"Gambar-gambar ini awak ambil secara rambang, atau memang awak sengaja fokus kepada peserta-perserta BERSIH 3.0 berbangsa Cina", saya bertanya seorang rakan, setelah 'separuh' terkejut melihat gambar-gambar yang diambilnya semasa perhimpunan pada 28 April 2012 itu.
Rakan saya itu seorang jurugambar.
Beliau sempat merakam lebih kurang seratus gambar di pelbagai lokasi BERSIH 3.0 baru-baru ini.
Rasa terkejut segera menerpa bila mendapati, dalam hampir keseluruhan gambar yang diambilnya itu, terdapat peserta-peserta Cina.
Saya kehairanan.
"Tak, gambar ini saya ambil secara rambang. Saya tak fokus kepada peserta-peserta berbangsa Cina sahaja", ujar rakan saya itu.
"Saya agak, tak kurang daripada 30-40% peserta BERSIH 3.0, adalah orang-orang Cina", ujarnya lagi yang turut memerhati perjalanan ketumbukan raksaksa itu.
Momokan
"Oh, kalau begitu, selepas ini, mana-mana pihak tidak boleh lagi memomokkan hanya orang-orang Melayu sahaja yang turun berdemonstrasi, sedangkan bangsa-bangsa lain tidak berbuat demikian", hati saya berbisik.
"Dalam satu laporan yang dibuat oleh pihak yang berautoriti, penyertaan kaum Cina dalam BERSIH 3.0 adalah sebanyak 45%", ujar seorang lagi rakan saya.
Memang saya begitu dapat merasai kehadiran rakan-rakan berbangsa Cina ini dalam BERSIH 3.0, sehinggakan ke mana pun saya pergi di lokasi demonstrasi, saya pasti temui rakan-rakan Cina.
Ketika duduk bersila di depan Dataran Merdeka, di kiri, kanan, depan dan belakang saya terdapat rakan-rakan Cina yang sebelum ini dilihat begitu berkeberatan untuk menyertai demonstrasi.
Begitu juga ketika saya berada di Jalan Raja Laut dan di hadapan Sogo. Mereka sentiasa ada bersama.
Bahkan, ketika saya dan beberapa orang memanjat pagar bagi menyelamatkan diri setelah dikepung polis di sekitar Maju Junction, turut bersama saya memanjat pagar adalah rakan-rakan Cina!
Mesej
Kehadiran ketara demonstran-demonstran Cina dalam BERSIH 3.0 adalah salah satu perkara menarik dan penting untuk dianalisis.
Setakat catatan ini ditulis, saya belum dapat menelah faktor-faktor di sebalik permandangan ini, dan belum menemui analisa tentangnya dilakukan oleh mana-mana pihak.
Walau apa pun faktornya, yang pasti, ia menghantar mesej bersampulkan amaran kepada pihak Kerajaan!
Bagi saya, fenomena ini boleh dijadikan petunjuk penting tentang sikap pengundi-pengudi Cina dalam PRU ke-13 nanti!
No comments:
Post a Comment