Tuesday 20 May 2014

Dimensi 'kelam' hudud Kelantan

Jauh di sudut hati, saya yakin kepimpinan PAS-terutamanya Tuan Guru Nik Abdul Aziz-ikhlas mahu melaksanakan hudud, khususnya di Kelantan.

Keyakinan ini membuatkan saya percaya, tuduhan yang berbunyi 'PAS menjadikan hudud sebagai agenda dan gimik politik', hanyalah propaganda dan perang saraf musuh-musuh politik PAS semata-mata.

Malah, saya juga percaya, pihak yang menuduh sedemikian, hati kecil mereka sendiri sebenarnya mempercayai PAS ikhlas melaksanakan hudud. 

Namun, demi meraih keuntungan politik, tuduhan sebegitu tetap mereka lemparkan.

Justeru demikian kepercayaan saya, sebaik membaca kenyataan seorang blooger terkenal PAS berkenaan perlaksanaan hudud di Kelantan, hati saya tersentak.

Kelantan tidak serius

Siapa tidak kenal Mohd Sayuti Omar dan blog Merah Tintanya itu, serta obsesinya terhadap PAS.

Dengan tajuk 'Hudud agenda politik, gimik PAS', portal berita Sinar Harian (21 Mei 2014) melaporkan pandangan Sayuti Omar berhubung perlaksanaan hudud di Kelantan, yang dilontarkan beliau dalam Wacana Perdana Hudud bertajuk 'Ke manakah Kelantan?' di Kuala Lumpur pada 20 Mei 2014.

Ada dua(2) idea utama terkandung dalam ucapan Sayuti Omar dalam wacana tersebut.

Pertama, beliau mengesyaki PAS Kelantan 'menjaja' perlaksanaan hudud, semata-mata mahu menutup kepincangan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Portal berita Sinar Harian melaporkan, "tambah Mohd Sayuti, beliau mengesyaki PAS Kelantan cuba mengalihkan isu kepincangan pentadbiran lalu, dengan menjaja perlaksanaan hudud, dengan harapan dapat melindungi kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri".

Beliau dipetik sebagai berkata, "dulu Kelantan sibuk hendak bangunkan stadium, lebuh raya, kampung baru dan sebagainya, tetapi bila naik kepimpinan baharu, mereka tiada idea jelas, malah gagal menjurai isu rakyat".

Kedua, mendakwa PAS tidak serius melaksanakan hudud.

Beliau dipetik sebagai berkata, "sekarang pula hudud ditangguhkan, ini menggambarkan PAS tidak serius laksanakan hudud".

Pandangan Sayuti Omar ini tidak semestinya benar. Dan, artikel ini tidak bertujuan mengajak para pembaca menerima bulat-bulat pandangan ini.

Anjakan paradigma

Maksud tulisan ini, antara lain mengajak kepimpinan PAS terutamanya, untuk peka terhadap senario semasa perlaksanaan hudud di Kelantan.

Bila seorang blooger tegar PAS sendiri mendakwa perlaksanaan hudud hanyalah agenda dan gimik politik PAS, serta PAS tidak serius melaksanakan hudud, ia bermakna isu 'perlaksanaan hudud'-biarpun dalam tahap yang mungkin minima-telah tersudut ke dalam satu dimensi baru.

Malangnya, dimensi baru itu ialah dimensi yang kelam dan menyesakkan!

Juga bermakna, tanggapan dan persepsi 'keras' Sayuti Omar ini berpotensi besar untuk dikongsi oleh sejumlah besar musuh-musuh politik PAS, atau pengundi atas pagar.

Senario terbaru ini juga menuntut PAS tidak lagi-secara borong-menanggapi dakwaan 'PAS tidak serius melaksanakan hudud' dan 'menjadikannya sebagai gimik politik'-yang diutarakan pihak lawan-sebagai semata-mata dakyah yang mahu menggagalkan perlaksanaan hudud, atau mahu menumbangkan PAS.

Dengan perkembangan terbaru ini, ada kemungkinan 'tuduhan' seperti ini adalah satu persepsi yang diyakini dan dipercayai, bukannya satu tuduhan yang sengaja direka-reka.

Satu persoalan tiba-tiba menjengah, 'apakah peristiwa atau pemerhatian yang mendorong blooger yang akrab dengan PAS Kelantan ini, membuat kenyataan sebegini keras terhadap PAS?'.

Tapi, apa yang penting ialah hakikat bahawa kepimpinan PAS perlukan anjakan paradigma, khususnya dalam soal perlaksanaan hudud di Kelantan! 

Wallahu a'lam. 

No comments:

Post a Comment