Sunday 29 December 2013

Sambutan Tahun Baru : Jangan sampai meruntuh apa yang dibina!

Saya ada terbaca serangkap syair Arab.

Bunyinya begini :

متى يبلغ البنيانُ يوما تمامَه   إذا كنتَ تبنيه وغيرُك يهدم

Terjemahan : "Bilakah [sesuatu] binaan akan sampai kepada kesudahannya suatu  hari [nanti], andai engkau membinanya [sedang] orang lain [pula] meruntuhkan [nya]?”.

Ya, binaan itu tidak akan siap sampai bila-bila. Biar pun kita bersekang mata dan membanting tulang membinanya, ia tidak akan siap, andai dalam masa sama, orang lain meruntuhkannya.
Ia juga tidak akan siap, jikalau tangan kita membina, sedang kaki kita menghenyak-henyak apa yang kita bina itu.

Kerja membina dan meruntuh dalam masa sama, adalah kerja membuang masa, tenaga dan harta.

Natijah sama juga akan berlaku dalam agenda pembinaan manusia. Pembinaan manusia tidak akan selesai sampai bila-bila, jika kita membina, dan dalam masa sama, kita meruntuhkannya!

Bina waktu siang, runtuh waktu malam

Bilakah manusia secara keseluruhan akan ‘terbangun’, jika manusia yang dibentuk oleh institusi pendidikan dan keagamaan di siang hari, ‘diruntuhkan’ oleh agensi penyiaran dan hiburan di malam hari?

Bilakah jati diri anak bangsa kita akan utuh, andai jiwa mereka yang ‘dikentalkan’ di kem-kem latihan, ‘dileburkan’ di kelab-kelab malam dan pusat hiburan?

Fenomena ‘membina dan meruntuh dalam masa sama’, sangat menyedihkan. Sebenarnya, pelakunya lebih berhak dikasihani daripada dimarahi.

Jika mahu digambarkan kelakuan ini dalam skala yang lebih kecil, ia saling tidak ubah seperti seorang yang membina sebuah rumah dengan tangan kanannya, sambil tangan kirinya meruntuhkan apa yang dibina!

Disinilah tersingkapnya rahsia kegagalan kita membina manusia!

Semua boleh mengakui, bahawa kita jauh terkehadapan berbanding negara-negara Islam lain dalam usaha pembangunan Islam dan umat Islam. Justeru, kita dikagumi dan menjadi Negara Islam contoh!

Komitmen kita terhadap pendidikan Islam di peringkat rendah dan tinggi, sangat jelas. Langkahan kaki kita di ‘litar’ kewangan Islam, memang laju. Jauh meninggalkan negara-negara Islam lain.

Kesungguhan kita menyuburkan program-program Islam, sungguh ketara. Kini, kita melangkah penuh bergaya setapak lagi ke hadapan dengan penubuhan saluran TV berteraskan Islam, TV al-Hijrah.

Namun, kebejatan sosial terus membarah. Keruntuhan akhlak kian parah!

Seriuskah?

Rahsianya, kita membina, tetapi pada waktu yang sama, kita juga meruntuhkan apa yang kita bina itu.

Kita bina anak bangsa kita di siang hari dengan ilmu, kepakaran dan agama. Tapi, malangnya, kita 'runtuhkan'nya di malam hari dengan pembiakan budaya hedonisme!

Akibatnya, penat lelah dan wang ringgit yang dicurahkan bagi membangun manusia, tidak membawa pulangan seperti yang diharapkan.

Mutakhir ini, perangai ‘membina dan meruntuh dalam masa sama’, nampaknya kian galak dan ‘tak keruan’.

Pada titik ini, tercetus persoalan, seriuskan kita membina modal insan?

Persoalan lain, mengapa kita terdorong melakukan kerja ‘membina dan meruntuh’ ini? Kita tahu ia kerja merugikan. Membuang masa. Tapi kita lakukan juga.


Inilah bahananya apabila pembinaan manusia dilakukan mengikut suka, bukan menurut acuan agama!

Friday 27 December 2013

Syiah : Kekhilafan berbahaya Hanifa Maidin dan Chandra Muzaffar!

YB Hanifa Maidin
Ada satu 'kejutan' terselit dalam tulisan YB Hanifa Maidin dalam Harakahdaily bertarikh 19 Disember 2013.

Namun, atas faktor situasi diri dan perkiraan tertentu, 'kejutan' yang bagai menggelepar dalam perasaan itu, saya diamkan sahaja.

Hari ini (26 Disember 2013), perasaan saya 'dijolok' sekali lagi oleh 'kejutan' yang dilepaskan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu. Kali ini, 'kejutan' itu dihidupkan oleh Presiden International Movement for a Just Wold (JUST), Dr. Chandra Muzaffar.

'Inisiatif' Presiden JUST itu diapungkan oleh BERNAMA pada 25 Disember 2013, kemudian 'disambar' dengan pantas oleh Harakahdaily dan Malaysian Insider keesokkan harinya, 26 Disember 2013.

Kemunculan kali kedua 'kejutan' itu di pentas wacana semasa, menandakan ia sudah mula diterima. Menyedari itu, saya tiada pilihan lain selain menitipkan tulisan ini bagi menepis bahana 'kejutan' yang dilepaskan.

Tulisan Ahli Parlimen Sepang yang dimaksudkan itu berjudul Syiah, Mat Sabu dan kesesatan terpilih.

'Kejutan' dalam tulisan itu ialah pada dakwaan beliau bahawa Amman Message yang berpusat di Jordan, "mengiktiraf mazhab Syiah Jaafariyyah dan Zaidiyyah-disamping Mazhab Ibadhi dan Sunni-sebagai mazhab yang diiktiraf sah oleh Islam".

Ketetapan Amman Message itu pula-menurut beliau lagi-ditandatangani oleh Kerajaan Malaysia yang diwakili Tun Abdullah Badawi, Dato' Seri Shahidan Kassim dan Khairy Jamaluddin.

Lebih daripada itu, menurut YB Hanifa lagi, ia turut ditandatangani banyak negara Islam lain dan ulama-ulama besar sedunia dari pelbagai mazhab, termasuklah ulama terkenal Mauritania, Syaikh Abdullah Ben Bayyah.

Dakwaan YB Hanifa ini kemudiannya disambut oleh Dr. Chandra, dan diberitakan BERNAMA pada 25 Disember 2013 dengan tajuk JUST minta pengesahan awam mengenai 'Mesej Amman'.

Dakwaan berbahaya

Implikasi dakwaan ini sangat besar. Dan makna tersirat di sebaliknya juga besar, malah berbahaya!

Implikasinya boleh dilihat melalui urutan berikut :

  1. 'Amman Message' mengiktiraf mazhab Syiah sebagai mazhab yang sah dalam Islam;
  2. Pengiktirafan Amman Message ini, ditandatangani Kerajaan Malaysia, negara-negara Islam lain dan ulama-ulama besar sedunia daripada pelbagai mazhab; dan 
  3. Urutan(1)dan (2) di atas dengan sendirinya membentuk dua natijah penting iaitu : 
  • Ahli Sunnah boleh menganut ajaran Syiah. Ini kerana ia mazhab yang sah dalam     Islam. Manakala, kesahan mazhab Syiah ini pula diperakui ulama-ulama besar           pelbagai mazhab, negara-negara Islam lain dan Kerajaan Malaysia sendiri; dan
  • Tindakan Kerajaan Malaysia mengekang penyebaran ajaran Syiah di Malaysia, adalah satu langkah yang salah, dan tindakan yang kontradik. Ini kerana, ajaran Syiah adalah mazhab yang sah dalam Islam, dan ini diperakui sendiri Kerajaan Malaysia melalui Amman Message yang dinyatakan.
Pencerahan
Persoalan pokok di sini ialah, benarkah dakwaan YB Hanifa Maidin ini?

Sesiapa jua yang memiliki asas-asas pengajian akidah, akan serta merta meragui dakwaan sebegini. 

Bukankah hadis Nabi sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam telah lama mengkhabarkan umatnya akan berpecah kepada 73 firqah? Dan, daripada 73 firqah ini, hanya satu firqah sahaja yang benar, dan dijamin sebagai firqah yang terselamat daripada kesesatan (al-firqah an-najiah),
manakala firqah-firqah yang selebihnya adalah firqah yang sesat?

Bila kita meyakini firqah yang benar daripada 73 firqah itu ialah firqah Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka dengan sendirinya kita meyakini bahawa firqah-firqah yang berbaki, adalah sesat. Manakala, firqah yang sesat pula bukanlah ajaran atau mazhab yang diperakui sah dalam Islam.

Maka, bagaimana mungkin ulama-ulama besar, termasuk Allamah Syaikh Ben Bayyah memperakui Syiah sebagai satu mazhab yang sah dalam Islam?

Rujukan terus kepada ketetapan Amman Message itu mengesahkan bahawa dakwaan YB Hanifa itu tidak benar sama sekali. 

Amman Message mengandungi 5 ketetapan yang dipersetujui bersama oleh ulama Ahli Sunnah dan ulama Syiah.

Ketetapan yang didakwa YB Hanifa sebagai 'mengiktiraf Syiah sebagai mazhab yang sah dalam Islam', ialah ketetapan nombor 1.

Teks dalam Bahasa Arabnya berbunyi :
(1) إنّ كل من يتّبع أحد المذاهب الأربعة من أهل السنّة والجماعة (الحنفي، والمالكي، والشافعي، والحنبلي) والمذهب الجعفري، والمذهب الزيدي، والمذهب الإباضي، والمذهب الظاهري، فهو مسلم، ولا يجوز تكفيره. ويحرم دمه وعرضه وماله. وأيضاً، ووفقاً لما جاء في فتوى فضيلة شيخ الأزهر، لا يجوز تكفير أصحاب العقيدة الأشعريّة، ومن يمارس التصوّف الحقيقي. وكذلك لا يجوز تكفير أصحاب الفكر السلفي الصحيح.

Terjemahan : "Setiap orang yang mengikuti salah satu daripada empat (4) mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali), mazhab Ja'fari (Ja'fariyyah), Mazhab Zaidiy (Zaidiyyah), Mazhab Ibadhi dan Mazhab Zahiri, maka dia [adalah seorang] muslim, dan tidak boleh dikafirkan.

Haram [dicerobohi] darah, kehormatan dan hartanya. Begitu juga-selaras dengan fatwa Syaikhul Azhar-tidak boleh ditakfir pengikut-pengikut Akidah 'Asyairah, dan  sesiapa yang mempraktikkan tasauf yang sebenar. Begitu juga, tidak boleh ditakfir pengikut-pengikut aliran Salafi yang benar".

Manakala dalam Bahasa Inggeris pula, ketetapan nombor 1 tersebut diterjemahkan seperti berikut :

(1) Whosoever is an adherent to one of the four Sunni schools (Mathahib) of Islamic       jurisprudence (Hanafi, Maliki, Shafi'i and Hanbali), the two Shi'i schools of Islamic jurisprudence (Jafari and Zaydi), the Ibadi school of Islamic jurisprudence and the Thahiri school of Islamic jurisprudence, is a Muslim.

Declaring that person an apostate is impossible and impermissible. Verily his (or her) blood, honour, and property are inviolable. Moreover, it is not possible nor permissible to declare whosoever subscribes to the Ash'ari creed or whoever practices real Tasawwuf (Sufism) an apostate. Likewise, it is not possible nor permissible to declare whosoever subscribes to true Salafi thought an apostate.

Kekhilafan besar

Inti pati ketetapan nombor 1 ini sangat jelas.

Ia adalah satu perakuan bahawa penganut Syiah adalah seorang muslim. Justeru, mereka tidak boleh dikafirkan tanpa bukti yang jelas.

Darah, kehormatan dan harta mereka juga tidak boleh dicerobohi kerana mereka adalah muslim.

Inilah 'ruang legar' atau skop ketetapan nombor 1 Amman Message ini. Iaitu 'kemusliman penganut Syiah' dan 'keterpeliharaan darah, kehormatan dan harta mereka'.

Secara tersurat atau tersirat, ketetapan Amman Message ini sedikit pun tidak mengiktiraf ajaran Syiah sebagai satu mazhab yang sah dalam Islam. 

Di sini, YB Hanifa Maidin 'terjerlus' dalam kekhilafan yang besar dan berbahaya!

Ketetapan Amman Message yang memperakui penganut Syiah sebagai muslim, difahami dan diwar-warkan sebagai 'perakuan bahawa ajaran Syiah adalah satu mazhab yang sah dalam Islam!

Perakuan akan keislaman pengikut sesuatu mazhab, tidak bermakna perakuan akan kesahan mazhab tersebut. 

Sama seperti perakuan akan keislaman Ayah Pin, Tuhan Harun, pengikut Jemaah Arqam, atau mana-mana pengikut ajaran sesat. Ia sama sekali tidak bermakna perakuan akan kesahan ajaran-ajaran tersebut.

Lebih malang, kekhilafan berbahaya YB Hanifa Maidin ini, disambut kemas secara terburu-buru oleh Presiden JUST.

Kepada para pembaca budiman, tugas selanjutnya ialah memperbetulkan kekhilafan ini.

Wallahu a'lam.