Wednesday 29 January 2014

Dr Abdul Kareem Zaydan : 'Murid' Ibn Taimiyyah dan aktivis Islam



Al-Allamah Abdul Kareem Zaydan rhm

Melalui catatannya sempena perpindahan al-Allamah Syaikh Dr.Abdul Kareem Zaydan ke rahmatullah pada 27 Januari 2014, boleh dikatakan Syaikh Dr.Taha Jaber al-Ulwani adalah sahabat baik al-Marhum Dr.Abdul Kareem.
 
Dr.Taha mengenali al-Marhum sejak tahun 1953 lagi, iaitu ketika beliau (Dr.Taha) masih berada di Baghdad, Iraq. Sejak itu, berlaku beberapa pertemuan dan perhubungan antara mereka berdua.

Keakraban mereka berdua terserlah apabila Dr.Taha-yang ketika itu belajar di Mesir-menyambut al-Marhum Dr.Abdul Kareem yang baru tiba di sana untuk menyambung pengajian peringkat PhD.

Di Mesir, beliaulah yang mencarikan rumah sewa untuk Dr.Abdul Kareem. Sekali atau dua kali seminggu, beliau akan ke rumah sewa Dr.Abdul Kareem untuk memenuhi apa-apa keperluan al-Marhum.

Bahkan, ketika pemergiaan terakhir Dr.Abdul Kareem ke Amerika Syarikat untuk rawatan mata, beliau tinggal di rumah Dr.Taha-yang ketika itu tinggal di Amerika Syarikat-selama dua malam.

Keakraban ini 'melayakkan' Dr.Taha untuk memperihalkan tentang sosok peribadi salah seorang ulama kontemporari terbilang ini.

Peminat tegar Ibn Taimiyyah

Antara sisi menarik peribadi Dr.Abdul Kareem Zaydan yang 'didedahkan' Dr'.Taha, ialah tentang minat al-Marhum yang sangat tinggi terhadap Syaikhul Islam Ibn Taymiyyah dan aliran gagasan beliau.

Sehinggakan beliau menyifatkan al-Marhum sebagai antara orang yang paling meminati Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah dan aliran beliau.

Memperihalkan perkara ini, Dr Taha mencatatkan :

كان من أشد طلبة العلم حماسًا لابن تيمية ومدرسته، قلَّ أن لا يستشهد بشيء من كلام شيخ الإسلام أو تلامذته في أي مجلس يجلسه، وفي أي قضيَّة تثار أمامه

Terjemahan : Beliau adalah antara penuntut ilmu yang paling kuat minatnya terhadap Ibn Taimiyyah dan aliran [bawaan]nya. Jarang-jarang beliau tidak berhujjah dengan kata-kata Syaikul Islam atau murid-murid beliau dalam mana-mana majlis beliau, dan dalam mana-mana isu yang dibangkitkan di hadapannya.

Minat Dr.Abdul Kareem terhadap Imam Ibn Taymiyyah sangat tinggi, sehinggakan Dr.Taha mengatakan bahawa jika ditanya siapa guru Dr. Abdul Kareem Zaydan, beliau akan menjawab, al-Marhum ada dua orang guru, iaitu Ibn Taymiyyah dan alirannya, dan ulama terkenal Iraq waktu itu, Syaikh Amjad az-Zahawi.

Kontroversi politik

Dari segi harakah islamiyyah, menurut Dr.Taha, Dr.Abdul Kareem dianggap ketua Ikhwan Muslimeen Iraq selepas penghijrahan Syaikh Sawwaf ke Arab Saudi. 

Al-Marhum bergerak melalui Jam’iyyah al-Ukhuwwah Islamiyyah yang dianggap sebagai cabang Ikhwan Muslimeen di Iraq.

Dalam arena politik, Dr.Abdul Kareem ada kontroversi sendiri. 

Pada tahun 1968, Ibrahim Dawood (pengawai tentera Iraq), Naif dan Parti Ba’ath Iraq telah berjaya melakukan satu rampasan kuasa. 

Kontroversi bermula apabila Dr.Abdul kareem menerima jawatan sebagai Menteri Agama (al-Awqaf) yang ditawarkan oleh Ibrahim Dawood, yang juga merupakan bekas murid beliau dalam bidang undang-undang.

Tindakan al-Marhum ini dikritik hebat antaranya oleh Syaikh Abdul Aziz al-Badri, yang disifatkan Dr.Taha sebagai 'al-Syahid'.

Dalam kritikannya, Syaikh al-Badri menujahi Dr.Abdul Kereem dengan kata-kata, “bagaimana kamu mengharuskan diri kamu menjadi menteri dalam satu kementerian [di mana] Michel Aflaq diangap sebagai ketua ideologi dan ahli falsafahnya!?”. 

Debat yang panjang antara keduanya dimuktamadkan oleh Dr.Abdul Kareem dengan kata-kata beliau, “wahai Syaikh Abdul Aziz, aku rasa aku layak untuk memberi fatwa kepada diriku sendiri tentang apa yang halal dan apa yang haram bagi diriku!”.

Michel Aflaq ialah pengasas Parti Ba'ath dan dikatakan memeluk Islam sebelum kematian beliau pada 1989.

Walau bagaimana pun, Dr.Abdul Karem hanya menjawat jawatan Menteri Agama Iraq dalam tempoh tidak lebih daripada tiga belas hari. Beliau beserta Ibrahim Dawood dan Naif telah dipecat dari kerajaan.

Karya mesra pelajar

Dr.Abdul Kareem Zaydan akan kekal dalam ingatan para penuntut ilmu-ilmu Syariah kerana beliau telah mewariskan beberapa karya ilmiah, yang menjadi rujukan di Fakulti-fakulti Pengajian Islam, mahu pun di medan dakwah dan keilmuan umum Islam.

Antara karya beliau yang begitu dekat dengan para penuntut ilmu, ialah al-Madkhal Li Dirasah al-Syariah al-Islamiyyah, al-Wajiz Fi Uzul al-Feqh, Usul al-Dakwah dan al-Mufassal Fi Ahkam al-Mar’ah

Satu lagi karya beliau yang sangat penting dan relevan, terutamanya dalam realiti negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, ialah Ahkam al-Zimmiyyeen Wal Musta’mineen Fi Dar al-Islam

Karya ini yang merupakan tesis PhD beliau memperincikan dengan detail hukum hakam berkaitan non muslim dalam negara Islam.

Satu lagi karya beliau yang penting dalam konteks semasa ialah al-Syariah al-Islamiyyah Wal Qanun al-Duwali al-‘Am (Syariah Islam dan Undang Am Antarabangsa).

Semoga Allah merahmati al-Marhum dan menghimpunkan beliau bersama roh-roh para solehin.

Tuesday 21 January 2014

Hukum menyaringkan 'a'uzubillah...' dalam solat

Seorang sahabat saya bertanya satu hukum berkenaan isti'azah (membaca أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ) dalam solat. Iaitu, apakah hukum membaca isti'azah (sebelum membaca al-fatihah) dengan suara nyaring. 

Katanya, ada orang berbuat demikian.

Seperti biasa, persoalan ini akan ditinjau melalui jendela mazhab Syafie. Pandangan mazhab-mazhab lain (jika ada) hanya akan disebut jika terdapat keperluan.

Jawapan persoalan ini ada dalam kitab al-Majmuk karangan Imam Nawawi radhiyAllahu 'anhu.

Sebagaimana yang sedia dimaklumi, berhubung bacaan Fatihah dalam solat, ada yang dibaca perlahan. Iaitu dalam solat Zohor dan Asar (dinamakan solat sirriyyah). Dan, ada yang dibaca nyaring. Iaitu dalam solat Maghrib, Isyak dan Subuh (dinamakan solat jahriyyah).

Dalam solat sirriyyah, isti'azah dibaca perlahan tanpa khilaf di kalangan ulama mazhab Syafie.

Khilaf

Adapun dalam solat jahriyyah, terdapat khilaf.

Imam Nawawi r.a menyatakan, pendapat paling sahih dalam mazhab Syafie (berhubung nada suara ketika membaca isti'azah dalam solat jahriyyah), ialah sunat membacanya dengan perlahan. 

Kata beliau :
فيه ثلاثة اقوال أصحها يستحب الاسرار

Terjemahan : Padanya (nada suara ketika membaca isti'azah dalam solat jahriyyah) [terdapat] beberapa pendapat. [Pendapat] paling sahih ialah sunat memperlahankan [bacaan isti'azah].

Ringkasnya, disunatkan membaca isti'azah dalam solat jahriyyah secara perlahan.

Persoalan

Persoalannya, jika ia dibaca dengan kuat, apakah hukumnya?

Untuk mengetahui jawapannya, perlu dicari hukum meninggalkan perkara sunat.

Tinjauan ke atas kitab-kitab muktabar mazhab Syafie memahamkan bahawa meninggalkan perkara sunat-pada pandangan ulama mazhab Syafie-bukan satu perbuatan makruh.

Sebagai contoh, Imam al-Rafi'e rhm-ketika memperkatakan tentang perkara-perkara yang sunat dilakukan mu'azzin ketika melaungkan azan-memfatwakan :
المستحب ان لا يتكلم في اذانه بشئ...ولو سلم عليه انسان أو عطس لم يجب ولم يشمت حتى يفرغ ولو أجاب أو شمت أو تكلم بما فيه مصلحة لم يكره وان ترك المستحب

Terjemahan : Sunat [bagi mu'azzin] tidak bercakap apa-apa semasa [melaungkan] azan...jika seseorang memberi salam kepadanya atau bersin, [sunat] dia tidak menjawab [salam] dan men'tasymit' (mendoakan untuk orang yang bersin) sehinggalah dia selesai [melaungkan azan]. 

Jika dia menjawab [salam], men'tasymit' (orang yang bersin] atau bercakap apa-apa yang ada maslahah [ketika melaungkan azan], tidaklah makruh meskipun [dengan berbuat demikian] dia telah meninggalkan perkara sunat

Jelasnya, sunat bagi mu'azzin tidak bercakap apa-apa ketika melaungkan azan walaupun untuk menjawab salam atau men'tasymit' orang bersin. 

Namun, jika mu'azzin menjawab salam atau men'tasymit' orang bersin, tindakannya itu tidak disifatkan makruh walau pun-dengan berbuat demikian-dia telah meninggalkan perkara sunat (iaitu tidak bercakap apa-apa ketika melaungkan azan).

Tindakan tersebut hanya disifatkan sebagai 'meninggalkan perkara sunat' sahaja.

Senada dengan Imam al-Rafi'e ialah Imam Daqiqul Eid (bermazhab Maliki, kemudian beralih kepada mazhab Syafie). Imam al-Munawi dalam karyanya, Faidhul Qadeer memetik beliau sebagai berkata :
التحية بغير لفظ السلام من باب ترك المستحب لا مكروه

Terjemahan : Sapaan dengan [lafaz] selain salam (assalamualaikum) [adalah] sebahagian daripada [perbuatan] meninggalkan perkara sunat, bukannya [perbuatan] yang makruh.

Kaedah

Lebih jelas lagi ialah kaedah yang dipetik oleh Imam Ibn 'Abideen dalam karyanya, Raddul Mukhtar iaitu :
ولا يلزم من ترك المستحب ثبوت الكراهة إذ لا بد لها من دليل خاص

Terjemahan : Tidak semestinya meninggalkan perkara sunat [bermakna] sabitnya kemakruhan, dimana tidak dapat tidak, ia (penyabitan kemakruhan] memerlukan dalil yang khusus.

Kaedah ini bermaksud, meninggalkan perkara sunat, bukan satu tindakan yang makruh. Ini kerana, sesuatu itu hanya dianggap makruh jika ada dalil yang khusus menyatakan demikian.

Oleh demikian, perbuatan meninggalkan solat-solat sunat atau puasa sunat, tidak disifatkan sebagai perbuatan yang makruh.

Kesimpulan

Kesimpulannya, berdasarkan kenyataan para ulama ini, membaca isti'azah dengan suara nyaring dalam solat jahriyyah, adalah 'perbuatan meninggalkan perkara sunat'. 

Walau bagaimana pun, ia tidak dianggap makruh. Ini kerana-sepanjang pengetahuan penulis-tiada dalil khusus yang menunjukkannya adalah perbuatan makruh.

Wallahu a'lam.

Sunday 19 January 2014

Sudut pandang berkecuali kenaikan harga barang : Menyoroti komentar CAP


Presiden CAP

 Wawancara Mingguan Malaysia (19 Januari 2014) bersama Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M Mohamed Idris (SMMI) menarik untuk disoroti kerana faktor kapasiti beliau selaku pihak berkecuali.

Wawancara tersebut saya ringkaskan (tanpa mengubah makna) dan membahagikannya kepada aspek-aspek berikut :

A. Pandangan umum CAP terhadap krisis kenaikan harga barang

SMMI : Masalah 'kenaikan harga' adalah fenomena global, dan tidak hanya berlaku di Malaysia. Oleh sebab kita turut bergantung kepada barangan import, maka kesan inflasi itu turut dirasai rakyat negara ini. 
 
B. Peranan Kerajaan dalam menangani kenaikan harga

SMMI : (Peranan Kerajaan seperti berikut)
 
1. Mengambil langkah drastik mengekang faktor yang boleh meningkatkan harga barang. Antaranya, dengan tidak lagi mengeksport hasil pertanian dan laut.

Dengan cara ini, kita dapat memastikan harga makanan sentiasa rendah kerana sentiasa mencukupi bagi menampung permintaan tempatan.

2. Meningkatkan industri pertanian supaya lebih banyak bahan makanan dapat dihasilkan, seterusnya mengurangkan harganya di pasaran.

Barangkali, sudah tiba masanya kerajaan menggalakkan pertanian bandar (urban agriculture). 

Di kebanyakan negara maju seperti London dan New York, pertanian bandar bukan perkara luar biasa.

Rakyat negara ini sepatutnya sudah mula ke arah itu. 

Meskipun tinggal di apartmen atau kondominium, mereka masih boleh bercucuk tanam, sekali gus menjimatkan perbelanjaan mereka.

3. Penguatkuasaan akta-akta berkaitan pengguna. 

Kerajaan perlu sentiasa turun padang memastikan akta itu benar-benar dikuatkuasakan. Jadi, tidak ada pihak yang boleh mengambil kesempatan.

Akta Antipencatutan misalnya, akta itu memang wujud, tetapi seolah-olah tidak dikuatkuasakan. Kalau tidak ada penguatkuasaan, untuk apa akta itu diwujudkan?

C. Cara pengguna mengelak kesan kenaikan harga
 
SMMI : (Pengguna perlu melakukan perkara berikut)

1. Ubah cara pemakanan

Kita sebagai pengguna, boleh mengelak daripada merasai tekanan kenaikan harga barang. Sebagai contoh, dengan merubah cara pemakanan.

Rakyat Malaysia gemar memakan makanan yang sebenarnya tidak diperlukan tubuh. Antaranya, terlalu kerap minum kopi dan teh, serta mengambil ayam dan daging dalam kuantiti terlalu banyak.

Sepatutnya, mereka melebihkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang pastinya lebih murah.

2. Mengawal perbelanjaan

Rakyat Malaysia suka berbelanja untuk perkara-perkara tidak diperlukan. Kita juga sering membazir dalam mengadakan majlis-majlis seperti perkahwinan, sambutan perayaan, atau meraikan ulang tahun.
 
Rakyat kita, apabila makan di restoran, akan pesan lebih daripada dua atau tiga jenis makanan.

Adakah tidak boleh makan hanya satu jenis makanan? 

Apabila mereka pesan minuman, mesti mahu minuman manis dan berperisa. 

Apakah tidak boleh pesan air kosong atau air suam?

Jadi, kenapa masyarakat tidak ubah cara hidup mereka terlebih dahulu? Bukan hanya pandai mengkritik dan menyalahkan kerajaan setiap kali berlakunya kenaikan harga barang.

Kebanyakan rakyat Malaysia, apabila berbelanja, bukan membeli barang keperluan, tetapi membeli barang keterlaluan.

Pasar raya turut mempengaruhi pengguna untuk berbelanja besar. Pasar raya selalunya menyediakan troli besar. 
  
Jadi, secara psikologinya pengguna akan berbelanja lebih untuk mengisi troli.

D. Sikap CAP terhadap pemberian subsidi 
  
SMMI :

1. Dalam setiap sesi dialog CAP dengan kerajaan berkenaan subsidi, kita selalu tegaskan supaya kerajaan memansuhkan semua subsidi yang diberikan selama ini.
 
2. Kerajaan telah memberi pendidikan salah kepada rakyat berhubung pemberian subsidi.

Oleh sebab sistem ini, masyarakat dilihat terlalu bergantung kepada subsidi, sehingga menyebabkan mereka berharap mendapat lebih banyak lagi daripada kerajaan.

Sebab itu, apabila kerajaan berhasrat menarik balik subsidi walaupun sedikit, rakyat akan melenting dan marah sebab mereka sudah terlalu selesa dengan subsidi.

3. Subsidi tidak disalurkan dengan cara betul. Tidak banyak pun subsidi yang diberikan kerajaan benar-benar diterima golongan sasaran.

Jadi, mereka sebenarnya tidak perlu marah-marah apabila kerajaan mahu menarik balik subsidi kerana selama ini pun, mereka tidak mendapat manfaat daripada subsidi itu secara menyeluruh.

4. Kerajaan harus memikirkan kaedah bagaimana bantuan untuk mengurangkan beban rakyat itu boleh disalurkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk, bukan hanya menerusi subsidi.

Misalnya menggunakan subsidi itu untuk meningkatkan sektor pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan sebagainya.

Friday 17 January 2014

Cara Salaf mendepani kenaikan kos sara hidup

Krisis kenaikan kos sara hidup bukan sahaja fenomena yang mendunia, bahkan juga gejala sepanjang zaman.

Sebagaimana ia pernah 'menjangkiti' zaman Nabi sallallahu 'alaihi wa ali wasallam-seperti yang terakam dalam hadis tas'eer (penetapan harga barang)-zaman salafussoleh juga turut 'dihinggapi' gejala ini.

Lalu, tidak menghairankan ditemui di tengah-tengah timbunan ilmu para salaf, idea-idea mereka berkaitan kaedah mendepani krisis peningkatan kos sara hidup. 

Dalam Syarah Bulugh al-Maram, Syaikh 'Atiyyah Muhammad Salim menukilkan satu idea yang diketengahkan Syaidina Umar r.a sebagai penawar krisis tradisi ini.

Pemboikotan

Idea ini terpacul semasa orang ramai datang menemui beliau membawa aduan berkenaan kenaikan harga daging di pasaran.

"Wahai Umar, [harga] daging [telah menjadi] mahal. Justeru, tetapkanlah harganya untuk kami", adu mereka kepada khalifah kedua umat Islam itu.

Syaidina Umar r.a menolak, sambil meminta mereka sendiri yang menurunkan harga daging tersebut.

Satu permintaan pelik dan membingungkan! 

"Tidak! [aku tidak akan menetapkan harga daging]. Kamu [sendirilah] yang memurahkannya (menurunkan harganya)!", balas Syaidina Umar r.a.

Mereka sangat pelik dengan jawapan balas yang melantun daripada mulut Amirul Mukminin itu.

"Bagaimana kami [dapat] memurahkannya (menurunkan harganya), sedangkan kami tidak memilikinya!?", persoal mereka.

Menjelaskan maksud saranannya agar mereka sendiri yang menurunkan harga daging, Syaidina Umar r.a mengatakan, "biarkan daging itu bersama mereka (penjual)", iaitu jangan dibeli daging-daging itu. 

Dalam erti kata lain, boikot daging-daging tersebut.

Mereka menyetujui saranan itu lalu memboikot daging selama dua hari. 

Pada hari kedua pemboikotan, penjual-penjual daging sudah mula meneriakkan kepada mereka agar membeli daging-daging yang dijual. Mereka tetap berkeras tidak mahu membeli. 

Akhirnya, para penjual menurunkan harga daging.

Teks asal petikan di atas seperti berikut :

قالوا: يا عمر! غلى اللحم فسعره لنا، فقال: لا، أرخصوه أنتم، قالوا: كيف نرخصه وليس عندنا؟! قال: اتركوه لهم، فتركوه اليوم الأول، وتركوه اليوم الثاني، فإذا بالجزارين ينادونهم: هلموا -يا جماعة- للحم، قالوا: لا، أنتم أغليتموه علينا، ثم رخصوه لهم.
 
Dengan mereka memboikot, permintaan ke atas daging berkurang. Kesannya, harga daging menurun. Justeru, tindakan mereka memboikot daging, sama seperti mereka menurunkan harga daging tersebut.

Melalui saranan boikot ini, Syaidina Umar r.a menghantar dua mesej penting.

Pertama, bila berlaku kenaikan harga barang, para pengguna mempunyai 'kuasa' menjadikannya murah. Dalam ungkapan lain, mereka 'berkuasa' menurunkan harganya. Iaitu melalui pemboikotan. 

'Kuasa' menurunkan harga barang bukan hanya terletak di tangan penjual.

Kedua, pemboikotan sebagai kaedah mendepani kenaikan harga barang, bukanlah idea baru. Ia sudah wujud sejak zaman para Salaf lagi. Iaitu sejak zaman Syaidina Umar r.a. Selain ia menepati hukum supply and demand dalam ekonomi.

Saranan sama diutarakan tokoh agung sufi, Sayyidi Ibrahim Adham radhiyallahu 'anhu.

Dalam kitab Tarikh Dimasyq karangan Ibn 'Asakir, dicatatkan bahawa dikatakan kepada tokoh sufi itu, "harga daging sudah meningkat". Beliau menjawab, "kamu murahkanlah [harga] nya". Iaitu dengan memboikotnya supaya harganya menjadi murah.

Teguran

Dua mesej yang terselit dalam saranan Syaidina Umar r.a ini merupakan satu 'teguran secara tidak langsung' kepada mana-mana pihak yang memperlekeh saranan agar menjadikan boikot sebagai satu pendekatan menangani krisis kenaikan harga barang.

Justeru idea pemboikotan ini pernah diutarakan oleh watak-watak agung di zaman salaf-selain ia menepati hukum supply and demand-kritikan bernada sinis ke atas idea ini seperti 'kalau begitu, jika harga bil elektrik naik, boikot elektrik, jika harga air naik, boikot air', adalah sesuatu yang tidak diraikan.

Ini kerana, semua orang sedia maklum bahawa saranan boikot ini hanya tertuju kepada barang-barang yang boleh diboikot sahaja. Ia tidak berkaitan dengan barangan asas yang menjadi 'nadi' dan 'nyawa' kehidupan manusia.

Tegasnya, tidak semua benda boleh diboikot. Namun, pemboikotan barangan yang mampu diboikot oleh pengguna, tetap senjata sahih dan ampuh bagi menyurutkan kenaikan harga.

Menyedari 'pemboikotan sebagai kaedah menangani kenaikan harga barang' merupakan idea yang telah lama dikemukakan Syaidina Umar r.a, golongan agamawan khususnya mesti menjauhi sikap memperlekeh mana-mana pihak yang menyarankan idea ini bagi mengatasi krisis kenaikan harga barang yang sedang berlaku.

Ini kerana, apabila seseorang agamawan ditanya tentang kaedah mendepani krisis kenaikan harga barang menurut persepsi Islam, tidak dapat tidak mereka akan merujuk antaranya kepada pendapat para ulama zaman silam dan masa kini.

Justeru, mereka pasti akan bersua dengan pandangan Syaidina Umar r.a ini, dan tidak dapat tidak mereka terpaksa menyatakan bahawa feqh Islam memperakui pemboikotan merupakan salah satu kaedah menangani kenaikan harga barang!

Meskipun demikian, tidak dinafikan bahawa idea 'pemboikotan sebagai satu kaedah mendepani kenaikan harga'-dalam situasi-situasi tertentu-perlu diolah sebaiknya, dan dikemukakan dengan bahasa 'mesra' pengguna.

Ungkapan 'kalau harga ayam mahal, jangan makan ayam'-dalam situasi-situasi tertentu- mungkin agak 'kasar' membuatkannya tidak sesuai digunakan bagi merujuk kepada pemboikotan meskipun ia sama dari segi makna.

Ungkapan 'gunakan 'kuasa' pengguna untuk menurunkan harga barangan dengan menghentikan sementara pembelian barangan terbabit' dan seumpamanya, mungkin lebih 'mesra' lalu boleh diterima masyarakat.

Rendah kadar cukai

Saranan boikot ini sesuai dipraktikkan orang ramai di atas kapasiti mereka selaku rakyat biasa.

Justeru, Syaidina Umar r.a-secara praktikal-mengetengahkan satu lagi kaedah mendepani kenaikan kos sara hidup yang sesuai dan boleh dilaksanakan sesebuah kerajaan.

Dalam karyanya, al-Muwatta Imam Malik r.a merekodkan kenyataan Ibnu Umar r.a yang berbunyi :

أن عمر كان يأخذ عن النَّبْط من الحنطة والزيت نصفَ العُشُر، يريد أن يُكثر الحملَ إلى المدينة ويأخذ من القِطْنيّة العُشُر

Terjemahan : "Sesungguhnya [Syaidina] Umar r.a mengambil [cukai] daripada an-Nabt (non muslim Tanah Syam), daripada gandum dan minyak [yang mereka bawa untuk diniagakan sebanyak] setengah10% (iaitu 5%). 

Beliau [merendahkan cukai kerana] mahu memperbanyakkan [aktiviti] membawa [masuk gandum dan minyak] ke Madinah. [Sementara itu] beliau mengambil [cukai] daripada 'qitniyyah' [yang mereka bawa] sebanyak] 10%".

Dalam kitab Tahzeeb al-Asma' Wa al-Lughat, Imam Nawawi mengatakan, al-qitniyyah adalah nama bagi semua jenis bijirin yang dimasak.

Polisi pengenaan cukai yang rendah ke atas barangan tertentu dari luar yang dibawa masuk ke pasaran tempatan, akan menggalakkan pedagang-pedagang luar membawa masuk barangan tersebut ke pasaran lokal. 

Kesannya, barangan tersebut akan wujud di pasaran tempatan dalam kadar yang mengcukupi bagi menampung permintaan para pengguna. Keadaan ini akan menghalang 'demam' kenaikan harga barang daripada berlaku.

Barang alternatif

Sorotan ke atas perbendaharaan ilmu para salaf, menemukan satu lagi idea yang ditampilkan sebagai pencabar kepada serangan kenaikan harga barang.

Idea ini dicetuskan Syaidina Ali r.a.

Imam Daraqutni dalam karyanya al-Mu'talif Wa al-Mukhtalif mencatatkan bahawa Imam Bukhari meriwayatkan dengan sanad beliau sendiri seperti berikut :

قال رزين الأعرج مولى آل العباس بن عبد المطلب :  غلا الزيبب علينا بمكة وكتبنا إلى علي بالكوفة فكتب : "ارخصوه بالتمر".
 
Terjemahan : Razeen al-A'raj, mawla (hamba yang dibebaskan) keluarga al-Abbas r.a bin Abdul Muttalib berkata, "[pernah terjadi harga] anggur kering di Mekah [menjadi] mahal. Lalu kami menulis [surat] kepada [Syaidina] Ali r.a [yang berada] di Kufah [mengadukan kepada beliau perkara itu]. Lalu [Syaidina Ali r.a] menulis [kepada kami yang berbunyi] "murahkanlah (turunkanlah) [harga]nya dengan kurma".

Pengkisahan Razeen al-A'raj ini turut direkodkan Imam Yahya Ibn Ma'een dalam karyanya, Tarikh Yahya Ibn Ma'een.

"Murahkanlah (turunkanlah) harganya (anggur kering) dengan kurma" bermaksud 'berhentilah membeli anggur kering dan belilah kurma sebagai ganti'.

Dengan syor ini, Syaidina Ali r.a mengetengahkan idea 'beralih kepada barangan lain yang sejenis' bagi mengatasi kenaikan harga sesuatu barang. 

Cadangan agar penduduk Mekah ketika itu beralih daripada anggur kering kepada kurma, dibuat kerana kurma adalah makanan sejenis dengan anggur kering, selain ia banyak terdapat di Mekah dan harganya murah.

Dengan kaedah ini, permintaan terhadap anggur kering akan menyusut, dan tidak dapat tidak, harganya akan menurun.

Watak salaf

Imbauan ke atas sejarah masa silam ini menitipkan bahawa para salaf mendepani krisis kenaikan kos sara hidup yang menular, dengan berfikir dan merangka strategi, bukan semata-mata berserah dan bertawakkal begitu sahaja.

Dengan ini, mereka tidak mengamalkan budaya 'mengutuk kegelapan'. Tapi bangkit menyalakan lilin bagi menghalau kegelapan dan menerangi suasana.

Paparan ini juga menunjukkan bahawa para salaf bukan hanya menyumbang idea berhubung soal-soal agama atau akhirat, tetapi-secara aktif-turut berpatisipasi dalam mencanai idea-idea berkait isu-isu semasa dan keduniaan. 
 
Wallahu a'lam.