘misteri’ ini adalah isu yang berkaitan dengan Soi Lek dan PAS. Dalam erti kata lain, ia adalah isu politik melibatkan dua parti politik.

Oleh demikian, reaksi yang sepatutnya ditunjukkan berhubung pendedahan isu sms ‘misteri’ ini, ialah PAS menyatakan dasar yang akan dilaksanakannya ke atas sektor atau industri yang tidak menepati kehendak Islam, jika ia menerajui negara suatu masa nanti.

Setakat hari ini, masyarakat Islam sendiri tidak jelas apakah dasar yang bakal dilaksanakan PAS ke atas sektor-sektor dan industri-industri ini jika berpeluang mentadbir negara.

Adakah pendekatan al-hadmu wal bina’, iaitu ‘meruntuhkan semua keadaan yang bertentangan dengan Islam, lalu membina di atas runtuhan itu ‘binaan’ Islam’, seperti yang dilontarkan al-Marhum Syaikh Fathi Yakan?

Atau pendekatan ‘ta’ayusy’ iaitu ‘hidup berjiran’ dengan sektor atau institusi yang bercanggah dengan Islam, dalam masa sama berusaha mengubahnya perlahan-perlahan dengan pendidikan dan tarbiyah, bukannya dengan penguatkuasaan undang-undang?

Atau bagaimana?

Kekaburan masyarakat tentang perkara ini telah memberi ruang yang selesa kepada Soi Lek untuk mendakwa bahawa PAS akan menutup semua sektor dan industri ini jika dipilih menerajui negara selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. 

Juga menyediakan suasana yang cukup kondusif bagi rakyat terutamanya bukan Islam untuk mempercayai dakwaan sedemikian.

Tugas ulama

‘Kekaburan dasar’ ini sebenarnya menuntut ashabul fadhilah Yang Berbahagia ulama-ulama dalam PAS, agar ‘berjogging minda’ dengan membebaskan fikiran daripada ‘taklukan’ kitab-kitab, dan terjun ke alam realiti, bagi merangka satu dasar yang ‘mesra non muslim’ dan ‘harmoni’, yang bakal dilaksanakan parti itu ke atas segala institusi, sektor atau industri yang tidak menepati ajaran Islam, yang kebetulannya menjadi sumber ekonomi kebanyakan warganegara bukan Islam.

Dari segi politik, langkah ini perlu dilakukan bagi ‘mententeramkan’perasaan bukan Islam, seterusnya meletakkan mereka dalam keadaan jelas tentang apa yang bakal berlaku jika mereka memutuskan untuk memberi undi kepada PAS dalam pilihan raya.

Untuk merangka dasar ini, pandangan Qaradhawi dalam karyanya,al-Siyasah al-Syar’iyyah, boleh dijadikan asas.

Dalam karyanya itu, beliau mencadangkan agar pentadbiran negara ditunjangi 5 jenis feqh, iaitu Feqhul Maqasid, Feqhul Muwazanah, Feqh Awlawiyyat, Feqhul Waqi’ dan Feqh al-Taghyeer, yang kesemuanya menjadikan pentadbiran Islam sangat ‘harmoni’ dan ‘mesra’, khususnya dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

Perangkaan dasar ini perlu dilakukan oleh para ulama PAS.Itupun jika mereka mahu terus dihormati dan kekal menjadi rujukan dan ‘tempat bergantung’ para ahli parti dan umat Islam amnya.

Tapi, tugasan ini tidaklah semudah menghafal dalil-dalil untuk digunakan dalam ceramah atau tazkirah. Juga tidak sesenang ceramah isu-isu semasa atau ‘membongkar’ keburukan parti lawan yang kebanyakkan sedia terdedah itu!