Zaman Sultan Sulaiman al-Qanuniy
(1495-1566M)-menurut kebanyakan ahli sejarah-merupakan zaman keemasan Empayar
Othmaniyyah.
Pada zaman Baginda, jajahan takluk empayar itu
semakin meluas. Banyak negeri dan bandar dibuka. Kemakmuran dan kemewahan
merata ke segenap penjuru empayar.
Namun, Sultan Sulaiman-melalui sorotan Baginda ke
atas sejarah peradaban manusia-mengetahui bahawa setiap negara yang kuat, tidak
dapat tidak, pasti akan menjadi lemah.
Akan menular ke dalam strukturnya faktor-faktor
kelemahan dan keruntuhan. Ini kerana, setiap peradaban mempunyai ajal
masing-masing.
Apakah perkara sama akan menimpa Empayar
Othmaniyyah?
Apakah di sana ada cara untuk lari daripada
keruntuhan?
Persoalan ini menghantui fikiran Sultan Sulaiman
selama beberapa hari.
Setelah lama berfikir dan bingung dengan persoalan
ini, Baginda memutuskan untuk mengajukan persoalan ini kepada seorang ulama
yang masyhur ketika itu, iaitu Yahya Afandi.
Yahya Afandi juga merupakan saudara susuan
Baginda.
“Tuan adalah seorang yang mengetahui banyak
rahsia. Justeru, kami berharap dari tuan, agar sudi memberitahu kepada kami,
bilakah sesebuah negara itu akan runtuh. Dan apakah kesudahan Empayar
Othmaniyyah ini?”.
Demikian isi surat yang dihantar Sultan Sulaiman
kepada Yahya Afandi.
‘Peka’ tugas rakyat jelata
Yahya Afandi segera menjawab soalan Sultan
Sulaiman itu. Namun, jawapannya sangat ringkas dan memeningkan Baginda Sultan.
“Apa kaitan perkara ini denganku, wahai Tuanku
al-Sultan? Apa kaitannya denganku?”.
Demikian jawapan Yahya Afandi.
Sultan Sulaiman sangat hairan dan pening dengan
jawapan Yahya Afandi. Apakah dalam jawapan ini mengandungi makna tersirat yang
Baginda tidak fahami?
Baginda tiada jalan lain melainkan pergi menemui
sendiri Yahya Afandi di tempat tinggalnya.
Setibanya di sana, Baginda mengajukan soalan yang
sama seperti dalam surat yang dikirimkan, sambil menegur Yahya Afandi yang
dilihatnya tidak serius menjawab soalan Baginda.
“Beta berharap dari Tuan, wahai saudaraku,
supaya menjawab soalan Beta dan menganggap persoalan ini serius. Beta juga
berharap agar Tuan memberitahu apakah maksud Tuan dengan jawapan yang Tuan
berikan itu”, titah Sultan Sulaiman kepada Yahya Afandi.
“Wahai Tuanku, tatkala kezaliman dan kerosakan
berleluasa dalam sesebuah negara, dan setiap orang yang melihat kezaliman dan
kerosakan ini berkata, “apa kaitannya perkara ini denganku” kerana sibuk dengan
hal diri masing-masing sahaja...
Apabila ‘pengembala’ membaham
‘kambing’ yang dijaganya, sedang orang yang mengetahui dan mendengar hal ini
mendiamkan diri...
Apabila teriakan fakir miskin dan
orang-orang yang memerlukan, mula meninggi ke langit dan tiada siapa yang
mendengarnya selain pokok-pokok dan tanah...
Ketika itu, terserlahlah tanda-tanda
kejatuhan sesebuah negara, terhakislah rasa kesetiaan rakyat terhadapnya…
Demikianlah kemalapan menjadi
ketentuan yang tertulis ke atas sesebuah negara yang tiada jalan melarikan diri
daripadanya”.
Penyakit & penawar
Begitulah jawapan Yahya Afandi kepada persoalan
Sultan Sulaiman.
Kezaliman pemerintah dan ketidakpedulian rakyat
terhadap ketidakadilan!
Itulah ‘barah’ dua serangkai yang menjadi penyebab
keruntuhan sesebuah negara.
Sesebuah negara boleh terus bertahan jika
pemimpinnya zalim, tetapi rakyatnya peka dan sentiasa jaga. Atau rakyatnya
lena, tetapi penguasanya adil dan prihatin.
Tetapi, sesebuah negara akan tumbang tatkala
kezaliman pemerintah digandingi dengan ketidakpedulian rakyat!
Tanggungjawab pemerintah dalam
memelihara keutuhan sesebuah negara ialah membela rakyat, bersikap adil dan
saksama.
Manakala tanggungjawab rakyat ialah
peka terhadap sebarang ketidakadilan dan sensitif terhadap apa jua
kepincangan!
Untuk terus gah dan utuh, negara memerlukan
pemerintah yang adil.
Yang penyayang.
Yang amanah.
Yang sedar bahawa dirinya adalah ‘pekerja’ kepada
rakyat dan pemegang amanah mereka.
Untuk terus gah dan utuh, negara juga perlukan
rakyat yang sensitif, peka dan sentiasa jaga terhadap apa jua perkembangan
dalam negara.
Ya, pemerintah yang adil dan rakyat yang peka!
Itulah talian hayat sesebuah negara!
Justeru, disamping berusaha menjadi
atau melahirkan pemimpin yang adil, jangan dilupa, usahakan juga agenda
membentuk rakyat yang peka!
No comments:
Post a Comment