Al-Fadhil Us. Dr. Khairuddin |
Ada sesuatu yang menarik dalam tulisan terbaru
al-Fadhil Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali. Tulisan Setiausaha Dewan Ulama PAS
Pusat itu bertajuk ‘Hudud : Sila rujuk penegasan Presiden PAS’. Ia
disiarkan Harakahdaily.net pada 6 September 2012.
Dalam tulisan tersebut, sahabat saya itu membekalkan
satu maklumat baru tentang perjuangan PAS. Ia maklumat baru bagi individu
seperti saya.
Beliau mencatatkan, perjuangan PAS dalam melaksanakan hukum
hudud, merentasi dua peringkat.
Peringkat pertama ialah perjuangan memperundangkan
hudud dalam Perlembagaan Persekutuan. Peringkat kedua pula, ialah perlaksanaan
hudud itu sendiri. Iaitu setelah ia berjaya diperundangkan.
Maklumat baru di sini ialah kedudukan ‘memperundangkan
hudud dalam perlembagaan negara’, sebagai salah satu perjuangan PAS. Bukan
sekadar satu perjuangan. Lebih dari itu, ia satu perjuangan besar PAS!
Al-Fadhil sahabat seperjuangan saya itu menitipkan, “perjuangan
untuk memperundangkan hudud dalam perlembagaan negeri dan negara, adalah
perjuangan besar PAS apabila mendapat kuasa menerusi lunas demokrasi”.
Setelah perjuangan memperundangkan hudud ini berjaya,
barulah perbincangan tentang perlaksanaanya akan dimulakan. Justeru, isu
perlaksanaan hudud samada ia kondusif atau tidak, tidak berbangkit pada
peringkat pertama perjuangan hudud ini.
Menyatakan hal ini, ustaz Khairuddin yang diketahui
gigih berdakwah itu menegaskan, “adapun isu pelaksanaan undang-undang jenayah Islam termasuk Hudud,
sama ada kondusif atau pun tidak, boleh dilaksanakan atau tidak kerana berlaku
syubhat-syubhat, ia adalah perbincangan selepas ia diperundangkan dalam
perlembagaan dan bukan sekarang masa perbincangannya”.
Mengapa hudud?
Berhadapan maklumat baru ini, persoalan pertama yang
menerpa, ialah “mengapa memperundangkan hudud diangkat menjadi satu perjuangan
PAS yang besar?”.
Bukankah hudud hanya satu juzuk yang sangat kecil
dalam Syariat Islam? Ini diakui sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul
Hadi. Beliau pernah mengatakan, hudud hanyalah mewakili 0.001% daripada
keseluruhan Syariat Islam.
Hakikat ini boleh dilihat dengan jelas melalui
pembahagian hukum hakam syarak yang dilakukan
para ulama.
Syaikh Abdul Wahab Khalaf umpamanya, membahagikan
hukum hakam yang dinyatakan al-Quran kepada tiga kategori induk. Iaitu Hukum
Hakam Akidah, Hukum Hakam Akhlak dan Hukum Hakam Amali. Iaitu hukum hakam
berkaitan tindak tanduk manusia.
Hukum Hakam Amali ini pula terbahagi kepada dua
bahagian yang besar, iaitu Hukum Hakam Ibadat dan Hukum Hakam Muamalat
(transaksi).
Sementara itu, hukum
hakam Muamalat pula dipecahkan kepada 7 bahagian, iaitu Hukum Hakam
Kekeluargaan, Hukum Hakam Madani (sivil), Hukum Hakam Jenayah (hudud, qisas dan
takzir), Hukum Hakam Perundangan, Hukum Hakam Kenegaraan, Hukum Hakam
Antarabangsa dan Hukum Hakam Ekonomi (Abdul Wahab Khalaf (1998), Ilmu
Usul al-Feqh, Mansurah : Darul Kalimah, ms.34-35).
Pembahagian ini mempamerkan dengan jelas kedudukan
hukum hudud sebagai salah satu juzuk daripada ‘binaan’ hukum hakam Islam yang
besar, dan bukannya keseluruhan hukum hakam Islam itu sendiri.
‘Saiz’ hudud yang sangat kecil ini juga boleh dilihat
melalui nisbah ayat-ayat al-Quran berkenaan hudud (10 ayat), berbanding jumlah
keseluruhan ayat-ayat al-Quran (6,236 ayat). Iaitu 10 : 6,236.
Jika demikian, bukankah lebih tepat ‘memperundangkan
Syariat Islam’, yang mencakupi segenap aspek kehidupan manusia itu, dijulang
sebagai agenda perjuangan, bukannya mengangkat salah satu juzuknya yang sangat
kecil, iaitu hudud sebagai perjuangan besar parti?
Kesan buruk
Penekanan berlebihan terhadap hudud sebenarnya adalah
satu kepincangan!
Ini ditegaskan oleh Syaikh Yusuf al-Qaradhawi dalam
karyanya, Fi Fiqh al-Awlawiyyat : Dirasah Jadeedah Fi Dhau’i al-Quran Wa
al-Sunnah (2000) cet. pertama, Beirut : Muassasah al-Risalah.
Beliau mencatatkan (ms. 235) :
مما وقع فيه الخلل أن معظم
العاملين في الحقل الإسلامي ـ وبخاصة المتحمسون منهم ـ أعطوا عناية كبرى لقضية ما
أسموه "تطبيق الشريعة الإسلامية" يعنون الجانب القانوني من الشريعة، ولا
سيما في العقوبات: أي الحدود والقصاص والتعازير.
Terjemahan : Sebahagian daripada kepincangan yang
berlaku ialah, kebanyakan aktivis dalam arena Islam, terutamanya orang-orang
yang bersemangat dari kalangan mereka, memberikan perhatian yang paling besar
kepada apa yang mereka namakan ‘perlaksanaan Syariat Islam’, [dimana] yang
mereka maksudkan [dengan Syariat Islam itu ialah] aspek undang-undang Syariat,
terutamanya yang berkaitan hukuman iaitu hudud, qisas dan takzir”.
Selain ia suatu kepincangan, menurut Qaradhawi, ia
juga memberi kesan buruk kepada pemikiran Islam, gerak kerja Islam dan
pemikiran orang ramai. Selain ia menjadi bahan eksplotasi pihak musuh untuk
memburukkan Islam (ms.235-236).
Pemikiran al-Ghanoushi
Persoalan kedua yang berbangkit, ialah perlukah ‘memperundangkan
hudud’ dijadikan perjuangan yang besar?
Jawapan kepada persoalan ini boleh disaring daripada
pemikiran pemikir Islam terkenal, Syaikh Rashid al-Ganoushi, presiden Hizb
an-Nahdhah (HN) Tunisia.
Baru-baru ini, tercetus debat yang hangat di Tunisia.
Ia ekoran sikap HN terhadap Fasal Pertama dalam Perlembagaan negara itu.
Fasal tersebut menyebut, “Tunisia adalah negara
merdeka, bebas, bahasanya ialah Bahasa Arab dan agamanya ialah Islam”.
Di tengah-tengah desakan kuat aliran Salafiyyah agar
fasal tersebut dipinda, HN berkeras mengekalkannya tanpa sebarang pindaan.
Salafiyyah mendesak agar ia dipinda bagi memasukkan
perkara yang menyebut ‘Syariat Islam adalah sumber perundangan negara’.
Walau bagaimana pun, desakan ini ditolak oleh HN selaku parti politik yang
dominan dalam Kerajaan Tunisia.
Bagi menjustifikasikan penolakan HN ini, Ghanoushi antaranya
mengemukakan fakta bahawa semata-mata pernyataan sesuatu perkara dalam perlembagaan
negara, tidak memadai. Beliau menyebut contoh yang berlaku di Tunisia sendiri
pada zaman pemerintahan diktator Bourqiba.
Sebagai sebuah republik, perlembagaan Tunisia menyebut
tentang pengamalan konsep pengasingan kuasa di negara itu. Tapi, realitinya,
ketika menjadi presiden, Bourqiba juga mengetuai Majlis Kehakiman Tertinggi
Negara.
Contoh lain ialah perlembagaan Mesir dan Yaman.
Perlembagaan kedua-dua negara itu menyebut dengan
jelas Islam adalah sumber perundangan negara. Namun, soal Ghanoushi, adakah
rakyat kedua-dua buah negara tersebut, bebas daripada pemerintahan kuku besi?
Daripada deretan contoh-contoh ini, Ghanoushi menyimpulkan
bahawa memperundangkan sesuatu, atau mencatatkannya dalam perlembagaan
semata-mata, tidak memadai. Ini kerana, kesudahan perlembagaan itu terletak di
tangan manusia yang melaksanakannya.
Lihat saja Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu.
Ketika memerintah negeri itu (1999-2004), PAS berjaya
meletakkan al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias sebagai Undang-Undang Tubuh negeri
petroleum itu.
Sehingga kini, ketika Terengganu diperintah Barisan
Nasional (BN), al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias kekal sebagai Undang-Undang
Tubuh negeri yang sangat diidam-idamkan PAS itu.
Tapi, oleh kerana penggerak utama dalam proses
perlaksanaan undang-undang ialah manusia, seperti yang diutarakan oleh
Ghanoushi, dari segi perlaksanaan dan pengamalan Islam, Negeri Terengganu tidak
berbeza dengan negeri-negeri lain yang tidak menjadikan empat sumber hukum
Islam itu sebagai Undang-Undang Tubuh negeri masing-masing.
Awlawiyyat
Sebenarnya, untuk melaksanakan hudud di Malaysia tidak
memerlukan undang-undang khusus. Ini kerana, kedudukan Islam sebagai agama
rasmi negara, telah menyediakan ruang yang luas bagi perlaksanaan segala ajaran
Islam, termasuklah hudud.
Mengambil kira kedudukan Islam ini, pakar
undang-undang, Prof. Aziz Bari telah menegaskan bahawa hudud tidak bercanggah
dengan Perlembagaan Persekutuan. Hal yang sama pernah diutarakan oleh pakar
undang-undang PAS, Dato’ Mutalib Embong.
Oleh demikian, menyedari kedudukan hudud sebagai satu
juzuk yang sangat kecil dalam Syariat Islam, ditambah dengan hakikat ketidakmampuan
pewartaan undang-undang semata-mata dalam menjamin perlaksanaan hudud,
sesuaikah ‘memperundangkan hudud’ dijadikan sebagai satu perjuangan yang besar?
Realitinya, dalam menegakkan Islam (bukan hanya hudud
semata-mata), keutamaannya bukan pada memperundangkannya, terutamanya dalam sebuah
negara yang sudah mengangkat Islam sebagai agama rasmi negara.
Keutamaannya ialah apa yang dinyatakan oleh Imam Syaikh
Yusuf al-Qaradhawi, yang dianggap Syaikhul Islam di zaman ini itu.
Beliau mencatatkan (Madkhal Li Dirasah
al-Syariah al-Islamiyyah (1993), cet. pertama, Beirut : Muassasah
al-Risalah, ms.249) :
إن علينا – لكي ينجح
التشريع الإسلامي في حياتنا الجديدة - أن نهيىء له الفرد المسلم الذي يؤمن بعدالة
هذا التشريع، ويحتكم إليه راضيا مسلّما، والقاضي المسلم الذي يؤمن بقدسية هذا التشريع
ولا يتلاعب بنصوصه...والسلطة التنفيذية المسلمة التي تقوم على حراسة هذا التشريع
وتطبيقه، بلا محاباة ولا مداهنة ولا وهن.
Terjemahan : "Sesungguhnya, [satu kemestian] atas
kita-agar perundangan Islam berjaya [berperanan] dalam kehidupan kita masa
kini-menyediakan individu muslim yang meyakini keadilan perundangan ini
berhukum dengannya dengan redha dan sepenuh hati.
[Juga menyediakan] hakim muslim yang meyakini kesucian
perundangan ini dan tidak mempermain-mainkan nas-nasnya…[dan satu kemestian ke
atas kita menyediakan] kuasa eksekutif Islam yang memelihara perundangan ini
dan melaksanakannya tanpa pilih kasih, mengampu dan gentar”.
Sebagaimana yang jelas terpapar, tulisan ini berkisar
seputar awlawiyyat dalam perjuangan menegakkan Islam.
Ia juga berlegar sekitar keperluan penekanan terhadap
sesuatu hukum Islam itu, sepadan dengan kedudukannya dalam Syariat Islam. Tidak
boleh berlebihan daripada kadar sepatutnya.
Inilah yang tersurat dan tersirat, insyaAllah.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment