Ada 'sesuatu' yang mendorong segelintir umat
Islam, mencela dan merendah-rendahkan sahabat-sahabat Nabi s.a.w.
Di kalangan mereka, mungkin ada yang menyedari
kewujudan 'sesuatu' ini dalam sanubari mereka. Mungkin juga ramai di kalangan
mereka, yang tidak menyedarinya.
Imam Malik radhiyallahu 'anhu mendedahkan
'sesuatu' itu, yang tersemat dalam sanubari orang-orang yang tergamak mencela
para sahabat Nabi s.a.w.
'Sesuatu' yang mendorong mereka 'menceroboh'
kemuliaan insan-insan keluaran Madrasah
Nubuwwah itu.
Imam Darul Hijrah itu berkata tentang para pencela
sahabat-sahabat Nabi s.a.w :
إنما
هؤلاء أقوامٌ أرادوا القَدْحَ في النبي صلى الله عليه وسلم فلم يُمْكِنْهم ذلك
Terjemahan : "Sesungguhnya kaum-kaum (yang
mencela para sahabat Nabi s.a.w) itu ingin mengaibkan Nabi s.a.w, tetapi mereka
tidak mampu berbuat demikian".
Orang-orang yang mencela sahabat Nabi s.a.w, sebenarnya
ingin mengaibkan junjungan agung, Muhammad s.a.w!
Demikian tegas Imam Ahli Sunnah, Malik
radhiyallahu 'anhu.
Namun, mereka tidak mampu mengaibkan Rasulullah
s.a.w. Mengaibkan Baginda, hanya akan mendedahkan diri mereka yang sebenar.
Mengakibatkan mereka terkeluar daripada lingkungan Islam dan umat Islam.
Justeru, apa tindakan mereka setelah keinginan
mereka untuk mengaibkan Baginda s.a.w itu tidak mampu dicapai?
Sambung Imam Malik r.a :
فقَدَحوا
في أصحابِه حتى يقالَ رجلٌ سُوء، ولو كان رجلاً صالحًا لكان أصحابُه صالحين
Terjemahan : "Lantas mereka mengaibkan
sahabat-sahabatnya (s.a.w) supaya dikata (orang bahawa Baginda s.a.w) lelaki
jahat, (kerana) jika Baginda (s.a.w) seorang lelaki yang soleh, tentulah
sahabat-sahabatnya (s.a.w juga) orang-orang yang soleh".
Kata-kata Imam Malik r.a ini tercatat dalam al-Sorim
al-Maslul, karangan Imam Ibnu Taimiyyah, hlm. 580.
Inilah yang mendorong segelintir umat Islam-moga
Allah memberikan petunjuk kepada mereka-mencela para sahabat Nabi s.a.w. Iaitu
keinginan mengaibkan Nabi s.a.w!
Halus dan tersembunyi
Mungkin ramai yang terlibat dalam perbuatan keji
ini, langsung tidak merasai dalam jiwa mereka, bahawa yang mendorong mereka
berbuat demikian, ialah keinginan mengaibkan Nabi s.a.w.
Bahkan, mungkin saja mereka merasakan, bahawa
mereka melakukannya kerana didorong oleh kecintaan mereka kepada Ahli Bayt.
Iaitu kecintaan yang dituntut agama.
Mengapa mereka tidak merasai bahawa 'keinginan
keji' inilah yang mendorong mereka mencela sahabat-sahabat Nabi s.aw?
Sedarlah, sesetengah 'keinginan keji' yang
bersarang dalam jiwa manusia, sangat seni dan halus, serta tersemat jauh dalam
lubuk hati yang dalam. Menyebabkan manusia langsung tidak menyedari
kewujudannya.
Betapa ramai orang yang merasa mereka ikhlas
berjuang menegakkan Islam. Tapi, tanpa mereka sedari, tujuan sebenar mereka
berjuang ialah 'meraih habuan dunia'.
Pun begitu, mereka tidak sedar akan kewujudan
'keinginan kepada habuan dunia' dalam hati mereka.
Sehinggalah apabila mereka tidak mendapat habuan
dari perjuangan Islam itu, mereka terus meninggalkan perjuangan.
Di waktu itu, baru individu seperti ini, atau
orang ramai mengetahui, bahawa tujuannya berjuang ialah mengaut habuan dunia,
bukan ikhlas kerana Allah.
Bicara Imam Ghazali r.a
Bicara Hujjatul Islam, Imam Ghazali رضي
الله عنه وقدس الله سره
dalam Ihya' Ulumiddin (rujuk bab berkenaan riyak) menunjukkan, sesetengah
'keinginan keji' yang tersemat dalam sanubari manusia, sangat seni dan halus.
Sehinggakan kewujudannya langsung tidak disedari.
Ketika berbicara tentang penyakit riyak yang
tersembunyi, Imam Ghazali menyebut tentang individu yang tidak ingin amal
ibadat yang dilakukannya diketahui orang, justeru kerana mencari keredhaan
Allah semata-mata.
Namun, apabila bertemu orang ramai, dia ingin
supaya orang ramai terlebih dahulu memberi salam kepadanya sebagai tanda
hormat. Atau memberikannya layanan dengan penuh penghormatan. Jika dia tidak
dilayan sebegitu, dia akan terasa jengkel.
Orang seperti ini tidak suka amal ibadatnya
diketahui orang. Ini menunjukkan dia seorang yang benar-benar ikhlas beribadat.
Dia sendiri turut merasakan dirinya benar-benar ikhlas beramal.
Tapi, dia tidak menyedari, bahawa nun jauh di lubuk
hatinya yang dalam, terselit riyak yang seni dan halus.
Kewujudan riyak yang seni ini hanya
diketahuinya-jika dia seorang yang berilmu-apabila dia merasa jengkel tatkala
orang tidak memberikan penghormatan dan sanjungan kepadanya.
Menurut Hujjatul Islam, kewujudan 'rasa jengkel
bila tidak disanjung', menunjukkan seolah-olah dia menjadikan penghormatan dan
sanjungan orang, sebagai 'ganjaran' di atas amalannya yang dia tidak mahu
diketahui orang itu, yang dilakukannya secara bersembunyi.
Dalam erti kata lain, dia tidak benar-benar ikhlas
beramal meskipun dia tidak suka amalannya diketahui orang.
Demikianlah halusnya tipu daya nafsu!
Ini adalah berkenaan 'keinginan keji' yang
terselit dalam jiwa orang-orang yang cuba mengikhlaskan niat mereka dalam
berjuang dan beramal ibadat.
Meskipun begitu, 'keinginan keji' ini masih
berupaya menyelusup masuk ke lubuk hati mereka, tanpa mereka sedari.
Maka, bagaimanakah pula orang-orang yang melakukan
sesuatu yang terang-terang adalah dosa dan kekejian, iaitu mencela orang-orang
yang telah dipersucikan Allah zahir dan batin mereka?
Firman Allah (al-Fath : 29) :
مُّحَمَّدٌۭ
رَّسُولُ ٱللَّهِ ۚ وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥٓ أَشِدَّآءُ عَلَى ٱلْكُفَّارِ رُحَمَآءُ
بَيْنَهُمْ ۖ تَرَىٰهُمْ رُكَّعًۭا سُجَّدًۭا يَبْتَغُونَ فَضْلًۭا مِّنَ ٱللَّهِ
وَرِضْوَٰنًۭا ۖ
Maksudnya, "Nabi Muhammad itu Rasulullah; dan
orang-orang yang bersamanya bersikap keras terhadap orang-orang kafir, dan
sebaliknya berkasih sayang sesama sendiri. Engkau melihat mereka rukuk dan
sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta
mengharapkan keredhaan-Nya"
Berkata Jabir Ibn Abdillah r.a, "kami (pada
waktu itu seramai) seribu empat ratus (1,400) orang". Diriwayatkan oleh Imam
Bukhari dalam Sahih dalam Kitab al-Maghazi.
Allah mempersucikan zahir mereka dengan firmanNya, "bersikap keras terhadap orang kafir, dan sebaliknya berkasih sayang
sesama sendiri. Engkau melihat mereka rukuk dan sujud".
Allah mempersucikan juga batin mereka dengan
berfirman, "mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta
mengharapkan keredhaan-Nya".
Allah telah bersaksi bahawa zahir mereka dihiasi
dengan rukuk dan sujud yang banyak. Batin mereka pula selimuti dengan niat yang
ikhlas.
Justeru, tidakkah orang-orang yang mencela mereka
mahu berhenti?
No comments:
Post a Comment