Sunday, 19 February 2012

Rehat Minda


Juha dan manusia berkaki 4!

Suatu hari, Juha membawa seekor angsa panggang kepada seorang putera raja.

Di tengah jalan, Juha merasa lapar. Bau angsa panggang pula begitu menggodanya. Lalu, Juha memakan sebatang kaki angsa panggang itu.

Bila angsa panggang itu dihidang kepada putera raja, beliau bertanya Juha, "mengapa kaki angsa hanya sebatang?".

"Ampun Tuanku, semua angsa di negeri ini berkaki satu, Tuanku!", jawab Juha selamba.

Juha lantas meminta putera raja melihat melalui jendela istana. Juha menunjukkan jarinya ke arah sekumpulan angsa yang berdiri sebelah kaki, seperti kebiasaan yang dilakukan angsa, itik dan ayam semasa berehat.

Putera raja tidak berpuas hati.

Baginda segera memanggil seorang askar dan memerintahkannya merodok kumpulan angsa itu dengan kayu.

Bila dilakukan demikian, angsa pun apa lagi, lari ke sana ke mari dengan kedua-dua belah kakinya!

"Apakah engkau lihat!!? Semua angsa di negeri ini diciptakan dengan dua belah kaki, bukannya dengan sebelah kaki!!", bentak putera raja.

"Bertenang Tuanku. Kalaulah dirodok manusia seperti itu, nescaya manusia pun akan lari dengan empat kaki!", jawab Juha.

Maknanya, angsa itu berlari dengan dua belah kaki, bukan kerana ia memang memiliki dua kaki...tapi kerana rodokan yang kuat!

Buktinya, manusia pun akan lari dengan empat kaki jika dirodok sebegitu rupa...

Walau macam mana pun, Juha nak menang juga.

Lucu.
***
Bahaya khusyuk

Suatu ketika, Juha duduk dalam sebuah rumah. Juha mengadu kepada tuan rumah, dia mendengar keretakan di bumbung rumah.

"Ahhhh...tak usah bimbanglah...bumbung sedang 'bertasbih' kepada Allah tu...", kata tuan rumah.

"Aku bimbang nanti 'hati' bumbung menjadi khusyuk bertasbih, lalu 'sujud' ke atas kita!", balas Juha.

Ada je jawapannya.
***
Bukti kewalian Juha!

Suatu hari, Juha mendakwa dirinya seorang wali. Orang ramai pun memintanya menunjukkan keramat, bukti dia seorang wali.

"Kamu mahu aku tunjukkan keramat yang lebih besar daripada kemampuan ku mengetahui apa yang ada dalam hati kamu!!?", tanya Juha.

"Baik, apa yang ada dalam hati kami sekarang ini?", cabar mereka.

"Apa yang ada dalam hati kamu sekarang ialah, hati kamu berkata "aku berbohong (mendakwa diriku wali)!", balas Juha.

Hampeh!

No comments:

Post a Comment