Tuesday 15 May 2012

Hak mangsa rogol tanpa 4 saksi dan persoalan qazaf*


[Pengertian qazaf]
SOALAN 1 : Apakah pengertian qazaf?

JAWAPAN  :     

Para ulama berbeza pendapat dalam mendefinisikan qazaf seperti berikut :

i.             Menurut Mazhab Syafie, Maliki, Hambali dan  pegangan dua murid kanan Imam Abu Hanifah[1], iaitu Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad, qazaf ialah ‘menuduh seseorang melakukan zina atau liwat’[2].

ii.            Pada pandangan Imam Abu Hanifah, qazaf ialah ‘menuduh seseorang melakukan zina sahaja’[3] . Justeru, menurut beliau, perbuatan menuduh seseorang melakukan liwat, tidak boleh dikenakan hukuman qazaf[4]. Hukumannya ialah ta’zir (تعزير)[5].

[Aduan mangsa rogol atau liwat yang disokong empat saksi]
SOALAN 2 : Adakah seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat, boleh dikenakan hukuman qazaf?

JAWAPAN :      

Seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat, TIDAK BOLEH dikenakan hukuman qazaf apabila dia dapat membawa empat orang saksi[6].

Dalam keadaan ini, hukuman hudud akan dijatuhkan ke atas perogol atau peliwat[7], bukannya pengadu.

[Keadaan aduan mangsa rogol atau liwat yang TIDAK disokong empat saksi]
SOALAN 3 : Apabila mangsa rogol atau liwat membuat aduan rogol atau liwat, tetapi TIDAK DAPAT membawa empat orang saksi, adakah akan dikenakan hukuman qazaf?

JAWAPAN  :     

Apabila mangsa rogol atau liwat membuat aduan, tetapi TIDAK DAPAT membawa empat orang saksi, hendaklah dilihat :

i.             Jika dia tidak dapat membawa sebarang bukti[8]yang berwibawa yang menunjukkan dia dirogol atau diliwat, dia akan dikenakan hukuman qazaf kerana telah menuduh orang lain berzina atau meliwat tanpa sebarang bukti.

Firman Allah[9],“Dan orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan yang baik-baik, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima penyaksian mereka selamanya; dan mereka adalah orang yang fasik”.

ii.            Jika dia dapat membawa bukti yang menunjukkan berlakunya kejadian rogol atau liwat, dia dibebaskan dan tidak dikenakan hukuman qazaf[10]meskipun gagal mengemukakan empat saksi.

Kesimpulan : Keterangan di atas bermakna, mangsa rogol atau liwat tidak tertakluk kepada ‘kemestian membawa empat saksi’-seperti yang ditegaskan oleh ayat 4 surah an-Nur- ketika membuat aduan rogol atau liwat secara paksa.

Mangsa sebaliknya boleh membuat laporan bahawa seseorang telah merogol atau meliwatnya secara paksa dengan membawa bukti-bukti lain yang berwibawa, yang mengesahkan laporan dan dakwaannya.

Dalam keadaan ini, mangsa rogol atau liwat secara paksa tidak dikenakan hukuman qazaf, meskipun telah mendakwa seseorang melakukan jenayah rogol atau liwat ke atasnya tanpa mengemukakan empat saksi[11].

[Proses ke atas aduan mangsa rogol atau liwat]
SOALAN 4 : Adakah ini bermakna seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat oleh seseorang yang lain, tanpa membawa empat orang saksi, TIDAK terus dikenakan hukuman qazaf?

JAWAPAN  :     

Ya. Seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat oleh seseorang yang lain, TIDAK terus dikenakan hukuman qazaf walau pun gagal membawa empat orang saksi.

Berdasarkan keterangan ulama, boleh disimpulkan, setiap aduan rogol atau liwat perlu melalui proses berikut :

i.             Pihak berkuasa perlu mengumpul bukti-bukti yang berwibawa yang menunjukkan mangsa betul-betul  dirogol atau diliwat;

ii.            Apabila terdapat bukti yang menunjukkan pengadu memang dirogol atau diiwat, pengadu akan dibebaskan tanpa dikenakan sebarang hukuman[12];

iii.           Jika pengadu tidak mampu mengemukakan sebarang bukti, atau pihak berkuasa tidak menemui apa-apa bukti yang menunjukkan pengadu betul-betul dirogol atau diliwat, pengadu boleh dikenakan hukuman qazaf. Ini kerana pengadu tersebut telah menuduh seseorang melakukan zina atau liwat tanpa sebarang bukti.Dalil kenyataan-kenyataan di atas ialah keterangan Imam Abd al-Bar. Beliau menyatakan[13]:

أجمع العلماء على أن على المستكرِه المغتصِب الحدَ إن شهدت البينة عليه بما يوجب الحد أو أقر بذلك. فإن لم يكن، فعليه العقوبة ولا عقوبة عليها إذا صح أنه استكرهها وغلبها على نفسها، وذلك يعلم بصراخها واستغاثتها وصياحها وأن كانت بكرا فيما يظهر من دمها ونحوها مما يفصح به امرها... ولا نعلم خلافا بين العلماء أن المستكرَهة لا حدَ عليها اذا صح استكراهها بما ذكرنا وشبهه .

Terjemahan : Para ulama telah berijmak[14]bahawa perogol [dikenakan][15]keatasnya [hukuman] hudud jika terdapat bukti yang mensabitkan [hukuman] hudud [ke atasnya][16]atau dia mengakuinya[17]. Jika tidak ada [bukti yang boleh mensabitkan hukuman hudud], maka [dikenakan] ke atasnya (tertuduh) hukuman[18]dan tiada sebarang hukuman ke atasnya (iaitu mangsa rogol yang mengadu dirogol) apabila terbukti bahawa dia (tertuduh) memaksa dan mendesaknya (pengadu) [melakukan zina tanpa kerelaannya]. [Wujudnya paksaan melakukan zina] itu diketahui dengan [adanya kedengaran] tempikan [mangsa], [suaranya] meminta pertolongan dan jeritannya, serta [diketahui wujudnya paksaan melakukan zina apabila dikenal pasti] dia seorang gadis, yang boleh diketahui melalui darahnya[19]  dan seumpamanya yang boleh menerangkan keadaannya [bahawa dia dipaksa][20]…Kami tidak mengetahui [wujudnya] sebarang khilaf[21]di kalangan ulama bahawa [wanita] yang dipaksa [melakukan zina] tiada [sebarang hukuman] hudud[22][dikenakan] ke atasnya apabila terbukti [wujudnya] paksaan [keatas] nya dengan [bukti-bukti seperti yang] kami sebutkan dan [yang] seumpamanya”. 

[Bukti-bukti yang boleh digunakan dalam kes rogol atau liwat]
SOALAN 5 : Apakah bukti yang boleh digunakan bagi menunjukkan berlakunya jenayah rogol atau liwat?.

JAWAPAN  :     

Seperti yang disebutkan oleh sesetengah ulama zaman silam[23], bukti tersebut seperti :

i.             Mangsa datang melapor kes rogol atau liwat sambil berpaut pada tertuduh dalam keadaan kemaluannya berdarah jika dia seorang gadis;

ii.            Mangsa didengari berteriak meminta tolong; atau

iii.           Tertuduh dilihat membawa masuk mangsa ke dalam rumahnya (tertuduh) secara paksa.

Pada zaman sekarang, kajian saintifik boleh digunakan sebagai bukti kes rogol atau liwat seperti laporan perubatan, ujian DNA, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan sebagainya.

[Dalil mangsa rogol atau liwat yang membawa bukti selain empat saksi dibebaskan daripada hukuman qazaf]
SOALAN 6 : Apakah dalil yang menunjukkan bahawa mangsa rogol atau liwat, tidak dikenakan hukuman qazaf bila menuduh seseorang merogol atau meliwatnya tanpa mengemukakan empat saksi, tetapi dengan membawa bukti seperti yang telah dinyatakan?[24].

JAWAPAN :      

Dalilnya ialah hadis Nabi s.a.w, kias[25]dan keterangan ulama.

Dalil Pertama : Hadis Nabi s.a.w

Pernah berlaku pada zaman Nabi s.a.w, seorang wanita yang dirogol seorang lelaki secara bersendirian, mendakwa lelaki berkenaan merogolnya tanpa mengemukakan empat saksi.

Setelah suspek ditangkap, wanita tersebut mengesahkan bahawa suspek tersebut adalah perogolnya.
Namun, apabila Nabi s.a.w memerintahkan supaya lelaki tersebut direjam[26], seorang lelaki yang lain bangun membuat pengakuan bahawa beliaulah yang sebenarnya merogol wanita berkenaan.

Hukuman akhirnya dijatuhkan ke atas lelaki yang mengaku merogol, sementara suspek serta wanita yang menjadi mangsa rogol dibebaskan.

Dalam peristiwa ini, Nabi s.a.w tidak menjatuhkan hukuman qazaf ke atas wanita tadi, meskipun beliau telah mendakwa seseorang merogolnya tanpa mengemukakan empat saksi.

Hadis yang diriwayatkan oleh Wa’il al-Kindi daripada ayahnya itu seperti berikut :

أن امرأة خرجت على عهد رسول الله -صلى الله عليه وسلم- تريد الصلاة فتلقاها رجل فتجللها فقضى حاجته منها فصاحت فانطلق ومر عليها رجل فقالت إن ذاك الرجل فعل بى كذا وكذا. ومرت بعصابة من المهاجرين فقالت إن ذاك الرجل فعل بى كذا وكذا. فانطلقوا فأخذوا الرجل الذى ظنت أنه وقع عليها وأتوها فقالت نعم هو هذا. فأتوا به رسول الله -صلى الله عليه وسلم- فلما أمر به ليرجم قام صاحبها الذى وقع عليها فقال يا رسول الله أنا صاحبها. فقال لها « اذهبى فقد غفر الله لك ». وقال للرجل قولا حسنا وقال للرجل الذى وقع عليها « ارجموه ». وقال « لقد تاب توبة لو تابها أهل المدينة لقبل منهم »

Terjemahan : Sesungguhnya [terdapat] seorang wanita telah keluar [dari rumahnya] pada zaman Nabi s.a.w [kerana] mahu [mengerjakan] solat [di masjid]. Lalu seorang lelaki menemuinya [di tengah jalan] lalu menindih dan merogolnya serta melempiaskan hajat [nafsu] nya. 

Lantas wanita tersebut bertempik lalu perogolnya melarikan diri. [Selepas itu] seorang lelaki menemui wanita tersebut, lalu beliau berkata, “sesungguhnya lelaki itu telah melakukan ke atas ku [perkara] demikian [yakni merogolnya]”. 

Kemudian wanita itu bertemu pula sekumpulan orang-orang Muhajirin lantas berkata, “sesungguhnya lelaki itu telah melakukan ke atasku [perkara] demikian [yakni merogolnya]. Lalu mereka terus beredar dan menangkap lelaki yang disangka oleh wanita itu bahawa dia yang telah memperkosanya, lantas mereka membawanya kepada wanita itu seraya dia berkata,“ya dialah orangnya [yang telah merogolku]”. 

Mereka terus membawa lelaki tadi kepada Rasulullah s.a.w. Tatkala Baginda s.a.w memerintahkan supaya lelaki itu direjam, bangun seorang lelaki yang [sebenarnya] telah merogol wanita itu sambil berkata ,“wahai Rasulullah, akulah orangnya [yang merogol wanita itu]. 

Lantas Baginda s.a.w bersabda kepada wanita itu,“pergilah, sesungguhnya Allah telah mengampunkanmu”. Baginda [seterusnya] berkata kepada lelaki [yang didakwa oleh wanita itu sebagai orang yang merogolnya] dengan kata-kata yang baik. 

Seterusnya Baginda s.a.w bersabda kepada lelaki yang [mengaku] merogolnya “rejamlah dia” sambil bersabda, “sesungguhnya dia telah bertaubat [kepada Allah] dengan taubat yang jika seluruh penduduk Madinah bertaubat seperti itu, nescaya diterima [Allah] daripada mereka [taubat itu]”.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata“[hadis] ini hasan gharib sahih” (Sunan Tirmizi, jil.6, hlm.35) 

Menurut al-Albani, hadis ini adalah hadis sahih dalam kategori Hassan kecuali sabda Baginda s.a.w yang berbunyi “rejamlah dia”.

Menurut al-Albani, berdasarkan pendapat yang kuat, lelaki yang mengaku merogol itu tidak direjam (Lihat al-Jami’ al-Sahih Sunan al-Tirmizi, jil.4, hlm.56).

Ringkasnya, hadis ini adalah hadis yang sahih.           

Dalil Kedua : Kias

Kes rogol sama dengan kes li’an iaitu seorang suami menuduh isterinya berzina. Dalam kes li’an, si suami boleh menuduh isterinya berzina, tanpa dikenakan hukuman qazaf meskipun tuduhan dilakukan tanpa disokong empat orang saksi.

Dalam keadaan ini, si suami dibebaskan daripada hukuman qazaf kerana beliau terpaksa melakukan li’an bagi menjaga nasab keturunannya.

Dalam kes rogol, mangsa rogol juga terpaksa menceritakan kejadian rogol bagi mengelakkannya disebat atau direjam disebabkan kehamilan luar nikah[27].

Oleh kerana seseorang yang menuduh isterinya berzina, tanpa membawa empat saksi tidak dikenakan hukuman qazaf, kerana terpaksa berbuat demikian bagi menjaga nasab keturunannya, maka demikian juga mangsa rogol yang mendakwa seseorang merogolnya tanpa mengemukakan empat saksi, juga tidak dikenakan hukuman qazaf, kerana terpaksa berbuat demikian bagi mengelakkannya disabitkan dengan kesalahan zina disebabkan kehamilan luar nikah[28].

Dalil Ketiga : Keterangan ulama

Antara ulama yang menyatakan dengan jelas bahawa mangsa rogol yang mengadu dirogol dengan membawa bukti lain selain empat saksi, tidak dikenakan hukuman qazaf, ialah Imam al-Baji.

Beliau berkata[29] :

فإن لم يشهدا لها بالإكراه ولا باحتمالها مكرَهة والمغيب عليها ولكن جاءت متعلقة به وهي تدمى إن كانت بكرا أو لا تدمى إن كانت ثيبا وقد فضحت نفسها، ففي كتاب ابن المواز عن عبد الملك وغيره "لا تحد هي لما رمته به

Terjemahan : “Jika kedua-dua[30]orang [saksi] tidak melihatnya (iaitu wanita yang mendakwa dirogol) dipaksa [melakukan persetubuhan] dan [tidak juga menyatakan] kemungkinan dia dipaksa [melakukan persetubuhan][31], tetapi dia datang [kepada pihak berkuasa] sambil berpaut padanya (iaitu pada tertuduh) dalam keadaannya berdarah[32]jika dia [seorang] gadis, atau [datang sambil berpaut pada tertuduh dalam keadaan] tidak berdarah jika dia seorang janda…maka dalam kitab Ibn al-Mawāz [yang memetik] daripada Abdul Malik dan [ulama-ulama] selainnya, [dinyatakan bahawa] “dia tidak dikenakan [hukuman] hudud[33]disebabkan tuduhannya ke atasnya (iaitu tertuduh)”.

Kesimpulan :

Hadis Nabi s.a.w, qias dan kenyataan ulama yang dinyatakan di atas, jelas menunjukkan bahawa dalam kes rogol, mangsa mempunyai hak didengari aduannya, walaupun tidak membawa empat orang saksi.

Dalam kes rogol yang kebiasaannya berlaku secara tersembunyi, aduan mangsa diambil kira dan mangsa dibebaskan daripada hukuman qazaf, jika terbukti bahawa kejadian rogol benar-benar berlaku melalui pembuktian yang telah dinyatakan[34].

Anggapan banyak pihak bahawa seseorang yang mendakwa dirogol atau diliwat secara paksa oleh individu yang lain, tanpa mengemukakan empat saksi, terus dianggap telah melakukan kesalahan qazaf, adalah anggapan yang silap seperti yang dapat dilihat melalui hadis Nabi s.a.w, kias dan keterangan ulama yang dinyatakan.

[Hukuman ke atas tertuduh dalam kes rogol atau liwat yang disokong bukti]
SOALAN 7: Jika mangsa rogol atau liwat tidak mampu mendatangkan empat orang saksi, tetapi dapat membawa bukti-bukti seperti yang dinyatakan[35], bagaimana dengan tertuduh?

JAWAPAN :      

Jika mangsa dapat mengemukakan bukti-bukti yang menunjukkan dia dirogol atau diliwat, tertuduh dikenakan hukuman seperti berikut :

i.             Membayar wang dalam jumlah yang sama dengan mas kahwin semasa kepada mangsa[36]. Hukuman ini dikenakan dengan dua syarat, iaitu terdapat saksi yang melihat tanda-tanda berlakunya jenayah rogol atau liwat[37]; dan mangsa bersumpah bahawa dia telah dirogol[38].

ii.            Hakim boleh mengenakan hukuman ta’zir–iaitu hukuman yang diserahkan kepada budi bicara hakim-ke atas tertuduh seperti hukuman denda, penjara, sebat, buang daerah dan sebagainya.

Hukuman ta’zir wajib dikenakan ke atas setiap individu yang melakukan maksiat yang tidak ditentukan hukumannya oleh syarak[39].

[PERBICARAAN KES QAZAF MENURUT PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DAN UNDANG-UNDANG SYARIAH MALAYSIA]

[Mahkamah yang berhak dari segi undang-undang mengadili kes qazaf]
SOALAN 8 : Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, mahkamah manakah yang mempunyai kuasa membicarakan kes rogol atau liwat?

JAWAPAN :      

Menurut Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, kes yang tidak melibatkan Undang-undang Keluarga Islam, dan kes tersebut berada di bawah kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, mahkamah yang berhak membicarakannya ialah mahkamah sivil atau jenayah, bukannya Mahkamah Syariah.

[Aduan mangsa rogol atau liwat yang tidak disokong empat saksi menurut Undang-Undang Syariah di Malaysia]
SOALAN 9: Mengikut Undang-Undang Syariah di Malaysia, adakah mangsa yang mengadu dirogol atau diliwat, akan dikenakan hukuman qazaf apabila gagal membawa empat orang saksi?

JAWAPAN :      

Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan qazaf HANYA dikenakan ke atas seseorang yang TIDAK TERLIBAT dalam perbuatan zina atau liwat, yang menuduh seseorang yang lain melakukan zina atau liwat.

Ini bermakna, akta ini tidak merangkumi mangsa atau orang yang melakukan zina atau liwat itu sendiri, yang mendakwa perogol merogolnya, atau menyatakan pasangannya melakukan zina dengannya.

*Ini adalah artikel lama yang diterbitkan kembali untuk perkongsian yang lebih luas



[1] Iaitu pengasas Mazhab Hanafi.
[2] Mājid Muhammad(1997), al-Hudūd Fi al-Fiqh al-Islāmi, Kuwait : Maktabah al-Falāh, hlm.75.
[3] Ibid.
[4] Hukuman qazaf ialah 80 kali sebatan seperti yang dinyatakan dalam ayat 4 surah an-Nur.
[5]Ta’zir ialah hukuman yang dijatuhkan berdasarkan budi bicara hakim. Lihat al-Zuhayli, Wahbah (1989), al-Fiqh al-Islāmi Wa Adillatuh, cetakan ketiga, Damsyiq : Dār al-Fikr, jld.6, hlm. 18.
[6] Iaitu empat orang saksi yang menyaksikan kejadian rogol atau liwat dengan jelas seperti melihat pen dimasukkan ke dalam tudungnya.
[7] Menurut pandangan Imam Abu Hanifah, peliwat hanya dikenakan hukuman ta’zir, bukannya hukuman hudud. Lihat Ibn al-Hamām, Kamāluddin Muhammad Ibn Abdul Wāhid, Fath al-Qadir, Damsyiq : Matba’ah Mustafa al-Hilabi, jld.5, hlm. 263.
[8] Contoh-contoh bukti yang boleh digunakan akan dinyatakan selepas ini.
[9] Surah an-Nūr : 4.
[10] Dalil kepada kenyataan ini akan dinyatakan pada halaman berikutnya.
[11] Perincian lebih lanjut akan dinyatakan pada halaman berikutnya.
[12] Dalam keadaan ini, yang dikenakan hukuman ialah tertuduh seperti yang akan dijelaskan.
[13] Abd al-Bar, Abū Umar Yūsuf Ibn Abdullah (2000), al-Istizkār, Beirut : Dār al-Kutub al-Ilmiyyah, Jld.7, hlm. 146.
[14] Ijmak (إجماع) ialah “persepakatan para mujtahidin dari kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w setelah kewafatan baginda s.a.w, dalam mana-mana zaman, berkenaan sesuatu hukum syarak”. Lihat al-Zuhayli, Wahbah (1986), Usūl al-Fiqh al-Islāmi, Damsyiq : Dār al-Fikr, Jld.1, hlm. 490.
[15] Perkataan dalam [ ] adalah tambahan penulis bagi menerangkan maksud asal teks.
[16] Iaitu empat orang saksi yang melihat dengan jelas kejadian rogol tersebut seperti melihat pen dimasukkan ke dalam tudungnya. Apabila wujud saksi seperti ini, perogol dikenakan hukuman hudud.
[17] Yakni mengakui bahawa dia merogol. Pengakuan tertuduh dianggap bukti yang boleh dijatuhi hukuman hudud.
[18] Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa seseorang yang dituduh merogol tetap akan dihukum apabila terdapat bukti. Jika bukti tersebut ialah empat orang saksi, perogol akan dikenakan hukuman hudud. Jika bukti yang ada adalah selain daripada empat orang saksi-akan dinyatakan selepas ini-, tertuduh dikenakan hukuman ta’zir. Dengan ini, dapat difahami, dalam kes rogol, empat orang saksi diperlukan bagi mensabitkan hukuman hudud ke atas perogol. Tetapi, bagi membebaskan mangsa rogol dari hukuman qazaf, empat orang saksi tidak diperlukan. Yang diperlukan hanyalah bukti-bukti-yang akan disebut selepas ini- yang menunjukkan berlakunya kes rogol.
[19] Iaitu darah kemaluannya yang terkeluar akibat dirogol.
[20] Keterangan Imam Abd al-Bar ini bermakna bukti-bukti yang menunjukkan seseorang pengadu dirogol, tidak terhad kepada apa yang dinyatakan dalam teks di atas.
[21] Perselisihan pandangan.
[22] Samada hukuman zina atau qazaf.
[23] Iaitu Imam al-Bāji dalam kitabnya al-Muntaqā Syarh Muwatto’ Imam Mālik seperti yang akan dinyatakan dan Imam Abd al-Bar dalam kitabnya al-Istizkār seperti yang telah disebutkan sebelum ini.
[24] Lihat contoh-contoh bukti pada JAWAPAN bagi SOALAN 5.
[25] Kias ialah “perbandingan dengan contoh yang telah ada atau dengan hal yang telah berlaku”. Dewan Bahasa dan Pustaka (2007), Kamus Dewan, edisi empat, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.786.

[26] Akan dinyatakan selepas ini bahawa berdasarkan pendapat yang kuat, lelaki tersebut tidak dikenakan hukuman rejam.
[27] Dalam mazhab Maliki, wanita yang hamil tanpa suami yang sah boleh disabitkan dengan kesalahan zina.
[28] Al-Bāji, Sulaiman Ibn Khalaf (1999), al-Muntaqā Syarh Muwatto’ Mālik, Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Jld 4, hlm. 21.
[29] Ibid
[30] Imam al-Bāji menyebut ‘kedua-dua orang saksi’ kerana sebelum petikan di atas beliau memperkatakan tentang wanita yang mendakwa dirogol tanpa membawa empat orang saksi. Maka ‘dua orang saksi’ diambil sebagai contoh bagi ‘saksi yang kurang daripada empat orang’.
[31] Maksudnya saksi tidak memberikan sebarang keterangan yang menunjukkan kemungkinan mangsa dirogol seperti melihat mangsa dilarikan, mangsa dikasari tertuduh dan sebagainya.
[32] Maksudnya dalam keadaan kemaluannya berdarah
[33] Iaitu hukuman qazaf
[34] Rujuk JAWAPAN bagi SOALAN 5
[35] Lihat JAWAPAN bagi SOALAN 5
[36] Dalam menentukan kadar semasa mas kahwin hendaklah dilihat kepada status, pendidikan, tempat tinggal mangsa dan sebagainya.
[37] Seperti tertuduh dilihat membawa mangsa masuk ke dalam rumahnya secara paksa seperti yang dinyatakan.
[38] Al-Bāji (1992), op.cit., jld. 4, hlm. 21
[39] Zaydān, Abdul Karim (1992), Usūl ad-Da’wah, Baghdād : Maktabah al-Quds, hlm. 293.

No comments:

Post a Comment