Saturday, 13 August 2011

Tanggapi Wahabi dengan adil

Kita diajar berlaku adil walau pun terhadap orang yang dibenci atau musuh.

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ ۚ ٱعْدِلُوا۟ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ
“Dan janganlah sampai kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih dekat kepada taqwa”. Surah al-Maidah, ayat 8.
Sesiapa yang mendalami pengajian akidah Islam, maklum bahawa aliran Wahabiyyah atau Salafiyyah, berbeza dengan jumhur umat Islam sejak dahulu hingga sekarang, dalam beberapa masalah cabang (furuk) berkaitan akidah.
Memang benar mereka mendakwa, pandangan mereka yang berbeza dengan jumhur umat Islam itu, adalah pandangan yang benar. Sementara pandangan jumhur umat Islam yang mewakili aliran Asya’irah, dalam beberapa masalah tadi, adalah bertentangan dengan pandangan sebenar Islam.
Dalam buku Fatawa al-Aqidah, tokoh besar Salafiyyah masa kini, al-Marhum Syaikh Uthaimin mengatakan,  pengikut aliran Asya’irah secara umumnya adalah Ahli Sunnah Wal Jama’ah.
Namun, dalam bab asma’ dan sifat (bab nama-nama dan sifat Allah), mereka bukan Ahli Sunnah. Demikian fatwa Syaikh Uthaimin rahimahullah. Maknanya, dalam bab asma’ dan sifat, aliran Asya’irah bukan Ahli Sunnah.
Oleh sebab itu, memang benar mereka menyekat penyebaran fahaman Asya’irah-yang berkaitan dengan beberapa perkara berkaitan akidah tadi-di Arab Saudi yang menjadi ‘markas’ aliran Salafiyyah itu.
Lebih daripada itu, mereka turut menyekat pandangan yang berbeza dengan pegangan mereka, biar pun ia hanya sekadar berkaitan dengan hukum hakam fiqh. Seperti buku al-Halal Wa al-Haram, karangan ulama terkemuka zaman kini, Syaikh al-Qaradhawi.
Ia pernah diharamkan di Arab Saudi kerana banyak hukum hakam fiqh dalam buku tersebut, bercanggah dengan pegangan ulama-ulama di Arab Saudi. Seperti hukum mendengar nyanyian dan bermain alat muzik. Qaradhawi mengharuskannya. Sedang mereka mengharamkannya.
Tidak dapat dinafikan juga, bahawa di kalangan mereka ada yang mudah menyesatkan umat Islam lain yang berbeza pandangan dengan mereka, biarpun dalam perkara-perkara furuk (cabang) yang dibenarkan perselisihan berlaku.
Memang benar mereka berusaha menyebarkan pegangan mereka  yang berbeza dengan jumhur umat Islam itu ke negara-negara umat Islam yang lain.
Ringkasnya, pandangan mereka berhubung beberapa perkara cabang berkaitan akidah, adalah berbeza dengan pandangan dan pegangan majoriti umat Islam sedunia, termasuklah umat Islam di Malaysia.
Justeru, sesiapa pun boleh bersetuju bahawa penyebaran ajaran Salafiyyah dalam masyarakat Islam di Malaysia, boleh mencetuskan ketegangan dan perbalahan. Tambahan pula, umat Islam di Malaysia telah menerima mazhab Asya’irah dalam soal akidah sejak zaman berzaman.
Bahkan, boleh dikatakan bahawa sejak orang Melayu memeluk Islam di zaman lampau, mereka tidak kenal aliran akidah yang lain melainkan aliran Asya’irah.
Ini adalah beberapa fakta yang dimaklumi oleh sesiapa saja yang mendalami pengajian akidah Islam dan mengikuti perkembangan pemikiran akidah umat Islam.
Bersikap adil terhadap Salafiyyah
Namun, semua ini tidak boleh menjadi alasan bagi sesiapa juga untuk tidak berlaku adil kepada aliran Salafiyyah ini.
Kesemua fakta yang dinyatakan tadi adalah benar.
Namun, adalah bertentangan dengan prinsip keadilan, perbuatan menuduh aliran ini sebagai bertujuan mengkucar kacirkan umat Islam di negara ini melalui penubuhan sebuah universiti antarabangsa di sini.
Tuduhan ini memberikan gambaran bahawa pendokong aliran ini mempunyai niat jahat terhadap umat Islam di sini.
Tuduhan ini dibimbangi termasuk dalam kategori buruk sangka terhadap sesama Islam yang ditegah al-Quran.
Demikian juga tuduhan bahawa mereka hanya bertopengkan al-Quran dan Sunnah bagi tujuan menyebarkan fahaman Salafiyyah di negara ini.
Tuduhan-tuduhan ini sangat tidak wajar kerana ia bercanggah dengan kedudukan sebenar isu ‘penyebaran aliran Salafiyyah’ ini di Malaysia.
Realiti sebenar penyebaran Salafiyyah di Malaysia
Di atas andaian bahawa dakwaan mereka menyebarkan fahaman Salafiyyah di sini adalah benar, mereka sebenarnya hanya bertujuan menyampaikan dakwah Islam. Iaitu menyampaikan ajaran Islam yang mereka yakini betul melalui kefahaman mereka terhadap nas-nas al-Quran dan hadis.
Menyampaikan dakwah Islam. Bukan mengkucar kacirkan ummah!
Pada mereka, kefahaman akidah mereka yang berbeza dengan jumhur umat Islam itu (dalam beberapa perkara sahaja), adalah akidah yang benar. Akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w dan dipegang oleh para sahabat dan tabi’in. Lantas, menjadi tanggungjawab mereka menyebarkan akidah yang benar.
Inilah titik tolak usaha penyebaran ajaran Salafiyyah di negara. Melaksanakan tanggungjawab dakwah. Bukan merencanakan rancangan jahat yang bertopengkan al-Quran dan Sunnah!
Tapi malangnya, penyebaran akidah Salafiyyah di negara ini boleh mencetuskan ketegangan dan perbalahan yang tidak berkesudahan. Ini disebabkan aliran itu bertentangan dengan aliran Asya’irah yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini sejak zaman berzaman.
Selain itu, pendekatan mereka juga menimbulkan masalah. Secara umumnya, mereka biasanya tidak meraikan pandangan orang lain. Mereka dilihat beranggapan bahawa pandangan mereka sahaja yang betul. Ini mendorong sesetengah daripada mereka dengan begitu mudah menghukumkan sesat ke atas umat Islam yang berbeza pandangan dengan mereka.
Inilah kedudukan sebenar isu ‘penyebaran ajaran Wahabiyyah’ oleh sebuah universiti antarabangsa di sini. Iaitu usaha dakwah dengan niat murni, tetapi menimbulkan masalah disebabkan realiti semasa yang ada.
Itu sahaja. Inilah kata-kata yang tepat bagi menggambarkan kedudukan sebenar isu ini.

Jadi, tidak timbul soal universiti itu bertopengkan al-Quran dan Sunnah! Tidak berbangkit soal mengkucar kacirkan umat Islam di Malaysia seperti yang digembar gemburkan!

Inilah sikap yang perlu diambil berhubung isu ini kerana-disamping penjelasan di atas-prinsip Islam ialah bersangka baik terhadap saudara seagama yang menunjukkan penampilan yang baik dan tidak diragui.
Maka, sangatlah tepat komen yang diberikan oleh seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap soal-soal keagamaan-bila ditanya tentang penyebaran aliran Wahabi di Malaysia-yang mengatakan “Wahabi tidak sesuai di sini”.
Justeru, tidak perlulah bagi mana-mana pihak melancarkan ‘jihad’ melawan Wahabiyyah di Malaysia yang kini mula wujud dalam bentuk sebuah institusi pengajian tinggi di negara ini.
Tidak perlu juga dikerah umat Islam di negara ini bangkit mempertahankan akidah Asya’irah di bumi Asya’irah ini!
Keadaan sebenar yang berlaku tidak menuntut semua ini.
Apa yang perlu dilakukan
Apa yang perlu ialah kerajaan menjelaskan kepada universiti terbabit, pendiriannya yang tidak mahu disebarkan ajaran atau aliran lain yang berbeza dengan pegangan umat Islam di sini, demi menjaga keharmonian masyarakat.
Sementelahan pula, apa yang dipegang oleh umat Islam di negara ini adalah pegangan jumhur umat Islam seluruh dunia sejak zaman berzaman.
Kerajaan juga boleh mencadangkan kepada universiti antarabangsa terbabit, supaya memperkenalkan subjek Adab Ikhtilaf, atau adab berbeza pendapat.
Ini bagi mengelakkan para pelajar dididik dengan pendekatan keras yang hanya melihat pandangan yang mewakili aliran Salafiyyah sahaja yang betul, sementara yang lain adalah sesat atau bid’ah. Disamping mendidik mereka menghormati pandangan orang lain.

Jika perlu, kerajaan boleh bawa isu ini ke meja perbincangan yang sihat dan penuh ukhuwwah.
Ini adalah lebih baik dan lebih harmonis daripada apa yang dicadang atau diusahakan pihak-pihak tertentu.

No comments:

Post a Comment