Pahlawan baru Islam, Mohammad Mursi |
'Pendedahan' beliau dalam tulisan berjudul 'Dr. Mohamed Mursi iktiraf Israel, gerakan Islam hilang maruah' itu, adalah benar dan sedia dimaklumi seluruh rakyat Mesir dan masyarakat antarabangsa. Cuma, ia gagal memberikan gambaran yang tepat tentang isu pengutusan duta itu.
Dunia sedia maklum, semenjak pementeraian Perjanjian Damai Mesir-Israel pada tahun 1979, hubungan diplomatik terjalin antara kedua-dua negara tersebut,dan diteruskansehingga hari ini oleh Dr. Mohammad Mursi, presiden baru Mesir yang dilantik melalui pilihanraya yang demokratik.
Bermula tahun 1979 sehingga kini, seramai 6 duta Mesir telah dihantar ke Tel Aviv.
Sikap Salafi & Jamaah Islamiyyah
Rakyat Mesir dari pelbagai aliran pemikiran dan kefahaman agama, sedia maklum realiti sebenar hubungan diplomatik Mesir-Israel yang bermula semenjak 1979 itu, serta arif tentang situasi semasa negara Mesir, yang sebenarnya begitu tenat.
Mereka sedar dan faham, kedua-dua faktor ini telah memaksa Mesir ketika ini, meneruskan hubungan diplomatik dengan Israel yang telah 'dipaksakan' ke atas Mesir tanpa kerelaan rakyatnya oleh regim Anwar Sadat dan Mubarak, sejak lebih 35 tahun yang lalu.
Oleh sebab itu, sebaik sahaja berjaya menggulingkan Mubarak dan membentuk kerajaan pilihan rakyat, hubungan diplomatik Mesir-Israel tidak termasuk dalam senarai isu tumpuan rakyat Mesir.
Sehinggakan aliran salafi dan Jamaah Islamiyyah sendiri-yang berfahaman radikal dan melakukan penentangan bersenjata ke atas regim Mubarak-tidak membangkitkan soal hubungan diplomatik Mesir dengan negara haram Yahudi itu pasca Revolusi 25 Januari.
Malahan, al-Azhar sendiri, yang kini bebas daripada pengaruh kerajaan, juga tidak menimbulkan soal hubungan diplomatik dengan Israel ini.
Hanya mereka yang berada di luar Mesir dan tidak memahami realiti sebenar hubungan Mesir-Israel dan situasi dalaman Mesir yang tenat sahaja, yang menjadikanya isu.
Realiti hubungan Mesir-Israel
Adalah sangat mustahak, mana-mana penulis yang mahu mengupas isu hubungan diplomatik Mesir-Israel ini, memahami terlebih dahulu realiti sebenar hubungan tersebut.
Seperti yang diutarakan Fahmy Huwaidy, pemikir terkenal Mesir, hubungan Mesir dan Israel adalah satu hubungan yang sangat sensitif dan rumit. Hal ini disebabkan hubungan tersebut bukanlah hubungan dua hala antara dua negara, tetapi ia adalah hubungan tiga hala, bahkan 4 hala!
Realitinya, ia adalah hubungan diplomatik yang turut melibatkan kuasa besar dunia, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah. Ini mengakibatkan, ketika berurusan dengan Israel, kepimpinan Mesir sangat arif bahawa dalam masa yang sama, mereka sebenarnya turut berurusan dengan pihak ketiga, iaitu AS dan pihak keempat, iaitu Kesatuan Eropah.
Realiti hubungan yang rumit ini menyedarkan kepimpinan Mesir bahawa baik buruk hubungan Mesir dengan Israel, akan memberi kesan ke atas hubungan negara itu dengan AS dan negara-negara Eropah yang bernaung di bawah Kesatuan Eropah.
Bagi seorang presiden yang baru beberapa bulan menerajui negara, dan mewarisi sebuah negara yang ranap dan lumpuh bahana tindak tanduk diktator Husni Mubarak, pilihan terbaik adalah meneruskan apa yang sedia ada buat sementara waktu, bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihan dan pengukuhan dalaman negara Mesir.
Jika beginilah realiti sebenar hubungan diplomatik Mesir-Israel, yang sebenarnya dipaksakan ke atas Mesir dan rakyatnya oleh regim Sadat dan Mubarak tanpa kerelaan mereka, maka adalah sangat tidak kena bila penerusan hubungan diplomatik oleh Mursi ini, dikupas secara terpisah dari realiti pahit yang dihadapi Mursi dan rakyatnya ini.
Akibat gaya kupasan yang tempang ini, maka Amin Iskandar tampil mengemukakan kesimpulan yang tidak 'berperikemanusiaan' bila menyifatkan tindakan Mursi mengirim duta baru ke Tel Aviv dalam kondisi sebegini rumit, sebagai pengiktirafan presiden yang berlatar belakangkan IM itu terhadap entiti haram Yahudi!
Ketajaman nilai 'ketidakperikemanusiaan' kesimpulan beliau itu bertambah apabila disedari bahawa Mursi yang berada dalam kondisi yang rumit dalam soal hubungan Mesir-Israel itu, sebenarnya baru beberapa bulan memerintah, dan baru sahaja melepasi 100 hari pertama pemerintahan!
Memang tidak 'berperikemanusiaan' bila seseorang pemimpin yang baru beberapa bulan menerajui negara, didesak menyelesaikan masalah yang mengakar ke suatu tempoh masa selama lebih 35 tahun ke belakang.
Ketenatan Mesir
Dari segi situasi dalaman Mesir, rakyat negara itu sedia maklum bahawa sejak lebih 35 tahun yang lalu, iaitu semenjak zaman pemerintahan regim Anwar Sadat lagi, AS dan Israel telah menggerakkan usaha pengukuhan pengaruh mereka di Mesir melalui 'tali barut' mereka, iaitu Anwar Sadat dan Husni Mubarak.
Untuk mendapat gambaran tentang ruang yang diberikan kedua-dua 'tali barut' ini kepada AS dan Israel 'menjajah' dan mempengaruhi Mesir, cukup dengan melihat sanjungan Yahudi ke atas mereka berdua.
Jika Husni Mubarak disifatkan oleh salah seorang bekas Perdana Menteri Israel sebagai 'perbendaharaan strategik' bagi negara haram Israel, Anwar Sadat pula disanjung dengan menamakan salah satu medan di bandar Haifa, Israel dengan nama beliau. Terdapat juga cadangan untuk menamakan satu lagi medan di bandar yang sama, dengan nama Husni Mubarak.
'Jenayah' kedua-dua 'tali barut' ini akhirnya menjerumuskan negara Mesir ke dalam jurang ketaatan dan kesetiaan tidak berbelah bagi negara itu kepada AS dan sekutunya, Israel.
Disebabkan usaha pemasakan pengaruh AS di Mesir sudah lama berjalan, iaitu semenjak lebih 35 tahun yang lampau, Fahmy Huwaidy merumuskan bahawa usaha Mesir membebaskan diri daripada cengkaman pengaruh AS dan Israel, bukan perkara mudah.
Menyedari kesukaran Mesir meloloskan diri daripada pengaruh mereka, AS dan Israel tidak menunjukkan reaksi bimbang yang ketara terhadap Revolusi 25 Januari yang telah menggulingkan 'tali barut' mereka, dan mencatatkan peralihan kuasa kepada seorang pemimpin yang datang dari IM.
Ini kerana AS dan sekutunya itu berkeyakinan bahawa revolusi itu hanya menggulingkan Mubarak dan regimnya, tetapi ia tidak akan mengubah dasar luar Mesir, terutamanya terhadap AS dan Israel.
Pemahaman rakyat Mesir terhadap situasi dalaman yang kritikal yang sedang dihadapi negara mereka, menyebabkan isu hubungan diplomatik Mesir-Israel yang dipaksakan ke atas mereka oleh Anwar Sadat dan Mubarak ini, tidak dibangkitkan mana-mana pihak, samada aliran salafi, Jamaah Islamiyyah atau al-Azhar sendiri.
Sekali lagi ditegaskan, adalah sangat tidak kena bila isu pengutusan duta baru Mesir oleh Presiden Mursi ke Tel Aviv, dilambung secara terpisah daripada situasi dalaman Mesir yang begitu kronik.
Kesimpulannya, kesilapan besar Amin Iskandar dalam tulisan beliau ialah pengetengahan isu pengutusan duta Mesir ke Tel Aviv ini, dilakukan secara terpisah daripada realiti dan latar belakang yang melatarinya.
Salah tanggapan
Akibat kesilapan ini beliau telah membuat perbandingan yang tidak tepat dan 'nakal' apabila membandingkan sikap Hugo Chavez, Fidel Castro dan al-Marhum Tunku Abdul Rahman dengan sikap Mursi dalam soal hubungan dengan Israel.
Mursi yang mewarisi sebuah negara autokratik yang sejak 35 tahun lalu mengiktiraf Israel dan menjalinkan hubungan diplomatik dengan entiti haram itu, mana boleh dibandingkan dengan ketiga-tiga tokoh ini, yang menerajui negara demokrasi yang memang sejak awal tiada apa-apa hubungan dengan Israel.
Sepatutnya Amin Iskandar membandingkan sikap ketiga-tiga tokoh ini dengan individu yang mula-mula mewujudkan hubungan dengan Israel, iaitu Anwar Sadat, bukannya Mursi yang dipaksan dan dibebankan ke atasnya 'dosa' Anwar Sadat itu!
Dapat diandaikan bahawa Chavez atau Fidel Castro sendiri tidak bersetuju dengan perbandingan ini kerana mereka tentu arif tentang situasi sebenar Mursi dalam hal ini.
Tentunya jika Mursi mewarisi negara Mesir dalam keadaan ia bebas daripada sebarang hubungan dengan Israel, pasti beliau juga akan menunjukkan sikap yang sama terhadap Israel, seperti yang ditunjukan Hugo Chavez, Fidel Castro, Tunku Abdul Rahman dan tokoh-tokoh lain.
Sorotan adil
Jika isu pengutusan duta Mesir ke Israel ini disoroti secara bergandingan dengan realiti dan latar belakang sejarahnya, sudah pasti isu ini akan ditanggapi sebagai dilema seorang presiden berhadapan dengan 'dosa' yang dilakukan orang lain dan dipaksakan ke atasnya, bukannya secara-cara tergesa-gesa ditanggapi sebagai pengiktirafan seorang presiden islamis terhadap Israel!
Mursi juga tidak akan ditanggapi secara gopoh sebagai seorang presiden yang tunduk kepada hegemoni AS, tetapi dilihat sebagai seorang presiden yang berada dalam situasi rumit akibat perbuatan regim-regim kuku besi terdahulu, dan seterusnya memaksanya bertindak berasaskan awlawiyyat dan pertimbangan aspek maslahah dan mafsadah.
Sewajarnya, semua pihak memberi masa kepada Mursi untuk memperlihatkan kebolehan sebenar beliau, bukannya terus membuka pekung di dada sendiri dengan tergesa-gesa menghentam beliau tanpa mengira usia pemerintahannya yang baru beberapa bulan.
Lihat sahaja Erdogan yang kini tampil dengan penuh berani berhadapan dengan Israel, anak emas AS. Beliau sampai ke tahap sekarang setelah 9 tahun partinya menerajui Turki dan berjaya mewujudkan kestabilan dalam negara dan perpaduan rakyat.
Perkara yang sama akan ditunjukkan Mursi, InsyaAllah bila tiba masanya!
Setelah meninjau isu membabitkan Mursi ini secara bergandingan dengan realiti dan latar belakangnya, saya fikir soalan 'apa lagi yang boleh kita banggakan dengan gerakan Islam?', boleh kita 'tenyeh' dan jentik ke tepi begitu saja.
Tapi, kalau mahu juga dijawab, cukuplah dengan kita berkata, dalam kondisi yang rumit dan situasi yang penuh dengan cabaran getir, ditambah pula usia pemerintahan yang baru menjangkau beberapa bulan, namun Mursi membuktikan beliau berani mencipta sejarah apabila memanggil balik duta Mesir ke Israel sebagai bantahan ke atas pencerobohan Israel ke atas Gaza.
Inilah kali pertama dalam sejarah Mesir, dutanya ke Israel dipanggil balik sebagai tanda bantahan ke atas keganasan Yahudi ke atas umat Islam di Gaza!
Inilah yang boleh kami banggakan!
Wallahu a'lam
No comments:
Post a Comment