Bagi yang membaca karya-karya Syaikh Yusuf al-Qaradhawi,
mereka arif tentang pandangan beliau berhubung hukum berjabat tangan antara
lelaki dan wanita yang bukan muhrim.
(NOTA : Ungkapan yang tepat ialah 'mahram', bukan 'muhrim'. Tapi digunakan ungkapan 'muhrim' kerana meraikan kebiasaan masyarakat)
Qaradhawi tidak sependapat dengan jumhur
(majoriti) ulama dalam soal ini.
Bagi jumhur ulama, wanita tidak dibenarkan
berjabat tangan dengan lelaki bukan muhrim. Begitu juga sebaliknya
.
Kecualilah kalau berjabat tangan dengan lelaki
atau wanita yang sudah tua, atau dengan kanak-kanak kecil. Jumhur ulama
membolehkannya.
Mengapa perkara ini tidak dibolehkan?
Illah tegahan
Jawapan mudahnya begini...
Ini adalah soal etika.
Soal protokol seorang Islam.
Sama seperti masuk ke parlimen dengan baju yang
tidak berkolar. Mengapa ia tidak dibolehkan? Mencemar kemuliaan institusi parlimen kah? Atau
biadabkah masuk parlimen dengan baju tidak berkolar?
Tidak.
Ini soal etika.
Begitu juga soal berjabat tangan dengan orang
bukan muhrim.
Ini jawapan mudah.
Jawapan yang lebih ilmiah begini...
Islam datang kerana hendak menjaga lima perkara
asas kehidupan manusia. Agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Semua agama
memelihara dan menjaga lima teras ini.
Antara cara menjaga keturunan ialah dengan
menghalang penzinaan. Bukan sahaja zina yang dihalang. Semua perkara yang
membawa kepada zina, turut ditegah.
Sama seperti jenayah bunuh.
Bukan membunuh sahaja yang ditegah. Menyimpan
pistol pun turut dikenakan hukuman berat. Walaupun sekadar simpan dalam almari,
ia tetap salah, kerana ia boleh membawa kepada jenayah bunuh.
Demikianlah halnya berjabat tangan.
Berjabat tangan antara lelaki dan wanita (terutama
yang muda) boleh merangsang nafsu. Nafsu bila sudah terangsang, akan ‘menunggang’
manusia kepada zina.
Dengan sebab itulah, dibolehkan berjabat tangan
dengan lelaki atau wanita tua. Sebab nafsu kebiasaannya tidak terangsang bila
bersentuhan dengan lelaki atau wanita tua.
Inilah falsafah di sebalik tegahan berjabat tangan
antara lelaki dan wanita bukan muhrim.
Ia ditegah bukan kerana ‘rasa tidak percaya’
kepada orang yang bukan muhrim.
“Ah, aku berjabat tangan dengan wanita, tak terasa
apa-apa pun”, dakwa seorang lelaki.
Kata-kata seperti ini tidak boleh diterima.
Ia sama dengan kata-kata mat rempit bila ditegah
memandu laju kerana menyebabkan kemalangan, “ah, dah bertahun aku merempit
laju, tak kemalangan pun!”.
Kolot
Prinsipnya, sesuatu yang berpotensi membawa kepada
sesuatu yang ditegah atau bahaya, ia mesti ditegah meskipun bahaya belum
berlaku. Begitu juga soal berjabat tangan dengan bukan muhrim ini.
Jika begitulah falsafahnya, tidak wajar sama
sekali dianggap kolot orang yang tidak mahu berjabat tangan dengan bukan
muhrim.
Ini kerana, keengganan mereka berjabat tangan
dengan bukan muhrim ada falsafah dan pemikirannya yang tersendiri.
Kalau kita masih mahu mengatakannya kolot, maka
kita kena buktikan bahawa ‘bersentuhan antara lelaki dan wanita boleh
membangkitkan nafsu’, adalah kepercayaan kolot.
Hendaklah dibuktikan kaedah ‘sesuatu yang
berpotensi membawa kepada sesuatu yang ditegah atau bahaya, ia mesti ditegah
meskipun bahaya belum berlaku’, adalah kaedah kolot.
Jika falsafah, pemikiran dan kaedah yang
dinyatakan ini berjaya dibuktikan sebagai kolot dan tidak tepat, barulah kita
boleh mengatakan ‘tidak berjabat tangan dengan bukan muhrim’ sebagai kolot.
Perkara ini disebut bagi memupuk rasa hormat
kepada pendapat dan pegangan orang lain.
Kalau kita boleh hormat tegahan memakai baju tidak
berkolar dalam parlimen, walaupun harganya ratusan ringgit, mengapa kita tidak
boleh hormat pegangan yang bersandarkan pendapat jumhur ulama?
Pandangan Qaradhawi
Apa pula pandangan Qaradhawi?
Pada beliau, diharuskan berjabat tangan dengan
bukan muhrim dengan dua syarat.
Pertama, adanya keperluan. Kedua, aman daripada
fitnah.
Ia dibolehkan kerana beliau mendapati hadis yang
menegah lelaki menyentuh wanita (termasuk berjabat tangan) tidak terbukti
kesahihannya.
Beliau juga berdalilkan dengan hadis yang diriwayatkan
Anas bin Malik r.a. Beliau meriwayatkan :
إِنْ كَانَتِ الأَمَةُ مِنْ
إِمَاءِ أَهْلِ المَدِينَةِ، لَتَأْخُذُ بِيَدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَتَنْطَلِقُ بِهِ حَيْثُ شَاءَتْ
Terjemahan : Mana-mana hamba wanita di Madinah
boleh saja memegang tangan Nabi s.a.w dan memimpin tangan Baginda kemana saja
yang dikehendakinya.
Hadis ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam
Sahihnya, bernombor 6072.
Selain menunjukkan sikap tawaduk Nabi s.a.w, hadis
ini juga menunjukkan bersentuhan tangan antara lelaki dan wanita bukan muhrim,
diharuskan jika tidak disertai nafsu.
Fatwa keharusan berjabat tangan dengan bukan
muhrim ini, beliau sembunyikan selama beberapa tahun bagi mengelakkan
kekeliruan orang ramai terhadap beliau.
Beliau juga mengatakan, ramai ulama masa kini
bimbang untuk mendedahkan kepada awam fatwa-fatwa mereka yang bercanggah dengan
pandangan dan pegangan umum masyarakat.
Beliau mendedahkan, beliau tidak berani
mendedahkan fatwa ini selama beberapa tahun lamanya. Beliau kemudiannya
menyiarkannya dalam bukunya, Fatawa Mu’asirah, juzuk kedua.
Sembunyi ilmu elak kekecohan
Sebenarnya,
tindakan menyembunyikan sesuatu pandangan atau fatwa kerana bimbang
kekeliruan dan kekecohan dalam masyarakat, ada sandarannya dalam syarak.
Imam Bukhari meriwayatkan (hadis bernombor 126),
Nabi s.a.w berkata kepada Aisyah r.a :
يَا عَائِشَةُ لَوْلاَ قَوْمُكِ حَدِيثٌ
عَهْدُهُمْ - قَالَ ابْنُ الزُّبَيْرِ - بِكُفْرٍ، لَنَقَضْتُ الكَعْبَةَ
فَجَعَلْتُ لَهَا بَابَيْنِ: بَابٌ يَدْخُلُ النَّاسُ وَبَابٌ يَخْرُجُونَ
Terjemahan : Wahai Aisyah, jika tidak [kerana]
kaum mu masih baru [meninggalkan] kekufuran, nescaya aku [akan] robohkan kaabah
dan membuat dua pintu [pada kaabah]; satu pintu [untuk] manusia masuk dan satu
pintu [untuk] mereka keluar”.
Nabi s.a.w tidak melakukan apa yang dinyatakannya
kerana bimbang kaum Quraisy yang baru memeluk Islam-yang sangat memuliakan
kaabah-salah sangka.
Daripada hadis ini dan hadis-hadis yang lain,
diasaskan kaedah ‘meninggalkan sesuatu demi mengelakkan kekacauan atau kekeliruan’.
*Ini adalah artikel lama (dengan sedikit penambahan) dari blog warisansemasa.blogspot.com sebelum bertukar menjadi warisan-semasa.blogspot.com
semoga kita bisa mengendalikan diri dari perbuatan yang dilarang Allah.
ReplyDelete