Wednesday, 2 November 2011

Hukum 7 Orang Mengorbankan Seekor Lembu Dengan Niat Berbeza

Seperti yang dimaklumi, dalam ibadat korban, seekor lembu, kerbau atau unta, boleh dikongsi seramai 7 orang.

Jika kesemua 7 orang yang berkongsi sesekor lembu, menyembelih dengan niat melakukan korban, tidak timbul sebarang persoalan atau kemusykilan.

Persoalan mungkin timbul, jika tiada kesepakatan niat di kalangan 7 orang tersebut.
Sebagai contoh, salah seorang daripada mereka berniat melakukan akikah. Sebahagian yang lain pula, berniat membayar kifarat berkaitan ibadat haji. Sementara selebihnya berniat melakukan korban.

Adakah seekor lembu yang dikongsi oleh 7 orang itu, yang menyembelihnya dengan niat yang berbeza, dikira mengikut niat masing-masing?

Dalam erti kata lain, adakah seekor lembu yang disembelih itu, dikira sebagai akikah, korban dan kifarat sekaligus? 
Rumusan
Dalam Mazhab Syafie, penyembelihan seekor lembu, kerbau atau unta yang dikongsi oleh beberapa orang (tidak lebih dari 7 orang), dengan niat yang berbeza seperti akikah, korban dan kifarat, adalah dibolehkan.

Justeru, sembelihan tersebut dikira sebagai akikah, korban dan kifarat sekaligus.
Pendetailan
Syaikh Ibnu Hajar dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra menyatakan :
لو ذَبَحَ بدنةً أو بقرةً عن سبعةِ أسبابٍ منها ضحيةٌ وعقيقةٌ والباقي كفارات في نحو الحلق في النسك فيُجْزي ذلك
Terjemahan : "Jika [seseorang] menyembelih seekor unta atau lembu untuk tujuh sebab [atau niat], sebahagiannya [dengan niat] korban dan akikah, dan selebihnya [dengan niat membayar] kifarat kerana bercukur dalam ibadat haji sebagai contoh, maka memadai [yang demikian] itu".

Menjelaskan perkara yang sama, Syaikh Arshad al-Banjari dalam karyanya, Sabilal Muhtadin (jld.2, hlm.446, edisi rumi) mengatakan, "memadai seekor unta atau sapi atau kerbau untuk tujuh orang, baik yang tujuh orang itu menghendaki dijadikan korban atau sebagiannya saja".
Wallahu a’lam

No comments:

Post a Comment