Islam memiliki beberapa sifat dan ciri-ciri tertentu, yang membezakannya dengan
agama atau ideologi lain. Antara
ciri-ciri Islam ialah insaniyyah (kemanusiaan).
Antara
maksud insaniyyah ialah syariat Islam menghormati manusia, memelihara
kemuliaan dan hak-hak manusia (Lihat Qaradhawi, Yusuf, al-Thaqafah
al-’Arabiyyah al-Islamiyyah (2001), Beirut : Muassasah al-Risalah, hlm.
28).
Manusia
dimuliakan oleh Islam, seperti yang dinyatakan oleh firman Allah yang
bermaksud, “Dan sesungguhnya kami telah memuliakan bani Adam”(al-Isra’ : ayat
70).
Mereka
dimuliakan di atas dasar mereka adalah manusia, tanpa melihat kepada keturunan,
warna kulit, bahasa, tanahair, kedudukan dan agama (Al-Qaradhawi (2001) op.cit,
hlm. 29).
Islam
menganggap seluruh manusia adalah bersaudara dari segi keturunan dan asal usul,
kerana semuanya berasal dari seorang ibu dan ayah, iaitu Adam a.s dan Hawwa.
Bukan
sekadar teori
Prinsip
kemuliaan manusia yang dipasakkan Islam, bukan sekadar teori. Ia
dipraktikkan sendiri oleh Nabi Muhamamd s.a.w dalam amalan dan perbuatan Baginda
s.a.w, serta menjadi ikutan umat Islam selepas Baginda s.a.w.
Antara
contoh praktikal yang ditunjukkan Nabi s.a.w ialah hadis yang diriwayatkan oleh
Jabir bin Abdullah r.a.
Beliau
menceritakan, “ada satu jenazah [diusung] melintasi Nabi s.a.w, lantas Baginda
s.a.w bangun dan berdiri [bagi menghormatinya], lantas dikatakan kepada Baginda,
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia adalah jenazah seorang yahudi!”.
Baginda
menjawab, “bukankah ia [juga] jiwa [yang bernyawa]?”(Hadis riwayat Bukhari).
Mengambil
semangat daripada kemuliaan manusia ini, umat Islam sepanjang zaman tidak
menzalimi bukan Islam yang berada dalam negara Islam, dan berlaku adil ke atas
mereka.
Tiada
bukti yang lebih jelas bagi hakikat ini, selain daripada perakuan yang
diberikan oleh sarjana-sarjana bukan Islam seperti Gustave Le Bon(1841-1931),
seorang sarjana Perancis.
Dalam
bukunya, Arabic Civilization, beliau mencatatkan, “toleransi Muhammad
[s.a.w] terhadap orang-orang Yahudi dan Kristian sangat tinggi, dan [toleransi
sebegitu tinggi] tidak pernah dilakukan oleh pengasas-pengasas agama yang lahir
sebelumnya, seperti agama Yahudi dan Kristian.
Kita
[juga] dapat melihat bagaimana pemimpin-pemimpin selepasnya mengikuti jejak
langkahnya [dalam soal ini]. Sesetengah sarjana Eropah yang ragu-ragu [tentang
keindahan Islam] atau yang mempercayai [keelokan Islam] mengakui toleransi
tersebut”(hlm. 128).
Objektif
Syariat Islam
Ajaran
Islam diturunkan oleh Allah bagi mencapai beberapa objektif, antaranya
menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman (Yusuf Ahmad Muhammad al-Badawi,
Maqasid al-Syariah Inda al-Imam Ibn Taimiyyah (2000), Jordan :
Dar al-Nafais, hlm. 276).
Al-Quran
dengan jelas menyatakan, antara tujuan diturunkan Syariat Islam ialah
menegakkan keadilan.
Firman
Allah, “Demi sesungguhnya, kami telah mengutuskan rasul-rasul kami dengan
membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan kami teleh menurunkan
bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan,
supaya manusia dapat menegakkan keadilan”(Al-Hadid : ayat 25).
Sejajar
dengan itu, Allah memerintahkan umat Islam amnya dan para pemimpin mereka
khasnya, agar memerintah dengan adil, tanpa mengira agama dan bangsa rakyat
yang diperintah.
Allah
berfirman, “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan segala
jenis amanah kepada ahlinya [yang berhak menerimanya], dan apabila kamu
menjalankan hukum di antara manusia, [Allah menyuruh] kamu menghukum dengan
adil” (al-Nisa’ : ayat 58).
Sabda
Nabi s.a.w, “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab
ke atas orang yang dipimpinnya”(Muttafaq ’alaih).
Bergerak
seiring dengan prinsip keadilan ini, Islam mewajibkan para pemimpin Islam
berlaku adil ke atas warganegara bukan Islam yang menetap dalam negara Islam.
Bukan
sekadar itu sahaja, bahkan Nabi s.a.w memberi amaran keras kepada pemimpin
Islam dan umat Islam yang menzalimi warganegara bukan Islam yang mendiami
negara Islam.
Rasulullah
s.a.w bersabda, “sesiapa yang menyakiti orang zimmi (zimmi ialah nama yang
digunakan bagi merujuk kepada bukan Islam yang menjadi warganegara negara
Islam), maka sesungguhnya dia telah menyakitiku, dan sesiapa yang menyakitiku,
sesungguhnya dia telah menyakiti Allah”( Hadis riwayat at-Tabarani dalam
al-Awsat dengan sanad hasan).
Sabda
Nabi s.a.w lagi, “sesiapa yang membunuh mu’ahid, tidak akan dapat
mencium bau syurga, meskipun baunya dapat dihidu dari jarak perjalanan 40
tahun”( Hadis riwayat Bukhari dan Ahmad).
Menurut
Ibn Athir, perkataan mu’ahid banyak digunakan bagi merujuk kepada orang
zimmi.
Kadang-kadang
ia juga digunakan bagi merujuk kepada bukan Islam yang berdamai dengan orang
Islam.(Lihat Al-Qaradhawi, Yusuf, Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama’
al-Islami (1994), Beirut : Muassasah al-Risalah, hlm. 12)
Keadilan
Islam terhadap bukan Islam begitu terserlah apabila Islam menghormati apa yang
dianggap harta bernilai oleh bukan Islam, meskipun pada pandangan Islam ia
adalah benda keji.
Dengan
sebab itu, sesiapa yang merosakkan arak atau babi milik orang Islam, individu
tersebut tidak dikena sebarang denda atau hukuman. Bahkan pada pandangan Islam,
individu ini beroleh pahala.
Tetapi,
jika arak dan babi itu milik rakyat bukan Islam, orang yang merosakkannya
diwajibkan membayar gantirugi (Al-Qaradhawi (1994), op.cit, hlm.
15 ).
Menyedari
amaran keras Rasulullah s.a.w ini, umat Islam sepanjang zaman mengambil berat
tentang rakyat bukan Islam. Sehinggakan ada ulama yang berpendapat, menzalimi
bukan Islam dalam negara Islam, lebih besar dosanya daripada menzalimi orang
Islam (Ibid, hlm. 11)
Selain
daripada objektif yang dinyatakan di atas, Islam juga diturunkan bagi membawa
rahmat kepada manusia sejagat sebagaimana yang difirmankan Allah, “Dan tidaklah
kami mengutuskan mu [wahai Muhamamd s.a.w] melainkan bagi menjadi rahmat kepada
seluruh alam” (Surah al-Anbiya’ : ayat 107).
Sehubungan
itu, Islam tidak menzalimi bukan Islam dan berlaku adil ke atas mereka.
Manusia
pada pandangan Islam
Pada
kaca mata Islam, manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah sebagaimana
firmanNya, “Dan sesungguhnya kami telah memuliakan bani Adam” (Surah al-Isra’ :
ayat 70).
Sebagaimana
yang telah dinyatakan sebelum ini, manusia dimuliakan kerana kemanusiaannya,
bukan kerana unsur luaran yang lain.
Disamping
mereka makhluk yang dimuliakan Allah, manusia juga berasal daripada seorang
bapa dan seorang ibu, iaitu Nabi Adam a.s dan Hawwa.
Menegaskan
hal ini, Allah berfirman, “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah
menciptakan kamu dari seorang lelaki (yakni Adam) dan perempuan (Hawwa)”( Surah
al-Hujurat, ayat 13).
Pemikiran
bahawa manusia adalah makhluk yang dimuliakan Allah dan mereka semua-tanpa
mengira bangsa, agama dan keturunan-berasal dari satu keturunan, akan membentuk
sikap toleransi dan berlaku adil sesama manusia sejagat.
Perlembagaan hubungan antara orang Islam dan bukan Islam
Asas atau perlembagaan yang diletakkan Islam dalam
mengatur hubungan antara orang Islam dan bukan Islam ialah firman Allah “Allah
tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang
yang tidak memerangi kamu kerana agama [kamu] dan tidak mengeluarkan kamu dari
kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku
adil.
Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada
menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama [kamu] dan
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu [orang lain] untuk
mengusir kamu. Dan ingatlah, sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka
mereka itulah orang-orang yang zalim” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8&9).
Umat Islam dituntut berbuat baik dan berlaku adil kepada
bukan Islam meskipun mereka orang-orang yang mengkufuri agama Islam selama mana
mereka tidak menentangnya dan memerangi pendakwahnya atau menindas pengikutnya
(Al-Qaradhawi (1994), op.cit, hlm. 5-6).
Justeru, segala tindak tanduk pemimpin Islam wajib
tertakluk kepada perlembagaan atau asas yang dinyatakan.
No comments:
Post a Comment