Saturday, 10 November 2012

Wacana politik Islam PAS : Penilaian & keperluan tajdid!

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Pengalaman mengikuti 'wacana politik Islam' Parti Islam SeMalaysia (PAS), melalui medium ceramah, usrah, tamrin dan media massa, menyimpulkan bahawa 'wacana politik Islam' parti itu, bertunjangkan tiga teras asas, iaitu perjuangan Islam yang syumul, ketidakjituan keislaman UMNO, dan kepincangan parti Melayu terbesar itu.

Sejauh mana pun 'wacana politik Islam' PAS berlegar, dan setinggi mana pun ia menerawang, ia tidak terungkai daripada ikatan ketiga-tiga teras asas ini. 

Ketiga-tiga teras ini adalah 'lapangan' tempat 'wacana politik Islam' PAS 'mendarat', walau sejauh mana pun ia 'terbang' dan 'menerawang'.

Kejayaan wacana PAS

Realiti semasa terkini di Malaysia telah mencatatkan penerimaan masyarakat umum terhadap apa yang dinamakan 'perjuangan Islam', dan 'politik Islam' yang dibawa PAS, terutamanya sejak akhir atau pertengahan 70'an.

Terjemahan kepada penerimaan ini, ialah kepercayaan yang diberikan rakyat Kelantan dan Kedah kepada PAS pada Pilihanraya Umum ke-12, untuk menerajui kedua-dua negeri itu, disamping mandat yang diberikan rakyat kepada parti itu di beberapa kerusi DUN dan Parlimen di seluruh negara.

Suara-suara yang menjadi manifestasi kepada penolakan terhadap 'perjuangan Islam' dan 'politik Islam' yang diketengahkan PAS, seperti 'agama tidak boleh dicampur adukkan dengan politik', 'ulama tidak layak memerintah negara' , kritikan terhadap hukum hudud dan sebagainya, kini tidak lagi kedengaran.

Kenyataan terbaru Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa UMNO tidak menolak perlaksanaan hudud, cuma berpandangan keadaan semasa belum mengizinkan perlaksanaannya, dan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang mengaku menerima perlaksanaan hudud 'sebenar', iaitu yang merangkumi semua rakyat, termasuk bukan Islam, tetapi menolak 'hudud PAS', yang hanya terbatas kepada orang Islam, adalah sebahagian daripada terjemahan kepada penerimaaan masyarakat umum terhadap 'perjuangan Islam' dan 'politik Islam' yang digagaskan PAS.

Wacana 70'an di tahun 2012!

Penerimaan ini adalah hasil 'wacana politik Islam'-yang salah satu tunjangnya ialah 'perjuangan Islam yang syumul'-yang dimainkan PAS secara rancak sejak akhir atau pertengahn 70'an.

Setelah 'wacana politik Islam' PAS yang bertunjangkan tiga teras itu, berlangsung lebih 30 tahun, tanpa sebarang anjakan, penambahbaikan yang ketara, atau pelebaran skop sehingga ke tahun 2012, berbangkit persoalan tentang sejauh manakah 'wacana 70'an' ini, mampu menatijahkan hasil lain selain daripada 'penerimaan masyarakat Islam terhadap politik Islam', yang dikecapi PAS kini?

Justeru kerana PAS kini mengidamkan Putrajaya dan kepingin menjadi pengganti UMNO, maka, persoalan yang lebih tepat ialah mampukah 'wacana 70'an' ini, membentuk gelombangan sokongan rakyat kepada PAS, seterusnya mengangkatnya bersemayam di singgahsana kuasa di Putrajaya?

Dalam ungkapan lain, dengan berterusan hanya berpada dengan wacana yang berkisar sekitar pernyataan akan kesyumulan Islam, menafikan kejituan keislaman UMNO dan membongkar kepincangan parti itu, apakah ini akan mampu 'merasuk' rakyat untuk mengangkat PAS sebagai peneraju negara menggantikan UMNO?

Penilaian

Skrin realiti semasa memaparkan dengan jelas sumbangan besar UMNO kepada pembangunan Islam dan umatnya, yang tidak boleh dinafikan PAS. Hakikat ini ditandai dengan pengiktirafan banyak pihak di dunia Islam terhadap kedudukan Malaysia sebagai Negara Islam Contoh.

Justeru, PAS tidak boleh merasa selesa dengan hamburan timbunan peluru yang menafikan kejituan keislaman UMNO, di atas anggapan ia akan menajamkan pandangan mata rakyat, lantas membuatkan mereka nampak dengan jelas, lalu mempercayai bahawa keislaman UMNO memang sangat tidak jitu, seperti yang didendangkan PAS, lantas bertindak menolaknya dalam pilihanraya!

Realitinya, kepimpinan Malaysia di bawah teraju UMNO, begitu aktif membangunkan Islam dan ummah, tetapi realiti ini kabur pada pandangan PAS terutamanya, antaranya disebabkan sikap Kerajaan berhubung isu-isu tertentu, yang dilihat sebagai menggalakkan maksiat, atau paling kurang, memberi ruang kepada pembiakannya.

Rakyat sebenarnya arif tentang kepincangan yang berlaku dalam UMNO. Namun, mereka tidak akan terburu-buru menolak parti itu dalam pilihanraya, semata-mata kerana kepincangan yang ada. 

Mereka akan membuat pertimbangan dari pelbagai segi sebelum memutuskan untuk menaik atau menjatuhkan sesebuah parti.

Manakala pernyataan akan kesyumulan Islam, yang menjadi salah satu teras penting 'wacana politik Islam' PAS, hanya memberi mesej bahawa Islam adalah agama yang lengkap, dan mengcakupi kesemua aspek kehidupan mereka, tetapi tidak terkandung di dalamnya mesej yang bertenaga tentang kemampuan Islam menangani kesemua masalah manusia dalam keseluruhan aspek kehidupan. 

Sedangkan, mesej inilah (kemampuan Islam menyelesai kesemua masalah manusia) yang diperlukan bagi membuatkan rakyat yakin untuk memilih parti yang berteraskan Islam, atau politik Islam sebagai peneraju negara.

Wacana baru ganti wacana 70'an

Kesemua fakta ini menjurus kepada satu titik kesimpulan, iaitu 'wacana politik Islam 70'an' PAS, sudah terlalu lemah dan kehilangan daya untuk mencipta anjakan besar dan bermakna dalam pendirian politik rakyat Malaysia, terutamanya dalam masa terdekat ini.

Sejauh yang boleh dicapai oleh 'wacana politik Islam 70'an' itu, hanyalah meraih pengiktirafan dan penerimaan masyarakat terhadap 'perjuangan Islam' dan 'politik Islam', tidak lebih daripada itu.

Adalah amat malang bagi sebuah parti yang bercita-cita besar, apabila 'wacana 70'an' yang telah kehilangan 'ump' ini, terus diarusperdanakan tanpa sebarang penambahbaikan serius dan suntikan idea-idea baru yang segar dan bertenaga. 

Sebagai satu usaha merintis percambahan minda yang kritis, tulisan ini mencadangkan agar wacana politik Islam akan datang, menjadikan 'kemampuan Islam menyelesaikan masalah manusia dalam pelbagai aspek kehidupan', sebagai fokus utama.

Wacana baru ini akan mengupas dengan detail dan kemas bagaimana Islam menyelesaikan secara tuntas masalah sosial, ekonomi, politik, kebudayaan, pendidikan dan sebagainya.

Tugas ulama PAS

Sesungguhnya, masyarakat yang telah mengiktiraf dan menerima politik Islam-hasil 'wacana 70'an' PAS-sangat memerlukan wacana yang memperincikan bagaimana politik Islam yang berteraskan Syariat Islam, mampu memberikan penyelesaian terbaik kepada semua permasalahan manusia.

Nampaknya, Ikhwanul Muslimin lebih terkehadapan apabila sejak awal-awal lagi menjulang slogan الإسلام هو الحل (Islam adalah penyelesaian), di saat orang lain berpada dengan pernyataan akan kesyumulan Islam, dan tenggelam dalam menafikan kejituan keislaman orang lain, serta sibuk mendendangkan kepincangan pihak lawan.

Mengambil kira keterlibatan PAS dalam kerjasama politik atau Tahaluf Siyasi dengan parti bukan Islam, serta keazaman PAS meraih sokongan bukan Islam, adalah satu keperluan mendesak agar 'keadilan Islam terhadap bukan Islam', dan 'layanan istimewa Islam terhadap bukan Islam berbanding ideologi ciptaan manusia', dijadikan satu lagi fokus utama dalam 'wacana politik Islam' akan datang.

Sekali lagi, para ulama dalam PAS perlu memerah otak dan mengembeling minda bagi merangka wacana baru yang mampu menggapai matlamat dan cita-cita besar parti itu!

Zaman mengutip fakta-fakta yang tersedia dalam kitab-kitab agama, dan menghafal dalil-dalil untuk diulang semula di hadapan khalayak dalam siri-siri ceramah, sesungguhnya telah berakhir.

Kini, adalah zaman mencetus idea baru dan pemikiran kontemporari, zaman merangka kertas kerja dan pelan bertindak!

No comments:

Post a Comment