Monday, 6 February 2012

Kepimpinan...bagaimana dengan 'kepengikutan'?

Banyak pihak, terutama ‘orang politik’, sering bercakap tentang kepimpinan.

Dengan sebab itu, sering berkumandang bicara tentang ciri-ciri pemimpin yang berkualiti. 

Atau tentang keperluan melatih pemimpin-pemimpin pelapis. Juga berkenaan pertalian erat antara kepimpinan yang berwibawa dan kemakmuran yang dikecapi hari ini.

Bicara tentang kepimpinan juga wujud dalam bentuk kursus-kursus kepimpinan yang sering dianjurkan.

Dominasi 'bicara tentang kepimpinan' di pentas pemikiran masyarakat, telah menyebabkan fokus mereka tertumpu sepenuhnya kepada soal kepimpinan.

Keadaan ini adalah ‘tanah yang subur’ bagi pertumbuhan satu pemikiran yang melihat, baik buruk sesebuah negara atau masyarakat, bergantung sepenuhnya kepada pemimpin dan kepimpinan.

Pemikiran ini menyebabkan sesebuah komuniti, tidak memandang pengikut atau rakyat jelata, sebagai salah satu kuasa yang penting, yang menjadi pelengkap kepada kepimpinan dalam menjayakan agenda bersama.

Pemikiran 'satu lorong' ini berkesudahan dengan pembenihan satu sikap yang menyerahkan segala urusan kepada pemimpin, sementara rakyat hanya menunggu hasil dan natijah yang baik, hasil kerja keras pemimpin  yang diangkat.

Dominasi bicara kepimpinan ini secara tidak langsung menjadikan wacana tentang kepimpinan, pincang dan tidak seimbang.

Elemen kepimpinan

Realitinya, kepemimpinan melibatkan tiga elemen yang saling berkait, iaitu pemimpin, pengikut dan persekitaran.

Ketiga-tiga elemen inilah akan menentukan daya kepimpinan seseorang pemimpin.

Fungsi kepimpinan ialah mengeksploitasi persekitaran bagi menghasilkan kemakmuran negara.

Ia hanya akan berfungsi dan bergerak, apabila pemimpin dan pengikut berperanan secara saling melengkapi, untuk memanfaatkan persekitaran demi mencetuskan kemakmuran negara.

Sesebuah kepimpinan akan gagal memanfaatkan persekitaran yang ada bagi kebaikan negara, andai elemen pemimpin dan pengikut tidak bergerak secara bergandingan, atau salah satunya tidak berfungsi.

Secara tidak langsung, fakta ini adalah pembetulan kepada pemikiran yang cenderung mengaitkan kemakmuran sesebuah negara, hanya dengan pemimpin yang baik.

Hakikatnya, peranan rakyat dalam melonjakkan kepimpinan, sehingga berupaya mencetuskan kemakmuran negara, tidak boleh dikesampingkan.

Keperluan sesebuah masyarakat kepada gandingan pemimpin yang berkualiti dan pengikut yang bermutu, telah lama diungkapkan oleh Syaidina Ali karramallahu wajhah.

Sejarah merakamkan suasana ketidaktentuan yang menyelubungi zaman pemerintahan beliau, yang merupakan khalifah yang keempat selepas Rasulullah SAW.

Suasana hampir serupa turut mewarnai zaman pemerintahan khalifah sebelumnya, iaitu Syaidina Uthman r.a.

Dari sudut ketenteraman, era pemerintahan dua khalifah ini, jauh berbeza dengan zaman khalifah pertama dan kedua, iaitu Syaidina Abu Bakar r.a dan Syaidina Umar r.a.

Perbezaan ini telah mengundang tanya tanya dan mendorong Ubaydah al-Salmani r.a mengajukan persoalan kepada Syaidina Ali r.a.

Ubaydah al-Salmani adalah seorang ulama. Beliau memeluk Islam sebelum kewafatan Nabi SAW, namun tidak berpeluang bertemu Baginda SAW.

Dalam kitab Sirajul Muluk, karangan Abu Bakar al-Turtusi, dicatatkan bahawa Ubaydah al-Salmani bertanya Syaidina Ali r.a. :

يا أمير المؤمنين، ما بال أبي بكر وعمر انطاع الناس لهما، والدنيا عليهما أضيق من شبر فاتسعتْ عليهما، وولَّيْتَ أنت وعثمانُ الخلافة ولم ينطاعوا لكما، وقد اتسعتْ فصارت عليكما أضيق من شبر؟ فقال: لأن رعيةَ أبي بكر وعمرَ كانوا مثلي ومثلَ عثمان، ورعيتي أنا اليومَ مثلُك وشِبْهُك! 

Terjemahan : Wahai Amirul Mu'minin, apa halnya [Syaidina] Abu Bakar [r.a] dan [Syaidina] Umar [r.a], orang ramai tunduk [dan taat] kepada mereka berdua. [Manakala] dunia [di zaman pemerintahan mereka] lebih sempit daripada [kadar] sejengkal, tetapi telah menjadi luas.

[Manakala] Tuan dan [Syaidina] Uthman [r.a] telah memegang [jawatan] khalifah, tetapi mereka (orang ramai) tidak tunduk [dan taat] kepad Tuan berdua. Dunia yang telah luas, telah menjadi sempit lebih daripada sejengkal?

Lantas [Syaidina Ali r.a] menjawab, "[semua ini berlaku] kerana rakyat [Syaidina] Abu Bakar [r.a] dan [Syaidina] Umar [r.a], mereka [semua] adalah [orang-orang] seperti ku dan [seperti Syaidina] Uthman [r.a], [sedangkan] rakyatku pada hari ini [adalah orang-orang] sepertimu dan seumpamamu.

Mesej ucapan Syaidina Ali r.a adalah jelas. Pemimpin yang baik semata-mata, belum memadai. Ia memerlukan gandingan pengikut-pengikut yang baik.

Ucapan ini memahamkan kita, bahawa disamping kita memilih pemimpin yang baik, dan menuntut supaya pemimpin sedia ada meletakkan dirinya pada tahap pemimpin yang baik, kita rakyat jelata juga tidak lupa, untuk melakukan dan menuntut perkara yang sama.

Disamping kepimpinan, kita juga perlukan 'kepengikutan'...

No comments:

Post a Comment