Thursday, 12 January 2012

Bila Ikhwan ucap Selamat Hari Krismas di gereja...

Presiden FJP dalam gereja ketika sambutan Hari Krismas
Sesetengah gerakan Islam, gemar menampilkan imejnya sebagai sebuah pertubuhan, atau parti yang 'kuat Islam' mengatasi parti-parti lain.

Ia memang mahu masyarakat mengenalinya sedemikian.

Justeru, ketika di medan, gerakan-gerakan Islam ini gigih membina, dan seterusnya memperkukuhkan imej tersebut pada dirinya di mata khalayak.

Dalam usaha membina imej ini, ia juga melancarkan 'serangan' bertali arus ke atas pihak lawan. Ia bertujuan-antara lain-'melondeh' pihak lawan, agar dilihat sebagai tidak kuat berpegang pada tali Islam.

Bila usaha ini berjaya, imej 'kuat Islam' itu akan semakin kukuh melekat pada gerakan-gerakan Islam tadi.

Imej Ikhwan

Tapi, Ikhwanul Muslimin (IM) di Mesir, terutamanya selepas kejatuhan regim Husni Mubarak, tidak begitu.

Ia dilihat tidak gemar membina imejnya sebagai organisasi yang 'kuat Islam' melebihi orang lain. Tidak juga 'berselera' untuk menafikan keseriusan pegangan pihak lawan terhadap Islam.

Inilah perwatakan dominan IM, khususnya selepas kejatuhan regim Husni Mubarak.

Bentuk imej yang mahu dibina oleh IM bagi pertubuhannya itu, terpapar dengan jelas dalam tindak tanduk kepimpinannya.

Selepas kejatuhan Husni Mubarak, IM dilihat menjuruskan tindak tanduknya ke arah mengangkat pergerakan itu sebagai sebuah pergerakan yang sederhana.

Inilah imej yang mahu dibina oleh IM. Inilah perwatakan yang mahu ditampilkan kepada masyarakat. Iaitu pertubuhan yang sederhana dan toleransi. Bukannya organisasi yang 'kuat Islam' mengatasi organisasi atau parti-parti lain. Bukan juga pertubuhan yang akan melaksanakan Islam, sebaik sahaja ayam berkokok pada subuh hari pertama memegang kuasa!

Sikap IM ini sungguh menarik.

Apa tidaknya, di saat sesetengah gerakan Islam lain mengambil masa selama puluhan tahun, untuk tampil dengan watak dan imej sederhana, IM-dalam konteks negara Mesir yang demokratik-boleh dikatakan langsung tidak mengambil masa bagi tujuan sama.

Ia tampil dengan perwatakan dan imej sederhana, sejak hari pertama mereka dibenarkan beraksi di pentas politik Mesir yang demokratik, setelah 80 tahun diharamkan oleh regim Husni Mubarak dan regim-regim sebelumnya. 


Barangkali, yang menyelamatkan IM daripada terjebak dalam 'kegemaran' kepada imej 'kuat Islam' ini, ialah ketangkasan kepimpinannya membaca suasana.

Suasana Mesir selepas kejatuhan Mubarak pada Februari 2011, dilihat sangat tidak kondusif bagi sebuah gerakan Islam yang berimej 'kuat Islam'.

Dalam suasana Islam dimomokkan sebagai agama keganasan sejak sekian lama, disamping kebanyakan umat Islam sedang 'mabuk' akibat disuntik racun-racun sekularisme, IM melihat imej sederhana sesuai diangkat sebagai perwatakan dan imej sesebuah gerakan Islam.

Dalam situasi begini, imej 'kuat Islam' mudah saja ditanggapi sebagai simbol ekstrem atau sifat melampau.

Ertinya, IM tidak menunggu sehingga keadaan memaksa mereka untuk tampil dengan imej sederhana.

Tidak seperti sesetengah gerakan Islam yang gemarkan imej 'kuat Islam' tadi. Setelah melihat imej 'kuat Islam' yang membayanginya menjadi penghalang untuk ia terus mara dalam arena politik, barulah berfikir untuk tampil dengan imej sederhana.

Ikhwan & sambutan Krismas

Dalam rangka mengukuh imej dan perwatakan sederhana, IM membuka tirai tahun baru 2012 dengan pengutusan dua delegasi ke dua buah gereja di Mesir. Iaitu gereja Ortodoks dan Injiliyyah.

Delegasi terdiri daripada pemimpin-pemimpin Ikhwan dan Dr. Abdul Rahman al-Bar, Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar cawangan Mansurah.

Pengutusan delegasi ini adalah bagi memenuhi jemputan pihak gereja.
(Sumber : ikhwanonline)

Berdasarkan gambar-gambar dalam ikhwanonline , delegasi diutus ke 2 gereja tersebut pada hari Krismas, dan ketika upacara sambutan Krismas sedang berlangsung. Tujuannya, menyampaikan ucapan 'Selamat Hari Krismas' kepada penganut-penganut Kristian!

Mengejutkan! Bahkan menggemparkan!

Itulah perasaan yang menerpa emosi orang yang berada dalam persekitaran pemikiran agama versi Malaysia, dan melihat tindakan IM ini melalui jendela pemikiran itu.

Ucapan 'Selamat Hari Krismas' dari orang Islam kepada penganut Kristian, tidak menjadi masalah bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia.

Tapi, orang Islam pergi ke gereja pada Hari Krismas, ketika upacara sambutannya sedang berlangsung, untuk menyampaikan ucapan 'Selamat Hari Krismas' kepada penganut-penganut Kristian, memang satu masalah besar.


Itu realiti di Malaysia.

Tulisan ini tidak bermaksud menyokong tindakan IM itu. Tidak juga mahu mencadangkan mana-mana pihak di Malaysia, melakukan tindakan serupa lantaran suasana dan realiti yang mungkin berbeza.

Apa yang mahu diangkat dalam tulisan ini ialah manhaj IM. Iaitu kesederhanaan dalam pemikiran, tindakan dan imej yang ditampilkan. Serta ketangkasan mereka membaca suasana, yang membolehkan mereka mengenal pasti pendekatan dan imej gerakan Islam yang secocok dengan realiti semasa.


Juga mahu memberi mesej tentang keluasan Feqh Islami terutamanya berhubung soal-soal semasa.

Dalil

Walau bagaimana pun, bagi tujuan ilmiah dan perbincangan, elok disebut asas tindakan IM itu secara ringkas.

Menurut Jumhur ulama semasa, tindakan orang Islam mengucapkan 'Selamat Hari Krismas' kepada penganut Kristian, adalah harus. Ucapan itu juga tidak bermakna umat Islam yang menuturkannya, redha dengan kekufuran mereka.

Ucapan sedemikian harus kerana ia sebahagian daripada perbuatan baik yang diperintahkan Allah dalam firmanNya yang bermaksud (Al-Mumtahanah : 8) :

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil".

Ucapan sedemikian juga tidak bermakna penuturnya redha dengan kekufuran penganut Kristian.

Dalilnya ialah qias.

Dalam ayat 5 surah al-Maidah, Allah mengharuskan lelaki Islam mengahwini wanita-wanita Ahli Kitab, iaitu wanita Yahudi atau Kristian.

Oleh kerana ia harus, maka lelaki muslim yang mengahwini wanita Ahli Kitab, tidak boleh disifatkan sebagai redha dengan kekufuran wanita yang dikahwininya itu.

Demikian juga tindakannya membiarkan isterinya yang beragama Kristian atau Yahudi itu mengamalkan ibadat dan akidah kufur mereka. Juga tidak boleh disifatkan sebagai redha dengan kekufuran isterinya itu.

Penyifatan sedemikian bertentangan dengan sifat harus yang diberikan syarak kepada perkahwinan antara lelaki Islam dan wanita Ahli Kitab.

Jika demikian halnya, maka terlebih utama ucapan 'Selamat Hari Krismas' yang dilafazkan oleh orang Islam kepada penganut Kristian, tidak dianggap sebagai tanda ia redha dengan kekufuran penganut Kristian itu.

Dalam negara Islam, umat Islam juga mengizinkan penganut-penganut agama lain membina rumah-rumah ibadat mereka. Tindakan ini sama sekali tidak bermakna umat Islam redha dengan kekufuran mereka.

Begitulah juga halnya dengan ucapan 'Selamat Hari Krismas' seorang Islam kepada penganut Kristian.
(Rujuk : ikhwanonline)

Mutlak atau terikat

Persoalannya, apakah ucapan 'Selamat Hari Krismas' ini hanya boleh diucapkan di luar gereja sahaja? Atau ia harus secara mutlak, tanpa mengira samada di dalam atau di luar gereja?

Dari tindakan pemimpin-pemimpin IM ini, jelas menunjukkan bahawa pada pandangan mereka, tiada dalil yang membataskan keharusan ini hanya kepada ucapan di luar gereja sahaja.

Sudah tentu tindakan 'mengejutkan' IM ini ada pro dan kontranya.

Apa yang pasti, tindakan IM ini memberi impak positif dari segi penyerlahan imej sederhana pertubuhan itu pada kaca mata masyarakat Mesir dan antarabangsa.

Apa pun sikap kita terhadap tindakan IM itu, selama mana ia berlegar dalam ruang lingkup persoalan khilafiyyah, dan tiada nas yang qat'ie dari segi thubut dan dalalahnya, setiap pihak wajar menghormati pandangan IM itu, dan memelihara adab-adab khilaf dalam mendiskusikan persoalan ini.

Lidah perlu dipelihara daripada tuduhan tergesa-gesa.

No comments:

Post a Comment