Sesetengah pihak, memandang sinis tindakan Dewan
Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat membantu keluarga Hoslan Hussin.
Pemuda PAS berusaha mengumpulkan RM20,000 untuk
keluarga Hoslan. Manakala Muslimat PAS pula akan menyediakan RM800 sebulan
untuk keluarga beliau.
Usaha ini dilakukan bagi menjaga kebajikan isteri dan
7 anak Hoslan, seorang imam yang dihukum penjara selama setahun.
Ditilik dari kacamata agama dan sosial, tindakan
kedua-dua sayap PAS itu, sebenarnya merupakan satu permulaan yang sangat baik.
Seharusnya, semua pihak menjadikan ‘permulaan yang
baik’ ini, sebagai titik mula atau batu asas kepada pengasasan satu badan
khusus, yang bertanggungjawab menjaga kebajikan anak-anak atau isteri tahanan
penjara.
Semua pihak harus menginsafi bahawa menjaga kebajikan
anak dan isteri tahanan penjara, adalah satu kewajipan agama dan sosial.
Kedudukannya sebagai satu kewajipan agama, dinyatakan
oleh Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
Dalam fatwanya, beliau menyatakan, menjadi kewajipan
pemerintah menjaga kebajikan anak-anak pesalah yang dihukum penjara (al-Qaradhawi,
Yusuf (2000), Fatawa Mu’asarah, cet. ke-8, Kuwait : Darul Qalam, 627).
Adalah jelas, berasaskan fatwa ini, menjadi kewajipan
pemerintah menjaga kebajikan tanggungan pesalah yang dikenakan hukuman penjara,
sepanjang pemenjaraannya.
Justeru, alangkah eloknya ‘permulaan yang baik’, yang
dicetuskan oleh kedua-dua sayap PAS ini, dijadikan ‘sempena yang baik’ oleh
pihak Kerajaan bagi membentuk satu badan, yang berperanan menjaga kebajikan
anak-anak dan isteri pesalah yang dihukum penjara.
Dalam masa sama, PAS sendiri wajar melihat ‘permulaan
yang baik’ yang dicetuskannya ini, sebagai satu peluang untuknya meminta
Kerajaan menubuhkan badan kebajikan anak-anak tahanan ini.
Jika permintaan ini tidak dapat ditunaikan oleh
Kerajaan, adalah sesuatu yang sangat ‘indah’, andainya parti Islam itu
mengusahakan sendiri, atau menggalakkan penubuhan satu badan, bagi tujuan
memelihara kebajikan anak-anak dan isteri yang tidak berdosa, yang dipisahkan
dari ayah mereka oleh jeriji besi.
Prinsip Islam
Anak-anak dan isteri yang ditinggalkan ini sebenarnya
tidak berdosa. Yang berdosa dan bersalah ialah ayah mereka.
Justeru, seseorang itu tidak wajar dipersalahkan atau
dipandang serong, disebab dosa yang dilakukan oleh orang lain.
Inilah prinsip yang diasaskan oleh Islam melalui
firman Allah yang bermaksud, “dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul
dosa orang lain”(Al-Isra’ : 15).
Prinsip ini memahamkan bahawa tiada istilah ‘membela’
atau ‘menjulang penjenayah’ dalam sebarang usaha menjaga kebajikan anak-anak
dan isteri pesalah yang hilang tempat bergantung, akibat jenayah atau kesalahan
yang dilakukan oleh si ayah atau si suami.
Tindakan sesetengah pihak menyifatkan inisiatif Pemuda
dan Muslimat PAS menghulurkan bantuan kepada keluarga Hoslan sebagai ‘menjulang
atau membela pesalah’, adalah tunas yang tumbuh daripada kejahilan tentang
prinsip Islam yang disebutkan dalam surah al-Isra’ ayat 15.
Semua pihak-tanpa mengira agama dan kaum-perlu
menginsafi bahawa pengabaian terhadap anak-anak dan isteri tahanan penjara,
boleh menyumbang kepada pertambahan kadar jenayah.
Bila anak-anak dan isteri ini hilang tempat bergantung,
kebiasaannya, keadaan akan menolak mereka masuk ke zon masalah ekonomi dan
sosial, zon yang menyediakan tanah yang subur bagi percambahan jenayah dan
gejala salah laku.
Menyedari kepincangan undang-undang yang hanya
memenjarakan pesalah, tetapi mengabaikan tanggungannya yang ditinggalkan tanpa
tempat bergantung, Syaikh Qaradhawi menyifatkan undang-undang ciptaan manusia
ini sebagai cuai (al-Qaradhawi, Yusuf (2000), Fatawa Mu’asarah, cet. ke-8,
Kuwait : Darul Qalam, 627).
Selaku pihak yang boleh disifatkan sebagai ‘penabur
benih’ kepada usaha penjagaan kebajikan anak-anak dan isteri tahanan penjara,
Pemuda dan Muslimat PAS tidak harus berhenti setakat menghulur bantuan kepada
keluarga Hoslan sahaja.
Mereka perlu bergerak lebih jauh ke hadapan, sehingga
ke tahap pembentukan sebuah badan kebajikan bagi anak-anak dan isteri yang
dipisahkan dari suami mereka oleh tirai besi.
Yang lebih penting, penubuhan badan kebajikan
anak-anak dan isteri tahanan penjara ini, sangat cocok dengan agenda penubuhan
Negara Berkebajikan PAS.
Selamat berjuang!
No comments:
Post a Comment