Saturday, 7 July 2012

Sistem kuota IPTA dari jendela Maqasid Syariah


Seorang sahabat FB saya bertanya tentang sistem kuota kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Berdasarkan sistem ini, sejumlah besar tempat di IPTA diperuntukkan kepada pelajar Bumiputera. Selebihnya, diperuntukkan kepada bukan Bumiputera. Ertinya, pembahagian tempat di IPTA kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera, dilakukan secara tidak seimbang.

Soalnya, apakah sistem ini bertepatan dengan ajaran Islam. Itulah soalan utama berhubung sistem kuota yang dikemukakan rakan FB saya itu.

Sebab sistem kuota diperkenal

Bagi menjawab persoalan ini, perlu disebut sebab sistem kuota ini diperkenalkan. Antaranya, disebabkan perbezaan sosio ekonomi antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Ketika diperkenalkan sistem ini lebih kurang 23 tahun dahulu, Bumiputera secara umumnya tinggal di luar bandar, dan oleh itu, tidak mendapat kemudahan pembelajaran seperti yang dinikmati bukan Bumiputera, yang kebanyakannya tinggal di bandar.

Kekurangan Bumiputera ini ditampung dengan memperuntukkan kepada mereka, tempat yang lebih di IPTA. Dengan sistem ini, Kerajaan berharap keseimbangan antara kaum boleh dihasilkan.

Keseimbangan antara kaum ini sangat penting, terutama dari aspek keamanan dalam negara. Peristiwa berdarah 13 Mei, adalah bukti kukuh tentang pentingnya keseimbangan antara kaum ini.

Ringkasnya, kerajaan memperkenalkan sistem kuota ini demi mencapai satu maslahah, iaitu keseimbangan antara kaum, yang sangat penting bagi negara seperti Malaysia.

Andai ditinjau dari sudut syarak, maslahah yang hendak dicapai ini, merupakan maslahah yang muktabar, atau diiktiraf dan diambil kira.

Justeru, maslahah ini mesti dihasilkan. Bagi tujuan ini, kerajaan berpendapat, salah satu caranya ialah melalui pengenalan sistem kuota ini.

Maslahah lebih besar vs mafsadah lebih kecil

Memang benar, ada keburukan pada sistem kuota ini, seperti menyebabkan kesusahan kepada segelintir bukan Bumiputera. Namun, kaedah syarak dan perkiraan akal menuntut agar ditanggung kesusahan yang lebih kecil, demi mencapai matlamat yang lebih besar (keseimbangan antara kaum).

Contohnya, sekatan jalan raya bagi tujuan keselamatan. Ia menyusahkan orang ramai. Tetapi, ia tetap dilakukan bagi mencapai maslahah yang lebih besar, iaitu keselamatan awam.

Jika ditinjau tindakan para sahabat dan fatwa para ulama, kita mendapati, mereka mengharuskan sesuatu perkara, apabila mendapati di dalamnya ada maslahah yang lebih besar berbanding mafsadah. (Zuhayli, Wahbab (1986), Usul al-Fiqh al-Islami, Beirut : Darul Fikr, jil.2, ms.763).

Antara contohnya ialah tindakan Syaidina Umar r.a yang menjatuhkan hukuman bunuh ke atas semua orang yang terlibat dan bekerjasama dalam membunuh seorang individu.

Menghukum bunuh individu-individu yang hanya bekerjasama dalam pembunuhan, tetapi tidak membunuh secara langsung, adalah satu 'keburukan' atau mafsadah. Namun, 'keburukan' ini tetap dilakukan demi mencapai maslahah yang lebih besar, iaitu menjaga ketenteraman awam.

Ini kerana, jika tidak dihukum bunuh semua orang yang terlibat dalam pembunuhan berkumpulan, kelak pembunuhan secara berkumpulan akan membudaya.

Contoh lain ialah fatwa Imam Ghazali dalam karyanya al-Mustasfa, yang mengharuskan tindakan membunuh benteng manusia yang beragama Islam, yang dijadikan benteng oleh tentera-tentera kafir (Rujuk Zuhayli (1986), jil.2, ms.765), keharusan membunuh binatang tunggangan tentera-tentera kafir, dan merosakkan tanaman-tanaman mereka, andainya tindakan itu boleh memenangkan tentera-tentera Islam.

Ulama-ulama Hanafi pula memfatwakan, harus bagi tentera Islam membakar harta ghanimah dan barang-barang mereka, dan menyembelih haiwan yang dikuasai, kemudian membakar dagingnya, agar ia tidak dapat dimanfaatkan oleh tentera kafir. Lihat al-Wajiz Fi Usul Fiqh karangan Abdul Karim Zaydan, ms.243.

Kesemua contoh ini menunjukkan keharusan melakukan sesuatu, sekiranya ia dapat menghasilkan maslahah yang dominan atau lebih besar.

Ringkasnya, perlaksanaan sistem kuota ini sejajar dengan fatwa-fatwa yang dinyatakan.

Hiwar dengan bukan Bumiputera

Bagi menjawab dakwaan bukan Bumiputera bahawa sistem kouta ini tidak adil bagi mereka, sebab sistem ini diperkenalkan perlu dijelaskan kepada mereka.

Semua pemikiran akal yang waras, menerima konsep 'berlainan layanan disebabkan perbezaan keupayaan'. Dalam konteks keluarga umpamanya, anak yang kurang kemampuan, akan diberi bantuan yang lebih, berbanding anak yang mempunyai pekerjaan sendiri atau aset-aset tertentu.

Kesimpulannya, sistem ini boleh diguna pakai bagi mewujudkan keseimbangan antara kaum yang begitu penting dalam negara Malaysia.

Dalam sebuah negara yang terdapat beberapa kaum yang tidak setaraf dari segi sosio ekonomi, adalah tidak adil peluang sama rata diberikan.

Ia sama seperti pertandingan lumba lari mengelilingi padang. Kedudukan pelumba lari tidak sama.

Jika semua pelumba lari diletakkan pada kedudukan yang sama, sudah tentu individu yang berada paling hampir dengan padang, akan memenangi perlumbaan.

Ini tentunya tidak adil bagi pelumba lari yang berada paling jauh dari padang.

Sebagai satu rumusan, jika diamati, bukan Bumiputera sebenarnya menerima, atau boleh menerima sistem kuota ini, kerana mereka sendiri menyedari ketidakseimbangan sosio ekonomi antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Tetapi, bagi mereka, zaman sekarang ketidakseimbangan itu sudah tidak ada, sekaligus bermakna keperluan kepada sistem ini juga sudah berakhir.

Inilah sebenarnya isu sistem kuota ini.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment