Sunday 20 November 2011

Berkenalan dengan Fathullah Kolan, tokoh paling berpengaruh di dunia!

Fathullah Kolan
Tidak ramai yang mengenali Fathullah Kolan (juga ditulis Fethullah Gulen). Bahkan, ramai yang belum pernah mendengar nama ini.
Beliau anak kelahiran Turki. Memiliki pengikut yang ramai. Ada yang menganggarkan, pengikutnya di seluruh dunia mencecah 4 juta orang.
Satu pungutan suara telah dijalankan oleh majalah Prospect (Britain) dan majalah Foreign Pulse (Amerika Syarikat) pada Jun 2008 selama empat minggu berturut-turut.
Ia diadakan bagi memilih tokoh yang paling berpengaruh di dunia bagi tahun 2008.
Pungutan suara ini menyenaraikan 100 orang tokoh dari seluruh dunia dan dari pelbagai bidang kepakaran.
Para pembaca yang mengundi berjumlah lebih 500,000 orang.
Keputusan amat mengejutkan.
Para pembaca memilih Fathullah Kolan sebagai tokoh paling berpengaruh di dunia bagi tahun 2008!
Satu lagi kejutan ialah tokoh yang berada di anak tangga pertama hingga ke 10, kesemuanya beragama Islam.  Dua daripada mereka adalah pemegang Hadiah Nobel, iaitu Orhan Pamuk dari Turki, dan aktivis hak asasi Iran, Shirin Ebadi.
Latar belakang Kolan
Fathullah Kolan berjasa besar dalam memupuk pemikiran sederhana di kalangan pengikutnya.
Majalah Foreign Pulse dipetik sebagai berkata, “(Kolan seorang) cendiakawan Islam yang dianggarkan bilangan pengikutnya di seluruh dunia seramai berjuta-juta orang, dan mendapat reputasi yang baik dan buruk dalam masa yang sama...  
Kolan dianggap seorang pemimpin kerohanian oleh ahli-ahli pertubuhanya. Beliau memimpin mereka kepada prinsip-prinsip Islam yang sederhana. Adapun mereka yang tidak sehaluan, mereka menganggap beliau sebagai ancaman kepada sisem sekular di Turki”.
Sejak kecil lagi beliau mendambakan keamanan sejagat.
Ketika berumur 12 atau 13 tahun, beliau pernah memegang sebuah buku dengan sebelah tangan, sambil sebelah tangan lagi memegang peta dunia, sambil bermunajat  “wahai Tuhan, bagaimanakah kami boleh menjadi satu alam (dunia) yang diikat oleh satu cita-cita, kasih sayang dan ilmu, pada saat telah berlaku masalah kemasyarakatan di alam ini?”.
Demikianlah Fathullah Kolan berbicara. Bicaranya yang mengandungi impian yang maha besar bagi kemanusiaan sejagat.
Kolan bukan ahli politik. Pembawaan beliau lebih berbentuk kerohanian. Pendidikan beliau sendiri berlatarbelakangkan ajaran sufi apabila menjadi salah seorang pelajar Jemaah an-Nur.
Jemaah ini diasaskan oleh Sa’id Badiuzzaman al-Nursiy, tokoh yang menerapkan ajaran sufi di dalam ajaran dan pembawaannya.
Pada tahun 70-an, Kolan telah menubuhkan  pertubuhannya sendiri. Pertubuhan ini tertegak di atas asas kerohanian yang kukuh.
Meskipun pemikiran beliau berorientasikan pemikiran sufi, namun pemikiran beliau bersifat semasa. Ini dapat dilihat dari usaha beliau menubuhkan satu unit pendidikan bagi pertubuhan beliau pada tahun 1978.
Fungsi unit ini ialah mempersiapkan para pelajar bagi menghadapi peperiksaan kelayakan kemasukan ke universiti.
Di saat aktivis Islam pada masa itu menumpukan perhatian kepada sekolah-sekolah latihan Imam dan Khatib, Kolan memberi tumpuan kepada pendidikan akademik  bagi mengeluarkan generasi yang lengkap dengan pengetahuan semasa, disamping memiliki akhlak Islam.
Menyedari statusnya selaku seorang pemikir Islam yang hebat, saya pernah cuba membaca tulisan-tulisan beliau di laman web beliau.
Namun, malangnya, biarpun setelah ‘memaksa’ diri, saya gagal menghabiskan walaupun satu perenggan tulisan beliau!
Saya tidak tahu mengapa...
Tapi, jauh di sudut hati, saya seakan percaya bahawa ini disebabkan ketinggian pemikiran beliau yang tidak terjangkau oleh akal saya yang masih mentah...

No comments:

Post a Comment