Mohammad Morsi |
Dalam satu tulisan, penulis terkenal Mesir, Fahmy Huwaidy mencatatkan 3 masalah utama mendepani Presiden baru Mesir, Dr. Mohammad Morsi.
Menariknya, salah satu daripada 3 masalah itu, dicetuskan golongan islamis sendiri!
Dua lagi masalah berbaki ialah masalah yang dicetuskan ahli-ahli politik, dan masalah sedia ada dalam masyarakat Mesir.
Logiknya, golongan islamis tidak akan menjadi masalah kepada Morsi. Ini kerana, Presiden baru Mesir itu juga seorang islamis. Namun, logik ini nampaknya tidak menjelma di pentas realiti negara yang dijulang rakyatnya sebagai Ummu al-Dunya itu.
Islamis menjadi masalah kepada Morsi yang juga seorang islamis!
Ini yang cuba disampaikan oleh Huwaidy, yang juga seorang islamis dalam blog beliau. Sesetengah orang menyifatkannya sebagai al-mufakkir al-islami, atau pemikir Islam.
Ikhwan dan Salafi
Pada hemat beliau, sebahagian daripada masalah ini puncanya ialah pergerakan Ikhwanul Muslimin (IM) sendiri, pergerakan yang melahirkan sahsiah Mohammad Morsi.
Sebahagian lagi masalah, terbit daripada aliran Salafiyyah, salah satu aktor politik yang dominan di pentas siasah negala perlembahan Nil itu.
IM menjadi masalah kepada Morsi disebabkan prinsip 'pengasingan antara parti politik dan sektor dakwah', masih belum kemas tersemat di kalangan kepimpinan IM.
Keadaan ini menyebabkan kepimpinan IM, yang disifatkan sebagai sektor yang berkecimpung dalam bidang dakwah dan tarbiyah, campur tangan dalam soal politik semasa Mesir, yang merupakan bidang tugas parti politik kelolaannya, iaitu Hizb al-Hurriyyah Wa al-'Adalah (FJP).
Dalam konteks gerakan Islam yang mempraktikkan konsep pengasingan aktiviti politik dari kegiatan dakwah dan tarbiyah seperti IM, dapat dibayangkan saiz masalah yang timbul, apabila sektor dakwah dan tarbiyah campur tangan dalam soal politik.
Bebanan masalah yang bakal ditanggung Morsi makin menekan, apabila aliran Salafiyyah tidak ketingggalan dalam 'menyumbang' masalah kepada Presiden baru Mesir itu.
Menurut Huwaidy, aliran Salafiyyah di Mesir mempunyai pandangan yang pelbagai. Namun, kebanyakan mereka bersepakat dalam soal perlaksanaan Syariat Islam. Tapi, menurut beliau, kefahaman mereka tentang konsep 'perlaksanaan Syariat', adalah kefahaman yang sempit.
Kefahaman yang sempit tentang perlaksanaan Syariat ini tidak mampu 'ditelan' dan ditanggung oleh masyarakat Mesir pada masa kini. Demikian penegasan Huwaidy. Sumber : fahmyhoweidy.blogspot.com
Kefahaman sempit Islam
Beliau tidak pula menghuraikan lebih lanjut kefahaman sempit tentang perlaksanaan Syariat itu.
Namun, dalam tulisannya yang lain, boleh difahami bahawa 'kefahaman yang sempit' tentang perlaksanaan Syariat itu, ialah 'mengurung' Syariat Islam dalam skop penampilan luaran dan tatacara agama tertentu. Disamping kefahaman yang sangat ringkas tentang peranan agama, serta kealpaan tentang realiti dan awlawiyyat semasa. Sumber : fahmyhoweidy.blogspot.com
Kefahaman yang sempit tentang perlaksanaan Islam ini, akan menjadi masalah kepada Morsi. Morsi selaku seorang presiden, tentunya memahami keperluan rakyatnya yang sejak sekian lama hidup dalam kemiskinan, terkongkong dan terkebelakang dalam banyak segi.
Di saat soal keperluan asas-yang hakikatnya adalah tuntutan dan maqasid Islam yang besar-belum selesai, desakan perlaksanaan Syariat dengan maknanya yang sempit, tentunya sukar diterima kebanyakan rakyat Mesir.
Morsi akan tersepit antara kewajipan memenuhi keperluan dharuriy rakyat dan desakan perlaksanaan Islam secara cetek oleh sesetengah aliran Salafiyyah. Keadaan ini akan mencetuskan masalah buat Morsi.
Saiz masalah yang dicetuskan oleh golongan islamis ini kian membesar, apabila satu lagi gerakan Islam iaitu Hizb al-Tahrir, turut 'menyuntik' masalah.
Menurut Huwaidy, bilangan anggota pergerakan yang menolak sistem demokrasi ini, memang kecil. Namun, laungan lantang mereka tentang kewajipan mengembalikan Sistem Khilafah, dalam suasana tidak menentu di Mesir waktu ini, berpotensi besar dalam mencetuskan kegemparan dan kegelisahan dalam masyarakat Mesir.
Bukan sekadar itu sahaja. Laungan Hizb al-Tahrir ini juga memberi modal percuma kepada pihak-pihak berkepentingan, untuk menakut-nakutkan rakyat Mesir dengan kepimpinan islamis yang diterajui Morsi. Sumber : fahmyhoweidy.blogspot.com
Kemenangan Morsi dalam Pilihanraya Presiden baru-baru ini dengan majoriti tipis-yang ditafsirkan sebagai petunjuk kepada ketakutan sebilangan besar rakyat Mesir terhadap penguasaan islamis ke atas politik Mesir-mengesahkan potensi laungan pergerakan radikal itu, dalam membenihkan rasa takut rakyat Mesir terhadap kepimpinan Morsi.
Pengajaran untuk Malaysia
Sebagai persediaan awal, gerakan dan NGO Islam Malaysia, perlu berusaha dari sekarang bagi mencapai kata sepakat dalam memahami erti perlaksanaan Syariat Islam, dan kaedah perlaksanaan hudud dalam realiti semasa Malaysia. Juga dalam menentukan awlawiyyat rakyat Malaysia masa kini dan akan datang.
Adakah perlaksanaan Syariat Islam itu bermakna perlaksanaan hudud-yang merupakan satu juzuk yang kecil dalam Syariat Islam-atau perlaksanaan kesemua ajaran Islam, yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia.
Adakah perlaksanaan hudud berada pada anak tangga pertama dalam agenda perlaksanaan Islam, atau ia merupakan fasa terakhir dalam agenda tersebut memandangkan ayat-ayat yang mewajibkan perlaksanaannya, merupakan antara ayat-ayat terakhir diturunkan?
Kesemua persoalan ini dan seumpamanya, perlu dirungkai, agar apabila golongan islamis berpeluang menerajui negara, persoalan ini tidak akan menjadi masalah dan beban kepada kepimpinan waktu itu, tidak sebagaimana yang berlaku di Mesir pada masa ini.
No comments:
Post a Comment