Friday 24 February 2012

Jangan bunuh ular dalam rumah atau anda akan dibunuh!*


Rumah anda pernah dimasuki ular?

Ular masuk rumah, bukan isu. Bukan benda misteri.

Yang menjadi misteri ialah, tidak semua ular yang masuk ke dalam rumah anda, adalah ular!

Kalau ular yang masuk itu bukan ular, apakah sebenarnya ular itu?!

Ular bukan ular?

Di sinilah misterinya...

Lebih misteri lagi, pernah berlaku seorang manusia terus mati sebaik sahaja membunuh ular yang sedang berlingkar di dalam rumahnya!

Apakah sebab kematiannya?

Siapa pula yang membunuhnya?

Pada suatu hari...pada zaman yang silam dan pada detik waktu yang lampau…Abu Saib pergi menziarahi Abu Sa’id al-Khudri radiallahu ’anh, seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w.

Ketika Abu Saib tiba, Abu Sa’id al-Khudri sedang bersolat. Mahu tidak mahu, Abu Saib terpaksa menunggu sehingga Abu Sa’id al-Khudri r.a selesai mengerjakan solat.

Semasa sedang menunggu itu, Abu Saib mendengar sesuatu yang bergerak dalam timbunan pelepah tamar, yang terletak di satu penjuru rumah Abu Sa’id al-Khudri.

Abu Saib yang segera menoleh ke arah timbunan pelepah tamar itu terkejut, bila mendapati bunyi pergerakan itu rupa-rupanya datang dari seekor ular!

Apalagi, Abu Saib segera menerpa ke arah ular itu untuk membunuhnya. Namun, sebelum sempat beliau berbuat demikian, Abu Sa’id al-Khudri r.a segera memberikan isyarat kepada beliau supaya duduk dan membiarkan saja ular tersebut.

Akur dengan isyarat itu, Abu Saib duduk dan membatalkan niatnya untuk membunuh ular tersebut.

Malang pengantin baru

Setelah ular itu beredar, Abu Sa’id al-Khudri r.a menunjukkan dengan jarinya ke arah sebuah rumah yang berdekatan, sambil berkata kepada Abu Saib, “engkau nampak rumah itu?”.

“Ya, saya Nampak”, ujar Abu Saib.

“Sebelum ini, rumah itu didiami oleh seorang pemuda yang baru berkahwin”, kata Abu Sa’id al-Khudri memulakan ceritanya tentang kisah pemuda tersebut.

Cerita ini bermula apabila pemuda tersebut turut serta dalam perang Khandak yang dipimpin Rasulullah s.a.w, bersama-sama  dengan Abu Sa’id al-Khudri dan para sahabat yang lain.

“Ketika kami semua berada di medan perang Khandak, pemuda tadi meminta izin Rasulullah s.a.w untuk pulang ke rumahnya sekejap, ketika separuh hari sudah berlalu. Setelah diizinkan, dia pun pulang menemui isteri yang baru sahaja dikahwininya”, cerita Abu Sa’id al-Khudri.

Cerita ini mula menuju ke kemuncaknya apabila suatu hari, pemuda tadi sekali lagi meminta izin untuk pulang ke rumahnya. Maklumlah, beliau baru sahaja berkahwin dan dalam masih dalam tempoh ‘bulan madu’.

Rasulullah s.a.w yang memahami situasi pemuda ini, tidak keberatan membenarkannya pulang, meskipun umat Islam ketika itu berada di medan perang.

Tapi, kali ini, Rasulullah seolah-olah dapat merasakan sesuatu yang tidak baik akan berlaku ke atas si pemuda.

Tidak seperti sebelum ini, iaitu semasa si pemuda meminta izin untuk pulang pada kali pertama, Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya, “bawalah sekali senjata mu kerana aku bimbang Bani Quraizah (salah satu puak Yahudi) mengancam keselamatanmu”.

Sebaik sahaja mengambil senjatanya seperti yang diminta oleh Rasulullah s.a.w, si pemuda terus beredar pulang bagi menemui isteri yang dirinduinya.

Sebaik tiba di rumahnya, si pemuda tiba-tiba diresapi kemarahan yang meluap-meluap, sehingga mengacukan lembing ke arah isterinya, seolah-olah mahu menikamnya.

Kebetulan, semasa dia tiba di rumahnya, dia melihat isterinya berdiri di pintu rumah.

Oleh kerana isterinya itu baru sahaja dikahwini, dan tiada sebab untuknya berdiri di pintu rumah, sementelahan pula dia tiada di rumah kerana berjuang di medan perang, si pemuda merasa sangat cemburu.

Dengan sebab itulah dia mengacukan lembingnya ke arah isterinya.

“Sabar bang, simpanlah dulu lembing abang itu!”, rayu si isteri.

“Marilah masuk ke dalam dulu, biar abang tengok sendiri apa yang menyebabkan saya keluar”, pujuk si isteri.

Si pemuda terus masuk ke dalam rumah dan beliau terkejut bila melihat seekor ular yang sangat besar, yang sedang berlingkar di atas katil!

Dendam ular

Tanpa berfikir panjang, si pemuda terus menikam ular tersebut. Tikamannya menyebabkan ular mengelepar sambil menyerang dan menerkam si pemuda.

Kesudahannya, si pemuda dan ular yang ditikamnya, mati.

“Tidak diketahui siapa yang mati terlebih dahulu, si pemuda atau pun ular yang ditikamnya”, cerita Abu Sa’id al-Khudri r.a lagi.

Peristiwa tragis yang menimpa si pemuda pengantin baru itu, menimbulkan persoalan dan misteri, disamping rasa simpati di kalangan para sahabat.

Bagi menyingkap tabir misteri yang menyelubungi kematiannya, para sahabat pergi menemui Rasulullah s.a.w bagi menceritakan apa yang berlaku.

“Berdoalah kepada Allah, wahai Rasulullah semoga Allah menghidupkannya kembali”, rayu para sahabat kepada Nabi s.a.w kerana begitu menyayangi si pemuda dan bersimpati dengan apa yang berlaku ke atasnya dan juga isterinya.

Nabi Muhammad s.a.w tidak memenuhi permintaan para sahabat, sebaliknya meminta mereka memohon ampun bagi si pemuda.

“Pohonlah ampun dari Allah untuk sahabat kamu itu”, sabda Baginda kepada mereka semua.

Merungkai misteri kematian si pemuda, Nabi s.a.w bersabda, “sesungguhnya di Madinah ini [terdapat] jin-jin yang telah memeluk Islam. Maka, apabila kamu melihat sesuatu daripada mereka, hendaklah kamu memberi amaran selama tiga hari.

Jika ternyata kepada kamu selepas itu [bahawa ular yang berada dalam rumah kamu itu benar-benar ular] maka hendaklah kamu membunuhnya. Sesungguhnya itu adalah syaitan”.

Cerita di atas beserta hadis yang dinyatakan bersumberkan Sahih Muslim. Ertinya, kisah ini adalah kisah benar dan hadis yang disebutkan adalah hadis sahih.

Sementara huraian kisah dan hadis di atas bersumberkan kitab Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih.

Menurut pengarang kitab Aun al-Ma’bud, larangan membunuh ular yang dijumpai di dalam rumah kecuali setelah diberikan amaran, terpakai pada semua tempat, bukan khusus kepada rumah di Madinah al-Munawwarah sahaja seperti yang difahami ramai ulama.

Amaran

Oleh kerana ular yang anda jumpai di dalam rumah anda, bukan semuanya ular, sebaliknya kadang-kadang ia adalah jin yang menjelma menjadi ular, maka jangan terus di bunuh.

Kalau kebetulan ular yang dibunuh itu sebenarnya jin, kemungkinan sanak saudara atau kawan-kawannya akan menuntut bela di atas kematiannya seperti kisah di atas.

Justeru apa yang perlu anda buat bila terserempak dengan ular di dalam rumah?

Anda kenalah memberi amaran kepada ular itu supaya keluar. Amaran diberikan sebanyak tiga kali sebagaimana pandangan sesetengah ulama (lihat Aun al-Ma’bud).

Tetapi jumhur ulama mengatakan amaran diberi selama tiga hari!

Setelah diberi amaran, tapi ia tidak keluar juga, itu menandakan ular itu memang ular sebenar, bukannya jin yang bertukar rupa. Di saat itu, barulah ular itu ‘selamat’ untuk dibunuh.

Tapi, kaedah yang dinyatakan ini hanya melibatkan ular yang ditemui di dalam rumah sahaja.

Kalau ia ditemui di tempat lain, sekalipun di dalam masjid-seperti yang dinyatakan Imam Malik (lihat huraian Imam Nawawi ke atas Sahih Muslim)-anda disunatkan membunuhnya terus, tanpa memberikan amaran.


NOTA : Ini adalah artikel lama yang dimasukkan bagi mengelakkan blog ini tidak dikemaskini.

Wednesday 22 February 2012

Berguru dengan kehidupan...


Seorang lelaki pergi menemui seorang failasof (pendeta). 

Tujuannya, mahu bertanya tentang suatu perkara yang membingungkannya.

Failasof bertanya, “tentang perkara apakah kamu mahu bertanya?”.

Si lelaki berkata, “alangkah banyaknya perkara yang menghairankan dalam diri manusia?”.

Failasof mengiyakan kata-katanya lantas menuturkan, “di kala masih kecil, manusia merasa bosan dengan dunia kanak-kanak, berlumba-lumba mahu menjadi dewasa.

Kemudian, setelah dewasa, rindu pula untuk kembali menjadi kanak-kanak...

Manusia mengorbankan kesihatannya demi menghimpun harta. Kemudian, mereka menghabiskan harta itu demi mengembalikan kesihatan yang telah di'korban'kan...

Mereka berfikir tentang masa depan, dengan penuh rasa bimbang dan melupakan masa kini.

Justeru, mereka sebenarnya tidak hidup pada masa kini, tidak juga pada masa depan...

Mereka hidup seolah-olah mereka tidak akan mati, dan mati seolah-olah tidak akan hidup kembali...”.

Failasof mendiamkan diri.

Suasana sunyi menyelubungi untuk beberapa detik.

Si lelaki bertanya, “apakah gerangannya pengajaran daripada kehidupan yang mesti dipelajari manusia?”.

Failasof melantunkan kata-kata memberikan jawapan, “
mereka hendaklah mengerti, mereka tidak berupaya menjadikan seseorang mengasihi diri mereka. Apa yang mereka mampu, ialah menjadikan diri mereka dikasihi...

Mereka perlu belajar untuk tidak membandingkan diri mereka dengan orang lain...Mereka mesti belajar bertolak ansur dan cuba untuk memaafi...

Mereka mesti sedar, kadang-kadang mereka menyebabkan luka yang dalam ke atas orang yang mereka kasihi, hanya dalam beberapa detik.

Tetapi, kadang-kadang mereka memerlukan masa bertahun-tahun lamanya bagi mengubatinya...

Manusia yang paling kaya, bukannya orang yang paling banyak memiliki. Bahkan, mereka yang kaya ialah orang yang paling sedikit memerlukan...

Di sana, terdapat orang-orang yang sangat mereka kasihi. Tetapi, manusia tidak mempelajari cara mempamerkan perasaan kasih mereka...

Manusia perlu belajar, dua orang boleh melihat suatu perkara yang sama, tetapi melihatnya dalam bentuk yang berbeza...

Manusia perlu menyedari, tidak cukup mereka hanya memaafi orang lain. Sebaliknya, mereka juga mesti memaafi diri mereka sendiri.

Setelah butir-butir permata kata itu dilontar dengan lembut dan teratur, tiada kata yang mampu disusun oleh si lelaki selain berkata, “terima kasih tuan”.

Monday 20 February 2012

Hadis palsu di internet : Mengapa Kerajaan, bukan ilmuan?


Tidak dapat dipastikan maksud sebenar gesaan Sahibul Samahah Mufti Perlis, yang menggesa Kerajaan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penggunaan hadis palsu di kalangan pengguna siber.

Secara tersuratnya, gesaan beliau itu difahami sebagai satu syor, agar Kerajaan mengambil tindakan undang-undang, terhadap pihak yang terjerumus dalam gejala yang dikatakan semakin menular itu.

Jika inilah maksud gesaan Sahibul Samahah itu, maka ia perlu diperhalusi semula.

Sebelum sebarang tindakan undang-undang dikenakan ke atas individu yang menyebarkan hadis-hadis palsu di internet, perlu diambil kira keadaan individu tersebut.

Jika terbukti hadis-hadis palsu itu disebar oleh individu, atau pihak yang memang mengetahui kepalsuan hadis-hadis tersebut, maka wajar tindakan undang-undang diambil.

Ini kerana, penyebaran hadis yang diketahui palsu, yang dilakukan oleh mana-mana pihak, adalah petunjuk kepada niat atau tujuan buruk pelakunya.

Namun, jika penyebarnya adalah orang yang jahil tentang status hadis-hadis tersebut, adalah tidak wajar tindakan undang-undang dikenakan ke atas mereka.

Orang-orang yang jahil, memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar, bukannya hukuman.
Inilah yang ditunjukkan oleh para ulama hadis zaman silam.


Al-Hafiz al-Iraqi umpamanya, setelah mendapati kewujudan hadis-hadis palsu dalam karya agung Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali r.a, mengambil inisiatif menjelaskan status hadis-hadis yang disebut dalam karya agung itu.


Di zaman moden, langkah serupa diambil oleh Syaikh Albani rhm yang melakukan takhrij hadis ke atas hadis-hadis yang disebut di dalam kitab al-Halal Wa al-Haram karangan Syaikh al-Qaradhawi. 

Sakhawi dan Sayuti Malaysia

Keperihatinan Sahibul Samahah terhadap gejala berbahaya ini, memang dialu-alukan.


Namun, adalah lebih wajar, jika gesaan ini secara asasnya, ditujukan kepada para ilmuan tempatan yang berkebolehan dalam bidang hadis, bukannya Kerajaan.

Sewajarnya, Sahibul Samahah menggesa para ilmuan ini, agar bangkit  membukukan hadis-hadis palsu yang sering tersebar di internet, dan dijelaskan status kepalsuannya.

Dengan tindakan ini, para pengguna siber ada rujukan sebelum menyebarkan mana-mana hadis di alam maya.

Sebenarnya, inilah yang dilakukan oleh para ulama silam terhadap hadis-hadis yang sering meniti dibibir masyarakat, dan tersebar dalam komuniti.

Mereka bangkit mengumpulkan hadis-hadis tersebut, dan menjelaskan statusnya, samada sahih, dhaif atau pun maudhuk (palsu), bagi menjadi panduan kepada seluruh umat Islam.

Hasilnya, lahirlah al-Maqasid al-Hasanah karangan al-Hafiz al-Sakhawi,  Kasyful Khafa’ karangan al-‘Ajluni,  al-Durar al-Muntathirah karangan Imam Sayuti dan lain-lain.

Kesemua karya ini menangani hadis-hadis yang masyhur di kalangan masyarakat semasa.

Manakala, bagi menjelaskan hadis-hadis palsu pula, para ulama zaman silam mengarang sebagai contoh, al-Fawa’id al-Majmu’ah (Imam Syawkani), al-Maudhu’at (al-Hafiz Ibn Jawzi), Alla Ali’ al-Masnu’ah (Imam Sayuti) dan lain-lain.

Sesungguhnya, penularan hadis-hadis palsu yang dibangkitkan oleh Sahibul Samahah ini, sedang menunggu sentuhan al-Sakhawi, al-‘Ajluni, al-Sayuti versi Malaysia, bagi memberikan titik noktah kepada gejala berbahaya ini.

Gejala ini sebenarnya membuka ruang pengkaryaan, dan lebih dari itu, ruang penulisan tesis di menara gading!

Sunday 19 February 2012

Rehat Minda


Juha dan manusia berkaki 4!

Suatu hari, Juha membawa seekor angsa panggang kepada seorang putera raja.

Di tengah jalan, Juha merasa lapar. Bau angsa panggang pula begitu menggodanya. Lalu, Juha memakan sebatang kaki angsa panggang itu.

Bila angsa panggang itu dihidang kepada putera raja, beliau bertanya Juha, "mengapa kaki angsa hanya sebatang?".

"Ampun Tuanku, semua angsa di negeri ini berkaki satu, Tuanku!", jawab Juha selamba.

Juha lantas meminta putera raja melihat melalui jendela istana. Juha menunjukkan jarinya ke arah sekumpulan angsa yang berdiri sebelah kaki, seperti kebiasaan yang dilakukan angsa, itik dan ayam semasa berehat.

Putera raja tidak berpuas hati.

Baginda segera memanggil seorang askar dan memerintahkannya merodok kumpulan angsa itu dengan kayu.

Bila dilakukan demikian, angsa pun apa lagi, lari ke sana ke mari dengan kedua-dua belah kakinya!

"Apakah engkau lihat!!? Semua angsa di negeri ini diciptakan dengan dua belah kaki, bukannya dengan sebelah kaki!!", bentak putera raja.

"Bertenang Tuanku. Kalaulah dirodok manusia seperti itu, nescaya manusia pun akan lari dengan empat kaki!", jawab Juha.

Maknanya, angsa itu berlari dengan dua belah kaki, bukan kerana ia memang memiliki dua kaki...tapi kerana rodokan yang kuat!

Buktinya, manusia pun akan lari dengan empat kaki jika dirodok sebegitu rupa...

Walau macam mana pun, Juha nak menang juga.

Lucu.
***
Bahaya khusyuk

Suatu ketika, Juha duduk dalam sebuah rumah. Juha mengadu kepada tuan rumah, dia mendengar keretakan di bumbung rumah.

"Ahhhh...tak usah bimbanglah...bumbung sedang 'bertasbih' kepada Allah tu...", kata tuan rumah.

"Aku bimbang nanti 'hati' bumbung menjadi khusyuk bertasbih, lalu 'sujud' ke atas kita!", balas Juha.

Ada je jawapannya.
***
Bukti kewalian Juha!

Suatu hari, Juha mendakwa dirinya seorang wali. Orang ramai pun memintanya menunjukkan keramat, bukti dia seorang wali.

"Kamu mahu aku tunjukkan keramat yang lebih besar daripada kemampuan ku mengetahui apa yang ada dalam hati kamu!!?", tanya Juha.

"Baik, apa yang ada dalam hati kami sekarang ini?", cabar mereka.

"Apa yang ada dalam hati kamu sekarang ialah, hati kamu berkata "aku berbohong (mendakwa diriku wali)!", balas Juha.

Hampeh!

Pelangi hidup seorang hamba...

Kata-kata indah dan seni Syaikh Dr. Mustafa Siba'ie ini, menjelaskan cara manusia menjadi hamba yang bertatasusila dan beradab dengan Allah.

Selaku hamba, manusia mesti sentiasa beradab sopan dengan 'tuan'nya dalam semua situasi.

Kata-kata indah ini menjelaskan adab dan etika manusia-selaku hamba-dikala beroleh nikmat dan disaat ditekan musibah.

Al-Syaikh al-Mujahid menitipkan :
إذا وصل إليك من ربك العطاء فليصله منك الشكر
وإذا وصل إليك منه البلاء فليصله منك الصبر
وإذا لم يصل منه ما  ترجو فلا يصل إليه منك ما يكره

Terjemahan : "tatkala sampai kepada mu dari tuhan mu pemberian, maka [pastikan] sampai kepadaNya dari mu kesyukuran.

Apabila sampai kepada mu dariNya bala, maka [pastikan] sampai kepadaNya dari mu kesabaran.

Bila tidak sampai kepada mu apa yang engkau harapkan, maka [pastikan] jangan sampai kepadaNya dari mu apa yang Dia benci".

Hamba yang santun dan beradab, bila sampai kepadanya 'kiriman' dari tuhannya, akan membuat kiriman balas.

Jika sampai kepadanya dari tuhannya 'kiriman' nikmat, dibalasnya dengan mengutus kepadaNya 'kiriman' syukur.

Andai 'kiriman' tuhan yang sampai itu berupa ujian dan bala, dikirimnya kepada tuhannya 'kiriman sabar'.

Demikian sikap dan akhlak hamba yang santun bila menerima 'kiriman' dari tuhannya.
Bagaimana pula akhlak dan perilakunya jika tidak sampai kepadanya dari tuhannya apa yang diingininya?

Dalam situasi sebegini, hamba yang sopan dan tahu hakikat dirinya, akan memastikan dirinya tidak 'mengirim' kepada tuhannya apa yang dibenci tuhannya.

Dia tidak akan 'mengirim' kepada tuhannya 'kiriman' putus asa, rasa terkilan atau pemberontakan.

Indahnya hidup seorang hamba...

Friday 17 February 2012

Rahsia keruntuhan manusia dalam kepesatan agama


Saya ada terbaca serangkap syair Arab. Bunyinya begini :

متى يبلغ البنيانُ يوما تمامَه   إذا كنتَ تبنيه وغيرُك يهدم

Terjemahan : "Bilakah [sesuatu] binaan akan sampai kepada kesudahannya suatu  hari [nanti], andai engkau membinanya [sedang] orang lain [pula] meruntuhkan [nya]?

Ya, binaan itu tidak akan siap sampai bila-bila. Biarpun kita bersekang mata dan membanting tulang membinanya, ia tidak akan siap, andai dalam masa sama, orang lain meruntuhkannya.

Ia juga tidak akan siap, jikalau tangan kita membina, sedang kaki kita menghenyak-henyak apa yang kita bina itu.

Kerja membina dan meruntuh dalam masa sama, adalah kerja membuang masa, tenaga dan harta.

Natijah yang sama juga akan berlaku dalam agenda pembinaan manusia. Pembinaan manusia tidak akan selesai sampai bila-bila, jika kita membina, dan dalam masa sama, kita meruntuhkannya!

Bina waktu siang, runtuh waktu malam

Bilakah manusia secara keseluruhan akan ‘terbangun’, jika manusia yang dibentuk oleh institusi pendidikan dan keagamaan di siang hari, di‘runtuhkan’ oleh agensi penyiaran dan hiburan di malam hari?

Bilakah jati diri anak bangsa kita akan utuh, andai jiwa mereka yang ‘dikentalkan’ di kem-kem latihan, ‘dileburkan’ di kelab-kelab malam dan pusat hiburan? 

Fenomena ‘membina dan meruntuh dalam masa sama’, sangat menyedihkan. Sebenarnya, pelakunya lebih berhak dikasihani daripada dimarahi.

Jika mahu digambarkan kelakuan ini dalam skala yang lebih kecil, ia saling tidak ubah seperti seorang yang membina sebuah rumah dengan tangan kanannya, sambil tangan kirinya meruntuhkan apa yang dibina!

Disinilah tersingkapnya rahsia kegagalan kita membina manusia!

Semua boleh mengakui, bahawa kita jauh terkehadapan berbanding negara-negara Islam lain dalam usaha pembangunan Islam dan umat Islam. Justeru,  kita dikagumi dan menjadi Negara Islam contoh!

Komitmen kita terhadap pendidikan Islam di peringkat rendah dan tinggi, sangat jelas. Langkahan kaki kita di ‘litar’ kewangan Islam, memang laju. Jauh meninggalkan negara-negara Islam lain.

Kesungguhan kita menyuburkan program-program Islam, sungguh ketara. Kini, kita melangkah penuh bergaya setapak lagi ke hadapan dengan penubuhan saluran TV berteraskan Islam, TV al-Hijrah.

Namun, kebejatan sosial terus membarah. Keruntuhan akhlak kian parah!

Seriuskah?

Rahsianya, kita membina, tetapi pada waktu yang sama, kita juga meruntuhkan apa yang kita bina itu.

Kita bina anak bangsa kita di siang hari dengan ilmu, kepakaran dan agama. Tapi, malangnya, kita 'runtuhkan'nya di malam hari dengan pembiakan budaya hedonisme!

Akibatnya, penat lelah dan wang ringgit yang dicurahkan bagi membangun manusia, hilang begitu saja.

Mutakhir ini, perangai ‘membina dan meruntuh dalam masa sama’, nampaknya kian galak dan ‘tak keruan’. 

Pada titik ini, tercetus persoalan, seriuskan kita membina modal insan?

Persoalan lain, mengapa kita terdorong melakukan kerja ‘membina dan meruntuh’ ini? Kita tahu ia kerja merugikan. Membuang masa. Tapi kita lakukan juga.

Inilah bahananya apabila pembinaan manusia dilakukan mengikut suka, bukan menurut acuan agama!

Sunday 12 February 2012

Membongkar sanubari pencela sahabat Nabi


Ada 'sesuatu' yang mendorong segelintir umat Islam, mencela dan merendah-rendahkan sahabat-sahabat Nabi s.a.w.

Di kalangan mereka, mungkin ada yang menyedari kewujudan 'sesuatu' ini dalam sanubari mereka. Mungkin juga ramai di kalangan mereka, yang tidak menyedarinya.

Imam Malik radhiyallahu 'anhu mendedahkan 'sesuatu' itu, yang tersemat dalam sanubari orang-orang yang tergamak mencela para sahabat Nabi s.a.w.

'Sesuatu' yang mendorong mereka 'menceroboh' kemuliaan insan-insan  keluaran Madrasah Nubuwwah itu.

Imam Darul Hijrah itu berkata tentang para pencela sahabat-sahabat Nabi s.a.w :

إنما هؤلاء أقوامٌ أرادوا القَدْحَ في النبي صلى الله عليه وسلم فلم يُمْكِنْهم ذلك

Terjemahan : "Sesungguhnya kaum-kaum (yang mencela para sahabat Nabi s.a.w) itu ingin mengaibkan Nabi s.a.w, tetapi mereka tidak mampu berbuat demikian".

Orang-orang yang mencela sahabat Nabi s.a.w, sebenarnya ingin mengaibkan junjungan agung, Muhammad s.a.w!

Demikian tegas Imam Ahli Sunnah, Malik radhiyallahu 'anhu.

Namun, mereka tidak mampu mengaibkan Rasulullah s.a.w. Mengaibkan Baginda, hanya akan mendedahkan diri mereka yang sebenar. Mengakibatkan mereka terkeluar daripada lingkungan Islam dan umat Islam.

Justeru, apa tindakan mereka setelah keinginan mereka untuk mengaibkan Baginda s.a.w itu tidak mampu dicapai?

Sambung Imam Malik r.a :

فقَدَحوا في أصحابِه حتى يقالَ رجلٌ سُوء، ولو كان رجلاً صالحًا لكان أصحابُه صالحين

Terjemahan : "Lantas mereka mengaibkan sahabat-sahabatnya (s.a.w) supaya dikata (orang bahawa Baginda s.a.w) lelaki jahat, (kerana) jika Baginda (s.a.w) seorang lelaki yang soleh, tentulah sahabat-sahabatnya (s.a.w juga) orang-orang yang soleh".

Kata-kata Imam Malik r.a ini tercatat dalam al-Sorim al-Maslul, karangan Imam Ibnu Taimiyyah, hlm. 580.

Inilah yang mendorong segelintir umat Islam-moga Allah memberikan petunjuk kepada mereka-mencela para sahabat Nabi s.a.w. Iaitu keinginan mengaibkan Nabi s.a.w!

Halus dan tersembunyi

Mungkin ramai yang terlibat dalam perbuatan keji ini, langsung tidak merasai dalam jiwa mereka, bahawa yang mendorong mereka berbuat demikian, ialah keinginan mengaibkan Nabi s.a.w.

Bahkan, mungkin saja mereka merasakan, bahawa mereka melakukannya kerana didorong oleh kecintaan mereka kepada Ahli Bayt. Iaitu kecintaan yang dituntut agama.

Mengapa mereka tidak merasai bahawa 'keinginan keji' inilah yang mendorong mereka mencela sahabat-sahabat Nabi s.aw?

Sedarlah, sesetengah 'keinginan keji' yang bersarang dalam jiwa manusia, sangat seni dan halus, serta tersemat jauh dalam lubuk hati yang dalam. Menyebabkan manusia langsung tidak menyedari kewujudannya.

Betapa ramai orang yang merasa mereka ikhlas berjuang menegakkan Islam. Tapi, tanpa mereka sedari, tujuan sebenar mereka berjuang ialah 'meraih habuan dunia'.

Pun begitu, mereka tidak sedar akan kewujudan 'keinginan kepada habuan dunia' dalam hati mereka.

Sehinggalah apabila mereka tidak mendapat habuan dari perjuangan Islam itu, mereka terus meninggalkan perjuangan.

Di waktu itu, baru individu seperti ini, atau orang ramai mengetahui, bahawa tujuannya berjuang ialah mengaut habuan dunia, bukan ikhlas kerana Allah.

Bicara Imam Ghazali r.a

Bicara Hujjatul Islam, Imam Ghazali رضي الله عنه وقدس الله سره dalam Ihya' Ulumiddin (rujuk bab berkenaan riyak) menunjukkan, sesetengah 'keinginan keji' yang tersemat dalam sanubari manusia, sangat seni dan halus. Sehinggakan kewujudannya langsung tidak disedari.

Ketika berbicara tentang penyakit riyak yang tersembunyi, Imam Ghazali menyebut tentang individu yang tidak ingin amal ibadat yang dilakukannya diketahui orang, justeru kerana mencari keredhaan Allah semata-mata.

Namun, apabila bertemu orang ramai, dia ingin supaya orang ramai terlebih dahulu memberi salam kepadanya sebagai tanda hormat. Atau memberikannya layanan dengan penuh penghormatan. Jika dia tidak dilayan sebegitu, dia akan terasa jengkel.

Orang seperti ini tidak suka amal ibadatnya diketahui orang. Ini menunjukkan dia seorang yang benar-benar ikhlas beribadat. Dia sendiri turut merasakan dirinya benar-benar ikhlas beramal.

Tapi, dia tidak menyedari, bahawa nun jauh di lubuk hatinya yang dalam, terselit riyak yang seni dan halus.

Kewujudan riyak yang seni ini hanya diketahuinya-jika dia seorang yang berilmu-apabila dia merasa jengkel tatkala orang tidak memberikan penghormatan dan sanjungan kepadanya.

Menurut Hujjatul Islam, kewujudan 'rasa jengkel bila tidak disanjung', menunjukkan seolah-olah dia menjadikan penghormatan dan sanjungan orang, sebagai 'ganjaran' di atas amalannya yang dia tidak mahu diketahui orang itu, yang dilakukannya secara bersembunyi.

Dalam erti kata lain, dia tidak benar-benar ikhlas beramal meskipun dia tidak suka amalannya diketahui orang.

Demikianlah halusnya tipu daya nafsu!

Ini adalah berkenaan 'keinginan keji' yang terselit dalam jiwa orang-orang yang cuba mengikhlaskan niat mereka dalam berjuang dan beramal ibadat.

Meskipun begitu, 'keinginan keji' ini masih berupaya menyelusup masuk ke lubuk hati mereka, tanpa mereka sedari.

Maka, bagaimanakah pula orang-orang yang melakukan sesuatu yang terang-terang adalah dosa dan kekejian, iaitu mencela orang-orang yang telah dipersucikan Allah zahir dan batin mereka?

Firman Allah (al-Fath : 29) :

مُّحَمَّدٌۭ رَّسُولُ ٱللَّهِ ۚ وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥٓ أَشِدَّآءُ عَلَى ٱلْكُفَّارِ رُحَمَآءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَىٰهُمْ رُكَّعًۭا سُجَّدًۭا يَبْتَغُونَ فَضْلًۭا مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَ‌ٰنًۭا ۖ

Maksudnya, "Nabi Muhammad itu Rasulullah; dan orang-orang yang bersamanya bersikap keras terhadap orang-orang kafir, dan sebaliknya berkasih sayang sesama sendiri. Engkau melihat mereka rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaan-Nya"

Berkata Jabir Ibn Abdillah r.a, "kami (pada waktu itu seramai) seribu empat ratus (1,400) orang". Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih dalam Kitab al-Maghazi.

Allah mempersucikan zahir mereka dengan firmanNya, "bersikap keras terhadap orang kafir, dan sebaliknya berkasih sayang sesama sendiri. Engkau melihat mereka rukuk dan sujud".

Allah mempersucikan juga batin mereka dengan berfirman, "mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaan-Nya".

Allah telah bersaksi bahawa zahir mereka dihiasi dengan rukuk dan sujud yang banyak. Batin mereka pula selimuti dengan niat yang ikhlas.

Justeru, tidakkah orang-orang yang mencela mereka mahu berhenti?

Tuesday 7 February 2012

Krisis Syria : Qaradhawi gesa boikot produk Rusia dan China


Syaikh Qaradhawi

Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, terus bergerak bersama denyut nadi ummah, apabila tampil dengan gesaan kepada seluruh umat Islam, agar memboikot barangan buatan Rusia dan China.

Gesaan ini sebagai respon beliau terhadap ketidakperikemanusiaan kedua-dua negara kuasa besar itu, yang telah menggunakan kuasa veto bagi menghalang Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu, mengambil tindakan ke atas regim Bashar al-Asad, yang melakukan penyembelihan ke atas rakyat Syria.

Dalam program Syariah Wa al-Hayah (Syariah dan Kehidupan) di stesen satelit al-Jazeera, Qaradhawi dilaporkan sebagai berkata, “saya menyeru semua orang yang (berjiwa) merdeka di seluruh dunia, agar menentang orang-orang yang menzalimi rakyat Syria dengan cara memihak kepada kezaliman regim Syria yang menentang hak rakyat”.

Beliau menambah, pendirian Rusia dan China itu, merupakan satu “penentangan ke atas negara-negara Arab, rakyat Syria dan semua rakyat beragama Islam.

Oleh demikian, menjadi kewajipan orang-orang Syria dan umat Islam, memboikot barangan buatan Rusia dan China, dan tidak mengeluarkan apa jua harta benda untuk kepentingan barangan-barangan tersebut”.

Dakwaan Iran bersubahat

Dalam perkembangan berkaitan, Ikhwanul Muslimin (IM) Syria turut menuding jari kepada Iran, yang disifatkan sebagai turut bekerjasama dengan Rusia dan China dalam membantu regim al-Asad menyembelih rakyat Syria.

Ketiga-tiga negara ini dituduh sedemikian, bukan sahaja kerana sokongan mereka terhadap regim al-Asad, malah disebabkan tindakan mereka membekalkan senjata kepada regim zalim itu.

Justeru, dakwa IM Syria, ketiga-tiga negara ini turut bertanggungjawab di atas setiap titisan darah yang ditumpakah di bumi Syria.

Andai diamati, gesaan Qaradhawi ini bukan sahaja berperanan sebagai tekanan kepada pihak-pihak terbabit. Malah, ia juga boleh berfungsi sebagai kempen kepada penggunaan produk-produk tempatan.
Sumber : islamtoday