Tidak lama dulu, bekas presiden Amerika Syarikat, George W.Bush mengumunkan Amerika dalam bahaya.
Bahaya yang dimaksudkan ialah kemerosotan ekonomi yang sedang mengganas.
Saya pula berkata, “sesungguhnya semesta alam ini dalam bahaya semenjak turunnya Adam a.s ke dunia”. Justeru, tiada apa di dunia ini yang boleh dipercayai, yang boleh kita cenderung, kecuali Allah satu-satunya.
Janganlah kiranya kalian menyangka, kalian akan terus kekal kaya. Menyangka harta benteng maha teguh di hadapan kegetiran dan petaka.
Banyak sekali seorang kaya menjadi papa. Si hartawan menjadi muflis. Matawang berubah dan bertukar nilai.
Duhai insan, sayugia jangan dipercayai kesihatan yang bertenggek pada tubuh kalian. Janganlah kalian menyangka kalian akan kekal kuat. Kemudaan terus meningkat. Kesasaan tetap teguh. Urat dan sendi tulang sentiasa kukuh.
Aduhai, jangan disangka demikian. Justeru ketuaan sedang berkunjung. Usia semakin lanjut. Sakit dan uzur seringkali bertandang tiba-tiba.
Wahai insan, janganlah kiranya hatimu ‘condong’ kepada anak-anakmu dan menyangka mereka adalah sumber kekuatanmu di saat getir, tempat berlindungmu di waktu kesempitan.
Berapa ramai anak-anak yang menderhaka dan melawan kata. Berapa ramai anak yang tidak mengenang budi dan berhati bakhil!?
Usahlah bergantung kepada kaum kerabat. Usahlah disangka mereka perisai bagi mu, bentang yang akan melindungimu. Justeru, kadang-kadang kaum kerabat membiarkanmu sendirian di saat dirimu sangat-sangat memerlukan bantuan.
Wahai insan budiman, janganlah bergembira dengan jawatanmu. Janganlah merasa tenang tenteram dengan pangkatmu. Justeru ‘kerusi’ seringkali bertukar ganti, hari berterusan bersilih ganti.
Kadang-kadang khabar perlucutan mengunjungimu lebih cepat dari kilat yang menyambar. Lantas, kembalilah kamu ke rumah mu tanpa pangkat, kedudukan dan nama.
Janganlah berpekerti sebegini.
Bergantunglah hanya kepada Allah!
Usahlah kalian menyangka itu dan ini. Sebaliknya, jadilah kalian seperti mana difirman tuhan (al-Furqan : 58) “Dan berserahlah engkau kepada Allah, tuhan Yang Hidup, yang tidak mati”.
Yakinilah titah tuhan (al-Qosos : 88), “Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan zat Allah. BagiNya kuasa memutuskan segala hukum dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan”.
Sesungguhnya, kita ini sentiasa dalam saat genting semenjak kita diciptakan, semenjak kepala kita ‘terhantuk’ ke bumi.
Abu Tayyib al-Mutanabbi dalam madahnya berterus terang berkata, orang yang tolol itu adalah sesiapa yang bermegah dan berpaut serta menaruh segenap kepercayaan kepada sesuatu yang akan lenyap :
Kematian pasti akan berkunjung, sementara jiwa hanyalah beberapa nafas
Justeru sesiapa yang bermegah dengan apa yang ada padanya adalah si tolol!
Di dalam buku ‘Iman’, tulisan bekas presiden Amerika, Jimmy Carter (1977–1981) ada disebut, “bila krisis membadainya semasa di Rumah Putih, beliau akan mengadap tuhan”.
Ya, mengadap tuhan dengan caranya yang telah diselewengkan dan dimansuhkan.
Bekas presiden Amerika juga, George Bush, dalam catatan peribadinya mencatatkan, beliau pernah melawat jenazah mendiang bekas presiden Soviet Union, Leonid I. Brezhnev. Beliau berkata, “aku melihat jenazahnya gelap gelita, tiada cahaya”.
Saya pula berkata, “kerana Bush penganut kristian, beliau lebih dekat dengan petunjuk tuhan. Padanya ada percikan cahaya. Sedang Brezhnev seorang mulhid yang tidak percayakan tuhan. Maka bagaimana andainya Bush mengenali Islam, agama yang benar?”
Jadi, barang yang pasti, semenjak kita berpijak di bumi ini, kita semuanya sentiasa dalam bahaya.
Bahaya kematian.
Kesakitan.
Peperangan.
Kepapaan.
Kezaliman.
Kedukaan.
Kegetiran…
Tidaklah kita memiliki sebarang kunci penyelesaian kecuali lari kepada Allah.
Lari kepadaNya dengan mengesakanNya. Beribadat kepadaNya bagai yang difirmankanNya (al-Zariyat : 50), “(katakanlah kepada mereka wahai Muhammad s.a.w), “Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan ta’at), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu sebagai pemberi amaran yang nyata”.
Keagungan dan kemegahan hanya milik Allah!
Amerika di kala ini empayar terbesar. Ia akan didatangi sunnatullah (peraturan alam) berkaitan semua bangsa dan negara bagai disebut Ibnu Khaldun dalam ‘Muqaddimah’.
Ia akan menjadi lemah. Di kala itu, akan datang kuasa lain mengambil tempat seperti ditutur Quran (Ali Imran), “Dan demikian itulah keadaan hari-hari (di dunia ini dengan peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan ia antara sesama manusia”.
Bekas presiden Amerika, Richard Nixon (1969–1974) menulis di dalam karyanya Peluang Keemasan, “sesungguhnya China sedang mara bagi mengambil peranan Amerika secara paksa”.
Saya pula berkata, “bahkan, ia adalah giliran yang telah berlaku dalam sejarah. Ia adalah sunnatullah ke atas hamba-hambaNya. Setiap umat akan mengambil gilirannya untuk berkuasa dan menempa kemajuan. Kemudian, ia akan menjunam supaya datang pula umat lain untuk mengambil gilirannya. Giliran untuk menjadi berkuasa”.
Alangkah baiknya andai manusia seluruhnya kembali kepada tuhan mereka. Kembali kepada pencipta mereka di saat musibah dan petaka melanda. Kembali kepadaNya untuk menyembahNya semata-mata. Juga mengikut sunnah nabiNya s.a.w. Beriman dengan para malaikatNya, hari akhirat, dan qadar yang ditentukan.
Andai Amerika dalam bahaya bagai dikata Bush, maka sedarilah duhai insan, alam semesta semuanya dalam bahaya.
Justeru kerana alam akan berakhir hayatnya seperti dialun ayat suci (al-Qosos : 88), “Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan zat Allah”.
Di mana dia jaguh-jaguh silam yang berpencak di pentas dunia?
Di mana dia Rom, Parsi, Babylon...?
Kesemuanya hanya tinggal sejarah. Semuanya menjadi dendangan kisah dan hikayat.
Abu Tayyib al-Mutanabbi bermadah, “Di mana dia pemuka-pemuka dan kaisar-kaisar (gelaran bagi raja Parsi) yang menyimpan khazanah?
Ia tidak kekal, mereka pun begitu jua. Mereka yang dahulunya sempit angkasa oleh ramainya tentera mereka. Sehinggalah kini melitupi tubuh mereka lahad yang sempit!”.
*Terjemahan daripada tulisan Dr. Aidh al-Qarniy
No comments:
Post a Comment