Jumhur
ulama Mazhab Syafie memfatwakan, seekor haiwan yang disembelih dengan niat
korban dan akikah sekaligus, tidak dikira sebagai korban mahu pun akikah.
Ia sebaliknya hanya dianggap sembelihan biasa.
Syaikh Ibnu Hajar al-Haythami dalam karyanya, Tuhfatul
Muhtaj menyatakan :
وظاهر
كلام المتن والأصحاب أنه لو نوى بشاة الأضحيةَ والعقيقةَ لم تحصلْ واحدةٌ منهما
Terjemahan : "Zahir perkataan matan ini
(iaitu matan kitab al-Minhaj karya Imam Nawawi r.a) dan rakan-rakan
[kami para ulama Mazhab Syafie menunjukkan] bahawa jika [seseorang] meniatkan
dengan seekor kambing [yang disembelihnya dua niat, iaitu melakukan] korban dan
akikah, [maka] tidak terhasil [mana-mana] satu daripada kedua-dua [nya]".
Manakala dalam Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra,
beliau menegaskan :
الذي
دل عليه كلامُ الأصحاب وجريْنا عليه منذ سنين أنه لا تداخلَ في ذلك لأن كُلا من الأضحية
والعقيقة سنة مقصودة لذاتها
Terjemahan : "Yang ditunjukkan oleh kata-kata
rakan-rakan [kami para ulama Mazhab Syafie] dan [yang] kami [ulama Mazhab
Syafie] pegang sejak bertahun-tahun [lamanya] bahawa tiada saling menyerap
dalam soal ini kerana setiap daripada [amalan] korban dan akikah [merupakan
amalan] sunat maqsudah lizatiha".
Senada dengan Syaikh Ibnu Hajar ialah Ibnu Haj.
Pengarang Hasyiah al-Bujairimi memetik dari
Ibnu Haj sebagai berkata :
قال
: لا يحصلان ؛ لأن كلا منهما سنة مقصودة ، وهو وجيه
Terjemahan : "[Beliau] berkata, "kedua-duanya
(iaitu korban dan akikah yang digabungkan dalam satu sembelihan) tidak terhasil
kerana setiap daripada kedua-dua [nya adalah amalan] sunat yang
dimaksudkan", dan ia (pendapat Ibnu Haj) ada benarnya".
Dalil
Jumhur ulama Mazhab Syafie berdalilkan dengan
beberapa dalil.
Dalil paling jelas ialah 'ketidakbolehan' niat
korban dan niat akikah 'menyerap' ke dalam satu sama lain. Atau
'ketidakbolehan' kedua-dua niat tersebut bergandingan dalam satu sembelihan.
Hal ini disebabkan oleh status kedua-dua ibadat
tersebut. Iaitu, kedua-duanya berstatus ibadat maqsudah lizatiha.
Ibadat maqsudah lizatiha ialah, ibadat yang
dituntut kerana 'diri'nya sendiri.
Ini bermakna, ibadat korban dituntut dengan tujuan
menghasilkan satu ibadat yang dinamakan ‘korban’.
Akikah dituntut bagi menghasilkan satu ibadat yang
dinamakan ‘akikah’. Kedua-duanya tidak dituntut bagi mewujudkan perkara lain.
Lawan kepada ibadat maqsudah lizatiha ialah
ibadat maqsudah lighairiha.
Maqsudah lighairiha
ialah ibadat yang dituntut bagi menghasilkan perkara lain, bukannya bagi
mewujudkan ibadat itu sendiri.
Contohnya, solat Tahiyyatul Masjid.
Ia dituntut bukan bertujuan mewujudkan satu ibadat
yang dinamakan solat ‘Tahiyyatul Masjid’ itu sendiri. Sebaliknya, ia
dituntut bagi menghasilkan perkara lain, iaitu ‘menghormati masjid’.
Status ibadat korban dan akikah sebagai ibadat maqsudah
lizatiha, menuntut supaya satu sembelihan, diniatkan dengan niat korban
sahaja, atau dengan niat akikah semata-mata.
Dengan cara ini, barulah terhasil satu ibadat yang
dinamakan ‘korban’ atau ‘akikah’.
Oleh itu, jika disembelih seekor haiwan dengan
niat korban dan akikah serentak, maka yang terhasil bukannya korban, dan bukan
juga akikah. Yang terhasil hanyalah sekadar sembelihan biasa.
Contoh
Contoh bagi memperjelaskan konsep ibadat maqsudah
lizatiha ialah pemberian hadiah kepada seseorang.
Katakan si A terpilih untuk menerima Anugerah
Pekerja Cemerlang berupa hadiah wang tunai. Kebetulan, si A juga layak menerima
sumbangan kebajikan disebabkan kematian salah seorang ahli keluarganya.
Oleh kerana Anugerah Pekerja Cemerlang diberikan
bagi tujuan menyampaikan apa yang dinamakan ‘Anugerah Pekerja Cemerlang’, maka
anugerah tersebut diberikan kepada si A dengan tujuan itu sahaja.
Manakala bagi tujuan melahirkan simpati terhadapnya
ekoran kematian kaum keluarga, diberikan satu lagi sumbangan yang lain.
Anugerah Pekerja Cemerlang tadi, tidak diberikan kepada
si A dengan 2 niat sekaligus, iaitu sebagai menghargai kecemerlangan, dan
sebagai tanda simpati terhadapnya. Ini kerana, ‘menghargai’ dan ‘melahirkan
simpati’, kedua-duanya adalah maqsud lizatih (Rujuk makna maqsudah
lizatiha)
Berbeza dengan ibadat maqsudah lighairiha seperti solat Tahiyyatul Masjid.
Ia dituntut bagi menghormati masjid, bukan bagi
mewujudkan satu solat yang dinamakan ‘Tahiyyatul Masjid’.
Justeru, solat Tahiyyatul Masjid boleh
dilakukan dengan 2 niat sekaligus, iaitu dengan niat solat Tahiyyatul Masjid
dan solat sunat qabliyyah.
Ini kerana, solat Tahiyyatul Masjid
disunatkan bukan bagi mewujudkan satu jenis solat yang dinamakan ‘Tahiyyatul
Masjid’. Sebaliknya bagi menghormati masjid. Oleh sebab itu penggabungan
niat ini tidak menjadi masalah.
Demikian juga dengan puasa 6 bulan Syawal. Ia
dituntut bukan bagi tujuan mewujudkan satu ibadat yang dinamakan ‘puasa 6’.
Sebaliknya, ia disunatkan dengan tujuan 'mengimarahkan
bulan Syawal dengan ibadat puasa'.Oleh demikian, diharuskan berpuasa dengan niat
qadha dan niat puasa 6 serentak.
Ini berbeza dengan korban dan akikah dimana
objektif kedua-duanya ialah mewujudkan ibadat korban dan akikah itu sendiri.
Qias tertolak
Dengan penjelasan ini, tertolaklah hujjah ulama
yang mengharuskan penggabungan niat korban dan akikah dalam satu sembelihan.
Mereka mengharuskannya kerana mengkiaskan ‘penggabungan
niat korban dan akikah’, dengan ‘penggabungan niat solat Tahiyyatul Masjid
dan solat sunat qabliyyah’, dan ‘niat puasa qadha dengan niat puasa 6’.
Hujjah mereka, jika ‘penggabungan niat solat Tahiyyatul
Masjid dengan niat solat sunat qabliyyah diharuskan’, maka demikian
juga ‘penggabungan niat korban dan akikah dalam satu sembelihan’, juga
diharuskan.
Qias ini tertolak kerana tidak ada persamaan
antara korban dan akikah dengan kes-kes yang diberikan.
Korban dan akikah merupakan ibadat maqsudah
lizatih, sementara kes-kes yang dikemukakan adalah sebaliknya.
Dalil 2
Dalil kedua yang menunjukkan 'ketidaksahan'
penggabungan niat korban dan akikah ialah perbezaan objektif ibadat korban dan
akikah.
Syaikh Ibnu Hajar dalam kitabnya, Fatawa
al-Fiqhiyyah al-Kubra menyatakan :
الأضحية
فداء عن النفس والعقيقة فداء عن الولد إذ بها نموه وصلاحه ورجاء بره وشفاعته
Terjemahan : "[Ibadat] korban
[berobjektifkan] penebusan diri [orang yang melakukan korban] dan akikah
[berobjektifkan] penebusan [diri] si anak, yana mana dengan [sebab] nya
(akikah) [terhasil] pembesaran, kesejahteraan [si anak], pengharapan [ibu bapa akan]
kebaikan dan syafaatnya".
Disebabkan korban dan akikah mempunyai objektif
yang berlainan, maka kedua-duanya tidak boleh digabungkan dalam satu
sembelihan.
Jika digabungkan, sembelihan tersebut tidak akan
mencapai dua objektif yang berlainan, dalam masa yang sama.
Penggabungan itu juga menyebabkan kedua-dua
objektif tadi terhapus dan tidak tercapai. Dengan sebab itu, sembelihan
tersebut tidak dikira sebagai korban atau pun akikah.
Menjelaskan hal ini, Syaikh Ibnu Hajar menegaskan
:
وبالقول
بالتداخل يبطل المقصود من كل منهما
Terjemahan : "Dengan [memegang] pendapat
[yang mengatakan korban dan akikah] saling menyerapi [antara satu sama lain,
maka] terbatallah objektif setiap [salah satu] daripada kedua-duanya".
Wallahu a’lam.
Bagaimana pula dgn fatwa Imam Ramli yang membenarkannya?
ReplyDeleteBagaimana pula dgn fatwa Imam Ramli yang membenarkannya?
ReplyDelete