Imam Muhammad Abduh |
Mereka berpandangan, membunuh pembunuh, merugikan nyawa.
Negara telah kehilangan satu nyawa bila pembunuh membunuh. Jika pembunuh itu pula dihukum bunuh, bermakna negara kehilangan satu lagi nyawa.
Ini merugikan.
Jadi, eloklah pembunuh tidak dihukum bunuh!
Selepas itu, pembunuhan berleluasa di negara tersebut. Tapi, pihak berkuasa tetap berkeras dengan pendiriannya.
Akhirnya, bila Perdana Menteri negara tersebut sendiri dibunuh, barulah dilaksanakan hukuman bunuh ke atas pembunuh!
Negara-negara Barat seperti Itali, pada asalnya tidak membenarkan talak. Pada mereka, perkahwinan adalah ikatan di atas nama tuhan. Jadi, ia tidak boleh dirungkai dengan talak.
Akhirnya, pada zaman moden ini, talak terpaksa dibenarkan di negara-negara tersebut. Iaitu setelah terbukti memaksa manusia hidup dengan pasangan yang ternyata tidak serasi, adalah satu kezaliman.
Di atas adalah contoh beberapa permikiran yang zahirnya logik. Namun, kini terbukti ianya salah.
Banyak fikiran kita yang zahirnya nampak betul. Seperti seorang kaya yang hanya tahu menyimpan harta. Tidak dibantu orang-orang miskin. Tidak dihiraukan peniaga-peniaga kecil yang tidak cukup modal untuk berniaga.
Memang sangat logik, bila harta disimpan, maka ia tidak akan berkurang. Ia akan berkurang bila dibelanjakan untuk membantu orang susah atau orang berhajat.
Justeru, bagaimana kekayaan boleh dijana melalui membantu orang yang susah dan berhajat?
Idea Muhammad Abduh
Imam Muhammad Abduh seorang pemikir Islam dan mujaddid ulung. Beliau meninggal pada 1905.
Beliau pernah mengemukakan idea menarik tentang ekonomi.
Pada pandangan beliau, kekayaan seseorang dibina dengan menggunakan harta orang lain. Iaitu, harta itu diperolehi dengan kebijaksanaan dan interaksinya (hubungan dagang) dengan orang lain.
Jadi, kekayaannya wujud dengan sebab masyarakat sekitar dan berpunca daripada mereka. Masyarakat dan 'interaksi perdagangan dengan mereka' adalah punca kekayaan seseorang yang kaya.
Justeru, orang kaya mesti menjaga sumber dan punca kekayaan ini (masyarakat). Menjaga supaya ia terus mampu menjadi pihak kedua dalam interaksi perdagangan.
Oleh itu, apabila ada di kalangan masyarakat, orang yang tidak mampu, maka orang-orang ini mesti dibantu.
Mesti dibantu demi memastikan masyarakat keseluruhannya terus berfungsi sebagai pihak kedua dalam interaksi perdagangan.
Cuba bayangkan anggota masyarakat ramai dalam keadaan dhaif. Bagaimana kekayaan boleh dijana melalui perniagaan (sebagai contoh) dalam masyarakat sebegini?
Di sini, ternyata membantu orang miskin bukan hanya soal kemanusiaan. Ia juga soal ekonomi.
Orang kaya yang sedar hakikat ini tidak akan lokek membantu orang miskin. Mereka tidak akan keberatan membantu peniaga-peniaga kecil yang memerlukan modal untuk berniaga.
Ini kerana mereka faham, semakin baik kedudukan ekonomi sesebuah masyarakat, peluang mereka memperluasakan kekayaan semakin luas!
No comments:
Post a Comment