Wednesday, 2 May 2012

Catatan BERSIH 3-0 : Bara itu dalam jiwa


Terjun ke dalam gelora perhimpunan sebesar BERSIH 3.0, dengan tujuan memerhati dan mengamati gelagat manusia, memang berbaloi.

Perhimpunan yang 'membarakan' perasaan itu, mempamerkan pelbagai aksi dan watak manusia berwarganegara Malaysia, yang menjadi cermin kepada pemikiran mereka yang berbilang kaum dan agama itu.

Setelah berhasil mengutip beberapa ibrah dan kesimpulan daripada BERSIH 3.0, saya dapat merasakan, betapa ruginya andai saya turun ke perhimpunan raksasa itu, hanya semata-mata mahu menyokong 8 tuntutan BERSIH 3.0.

Tentunya saya akan terlepas pandang begitu banyak ibrah berharga, jika penerjunan saya ke lautan manusia yang bergelora di perhimpunan itu, didorong oleh tujuan itu semata-mata.

Perhimpunan sebesar itu adalah medan pengamatan dan arena pembelajaran tentang manusia, bukan hanya sekadar pentas untuk menyokong atau membantah.

Selain itu, ia 'balapan' yang sangat sesuai bagi sesiapa yang sukakan cabaran!

Makcik dan Pak Cik BERSIH

Saya tiba di lokasi seawal jam 9.00 pagi, beberapa jam sebelum BERSIH 3.0 berlangsung secara rasmi, iaitu pada jam 2.30 petang.

Setelah mendapati suasana sekitar Sogo belum menampakkan kewujudan perhimpunan, saya terus ke Masjid India, dan kemudiannya bergerak ke Dataran Merdeka.

Dalam perjalanan, pandangan mata saya disambar oleh kelibat makcik-makcik tua yang obes dan terhenjut-henjut berjalan, sambil mengenakan lambang BERSIH pada pakaian mereka.

Betul-betul di hadapan Dataran Merdeka pula, yang ketika itu sudah sesak dengan para demonstran, kelihatan seorang makcik tua duduk di kerusi roda.

Melihat kepada usia dan fizikalnya, saya pasti, makcik berkerusi roda itu tidak mampu berbuat apa-apa melainkan sekadar memerhati, di tengah-tengah amukan hiruk pikuk dan pekikan ribuan demonstran dengan emosi yang bagaikan kuda-kuda lumba itu.

Kehadiran peserta warga emas, samada Melayu atau pun Cina, yang hanya sekadar mampu meramaikan orang, memang mudah kelihatan pada BERSIH 3.0 kali ini.

Di lokasi, mereka ini tidak bercakap. Hanya melepaskan pandangan seperti seorang tua yang berada di beranda memerhati kanak-kanak riang bermain di halaman.

Berhadapan dengan realiti ini, saya cuba meneka apa sebenarnya yang berlabuh di persada jiwa makcik-makcik dan pakcik-pakcik tua itu, sehingga sanggup mengendong keuzuran dan menggagahi diri yang telah lemah dan kendur urat saraf itu, untuk turut serta meredah ombak di tengah-tengah lautan manusia.

Persoalan kian menebal dan kuat mencengkam dalam minda, apabila realiti yang tercegat di hadapan mata saya itu, wujud di halaman BERSIH 3.0 seawal jam 10 pagi, sedangkan acara sebenar perhimpunan yang membara itu bermula pada jam 2.30 petang!

"Mungkin inilah hasil daripada tarbiyah keagamaan yang dipasakkan PAS ke dalam jiwa pengikut-pengikutnya", bisik saya setelah melihat penampilan dan cara pemakaian warga-warga emas itu.

"Sangat tidak mungkin mereka berada di tengah-tengah lautan manusia yang bergelora ini, kerana mendamba wang. Kalau semata-mata kerana wang, pakcik-pakcik dan makcik-makcik ini tidak akan sanggup berpelampungkan jasad mereka yang lemah dan uzur, untuk meredah kancah hangat ini, walaupun dijanjikan RM500 atau RM1000", bisik saya sambil menyimpulkan satu rumusan.

Kemunculan warga-warga emas ini di tengah-tengah gelojak BERSIH 3.0, mengingatkan saya kepada kisah tokoh besar tabi'een, iaitu Imam Sa'eed al-Musayyab radhiayALLAHu 'anhu.

Imam al-Zuhri menceritakan bahawa Sa'eed al-Musayyab telah menyertai satu peperangan dalam keadaan sebelah matanya buta.

Apabila kehadirannya dipertikai di atas alasan beliau uzur disebabkan pengelihatan tidak sempurna, beliau menjawab, "Allah telah meminta orang yang dalam keadaan susah dan senang pergi berperang. Jika aku tidak mampu berperang, maka aku boleh meramaikan orang dan menjaga barang-barang".

Teks asalnya begini :

وقال الزهري: خرج سعيدُ بن المسيب إلى الغزو وقد ذهبتْ إحدى عينَيْه. فقيل له: إنك عليل. فقال: استنفر اللهُ الخفيفَ والثقيلَ، فإن لم يمكنِّي الحرب كثّرْتُ السوادَ وحفظتُ المتاع.

Kisah ini dicatatkan oleh Imam al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat 41 surah al-Tawbah.

Saya tidak bermaksud menyamakan BERSIH 3.0 sebagai satu peperangan atau jihad. Saya teringat kisah Sa'eed al-Musayyab ini, justeru melihat pemikiran yang sama dikongsi oleh pakcik-pakcik dan makcik-makcik BERSIH itu.

"Walaupun kami warga-warga emas ini, tak berdaya melaungkan slogan-slogan BERSIH, tak berkuasa berhadapan dengan polis, tak mampu berbuat apa-apa kecuali memerhati, tapi kami mampu meramaikan orang", seolah-olahnya itulah kata-kata yang dituturkan oleh lisanul hal pakcik-pakcik dan makcik-makcik itu.

Lewat petang, di Jalan Raja Laut di belakang Sogo, ketika para demonstran 'mencabar' pihak polis, saya terpandang seorang lelaki warga emas berbangsa Cina di tengah-tengah ledakan emosi para demonstran.

Seperti demonstran warga emas yang lain, pakcik Cina ini tidak bersuara, tenang dan hanya sekadar melabuhkan pandangan pada daratan yang tidak pasti.

Di sini, saya tidak memiliki maklumat yang cukup untuk meneka apa berlingkar di sebalik kehadiran pakcik Cina tua itu ke BERSIH 3.0.

"Ah, dia benci sangatlah tu kat Kerajaan", saya membuat kesimpulan mudah, setelah menyedari pengetahuan saya tentang pemikiran dan budaya orang Cina sangat terhad. 

Adik-adik muslimat

Sekitar 10 pagi saya sudah menapak di Dataran Merdeka. Pada waktu itu, para peserta telah memenuhi bahagian hadapan dataran bersejarah itu.

Mata saya yang mula melilau ke kiri kanan, belakang dan depan mengamati gelagat manusia berbilang kaum dan agama, akhirnya berlabuh pada beberapa kelompok adik-adik muslimat yang sebahagiannya berpurdah.

"Mereka ini mungkin mahasiswi IPTA berdekatan dan berpurdah bagi mengelakkan mereka dikenali atas sebab-sebab keselamatan", hati saya berbisik membuat tekaan.

Sepanjang jelajah saya di lokasi BERSIH 3.0, dapatan pemerhatian saya menunjukkan hampir keseluruhan peserta wanita muda, adalah anak-anak gadis berpurdah, bertudung labuh atau berseluar longgar dengan baju yang melepasi pinggul, yang mencerminkan cara pemakaian muslimah sebenar.

Di Masjek Jamek, Masjid India, Sogo, Jalan Raja Laut berhampiran dengan Bangunan Mara dan di Maju Junction yang saya redahi, kesemua wanita muda yang turut serta, adalah muslimah yang mengenakan pakaian yang menyejukkan mata memandang.

Pemandangan ini membenihkan tanda tanya tentang ke mana perginya anak-anak gadis berseluar ketat, berbaju sendat dan bertudung singkat. Ke mana mereka? Mengapa mereka tidak turut serta?

"Kalau diikutkan cara berpakaian, mereka ini lebih sesuai berada di gelanggang BERSIH 3.0. Dengan berpakaian begitu, mereka mudah untuk berlari jika dikejar polis, atau kurang merasa kepanasan matahari, yang dihangatkan lagi oleh himpitan manusia yang berasak-asak", fikir saya.

Tanda tanya semakin galak dan bagai meloncat-loncat, apabila kelibat amoi-amoi muda dapat dikesan di mana sahaja di arena BERSIH 3.0, termasuklah yang berpakaian 'ala berani mati'.

Apakah yang berladung dalam pemikiran amoi-amoi itu, sehingga tergerak untuk mengambil risiko, dengan sama-sama terjun ke kancah yang langsung tiada kaitan dengan soal-soal rutin wanita dan kewanitaan?

Dan, apa pula yang bertenggek di dahan pemikiran anak-anak gadis berseluar ketat, berbaju sendat dan bertudung singkat, sehingga mereka dibawa lari jauh daripada kancah BERSIH 3.0 ini?

"Ooooo...rupa-rupanya, anak-anak gadis macam ni langsung tak peduli soal-soal negara dan semasa", saya membuat kesimpulan mudah setelah rasa malas untuk membuat analisa lanjut.

'Gula' tidak larut

Penapakan saya di depan Dataran Merdeka selama 4 jam 30 minit, mengirimkan beberapa lagi pemerhatian dan rumusan.

Kali ini, kibaran satu bendera Terengganu dan satu bendera Kelantan di tengah-tengah alunan ombak manusia yang seakan-akan boleh membadai bila-bila masa itu, mencuri perhatian dan pengamatan saya.

"Apa relevannya bendera Terengganu dan Kelantan diarak di sini?", bisik saya yang terasa sedikit 'bosan' dan 'cuak' dengan pemandangan itu.

"Mereka gagal untuk menghadam perjuangan BERSIH 3.0, dan seterusnya gagal untuk lebur dan larut dalam semangat BERSIH 3.0", hati saya membisikkan dengan tegas bagi mentafsirkan permandangan yang tidak memberangsangkan itu.

"Kamu yang mengibarkan bendera parti dengan bangga, juga sama seperti 'budak-budak' yang mengibarkan bendera negeri itu. Kamu juga 'gula' yang jenis tidak larut dalam semangat BERSIH yang menggelegak", hati saya melantunkan kata-kata dari jauh kepada seorang pemuda yang mengibarkan bendera parti dengan penuh bangga, di saat para peserta mengumandangkan slogan-slogan BERSIH dan kenegaraan.

"La Ilaha Illallah, La Ilaha Illallah, La Ilaha Illallah" kemudiannya dikumandangkan serentak ketika para peserta sedang duduk di depan Dataran Merdeka, sementara menanti 'perasmian' BERSIH 3.0 jam 2.30 petang.

Laungan kalimah Syahadat ini, beserta bacaan doa penuh semangat oleh seorang peserta yang diaminkan para demonstran, juga laungan selawat kepada Nabi SAW, antara yang paling mencuri perhatian saya.

"Sesuaikah laungan dan aktiviti sebegini dalam perhimpunan yang bersifat rentas agama dan kaum seperti BERSIH 3.0 ini?", persoalan ini melantun keluar tanpa ada sikap tertentu mendarat di hati saya.

"Dalam perhimpunan BERSIH 3.0 yang bersifat rentas agama dan bangsa, seeloknya tidak dibenarkan warna agama atau bangsa tertentu yang mewarnainya. Biarlah satu-satunya warna yang membalutinya, ialah warna rakyat dan bangsa Malaysia", hati saya berdetik.

"Antara rahsia kejayaan Revolusi Rakyat Mesir 25 Januari ialah kerana ia disertai dan dijayakan oleh semua lapisan rakyat Mesir".

Kenyataan salah seorang pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir ini segera menerpa ke benak saya, apabila berhadapan dengan laungan dan perilaku yang bersifat keagamaan, yang muncul di celah-celah kesesakan dan kepadatan peserta-peserta BERSIH 3.0.

"Bagi menjamin BERSIH 3.0, atau apa jua perhimpunan dan agenda yang bersifat nasional, didokong oleh semua rakyat berbilang agama dan bangsa, ia mestilah diletakkan dalam acuan yang juga bersifat nasional", saya membuat kesimpulan.

"Tapi, aku sebenarnya tidak pasti apakah laungan dan tindakan keagamaan itu, boleh menconteng atau mengeruhkan sifat rentas agama dan bangsa yang dimiliki BERSIH 3.0. Yang penting, apa jua tindakan yang boleh menjejaskan sifat BERSIH 3.0 itu perlu dielakkan", saya bermonolog sendiri.

Bagaimana pula dengan dakwaan keganasan polis dan peserta BERSIH 3.0, serta makna di sebalik kebanjiran peserta Cina dalam BERSIH 3.0?

Oh, minda sudah terasa letih dan tangan pula sudah digigit kelenguhan.

 Catatan BERSIH 3.0 2 dan 3 akan menyusul, insyaAllah.

No comments:

Post a Comment