Saturday 21 January 2012

Kos guaman : Qaradhawi & keharusan meminjam wang zakat


Syaikh Qaradhawi

Isu dakwaan penyalahgunaan wang zakat bagi tujuan pembayaran kos guaman, yang didakwa melibatkan seorang menteri dan pegawai atasan sebuah Majlis Agama, perlu dilihat dari sudut 'hukum meminjam wang zakat'.

Sudut pandangan ini sejajar dengan kedudukan isu ini. Ia-seperti yang digambarkan pihak terbabit-adalah jelas berkisar sekitar tindakan individu-individu berkenaan meminjam wang zakat.

Tindakan mereka mengganti semula wang zakat yang telah digunakan, jelas menunjukkan bahawa isu ini adalah isu 'meminjam wang zakat'.

Justeru, semua pihak wajar merujuk kepada 'hukum meminjam wang zakat' ketika memperkatakan isu ini. Ini bagi mengelakkan diskusi isu ini menjadi berkecamuk dan merawak, disebabkan tidak fokus kepada intipatinya yang sebenar.

Antara ulama yang memperkatakan tentang hukum meminjam wang zakat, ialah al-Allamah Yusuf al-Qaradhawi, pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, dalam karyanya, Feqh al-Zakah.

Ia disentuh dalam huraian beliau berkenaan salah satu asnaf yang layak menerima zakat, iaitu asnaf al-Gharimeen. Al-Gharimeen bermaksud orang-orang yang menanggung hutang. Mereka layak menerima zakat jika tidak mampu membayar hutang yang ditanggung.

Logik

Bagi memahami pandangan Qaradhawi berhubung hukum meminjam wang zakat, perlu difahami kedudukan wang zakat yang diberikan kepada mereka yang layak.

Zakat adalah pemberian kepada mereka yang layak. Terdapat 8 kategori manusia yang layak mendapat zakat, salah satunya ialah al-Gharimeen.

Justeru, mereka yang menerima zakat-termasuk al-Gharimeen-tidak perlu membayar balik wang zakat yang diterima. Ini kerana zakat adalah pemberian, bukan pinjaman.

Jika demikian, tidakkah seseorang yang memerlukan, lebih utama dianggap layak menerima zakat atas nama pinjaman?

Ini kerana, wang zakat yang diterimanya atas nama pinjaman itu, akan dibayar balik. Tidak seperti al-Gharimeen tadi. Mereka tidak perlu membayar balik wang zakat yang diterima.

Logiknya, jika al-Gharimeen layak menerima zakat, sedangkan mereka tidak perlu membayar balik, apatah lagi orang-orang yang memerlukan. Sudah tentu mereka lebih layak menerima zakat kerana mereka akan membayar balik wang zakat yang dipinjam.

Logik ini diterima oleh Qaradhawi.

Justeru, beliau berpandangan, harus bagi al-Muhtajeen (orang-orang yang memerlukan), meminjam wang zakat. Menurut beliau, ini juga merupakan pandangan Syaikh Abu Zuhrah, Syaikh Abdul Wahab Khallaf dan Syaikh Abdul Rahman Hasan.

Ringkasnya, menurut Qaradhawi, meminjam wang zakat adalah harus, tapi khusus bagi al-Muhtajeen sahaja.

Qias

Penjelasan di atas menunjukkan, dalil keharusan meminjam wang zakat bagi al-Muhtajeen, adalah qias.

Qias ialah menyamakan sesuatu kes yang tidak dinyatakan hukumnya oleh al-Quran dan hadis (kes ini dinamakan fara'), dengan kes yang dinyatakan hukumnya oleh kedua-dua sumber tadi (kes ini dinamakan asl).

Penyamaan yang dimaksudkan ialah dari segi hukum. Penyamaan ini dilakukan kerana illah (sebab) asl dihukum dengan sesuatu hukum, juga terdapat pada fara'.

Contohnya, pengharaman arak oleh al-Quran (yang merupakan asl). Ia diharamkan kerana terdapat padanya sifat 'memabukkan'.

Manakala hukum dadah pula, tidak dinyatakan oleh al-Quran. Tapi, dadah (yang merupakan fara') disamakan dengan arak (yang merupakan asl) dari segi hukumnya, iaitu haram.

Penyamaan ini diasaskan kepada kewujudan sifat 'memabukkan' yang turut terdapat pada dadah.

Berhubung hukum meminjam wang zakat, al-Muhtajeen (yang merupakan fara') disamakan (diqiaskan) dengan al-Gharimeen (yang merupakan asl) . Iaitu dari segi kelayakan menerima zakat.

Oleh kerana al-Muhtajeen dinilai lebih utama dianggap layak menerima zakat berbanding al-Gharimeen, disebabkan al-Muhtajeen akan membayar balik wang zakat yang dipinjamnya (berbeza dengan al-Gharimeen yang mengambil zakat secara percuma), maka qias ini dinamakan qias awla.

Kesimpulannya, berdasarkan kaedah qias ini, Qaradhawi berpendapat, al-Muhtajeen boleh diberi pinjaman daripada wang zakat, yang diambil daripada sahm (bahagian) al-Gharimeen.

Namun, Qaradhawi menekankan akan keperluan diwujudkan satu tabung khusus bagi melaksanakan pandangan beliau ini.

Manakala pembayaran semula oleh peminjam wang zakat, disalurkan ke Baitul Mal, bukannya dikembalikan semula ke tabung atau akaun zakat.

Dengan huraian ini, dapatlah difahami kenyataan Qaradhawi dalam karyanya yang dinyatakan.

Terjemahan kenyataan beliau itu ialah "...memberi qardhul hasan (pinjaman tanpa faedah) daripada [wang zakat], adakah harus dengan mengqiaskan orang-orang yang meminjam [sama] dengan al-Gharimeen [dari segi kelayakan menerima zakat]?

Ataupun kita berpegang dengan literal nas, lalu kita tidak mengharuskannya (memberi qardhul hasan dari wang zakat kepada al-Muhtajeen) atas alasan al-Gharimeen adalah orang-orang yang sedang menanggung hutang [maka al-Muhtajeen tidak boleh disamakan dengan al-Gharimeen dari segi kelayakan menerima zakat?].

Saya berpendapat, qias yang sahih dan maqasid am (objektif umum) Islam dalam bab zakat, mengharuskan kita [untuk] berkata [harus] memberi pinjaman kepada al-Muhtajeen daripada sahm al-Gharimeen.

Tapi  [perkara] ini (memberi pinjaman kepada al-Muhtajeen dari wang zakat) perlu disusun dan dibentuk tabung yang khusus. Dengan demikian, zakat [akan] memberi saham secara praktikal dalam memerangi riba dan penghapusan faedah (bunga).

Inilah pendapat [Syaikh] Abu Zuhrah, [Syaikh Abdul Wahab] Khallaf dan [Syaikh Abdul Rahman] Hasan dalam perbahasan mereka tentang zakat.

Alasan mereka ialah, jika hutang-hutang tanpa faedah [boleh]dibayar dengan wang zakat [dan pemiutang tidak perlu membayar balik], maka lebih utama diberikan qardhul hasan daripada wang zakat tanpa faedah [kepada al-Muhtajeen] agar dikembalikan [pembayaran qardhul hasan itu] ke Baitul Mal.

Ini bermakna mereka menjadikannya (keharusan memberi pinjaman dari wang zakat kepada al-Muhtajeen) sebahagian  daripada qias awla. (Feqh al-Zakah, jil.2, ms.634)

Sependapat dengan para ulama ini ialah Syaikh Muhammad Hamidullah ('A'mal Wa Abhath an-Nadwah al-Khamisah, ms.181 dan 187)

Khilafiyyah

Sudah tentu tidak semua ulama bersepakat dengan pandangan Qaradhawi dan beberapa tokoh ulama yang dinyatakan berhubung soal ini.

Antara yang membantah pandangan Qaradhawi ialah pengarang kitab Yas'alunaka (Jld.7, ms.86).

Kesimpulannya, soal keharusan meminjam wang zakat bagi al-Muhtajeen, adalah masalah khilafiyyah  di kalangan para ulama semasa.

Oleh itu, setiap orang Islam boleh berpegang dengan pandangan Qaradhawi ini terutamanya jika melihat adanya maslahah dan keperluan. Mana-mana pihak tidak boleh membantah atau menidakkan tindakan pihak yang berpegang dengan pandangan Qaradhawi berhubung perkara ini.

Ini kerana, sebagaimana yang telah ditetapkan oleh para ulama, tiada bantahan atau penidakkan dalam masalah khilafiyyah (La Inkar Fi Mas'alah Khilafiyyah).

Oleh itu, jelaslah persoalan sebenar dalam isu dakwaan penyalahgunaan wang zakat ini. Tindakan pihak terbabit menggunakan wang zakat di atas nama pinjaman (yang kemudiannya telah dibayar balik), bukanlah satu masalah dan tidak menjadi isu.

Yang menjadi persoalan ialah tujuan pihak terbabit meminjam wang zakat tersebut. Jika ia dipinjam bagi membiayai urusan yang tidak bertentangan dengan syarak, maka menurut pandangan Qaradhawi dan ulama-ulama yang seangkatan, ia harus jika mereka benar-benar memerlukan.

Namun, jika ia dipinjam bagi membiayai urusan yang bercanggah dengan syarak, maka ini merupakan kerja dosa.

Dengan ini, setiap pihak yang terbabit dalam isu ini tahu apa yang perlu mereka lakukan.

Satu lagi yang perlu diperhatikan, wang zakat yang dipinjam itu, adakah diambil daripada sahm al-Gharimeen atau bahagian asnaf-asnaf lain.

Pandangan Qaradhawi jelas menunjukkan bahawa wang zakat yang boleh dipinjam oleh al-Muhtajeen, ialah wang zakat dari bahagian asnaf al-Gharimeen.

Wallahu a'lam.

1 comment:

  1. Hati-hati di sini. Tidak ada yang boleh membantu anda di sini atau bahkan menyarankan bagaimana anda bebas untuk mendapatkan bantuan kewangan. Setiap jawapan dari pemberi pinjaman kredit atas soalan anda, anda harus mengabaikan, kerana Mereka Apakah Penipuan ... penipuan yang nyata ... saya adalah mangsa yang saya koyak Ribuan dolar ... baik terima kasih Tuhan untuk saudara Kristian yang dimaksudkan saya untuk sebuah organisasi pinjaman yang dibentuk oleh beberapa Ibu Clara, claraloans@financier.com.
    Mereka membuat hidup saya yang berharga dan memberikannya makna. Ketika adik memberiku semata-mata untuk Untuk kenalan lebih lanjut, saya menghubungi dia. Mereka meluluskan pinjaman sebanyak $ 75.000,00 USD dan dalam 48 jam selepas bertemu semata-mata untuk orang lanjut Untuk melawan keperluan, pinjaman saya disimpan di dalam akaun bank saya tanpa cagaran. Saya akan menyesal Total hidupku, Kerana pada titik waktu saya hanya bercerai ayah dari anak saya, dan anak saya (Ridwan) dihadapkan dengan keadaan hidup dan mati. Jangan ragu untuk menghubungi via Email: Claraloans@financier.com. Untuk pertanyaan lebih lanjut. hubungi saya via: Yunitanurudeen@gmail.com

    ReplyDelete