Sedarkah kita semua akan satu nikmat yang sangat besar
dikurniakan Allah kepada kita?
Bulan Ramadhan datang berkunjung, sedang kita masih
lagi bernyawa…
Itulah nikmat yang sangat besar…
Kesempatan bertemu bulan Ramadhan buat kesekian kali,
menganugerahkan kita peluang besar untuk mendahului orang lain ke syurga.
Dengarkanlah perkhabaran seorang sahabat Nabi s.a.w,
Talhah bin Ubaidillah r.a.
عن طلحةَ بنِ عبيد الله : أن رجلَيْن
من بَلِي - و هو حي من قضاعة - قتل أحدُهما في سبيل الله، وأُخِّر الآخرُ بعده سنةً
ثم مات، قال طلحة رضي الله عنه: فرأيْتُ في المنام الجنةَ فُتحتْ، فرأيْتُ الآخِرَ
من الرجلَيْن دخل الجنةَ قبل الأول، فتعجبْتُ. فلما أصبحْتُ ذكرْتُ ذلك، فبلغتْ رسولَ
الله صلى الله عليه وسلم، فقال لي رسولُ الله صلى الله عليه وسلم :"أليس قد صام
بعده رمضان و صلى بعده ستة آلاف ركعة، وكذا وكذا ركعة لصلاة السنة؟"
.
Terjemahan : Dari Talhah bin Ubaidillah r.a [beliau
menceritakan bahawa] dua orang lelaki [berasal] dari Baliy-sebuah penempatan
dari [suku] Qudha’ah-telah dibunuh salah seorang daripada mereka pada jalan Allah.
Sementara seorang lagi ditangguhkan [ajalnya oleh
Allah] selama setahun selepasnya, kemudian beliau pun mati. Talhah r.a berkata,
“aku melihat dalam tidur akan syurga yang dibuka [pintunya].
Aku melihat [lelaki] yang terakhir [mati] dari
kedua-dua lelaki tadi, masuk syurga [terlebih dahulu] sebelum lelaki yang
pertama [yang terlebih dahulu mati].
Lantas aku merasa hairan [kerana orang yang mati biasa,
memasuki syurga terlebih dahulu berbanding orang yang mati syahid]. Tatkala
waktu pagi, aku menyebut perkara itu dan ia [kemudiannya] sampai kepada
Rasulullah s.a.w.
Lantas Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku, “bukankah
dia [lelaki yang mati kemudian] telah berpuasa Ramadhan selepasnya (lelaki yang
mati terlebih dahulu) dan bersolat selepasnya [sebanyak] 6,000 rakaat dan
sekian banyak rakaat solat sunat?”.
Menurut Albani dalam Silsilah al-Sahihah, jil.
6, ms.176, hadis ini hadis sahih.
Peluang
Sesungguhnya, kehadiran Ramadhan adalah peluang yang
tidak kepalang besarnya…
Peluang untuk diampunkan segala dosamu…
Peluang untuk dibebaskan tengkukmu dari api neraka…
Lantaran, pada setiap malam Ramadhan, ada yang akan
dibebaskan daripada api neraka.
Justeru, layaklah orang yang sempat menemui Ramadhan,
tetapi tidak diampunkan dosa-dosanya-lantaran alpa dan lalai-didoakan kecelakaan
untuknya oleh malaikat Jibril, dan diaminkan oleh Nabi Muhammad s.a.w!
Ya Allah…doa yang sangat ‘dahsyat’…
Doa yang dilafazkan oleh bukan sahaja seorang
malaikat, tetapi malaikat yang paling hampir dengan Allah.
Lebih menggerunkan, diaminkan oleh makhluk yang paling
mulia di sisi Allah, Muhammmad s.a.w!
عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول
الله صلى الله عليه وسلم صعِد المنبرَ فقال : "آمين آمين آمين"،
قيل : "يا رسولَ الله، إنك صعدْتَ
المنبرَ فقلتَ : "آمين آمين آمين". فقال : "إن جبريل عليه السلام أتاني
فقال : "من أدرك شهرَ رمضان فلم يُغفَرْ له فدخل النار فأبعده الله،
قل : آمين" فقلتُ : "آمين"
Terjemahan : Dari Abu Hurairah r.a [beliau bercerita]
bahawa Rasulullah s.a.w menaiki mimbar, lantas berkata, “amin, amin, amin”.
Dikatakan [kepada Baginda] , “wahai Rasulullah, Tuan
telah menaiki mimbar lantas Tuan berkata, “amin, amin, amin”.
Lantas Baginda [menjelaskan dengan] berkata,
“sesungguhnya Jibril a.s datang menemuiku lalu berkata, “sesiapa yang menemui
bulan Ramadhan, tetapi tidak diampunkan baginya [dosa-dosanya], maka masuk
neraka dan Allah menjauhkannya. Katakanlah “amin” [wahai Muhammad]. Maka aku
pun berkata, “amin”.
Menurut Albani (Sahih al-Targhib Wa al-Tarhib,
jil.2, ms.138), hadis ini bertaraf ‘hasan sahih’, dan direkodkan oleh Ibnu
Khuzaymah dan Ibnu Hibban dalam Sahihnya.
Kalau tidak di Ramadhan, bilakah lagi?
Kalau kita masih tidak diampunkan di bulan Ramadhan,
maka bilakah lagi?
Andai kita masih belum mampu ‘memasuki’ syurga di
bulan Ramadhan, sedang pintunya terbuka luas di bulan ini, maka bilakah lagi?
Jika leher kita masih belum dibebaskan daripada neraka
di bulan Ramadhan, sedang setiap hari di bulan ini adalah peluang untuk bebas
daripada api neraka, maka bilakah lagi?
Justeru, jangan sekali-kali dirosakkan puasa dan
ibadat dengan maksiat.
Sebaliknya,hormatilah bulan ini selayaknya dan
ketahuilah nilai hari-hari Ramadhan yang terbatas ini...
Kerana barangkali ditulis bagi anda kebebasan daripada
api neraka di bulan yang mulia ini, maka berjayalah anda dengan kejayaan yang
besar…
Barangkali juga Ramadhan ini menjadi peluang terakhir
anda…
Berapa ramai orang yang dahulunya bersama kita di
Ramadhan yang lepas, tetapi tidak lagi bersama kita di Ramadhan kali ini.
Rebutlah Ramadhan, janganlah mengsia-siakannya...
No comments:
Post a Comment