Saturday 19 April 2014

Dialog di telaga Barahut : Bicara kitab turath & persoalan manhaj

Gambar hiasan
Dalam posting lepas, saya ada menulis tentang telaga Barahut (juga disebut Burahut), yang dikatakan lokasi dimana roh-roh orang-orang kafir yang telah mati, dihimpun sementara berlakunya kiamat.

Hari ini (17 April 2014), saya ada sebab untuk menulis satu lagi artikel tentang telaga Barahut ini.

Telaga Barahut menjadi isu sehari dua ini ekoran satu ceramah seorang ustaz popular.

Dalam ceramah tersebut, ustaz itu mengisahkan satu cerita. 

Cerita itu menjadi isu kerana ia merakamkan satu dialog antara seorang yang masih hidup, dengan roh seorang yang telah mati, yang ditempatkan di sebuah telaga di Hadramaut, Yaman, iaitu telaga Barahut. 

Dalam dialog ini, si mati memberitahu kenalannya yang masih hidup itu akan perihalnya (si mati) yang telah digolongkan dalam kelompok ahli neraka. Beliau dikategorikan sedemikian disebabkan dosa memutus hubungan silaturahim yang dilakukannya.

Kebarangkalian terjadi dialog antara seorang yang masih hidup dengan seorang yang telah mati, dan kemampuan seseorang mengetahui secara pasti kedudukan si mati selaku ahli neraka (melalui perkhabaran si mati sendiri), dipertikai banyak pihak.

Dua perkara ini menjadikan cerita telaga Barahut ini satu isu.

Lantas, cerita yang dikisahkan si ustaz popular tadi, dihukumkan sebagai satu kebatilan oleh sesetengah agamawan. Malahan, disebabkan cerita 'mengarut' dan 'batil' ini, si ustaz disifatkan sebagai 'qussas', atau panglipulara.

Manhaj Wasatiyyah

Apa pendirian yang diambil berhubung cerita ini, bukan satu hal penting. Dan, artikel ini dilakar bukan untuk memenangkan sikap menerima, atau menolak kebenaran cerita ini. Juga bukan untuk mengiya, atau menidakkan kesahihannya.

'Bagaimana kita bersikap'...

Inilah 'ruh' kepada artikel ini. Dan, inilah sebab mengapa artikel ini ditulis.

Sebelum mengambil sesuatu sikap berhubung sesuatu perkara, segala maklumat yang berkaitan, hendaklah diterokai sejauh mungkin. 

Usah terus membuat bantahan semata-mata kerana perkara yang berbangkit, tampak pelik dan janggal pada cerapan akal sendiri.

Tergesa-gesa menyesat, membid'ah, apatah lagi mentakfir, hendaklah dilontar jauh-jauh ke hujung dunia.

Setelah semua maklumat bersangkutan diteroka, dengan cermat dan berhati-hati-kerana bimbang ada maklumat yang gagal ditemui, tercicir atau terlepas pandang-buatlah pendirian, dan nyatakanlah sikap terhadap isu yang sedang didepani itu dengan nada dan bahasa 'terbuka', bukannya bersifat muktamad.

Kesemua ini dilakukan tentulah dengan penuh sopan dan bahasa yang harmonis

Manhaj (kalau boleh disebut manhaj) 'apa yang aku tidak tahu, adalah tidak wujud', atau 'sesuatu yang menyalahi pengetahuanku adalah batil', adalah 'manhaj' yang silap, dan menyimpang jauh dari landasan Wasatiyyah.

Tinta ulama

Cerita yang dipopularkan ustaz seleberiti tadi, sebenarnya tercatat dalam kitab beberapa ulama muktabar.

Ini dinyatakan oleh Imam al-Saffarini al-Hambali (wafat 1118H) dalam karyanya غذاء الألباب في شرح منظومة الآداب

Beliau mencatatkan :
حَكَى صَاحِبُ الزَّوَاجِرِ وَغَيْرُهُ مِنْ الْأَئِمَّةِ الْمُعْتَبَرِينَ أَنَّ رَجُلًا حَجَّ...

Terjemahan : Pengarang al-Zawajir (iaitu al-Hafiz Ibn Hajar al-Haithami. Wafat 807H) dan imam-imam muktabar yang lain meriwayatkan bahawa [seorang] lelaki telah [pergi menunaikan] haji...(hingga ke akhir kisah seperti yang diceritakan si ustaz)

Cerita ini juga dimuatkan Imam al-Zahabi (wafat 748H) dalam kitab al-Kaba'ir (الكبائر) yang dinisbahkan kepada beliau, dan al-Hafiz Ibn Abi al-Dunya (wafat 281H) dalam karyanya, Kitab al-Qubur. 

Walaupun jalan cerita yang dinukilkan oleh para ulama ini ada perbezaan, namun elemen yang menjadikannya isu (dialog antara orang hidup dan orang mati, dan Barahut lokasi roh-roh orang-orang kafir), wujud dalam kesemua penceritaan mereka.

Al-Hafiz Ibn Abi al-Dunya umpamanya mencatatkan :

حدثنا الحسن بن عبد العزيز ثنا عمرو بن أبي سلمة عن عمر بن سليمان قال : "مات رجل من اليهود وعنده وديعة لمسلم، وكان لليهودي ابن مسلم فلم يعرف موضع الوديعة فأخبر شعيبا الجبائي فقال : إإت برهوت، فإن دونه عين تسبت، فإذا جفت في يوم السبت فامش عليها حتى تأتي عينا هناك فادع أباك، فإنه سيجيبك فاسأله عما تريد". ففعل ذلك الرجل، ومضى حتى أتى العين فدعا أباه مرتين، أو ثلاثا فأجابه فقال : "أين وديعة فلان؟"، قال : تحت أسكفة الباب، فادفعها إليه والزم ما أنت عليه".
 
Terjemahan : Telah menceritakan kepada kami al-Hasan Ibn Abdul Aziz, [beliau berkata] telah menceritakan kepada kami Amru Ibn Abi Salamah, [yang memetik] daripada Umar Ibn Sulaiman [bahawa] dia berkata, "seorang lelaki Yahudi telah mati, dan dia ada [menyimpan] wadi'ah (barang yang diamanahkan untuk dijaga) seorang muslim. 

Lelaki Yahudi [tersebut] mempunyai  seorang anak lelaki muslim, namun beliau (anak Yahudi yang muslim) tidak tahu tempat wadi'ah [disimpan]. 

Lalu beliau memberitahu [hal itu] kepada Syuaib al-Juba'ie, lantas [Syuaib al-Juba'ie] berkata, "pergilah ke [telaga] Barahut, dan sesungguhnya sebelumnya [ada] mata air yang tenang. 

Apabila ia kering pada hari Sabtu, lintasilah ia (kawasan mata air yang sudah kering) sehingga kamu sampai kepada satu mata air di sana, dan [di sana] serulah ayahmu. Sesungguhnya, dia akan menyahut [seruan]mu, maka tanyalah dia tentang apa yang kamu mahu". 

Si lelaki [tadi] melakukan [apa yang disarankan Syuaib al-Juba'ie], dan bergerak sehingga sampai kepada mata air [yang dinyatakan]. Lalu [sebaik tiba] beliau menyeru ayahnya dua kali atau tiga [kali]. 

Lantas ayahnya [yang telah mati] menjawab [seruan]nya, lalu beliau bertanya [ayahnya], "di manakan wadi'ah si fulan?". [Ayahnya] menjawab, "di bawah ambang pintu. Serahkannya (wadi'ah) kepadanya (empunyanya), dan [hendaklah] kamu kekal di atas keadaan kamu [sekarang ini-iaitu kekal di atas Islam]"

Imam Zahabi  
    
Adapun cerita versi ustaz seleberiti tadi, ia bersumberkan kitab al-Kaba'ir, yang dinisbahkan kepada Imam al-Zahabi. 

Ia seperti berikut :

حكي أن رجلا من الأغنياء حج إلى بيت الله الحرام، فلما وصل إلى مكة أودع من ماله ألف دينار عند رجل كان موسوما بالأمانة والصلاح إلى أن يقف بعرفات، فلما وقف بعرفات ورجع إلى مكة وجد الرجل قد مات، فسأل أهله عن ماله علم أنه لم يكن لهم به علم.
فأتى علماء مكة فأخبرهم بحاله وماله، فقالوا له : "إذا كان نصف الليل فأت زمزم وانظر فيها وناد "يا فلان" باسمه، فإن كان من أهل الجنة فسيجيبك بأول مرة، فمضى الرجل ونادى في زمزم فلم يجبه أحد، فجاء إليهم وأخبرهم فقالوا : "إنا لله وإنا إليه راجعون، نخشى أن يكون صاحبك من أهل النار.
اذهب إلى أرض اليمن ففيها بئر يسمى برهوت يقال أنه على فم جهنم، فانظر فيه بالليل وناد "يا فلان"، فإن كان من أهل النار فسيجيبك منها، فمضى إلى اليمن وسأل عن البئر فدل عليها فأتاها بالليل ونظر فيها ونادى "يا فلان" فأجابه فقال : "أين ذهبي؟" قال : "دفنته في الموضع الفلاني من داري ولم ائتمن عليه ولدي، فأتهم واحفر هناك تجده"، فقال له : "ما الذي أنزلك هاهنا وكنا نظن بك الخير؟" فقال : "كان لي أخت فقيرة هجرتها وكنت لا أحنو عليها فعاقبني الله سبحانه بسببها وأنزلني الله هذه المنزلة".

Terjemahan : Diriwayatkan bahawa seorang lelaki kaya telah pergi [menunaikan] haji di Baitullah al-Haram. Tatkala sampai di Mekah, beliau menyerahkan [sebanyak] seribu dinar kepada seorang lelaki yang dikenali dengan [sifat] amanah dan kesolehan [supaya menjaga hartanya itu] sehingga [beliau selesai] wukuf di Arafah. 

Setelah berwukuf di Arafah dan kembali ke Mekah, beliau mendapati lelaki [tadi] telah mati. Lalu beliau bertanya keluarganya tentang hartanya [yang ditinggalkan kepada si lelaki].[Akhirnya] beliau [mendapat] tahu bahawa mereka tidak mengetahuinya. 

Lalu beliau [pergi] menemui ulama-ulama Mekah dan menceritakan kepada mereka [tentang] situasi dan hartanya [yang tidak diketahui dimana berada]. 

Lalu mereka [para ulama Mekah] berkata kepadanya, "apabila [tiba] pertengahan malam, [kamu] pergilah ke [telaga] Zam Zam, dan lihatlah ke dalamnya, dan serulah 'wahai di fulan' dengan [menyebut] namanya. Jika dia [tergolong] dari [kalangan] ahli syurga, nescaya dia akan menyawab [seruan]mu itu dengan sekali seru [sahaja]. 

Lantas, si lelaki pergi [ke telaga Zam Zam] dan menyeru [nama si mati] di [telaga] Zam Zam, tetapi tiada seseorang pun menjawab [seruan]nya. 

Lalu beliau datang [semula] kepada mereka [para ulama], dan menceritakan [apa yang berlaku], lantas mereka berkata, "inna lillah wa inna ilaihi raji'un, kami bimbang rakan mu itu (si mati) [tergolong] dari [kalangan] ahli neraka! 

Pergilah ke negeri Yaman kerana di sana [terdapat sebuah] telaga yang dinamakan Barahut, [yang] dikatakan bahawa ia terletak di mulut [neraka] Jahannam. Lihatlah ke dalamnya (telaga Barahut) pada waktu malam, dan serulah 'wahai si fulan'. 

Jika dia dari [kalangan] ahli neraka, maka dia akan menyahut [seruan]mu dari dalamnya (perigi Barahut)". 

Lalu beliau pergi ke Yaman dan bertanya tentang telaga tersebut, lantas ditunjukkan kepadanya [lokasinya].

Lalu, beliau mengunjunginya pada waktu malam lantas [sebaik tiba] beliau merenung ke dalamnya dan menyeru 'wahai si fulan'. Lantas dia (si mati) menjawab [seruan]nya, lalu beliau bertanya, "di mana [wang] emasku [kamu letakkan]?". 

Dia (si mati) menjawab, "aku menanamnya di tempat sekian-sekian di [kawasan] rumahku. Aku tidak mengamanahkannya kepada anakku [agar dia menjaganya selepas kematianku].

Maka, pergilah [kamu menemui] mereka (keluargaku), dan galilah di sana, nescaya kau akan menemuinya (wang emas)". 

Beliau bertanya kepadanya (si mati), "apakah yang telah menempatkan kamu di sini (telaga Barahut), sedangkan kami menyangka kamu orang yang baik?". 

Dia menjawab, "aku mempunyai seorang saudara kandung perempuan yang fakir. Aku tidak bertegur sapa dengannya dan tidak mengasihinya, maka Allah menghukumku disebabkannya (disebabkan sikapku terhadapnya) dan menempatkanku pada kedudukan ini!".

Yang menariknya, sebaik sahaja menukilkan cerita ini, pengarang al-Kaba'ir terus memberi komentar berikut : 

و تصديق ذلك في الحديث الصحيح قوله صلى الله عليه و سلم : [ لا يدخل الجنة قاطع ] يعني قاطع رحم كالأخت و الخالة و العمة و بنت الأخت و غيرهم من الأقارب فنسأل الله التوفيق لطاعته إنه جواد كريم   

Terjemahan : Perakuan [kepada yang sedemikian] itu [terdapat] dalam [sepotong] hadis sahih, iaitu sabda [Nabi] sallallahu 'alaihi wasallam [yang berbunyi], "tidak masuk syurga orang yang memutuskan]", yakni orang yang memutuskan [hubungan silatur] rahim, seperti saudara kandung perempuan, adik beradik perempuan ibu (ibu saudara sebelah ibu), adik perempuan bapa (ibu saudara sebelah bapa), anak perempuan [kepada] saudara kandung perempuan (anak saudara perempuan) dan kaum kerabat yang lain. 

Kita bermohon kepada Allah [agar memberi] taufik [kepada kita] untuk mentaatinya. Sesungguhnya Dia Maha Pemurah".

Cerita dan komentar yang sama juga dirakamkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Haithami dalam al-Zawajir .

Namun, berdasarkan konteks ayat, maksud 'perakuan [kepada yang sedemikian] itu [terdapat] dalam [sepotong] hadis sahih...', ialah 'hakikat bahawa orang yang memutuskan hubungan silaturahim, tidak masuk syurga', diperakui oleh hadis sahih yang dinyatakan. 

Komentar ini tidak bermaksud bahawa kebenaran keseluruhan cerita yang dikisahkan ini diperakui oleh hadis sahih tersebut.

Natijah

Natijah penting daripada paparan ini ialah cerita kontroversi ini bukan hanya dinukilkan oleh kitab al-Kaba'ir, yang dikatakan dikarang oleh Imam al-Zahabi itu.

Selain beliau, ia turut dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Abi Dunya, al-Hafiz Ibn Hajar al-Haithami, Imam al-Saffarini dan ulama-ulama muktabar lain seperti yang dinyatakan Imam al-Saffarini sendiri.

Sekali lagi ditegaskan, artikel ini tidak bermaksud mengajak sesiapa menerima, atau menolak cerita nukilan ulama-ulama muktabar ini.

Objektif tulisan ini ialah memberi sumbangan-setakat termampu-dalam pengukuhan manhaj interaksi yang tepat dengan sebarang isu, terutamanya isu-isu agama.

Setelah isu ini disoroti melalui jendela manhaj yang dicadangkan artikel ini, kemudian diusahakan kritikan ilmiah ke atasnya, terpulanglah kepada setiap individu untuk menerima atau menolaknya.

Namun, tindakan memutuskan cerita ini sebagai batil, dan menghukum ustaz berkenaan sebagai 'qussas' atau panglipulara, semata-mata kerana membawa cerita yang asing pada penilaian sendiri, ia sepatutnya tidak berlaku.

Bagi yang berminat mencari kata putus berhubung kesahihan cerita ini, persoalan tentang 'kebarangkalian berlaku dialog antara orang yang masih hidup dengan orang yang telah mati', serta kesahihan sanad cerita ini-seperti yang dicatatkan al-Hafiz Ibn Abi Dunya, perlu diputuskan terlebih dahulu.

Dalam kitab al-Muwafaqat, Imam Syatibi ada memaparkan huraian tentang beberapa kaedah tentang karamah al-auliya' yang mungkin boleh membantu.  

Wallahu a'lam.

8 comments:

  1. Salam.

    Tasdiq AzZahabi membenarkan makna riwayat ini dengan membawa riwayat sahih yang lain. Daifnya riwayat dengan Sighah tamridh ni sehingga kena bawa riwayat sahih yang lain.

    Tanaqudh juga, adakah memutuskan silaturahim jadi kufur 'anilmillah?

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam w.b.t
    1. Dengan ini, tercapailah maksud artikel ini ditulis...iaitu, mengambil pendirian terhadap sesuatu berdasarkan kritikan ilmiah..:)
    2. Petanda lain yg menyokong kemungkinan cerita ini tdk terdapat dlm kitab asal al-Kabair karangan Imam Zahabi, ialah Imam Saffarini (wafat 1118H) tdk menyebut nama Imam Zahabi (wafat 748H) sbg salah seorg yg menukilkan cerita ini, sebaliknya hanya meyebut 'pengarang al-Zawajir dan ulama2 muktabar yg lain'...
    3. Isu tanaqudh : Ya, isu ini antara yg boleh digunakan utk mengkritik cerita ini. Perlu diambil kira juga soal 'siyaqul kalam', yg kdg2 disebut sesuatu, tp mewakili perkara lain. Seperti ilmu tauhid...dinamakan sedemikian krn ia adalah asas, namun soal2 akidah yang lain disertakan sekali, secara 'tab'an' atau berangkaian. Wallahu a'lam.

    ReplyDelete
  3. (sambungan)
    4. Langkah seterusnya ialah mengusahakan kritikan ilmiah terhadap nukilan al-Hafiz Ibn Abi Dunya, al-Hafiz al-Haithami, Imam al-Saffarini, juga Imam al-Samarqandi dlm Tanbihul Ghafileen yg menukilkan cerita ini dgn sanad beliau sendiri.
    Wallahu a'lam. Wa jazakumullah khairal jaza'...

    ReplyDelete
  4. Terima kasih di atas sumbangan tulisan ini, semoga ada pihak dapat menginsafi diri di atas tindakan terburu- buru memperlekehkan orang lain!!

    ReplyDelete
  5. assalam..saya pernah dengar arwah nenek saya bercerita tentang roh2 org yg meninggal dunia boleh dipanggil di satu telaga di mekah tapi tak disebut telaga mana,.masa nenek saya berhaji di tahun 1964 dulu,masa tu haji naik kapal laut.

    ReplyDelete
  6. KALAU SAPA2 PECAYA CITER OSTAD DR ZULKIFLI DAN OSTAD DON, BOLEH LAH PEGI TENGOK NASIB ARWAH NENEK MOYANG MASING2 SAMADA IN HELL OR HEAVEN.
    KALAU HEAVEN, IKUTLAH CARA HIDUP ATAU MANHAJ MEREKA, GERENTI SELAMAT.
    KALAU INI TALBIS IBLIS, NASIB KAMU LE, SAPA SURUH PECAYA.

    YG AUTA - PROFESSOR KANGKUNG BELACAN.

    ReplyDelete
  7. Assalamu'alaikum
    terdapatkah kitab2 turath yang lain menceritakan tentang telaga barahut dan silaturrahim?

    ReplyDelete
  8. Ada. Tp x ingat pulak nama kitab tu. Sy dgr kuliah utz Saari suatu mlm setahun dual yg lepas di Misbah al-Falah, Parit Panjang, Baling, Kedah. Kalau tak puas hati bolehlah dtg jumpa beliau utk muzarakah.

    ReplyDelete