Tuesday, 6 September 2011

Zakat Fitrah hanya wajib ke atas orang yang berpuasa!?

Seorang sahabat saya di Perak memberitahu tentang kewujudan satu pendapat baru berkaitan zakat Fitrah.

Menurut sahabat saya itu, 'pendapat baru' ini mengatakan, orang yang TIDAK berpuasa, TIDAK perlu bayar zakat Fitrah. Ini kerana, zakat Fitrah hanya wajib ke atas orang yang berpuasa sahaja.

Demikian lontaran pandangan 'pendapat baru' ini.

'Celaru' dalam kejelasan hadis Nabi

Hairan sekali, macam mana pendapat seperti ini boleh muncul. Sedangkan, hadis Nabi s.a.w berhubung kewajipan menunaikan zakat Fitrah, sangat jelas.

Ibnu Umar r.a meriwayatkan :

فرض رسولُ الله صلى الله عليه وسلم زكاةَ الفطر من رمضان صاعا من تمر أو صاعا من شعير على العبد والحر والذكر والأنثى والصغير والكبير من المسلمين

Terjemahan :

"Rasulullah s.a.w telah mewajibkan zakat Fitrah [sempena berakhirnya] Ramadhan [dengan kadar] secupak tamar atau secupak bijirin ke atas [setiap] hamba, orang yang merdeka, lelaki, perempuan, kecil dan besar dari [kalangan] orang-orang Islam".

Hadis ini direkodkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain.

Hadis di atas sangat jelas. Ibnu Umar r.a dengan jelas menyatakan, Rasulullah s.a.w turut mewajibkan zakat Fitrah ke atas umat Islam, samada kecil atau besar.

Hadis di atas juga jelas menyatakan kewajipan zakat Fitrah ke atas wanita.

Sebagaimana yang dimaklumi, kanak-kanak dan kebanyakan wanita tidak berpuasa atau tidak berpuasa penuh sebulan Ramadhan. Meski pun demikian, mereka tetap diwajibkan menunaikan zakat Fitrah. Iaitu melalui ibu bapa atau suami masing-masing.

Kaedah Usul

Hadis di atas juga bersifat umum bila ia mewajibkan zakat Fitrah ke atas semua umat Islam, samada lelaki atau wanita, kecil atau besar dan samada hamba atau seorang yang merdeka. 

Lafaz hadis di atas tidak mengkhususkan kewajipan zakat Fitrah hanya kepada orang-orang yang berpuasa sahaja.

Oleh kerana berpegang kepada lafaz hadis yang umum ini, Ibnu Hazm berpendapat, bayi dalam kandungan wajib juga dikeluarkan zakat Fitrah untuknya. Beliau berhujjah, lafaz 'al-saghir' (budak kecil) yang disebut dalam hadis di atas, juga merangkumi bayi dalam kandungan.

Walau bagaimana pun, jumhur ulama tidak mewajibkan zakat Fitrah ke atas bayi dalam kandungan.

Berdasarkan kaedah Usul Feqh, nas yang umum, kekal di atas sifatnya yang umum selama mana tiada nas yang mengkhususkannya.

Justeru, orang yang membawa 'pendapat baru' ini mesti membawa nas yang mengkhususkan hadis di atas, jika terus mahu berpegang bahawa zakat Fitrah hanya wajib ke atas orang yang berpuasa sahaja. Iaitu nas yang mengatakan dengan jelas bahawa zakat Fitrah hanya wajib ke atas orang yang berpuasa sahaja.

Ringkasnya, soal berpuasa atau tidak, langsung tidak berbangkit dalam konteks kewajipan menunaikan zakat Fitrah.

Punca kecelaruan

Barangkali 'pendapat baru' ini muncul akibat salah faham terhadap hadis yang mengatakan bahawa zakat Fitrah berfungsi sebagai 'pencuci' bagi orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan keji.

Atau hasil kefahaman terhadap kata-kata sesetengah ulama yang menyamakan zakat Fitrah dengan sujud sahwi. Sebagaimana sujud sahwi berfungsi menampal kekurangan solat, demikian juga zakat Fitrah. Ia menampal kekurangan puasa.

Oleh kerana zakat Fitrah berperanan sebagai 'pencuci' bagi orang yang berpuasa dan menampal kekurangan puasa mereka, maka logiknya ia tidak perlu ditunaikan oleh atau untuk orang yang tidak berpuasa.

Mungkin logik ini yang dipegang oleh 'pendapat baru' ini.

Jika demikianlah logik 'pendapat baru' ini, maka kita katakan :

1. Agama tidak didasarkan kepada pemikiran logik (dengan makna, hukum hakam agama bukan ditentukan oleh logik akal manusia); dan

2. Hikmat zakat Fitrah bukan hanya 'membersihkan' orang yang berpuasa dan menampal kekurangan puasa mereka.

Ia juga difardhukan bagi meringankan beban orang-orang miskin. Justeru, tidak timbul zakat Fitrah hanya wajib ke atas orang yang berpuasa sahaja.

Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan :

فرض رسول الله صلى الله عليه وسلم صدقة الفطر طهرة للصائم من اللغو والرفث وطعمة للمساكين فمن أداها قبل الصلاة فهي زكاة مقبولة ومن أداها بعد الصلاة فهي صدقة من الصدقة

Terjemahan : "Rasulullah s.a.w telah mewajibkan zakat Fitrah [sebagai] 'pencuci' bagi orang yang berpuasa dari perkara sia-sia dan keji dan [sebagai sumber] makanan kepada orang-orang miskin. Maka sesiapa yang menunaikannya sebelum solat [Hari Raya] maka ia adalah zakat [Fitrah] yang diterima [Allah], dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat [Hari Raya] maka ia adalah [dikira sebagai] sedekah biasa yang lain".

Hadis ini direkodkan oleh Abu Dawud, Ibnu Majah dan al-Hakim. Al-Hakim berkata, "[hadis ini] sahih berdasarkan standard Bukhari". Hadis ini dinilai hasan oleh Albani (Sahih al-Targhib Wa al-tarhib, jil.1, ms.263)

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment