Sa'ad al-Kattatani |
Ikhwan Muslimin (IM) dilihat melakar
sejarah baru apabila persetujuan dicapai bagi melantik salah seorang pemimpin
parti kelolaannya, Hizb al-Hurriyyah Wa al-'Adalah (FJP), bagi menjawat jawatan
Yang Dipertua Parlimen Mesir yang bakal dibentuk.
Dalam perkembangan terbaru, Pakatan
Demokrasi Demi Mesir yang diketui parti FJP, dan menggabungkan 11 parti politik
Mesir, bersepakat mencalonkan Setia Usaha Agong FJP, Muhammad Sa'ad
al-Kattatani sebagai Yang Dipertua Parlimen Mesir yang baru.
Persetujuan juga dicapai bagi melantik seorang calon daripada Hizb
An-Nur dan al-Wafd bagi memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Parlimen.
Persetujuan ini mengambil kira kedudukan kedua-dua parti ini
selaku pemenang tempat kedua dan ketiga dalam pilihan raya Mesir yang baru saja
berakhir.
Selepas pilihan raya peringkat ketiga
dan terakhir selesai semalam (17 Jan 2012), FJP mengumumkan kejayaannya meraih
sebanyak 46% undi (232 kerusi), manakala Hizb An-Nur sebanyak 23% (113 kerusi),
diikuti parti al-Wafd yang memperolehi 9% undi (40 kerusi).
Jumlah keseluruhan kerusi Dewan Rakyat
(مجلس الشعب) yang dipertandingkan ialah sebanyak 498 kerusi.
(Sumber : aljazeera.)
Antara semalam & hari ini
Persetujuan yang dicapai ini, tentunya
sesuatu yang sangat manis dan penuh makna bagi IM, yang telah ditekan secara
melampau dan diharamkan selama 80 tahun oleh regim-regim di Mesir.
Bukan sekadar itu sahaja, bahkan lebih
daripada itu, pencapaian ini dilakar setelah begitu ramai pemimpin dan
penyokong IM diseksa dan menemui ajal di tangan regim-regim tersebut.
Sejarah masa lalu IM ini menambahkan
lagi erti dan makna pencapaian IM dalam arena politik Mesir masa kini.
Sesungguhnya, ia sebahagian daripada
detik yang penuh emosi bagi IM. Tentunya ia disambut dengan linangan air mata
kesyukuran, beserta lantunan ucapan-ucapan syukur ke hadrat Yang Maha Berkuasa.
Rasa syukur dan kesedaran akan
kekuasaan Allah, kian memuncak bila diimbau kembali sejarah penderitaan yang
getir yang dihadapi oleh IM.
Membaca kisah-kisah penyeksaan yang
terpaksa diteguk oleh anggota-anggota IM, secara tanpa sedar, telah melantunkan
doa agar Allah menjauhkan diri daripada ujian yang serupa. Bukan apa, cuma
bimbang hati yang kerdil dan iman yang nipis ini, tidak mampu berdiri teguh dan
bertahan mendepani ujian yang begitu berat itu.
Hati bergetar membaca kisah Mursyidul
Am IM yang kedua, Syaikh al-Mujahid Hasan al-Hudhaibi. Seksaan yang beliau
terima menyebabkan beliau pengsan. Ini sudah cukup bagi menggambarkan
kedahsyatan seksaan yang diterima.
Begitu juga dengan Syaikh Mustafa
Masyhur, juga salah seorang Mursyidul Am IM. Ketika dalam penjara, setiap hari,
tapak kaki beliau akan dipukul berkali sehingga tulang-tulang kakinya hancur.
Akibat terlalu kerap disebat,
mujahid-mujahid IM ini merasa kebas, sehingga sebatan ke tubuh mereka tidak
menyebabkan rasa sakit.
Bagi memperdayakan penyebat-penyebat
penjara, mereka akan berpura-pura sakit, dengan bertempik dan meraung bila
disebat. Namun, akhirnya penyebat-penyebat itu mengetahui keadaan sebenar
mereka. Lantas mereka beralih kepada sepakan dan terajangan bagi menyeksa
mujahid-mujahid itu.
Diantara mereka, ada yang diikat kaki
ke bumbung. Lantas, para penyeksa bersilih ganti menendang dan menyepak,
sehingga mangsa bertukar menjadi bagai timbunan darah.
Kaedah mencabut kuku-kuku kaki dan
tangan menggunakan sejenis alat khusus, adalah perkara biasa yang dihadapi
pejuang-pejuang IM. Antara kaedah seksaan yang sangat menyakitkan, ialah kaedah
menyalurkan angin menggunakan pam ke bahagian gusi.
Sebahagian kisah menarik para mujahid
IM ketika dalam penjara, adalah kisah seorang anak muda yang dipaksa membuat
pengakuan seperti yang dikehendaki pemerintah. Namun, anak muda ini tetap
berkeras menolak dengan mengacipkan giginya.
Beliau akhirnya diselam ke dalam
air berkali-kali sehingga menemui syahid. Sebaik sahaja ruhnya melayang ke
hadrat Ilahi, mulutnya yang tadinya terkancing kemas, tiba-tiba terbuka dengan
mengukirkan senyuman indah.
Subhanallah...
Benarlah apa yang dikatakan oleh
al-Imam al-Allamah al-Mujahid Syaikh Yusuf al=Qaradhawi, apa yang dihadapi oleh
mujahid-mujahid IM dalam penjara Mesir, lemah untuk qalam menulisnya, dan kelu
lidah untuk menggambarkannya.
Kini, IM yang ditekan dan diseksa
sebegitu rupa, sekarang berada diambang kekuasaan dan bakal menerajui Mesir.
Benarlah janji-janji Allah kepada para
pejuang agamaNya.
Semoga Allah meletakkan para syuhada'
IM di syurga Fidaus yang tinggi bersama para syuhada', anbiya' dan rasul.
No comments:
Post a Comment