Friday 31 May 2013

Sembelih tanpa 'ar-rahman ar-rahim' & 'lautan' Feqh Islami

"Bila kita menyembelih haiwan, kita hanya baca 'bismillahirrahman' (tanpa 'ar-rahim'), bukannya 'bismillahirrahmanirrahim'.Sebabnya, 'ar-rahim' itu bermaksud 'Yang Maha Penyayang'.

Jadi, tidak sesuai disebut 'bismillahirrahmanirrahim' ketika menyembelih. Sebab perbuatan menyembelih itu, satu kesakitan bagi haiwan. Tidak sesuai menyebut sifat penyayang Allah, ketika melakukan sesuatu yang menyakitkan haiwan", kata sepupu saya.

Katanya lagi, hal ini dituturkan oleh imam masjid di kampung saya, yang pernah belajar di salah sebuah pondok suatu ketika dahulu. Sepupu saya itu memberitahu perkara ini kira-kira 13 tahun lepas.

"Tak betul tu. Nabi sallallahu 'alaihi wasallam sendiri sebut, 'setiap perkara yang penting, yang tidak dimulai dengan 'bismillahirrahmanirrahim', maka ia kurang berkat'. 

Maknanya, semua perkara yang penting, disunatkan dimulai dengan 'bismillahirrahmanirrahim'.

Jadi, mengapa pula hanya baca 'bismillahirrahman' (tanpa 'ar-rahim') ketika menyembelih!?", kata saya dengan nada tegas.

Maklumlah, ketika itu saya baru balik bercuti ke Malaysia setelah melalui beberapa semester pengajian di Universiti Mu'tah, Jordan.

Bantuan Tafsir al-Quran

"Satu lagi, 'ar-rahman' dan 'ar-rahim' itu, kedua-duanya bermakna 'penyayang'. Cuma bezanya, menurut ulama tafsir, 'ar-rahman' itu sifat penyayang Allah yang merangkumi semua makhluk, termasuk orang-orang kafir. 

Manakala, 'ar-rahim' pula, adalah sifat penyayang Allah yang hanya khusus ditumpahkan kepada orang-orang yang beriman", saya mengukuhkan hujjah berpandukan pengajian tafsir di Universiti Mu'tah.

Semasa di Jordan, saya sempat memberitahu kata-kata imam kampung saya itu kepada Ustaz Zulkifli al-Bakri (sekarang Dr. Zulkifli), yang ketika itu datang menziarahi Mu'tah. Sekitar tahun 1999. 

Waktu itu, beliau sedang menyambung pelajaran di peringkat Masters di salah sebuah universiti di Syria.

"Tak betul tu. Itu hanya buah fikiran dia sendiri", kata Ustaz Zul memberi komentar terhadap kata-kata imam kampung saya itu.

Hari ini (30 Mei 2013), saya terbaca salah sebuah kitab Feqh Syafie yang masyhur. Iaitu Hasyiah al-Bujairimi 'Ala al-Khateeb. Ia sebuah kitab yang memperincikan satu lagi kitab Feqh Syafie yang masyhur, iaitu Mughni al-Muhtaj, karang Syaikh Khateeb al-Syarbeeni.

Dalam Hasyiah al-Bujairimi itu-ketika memperkatakan tentang adab-adab menyembelih haiwan-dicatatkan seperti berikut :


( وَأَنْ يَقُولَ عِنْدَ ذَبْحِهَا ) أَيْ وَإِرْسَالِ الْجَارِحَةِ .قَوْلُهُ : ( بِسْمِ اللَّهِ ) وَالْأَكْمَلُ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ وَقِيلَ لَا يَقُولُ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ لِأَنَّ الذَّبْحَ فِيهِ تَعْذِيبٌ وَالرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ لَا يُنَاسِبَانِهِ... وَقَالَ الْمَالِكِيَّةُ : لَا يَزِيدُ الذَّابِحُ "الرَّحْمَنَ الرَّحِيمَ" لِأَنَّ فِي الذَّبْحِ تَعْذِيبًا وَقَطْعًا وَ"الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ" اسْمَانِ رَقِيقَانِ وَلَا قَطْعَ مَعَ الرِّقَّةِ ، وَلَا عَذَابَ مَعَ الرَّحْمَةِ .

Terjemahan : "Hendaklah [penyembelih] menyebut ketika menyembelihnya (haiwan), dan [juga] ketika melepaskan anjing buruan, 'bismillah'. Dan yang lebih sempurna [ialah disebut] 'bismillahirrahmanirrahim'. 

[Ada] dikatakan [sesetengah ulama], [penyembelih] tidak [boleh] menyebut 'bismillahirrahmanirrahim' [ketika menyembelih haiwan] kerana [perbuatan] menyembelih itu, [merupakan] satu azab [ke atas haiwan], dan [oleh itu menyebut] 'bismillahirrahmanirrahim' tidak sesuai denganya (perbuatan menyembelih)...

[Ulama-ulama] Mazhab Maliki berkata, seseorang penyembelih, tidak [boleh] menambah 'arrahmanurrahim'  [ketika menyembelih haiwan, sebaliknya hanya berpada dengan bacaan 'bismillah'] kerana [perbuatan] menyembelih [merupakan] satu azab dan pemotongan [ke atas haiwan]. 

Sedangkan 'ar-rahman' dan 'ar-rahim' [adalah] dua nama yang lembut [dari segi makna dan pengertiannya]. Justeru, [logiknya] tiada pemotongan [leher haiwan] bersama [kewujudan] kelembutan, dan tiada azab bersama [kewujudan] kerahmatan".

'Lautan' Feqh Islami

Walau bagaimana pun, menurut Syaikh al-Bujairimi, pendapat yang paling sahih dalam Mazhab Syafie, ialah membaca 'bismillahirrahmanirrahim' ketika menyembelih haiwan, bukannya 'bismillah'.

Catatan Syaikh al-Bujairimi ini menjelaskan bahawa ulama-ulama Mazhab Maliki dan sesetengah ulama Mazhab Syafie, berpendapat bacaan semasa menyembelih haiwan, hanyalah 'bismillah', bukannya 'bismillahirrahmanirrahim'.

Mereka berdalilkan dengan firman Allah (Hud : 41) :
وَقالَ اركَبوا فيها بِسمِ اللَّـهِ مَجراها وَمُرساها إِنَّ رَبّي لَغَفورٌ رَحيمٌ ﴿٤١

Maksudnya : Dan Nuh berkata, "naiklah kamu ke dalamnya dengan 'nama Allah' ketika belayar dan berlabuh. Sesungguhnya tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.

Dalam ayat ini, Nabi Nuh sallallahu 'alaihi wasallam meminta pengikut-pengikutnya menaiki kapal sambil membaca 'bismillah' (dengan nama Allah) sahaja, bukannya 'bismillahirrahmanirrahim'.

Sebab mengapa hanya dibaca 'bismillah', ialah kerana 'kejayaan pengikut-pengikut Baginda yang beriman menaiki kapal', bermakna kehancuran ke atas mereka yang tidak sempat menaikinya. 

Justeru, tidak sesuai disebut sifat penyayang (ar-rahman dan ar-rahim) ketika melakukan sesuatu (menaiki kapal) yang mengakibatkan kehancuran orang lain (tenggelam dalam banjir besar).

Berhadapan dengan 'penemuan feqh' yang tidak dirancang ini, semacam satu degupan kecil meletus dalam hati saya, lantas seakan menerbitkan satu suara halus yang membisikkan, "sesungguhnya 'lautan' fekah Islam ini amat luas. Justeru, bercermatlah...!".

Oh ya, yang dituturkan imam masjid kampung saya itu ialah 'tidak disebutkan 'ar-rahim' ketika menyembelih haiwan (hanya sebut 'bismillahirrahman'). Sedangkan, yang dinyatakan sesetengah ulama, ialah tidak disebut 'ar-rahman' dan 'ar-rahim' ketika menyembelih (hanya disebut 'bismillah').

Mungkin tuan imam itu tersilap, atau sepupu saya yang terkhilaf ketika menukilkan kata-kata beliau.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment