Monday 28 April 2014

Santai : Ibnu Abbas 'lawan' Kaisar Rom

Kaisar Rom (Raja Rom) mengutus sepucuk surat kepada Syaidina Muawiyah r.a (602-680H).

Dalam surat tersebut, Kaisar mengajukan beberapa soalan yang mencabar minda.

Tulis Kaisar, "beritahu kepadaku, apakah yang tidak mempunyai kiblat?

Siapakah yang tidak mempunyai ayah?

Siapakah yang tidak mempunyai kaum kerabat?

Siapakah yang kuburnya membawanya berjalan?

Apakah tiga benda yang tidak diciptakan di dalam rahim?

Apakah ‘yang bernilai’, apakah ‘separuh bernilai’ dan apakah ‘langsung tidak bernilai’?

Hantar kepadaku jawapan di dalam bekas kaca ini dengan ‘benih segala sesuatu’”!

Muawiyah r.a segera menghantar surat Kaisar itu kepada Abdullah Ibn Abbas r.a (Ibnu Abbas) bagi mencari jawapan.

Ibnu Abbas r.a berkata :

"Adapun yang tidak mempunyai kiblat, ia adalah ka’abah,

Yang tidak mempunyai ayah, ialah Isa bin Maryam [Nabi Isa],

Yang tidak mempunyai kaum kerabat, ialah Nabi Adam,

Orang yang ‘kubur’nya membawanya berjalan, ialah Nabi Yunus [yang di telan ikan].

Adapun tiga benda yang tidak diciptakan di dalam rahim, ia adalah kibas [biri-biri] Nabi Ibrahim [yang dicipta Allah untuk disembelih setelah nyata Baginda tekad menyembelih anaknya seperti yang diperintahkan Allah], unta Nabi Soleh [yang keluar dari batu], dan ular Nabi Musa [yang asalnya sebatang tongkat].

Sementara ‘yang bernilai’ ialah manusia yang memiliki akal dan menggunakannya...

‘separuh bernilai’ ialah seorang yang tidak mempunyai buah fikiran, tetapi menggunakan buah fikiran orang-orang yang bijak...

dan ‘langsung tidak bernilai’ ialah orang yang tidak mempunyai buah fikiran, dan tidak pula menggunakan buah fikiran orang lain!".

Kemudian, Ibnu Abbas r.a mengisi air ke dalam bekas kaca yang diberikan, sambil berkata "inilah benih segala sesuatu". [Firman Allah (Al-Anbiya’ : 30) : “Dan kami jadikan daripada air tiap-tiap benda yang hidup”].

1 comment:

  1. Salam ustaz. Apa maksud 602-608H yg disandarkan pd sy muawiyah itu?

    ReplyDelete