Ringkasnya, melakukan qurban untuk orang lain,
DIBOLEHKAN dengan SYARAT ada keizinan daripada orang berkenaan.
Jika orang berkenaan telah mati, qurban hanya
boleh dilakukan untuknya jika dia mewasiatkan sedemikian.
Catatan kali ini pula menerangkan keharusan
melakukan qurban untuk orang lain, meski pun tanpa keizinannya.
Walau bagaimana pun, keharusan ini hanya khusus bagi 4 keadaan.
Pertama :
Seseorang yang melakukan korban untuk ahli rumahnya, iaitu orang-orang di bawah
tanggungannya.
Tindakan ini DIHARUSKAN, walaupun tiada keizinan
daripada mereka.
Kedua : Seseorang yang menyembelih binatang milik
orang lain, yang dinazarkan untuk dijadikan qurban.
Contohnya, si A telah bernazar untuk mengorbankan
seekor lembu yang khusus (yang ditentukan). Kemudian, si B menyembelih lembu tersebut pada hari
Raya Haji tanpa keizinannya( si A).
Penyembelihan tersebut tetap dianggap sebagai qurban,
walaupun tanpa keizinan si A selaku orang yang bernazar.
Ketiga :
Qurban yang dilakukan oleh pemerintah untuk semua umat Islam.
Pemerintah dibenarkan menggunakan wang Baitul Mal untuk
melakukan qurban untuk semua umat Islam, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam
al-Mawardi.
Keempat :
Penjaga (al-waliy) melakukan korban menggunakan wangnya sendiri untuk
orang-orang di bawah jagaannya.
Ia diharuskan sebagaimana yang dinyatakan oleh
al-Bulqiniy dan al-Azra'ie.
Keterangan hukum di atas dinyatakan oleh Syaikh
Khatib Syarbini dalam karyanya, Mughni al-Muhtaj ketika menghuraikan
matan al-Minhaj karangan Imam Nawawi yang berbunyi :
ولا
أضحية عن الغير ولا عن ميت إن لم يوص بها
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment