Wednesday 15 August 2012

Mati, lahir bulan Ramadhan, Syawal & kewajipan zakat Fitrah


Seorang sahabat FB bertanya tentang orang yang mati pada bulan Ramadhan. Adakah wajib dibayar zakat fitrah untuknya?

Katanya lagi, ada ustaz yang mengatakan, wajib dibayar zakat fitrah untuk orang yang mati pada bulan Ramadhan.

Jawapan kepada persoalan ini, terkandung dalam kata-kata Imam Nawawi radhiayallahu 'anhu dalam kitabnya, al-Minhaj.

Beliau berkata :
تجب بأول ليلة العيد في الأظهر،فتخرج عمن مات بعد الغروب دون من ولد

Terjemahan : "[Zakat fitrah menjadi] wajib dengan [kemunculan] malam pertama [hari] raya menurut [pendapat] yang paling zahir. Maka [wajib] dikeluarkan [zakat fitrah] untuk sesiapa yang mati SELEPAS tenggelam [matahari hari terakhir Ramadhan], tidak [keatas] sesiapa yang dilahirkan [selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan]"

Matan Minhaj di atas menyentuh tentang waktu wajib zakat Fitrah. Iaitu, saat kemunculan malam pertama Hari Raya Aidilfitri. Atau saat tenggelamnya matahari hari terakhir Ramadhan.

Dalil kepada penentuan waktu wajib zakat Fitrah ini ialah hadis Ibnu Umar dan Abu Sa'id al-Khudri. Kedua-dua hadis ini jelas menyandarkan zakat ini kepada Hari Raya Aidilfitri dengan menyebut زكاة الفطر

Oleh itu, sesiapa yang sempat melalui, atau mengalami peristiwa tenggelamnya matahari hari terakhir Ramadhan itu, maka wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Jelasnya, untuk mengalami peristiwa tenggelamnya matahari hari terakhir Ramadhan, seseorang itu mestilah hidup sebelum matahari hari tersebut tenggelam. Iaitu hidup pada hari terakhir Ramadhan.

Dari sini, ulama Mazhab Syafie mengatakan, syarat wajib zakat Fitrah ialah ‘sempat menemui kedua-dua bulan’, iaitu bulan Ramadhan dan bulan Syawal. Iaitu akhir bulan Ramadhan dan awal bulan Syawal. (Mughni al-Muhtaj karangan Khatib al-Syarbini, jil.5, ms.62)

Dalam matan di atas, Imam Nawawi  memberikan contoh bagi orang yang sempat menemui kedua-dua bulan, Ramadhan dan Syawal. Iaitu orang yang mati selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan. Atau mati pada malam raya.

Zakat Fitrah wajib ke atas si mati kerana beliau sempat menemui kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal.

Contoh bagi orang yang TIDAK sempat menemui bulan Ramadhan dan bulan Syawal sekaligus, ialah bayi yang dilahirkan selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan. Iaitu bayi yang dilahirkan pada malam raya.

Tidak wajib zakat Fitrah ke atas bayi ini kerana dia tidak sempat menemui kedua-dua bulan, Ramadhan dan Syawal. Sebaliknya, hanya sempat menemui bulan Syawal sahaja.

Kata kunci

Ringkasnya, kata kunci kepada permasalah ini ialah 'hidup dalam kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal'.

Oleh sebab itu :

i. Bayi yang dilahirkan selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan (atau  malam raya), tidak wajib zakat Fitrah ke atasnya.

Sebabnya, bayi tersebut hanya sempat bertemu dengan satu bulan sahaja, iaitu bulan Syawal.

ii. Isteri yang dikahwini selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan (atau malam raya), tidak wajib ke atas suaminya membayar zakat fitrah untuknya.

Sebabnya, wanita tersebut hanya menjadi isterinya hanya dalam satu bulan, iaitu bulan Syawal.

iii. Orang yang masuk Islam selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan (atau malam raya), tidak wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Sebabnya, orang tersebut hanya menjadi muslim dalam satu bulan sahaja, iaitu bulan Syawal.

iv. Orang yang fakir yang menjadi kaya selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan (atau malam raya), tidak wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Sebabnya, si fakir tersebut hanya berada dalam keadaan kaya dalam bulan Syawal sahaja. (Sabilal Muhtadin, jil.2, ms.222)

Dalam keempat-empat contoh di atas, kesemua individu terbabit tidak sempat menemui kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal.

Justeru, tidak wajib ke atas mereka zakat Fitrah.

Ditegaskan sekali lagi, kata kunci permasalahan ini ialah, 'hidup dalam kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal'.

Oleh itu :

i. Bayi yang dilahirkan sebelum Maghrib hari terakhir Ramadhan, kemudian mati beberapa minit selepas Maghrib (iaitu malam raya), wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Sebabnya, bayi tersebut sempat menemui kedua-dua bulan, Ramadhan dan Syawal walaupun dalam tempoh yang sangat singkat.

ii. Isteri yang dikahwini sebelum Maghrib hari terakhir Ramadhan, kemudian diceraikan selepas Maghrib hari tersebut (atau malam raya), wajib ke atas suami membayar zakat Fitrahnya.

Sebabnya, wanita tersebut sempat menemui bulan Ramadhan dan Syawal dalam keadaan menjadi isteri kepada si suami.

Pendapat salah

Difahami daripada penjelasan di atas, pendapat yang mengatakan bahawa orang yang mati pada bulan Ramadhan, wajib dikeluarkan untuknya zakat Fitrah, adalah pendapat yang tidak benar.

Sebenarnya, nama zakat itu sendiri jelas menunjukkan ketidakbenaran pendapat ini.

Ia dinamakan zakat al-Fitr kerana ia diwajibkan dengan sebab tibanya Hari Raya Aidilfitri (Mughni al-Muhtaj, jil.5, ms.61).

No comments:

Post a Comment