Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin |
Kenyataan terbaru Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin (IM), Dr Muhammad Badi' sangat menarik.
Aljazeera melaporkan, beliau berkata, IM tidak bercadang untuk 'mengislamkan' Mesir. Menurut beliau, pendirian ini diambil kerana Mesir memang sebuah Negara Islam.
Justeru, proses 'pengislaman', atau menjadikan Mesir sebagai sebuah Negara Islam, tidak diperlukan. Kerana ia sudah sedia Islam dan berstatus Negara Islam.
Pendirian ini -secara tidak langsung- memperlihatkan sikap IM terhadap status negara Mesir. Iaitu, ia sebuah negara Islam.
Nampaknya, pada pandangan IM, ketiadaan perlaksanaan hudud serta ajaran-ajaran Islam yang lain, tidak menghilangkan status 'Negara Islam' sesebuah negara milik umat Islam.
Sebagaimana yang dimaklumi, seperti negara-negara umat Islam yang lain, Mesir juga tidak melaksanakan hudud.
Kepekaan IM
IM nampaknya peka terhadap persepsi negatif masyarakat umum terhadap konsep Negara Islam. Iaitu ia sebuah negara autokratik yang memerintah di atas nama tuhan. Sama seperti negara-negara Eropah di kurun pertengahan, yang diperintah oleh institusi gereja.
Negara Islam juga, seperti yang bersarang dalam kepala banyak pihak, adalah negara ala Taliban, Iran atau Arab Saudi, yang dilihat akrab dengan pendekatan keras dan mengongkong.
Oleh sebab ini, sejak awal-awal lagi IM mengelak daripada membuat pengisytiharan penubuhan Negara Islam di Mesir.
IM menyedari-disebabkan faktor persepsi negetif ini-laungan keinginan menegakkan Negara Islam, akan mendatangkan beban ke atas pertubuhan itu.
Laungan ini menuntut IM menjelaskan hakikat sebenar konsep Negara Islam. Ia juga menagih daripada IM agar menerangkan perbezaan Negara Islam dengan negara autokratik.
Dengan laungan ini, IM juga perlu bekerja keras menerangkan bahawa Negara Islam yang mahu ditubuhkannya, tidak sama dengan negara ala Taliban, Iran atau Arab Saudi. Malah, IM mungkin juga akan ‘dipaksa’ menerbitkan dokumen Negara Islam!
Dalam keadaan ketiadaan model yang jelas tentang Negara Islam yang boleh diterima oleh masyarakat semasa, tugasan-tugasan di atas bukan mudah. Disamping ia memerlukan masa, yang sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih bermakna.
Namun, dengan pengisytiharan Mesir sebagai Negara Islam, kesemua beban ini dapat dielakkan.
Agenda Islam
Pengisytiharan ini sebenarnya tidak akan menghalang IM dari melaksanakan agenda Islam di Mesir jika ia memerintah negara itu. Kerana Negara Islam dengan makna menyeluruh, secara umumnya tidak bertentangan dengan mana-mana negara sivil, kecuali dalam soal kanun jenayah.
Ketelusan, keadilan, mengutamakan rakyat, integriti, kebajikan sosial, kesemuanya tuntutan Islam yang besar. Dan inilah tuntutan masyarakat sedunia.
Dengan pendirian ini, IM memperlihatkan ketangkasannya membaca realiti semasa.
Kepekaan IM terhadap realiti telah menyelamatkannya terjebak dalam kesilapan yang dilakukan oleh sesetengah pergerakan Islam. Iaitu, sejak awal-awal lagi bermati-matian melaungkan keazaman menegakkan Negara Islam, tanpa mengambil kira realiti semasa.
Akibat kegagalan membaca realiti, akhirnya, cita-cita penubuhan Negara Islam itu terpaksa ‘disembunyikan’, dan ditutup dengan nama dan agenda-agenda lain yang bersifat sejagat.
Ini adalah sebahagian daripada feqh siyasi yang ditampilkan oleh IM.
InsyaAllah, pada hari-hari mendatang, pergerakan Islam induk itu akan terus mempamerkan aksi politiknya yang boleh menjadi panduan kepada pergerakan-pergerakan Islam di serata dunia.
No comments:
Post a Comment