Ya
Allah, sampaikanlah kami ke pangkuan dan dakapan Ramadhan penuh rahmat.
Kerap
kali juga telinga kita dibelai lembut doa kudus ini, yang sering dialunkan
penuh syahdu di rumah2 Allah yang makmur.
Kita
jua tidak lupa mengutuskan ucapan selamat buat rakan dan taulan, sempena
persinggahan bahtera Ramadhan di pelabuhan umur kita yang kini telah retak di
sana sini.
Hari
ini, Ramadhan seperti mula gelisah dan tidak senang duduk di teratak usia kita
yang sememangnya sedang condong. Oh, mengapa gerangannya, Ramadhan yang budiman
gelisah dan sudah tidak betah.
Oh,
sedar tidak sedar, rupa-rupanya sudah setengah purnama tetamu nan mulia ini
singgah di halaman hidup kita yang comot dan semak dengan dosa dan nista.
Tataplah
wajah Ramadhan yang mulus, dan renunglah matanya sedalam-dalamnya. Bibirnya
sedang menguntum senyuman penuh makna buatmu, sambil matanya merenung tajam ke
arahmu.
Andai
dibedah senyuman seribu makna dan dibelek sebalik renungan tajamnya, yang ada
hanyalah satu permintaan agar kita bersendirian sejenak bersama diri masing2
dan bertanya...
"Wahai
diri, sepanjang setengah purnama Ramadhan berlabuh, apakah perubahan yang telah
membenih di alam diri...?
Wahai
diri, sejauh mana pula langkahmu di medan bacaan kitab kiriman tuhanmu...?
Wahai
diri, sepanjang manakah tanganmu menghulurkan sedekah dan amal jariah...?
Wahai
diri, seteguh manakah kakimu berdiri memakmurkan malam-malam penuh berkat, dan
seasyik manakah hatimu mengenang tuhanmu...?
Wahai
diri, sepanjang manakah langkahan kakimu mengorak langkah ke rumah-rumah
Allah...?"
Ramadhan
sudah gelisah dan mula tidak betah...
Namun,
kesempatan masih berbaki untuk mendakap rahmatnya dan beradu diribaan
maghfirahnya...
No comments:
Post a Comment